Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Jumaat, 19 Ogos 2016

USAH MENANGIS LAGI- BAB 25 - ASMAH HASHIM



Cuaca terang di luar, matahari melemparkan cahaya keemasan.  Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa. Suara orang mengaji menyapa telinganya. Biarpun agak tergagap-gagap tetapi tetap bersungguh-sungguh menghabiskan bacaannya.  Riana menarik nafas lega.    Suara Haziq mengaji membuatkan dia tersenyum bahagia.  Alhamdulillah, ucapnya dalam hati.  Kejap lagi dia ada mesyuarat dengan Ustaz Harun dan Ustazah Mardhiah di pejabatnya.  Dia terus melangkah ke tingkat bawah.  Lega hatinya, jika suaminya, Haziq benar-benar berubah.
Di Butik Riana…
            Rafeah menghidangkan kopi panas bersama kek cawan yang berbagai hiasan di atasnya.  Bau aroma kopi panas mampu menaikkan nafsu makan untuk segera meneguknya.  Rasa manis dan pahit yang bergabung menjati satu terasa melekat di tekak.
            Riana melangkah masuk sambil melakarkan sekuntum senyuman buat Rafeah, Ustaz Harun dan Ustazah Mardhiah.  Mereka saling berbalas senyuman.
            “Terima kasih kerana sudi datang ustaz dan ustazah. Saya harap kedua insan yang sedang menuju redha Ilahi tidak menyusahkan ustaz dan  ustazah?” Riana memulakan bicara. Wajah kedua insan yang tenang dan sejuk mata memandang itu dipandang seorang demi seorang.
            “Alhamdulillah, biarpun payah tetapi segalanya berjalan lancar.  En. Haziq sudah mampu membaca al-Quran, sudah tahu solat, serta serba sedikit tentang hukum  hakam.  Puan Riana nak saya teruskan kelas atau setakat ini saja?  Saya dah pesan dengan En. Haziq agar meneruskan apa yang sedang dipelajarinya, dia masih boleh dapatkan khidmat saya atau boleh belajar dengan ustaz lain pula,” terang Ustaz Harun.
            “Diana juga begitu, semakin rajin buat solat sunat dan mengamalkan doa-doa serta amalan  harian.  Saya kagum dengan kesungguhannya,” cerita Ustazah Mardhiah.
            “Dia akan terus belajar dengan saya, dia yang minta sendiri,” sambung Ustazah Mardhiah.
            “Alhamdulillah,” jawab Riana dan Rafeah serentak.
            “Lega saya mendengarnya,” ujar  Riana gembira.
            “Tiada yang mustahil Puan  Riana, Cik Rafeah,” kata Ustaz Harun lagi.  Dia memandang wajah Rafeah sekali imbas.  Dia menunduk seketika.  Hatinya berdetik kencang.  Dia beristighfar berkali-kali.   Menarik nafas panjang dan melepaskannya perlahan-lahan.
            “Kalau begitu, saya serahkan kepada ustaz dan ustazah, kalau mereka berdua masih ingin teruskan pengajian, saya tiada  halangan.  Bayaran seperti biasa,” terang Riana. 
            “Baik Puan Rian, kami akan teruskan kelas seperti biasa, tapi bukanlah setiap hari seperti tiga bulan yang lepas.  En. Haziq juga mesti nak bekerja semula, begitu juga Diana,”  mungkin hujung minggu saja ke?” kata Ustaz Harun.
            “Ya, saya pun begitu.  Mungkin kelas pada hujung minggu atau di waktu malam. Siang saya ada kelas lain lagi,” ujar Ustazah Mardhiah.
            “Baiklah saya bersetuju. Saya harap ustaz dan ustazah boleh bimbing kami semua di sini. Saya bercadang nak buka kelas mengaji dan kelas agama pada staf-staf saya. Harap ustaz dan ustazah tidak menolak. Beri waktu dan masanya, kami akan usahakan agar kelas itu berjalan lancar,”  cadang Riana.
            “Alhamdulillah,” kata mereka serentak. 
            Senyuman menguntum mekar di bibir Riana dan Rafeah. 
            Riana bersandar dengan penuh kepuasan.  Apa yang diharapkan bakal berlaku. Adakah pintu hidayah sudah terbuka buat suaminya?  Dia menarik nafas lega jika perkara itu benar-benar berlaku.    Apalah yang diinginkan sangat dalam hidup seorang isteri  melainkan seorang suami yang baik yang mampu menjadi imam dan membawanya ke syurga.
            “Tak payah nak berangan!  Kita tak tahu lagi jika suami mithali Rin tu dah benar-benar berubah,”  kata Rafeah dengan muka selamba.
            “Hish! Cubalah doakan yang baik-baik,” tegur Riana.
            “Kau masih dengan keputusan kau nak Haziq nikah dengan   Diana?” tanya Rafeah. Hati seorang perempuan bukannya tetap, bila-bila masa sahaja boleh berubah. Apatah lagi jika perasaan cemburu ada dalam diri.  Rafeah berharap Riana tidak meneruskan niatnya.  Bukan mudah berkongsi kasih. 
            “Kita tengok macam mana, kalau ikutkan macam itulah.”  Riana mengeluh berat.  Betulkah keputusannya itu?  Dia menyoal diri sendiri. Sekali lagi bibir nipisnya melepaskan keluhan berat. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan