Dalam meniti usia kanak-kanak lagi, saya sudah didedahkan
dengan dunia perniagaan. Emak yang
berasal dari Sabar Bernam, bukanlah dari kalangan orang senang, waktu zaman
itu, rata-rata penduduk Malaysia hidup dalam kesederhanaan atau pun
kemiskinan. Azam emak, tidak mahu hidup
susah, jadi setelah berumah tangga dengan arwah abah yang memang membesar di
Jalan Bangsar, emak mula pasang niat untuk mencari pendapatan sendiri. Kepandaian emak adalah membuat kuih-muih,
maklumlah emak anak sulong dari 10 adik beradik.
Pada mulanya emak menghantar hasil air tangannya di gerai
berhampiran NST dan Nayang Siang Pau, siapa yang pernah tinggal di Jalan
Bangsar Of Jalan Riong pasti tahu, ada sebuah Kilang ais krim dan sabun di
situ. Walls dan Levers Brother atau
sekarang dikenali sebagai Unilever.
Tidak lama kemudian, emak menyuruh saya dan adik kedua saya, menjual
kuih dari rumah ke rumah di kawasan kampung tempat tinggal kami sehinggalah ke
Kampung Haji Abdullah Hukum.
Arwah ayah pula bekerja di Kilang Lever Brothers sebagai
operator pengeluaran, arwahlah yang menjaga bahagian memasak sabun. Waktu itu
meriahlah kami menggunakan sabun, sebab arwah abah boleh membelinya dengan
harga yang murah. 25 tahun arwah abah berkhidmat di kilang tersebut,
sehinggalah kilang tersebut dipindahkan ke Bukit Raja. Arwah berhenti kerja dan diberi pampasan
selama dia berkhidmat.
.
Tiadalah daya hendak membantah, apatah lagi sebagai
seorang anak yang diajar untuk taat dan akur. Tiada kata penolakan, tiada nada
berdecih mengatakan kepenatan. Kepatuhan
sebagai seorang anak di zaman itu amat tinggi.
Bermulalah langkah saya menjaja dari rumah ke rumah, dari lorong ke
lorong, dengan semangat untuk mencari duit saku, biarpun upah yang diterima
hanyalah 50 sen.
Pada mulanya hanya saya seorang, seronoklah ketika itu,
kuih yang dijual setiap hari habis, balik dengan wajah riang dan duit penuh
dalam beg kecil yang emak sediakan. Setelah
beberapa bulan, ada pula seorang teman sekampung yang ikut serta, adalah kawan
untuk saya berjualan, kuranglah sikit rasa malu dan segan. Hari-hari kami berlumba-lumba mendapatkan
pelanggan, melaung dan menjerit, dari suara jeritan yang tidak berirama,
sehingga kami mampu menghasilkan irama sendiri menguar-uarkan kuih apa yang
kami jual. Kalau sudah penat berjalan
dan kehausan, ais kepal menjadi pilihan,
duit yang dibelanjakan akan ditolak dari duit upah menjaja tadi. Tiada istilah mewah, biarpun kami
mengeluarkan tititk peluh sendiri.
Apabila sudah ada kawan, langkah kaki semakin jauh ingin
mendapatkan ramai lagi pelanggan. Dari
isi bakul hanya ¼ akhirnya bertambah menjadi separuh, kadangkala penuh bakul berisi beraneka jenis kuih-muih air tangan
emak sendiri. Saya dan kawan saya, sudah
lupa namanya, seawal pukul 2.00 petang,
berjalan merintasi jalan keretapi menuju ke Jalan Briekfields, ada flat lima
tingkat dan banyak blok, ada kawasan kampung, rata-rata dihuni oleh kaum India
dan Cina.
Saya masih ingat lagi, yang tinggal di rumah flat
tersebut ramai anggota polis trafik yang bekerja di Balai Polis Briekfields. Merekalah
pelanggan tetap kami. Dari luar bangunan sudah terdengar suara merdu kami
menyenaraikan nama-nama kuih yang terdapat di dalam bakul. Biarpun tidak sesedap suara Siti Nurhaliza,
abang-abang dan kakak-kakak polis pasti memanggil dan menyeru kami mendaki anak
tangga menuju ke rumah mereka.
Kadang-kadang separuh bakul kuih-muih itu dibeli oleh mereka.
Pengalaman yang tidak boleh dilupakan sewaktu menjadi
penjaja kuih ini adalah dikejar anjing gila. Uhuh! Lari selaju yang boleh,
sehinggalah tuan punya anjing menjerit menyuruh anjingnya berhenti dan saya
disuruh berhenti berlari. Pengajaran,
jangan lari bila nampak anjing! Nasib baik tidak kena gigit. Air mata
berjujuran di pipi, sejak itu, lorong tersebut saya tidak lalui, takut kena
kejar lagi.
Emak berhenti menyuruh saya menjajah apabila mendapat
tempat, menjual goreng pisang di hadapan Jalan Bangsar, dahulu ada sebuah pusat
cucian pakaian atau dipanggil kedai dobi, lama kedai dobi itu beroperasi,
sehinggalah pemiliknya meninggal. Antara
pelanggan emak waktu itu adalah Allahyarham Sudirman Haji Arshad, Bonda Fauziah
Nawi, Omar Abdullah dan ramai lagi, maklumlah, Jalan Bangsar kan laluan para
artis hendak ke Angkasapuri, dan mereka yang berurusan dengan Berita Harian
serta NST. Sayalah yang terpaksa
membantu emak berniaga, setiap hari. Orang yang tidak pernah saya lupa
wajahnya, seorang menteri perempuan yang macam tomboy itu. Dia tinggal di kawasan tersebut, waktu dia
belajar di UM. Tak sangkalah dia menjadi
menteri sekarang ini.
Emak seorang yang tegas, sebagai anak sulong, segala
tanggungjawab di rumah dan di tempat dia berniaga, semuanya terpikul atas bahu
saya, memang penatlah. Malu pun ada,
maklumlah berniaga tepi jalan, hari-hari kawan sekolah tengok, zaman itu
manalah faham tentang kelebihan berniaga ini.
Ada juga kawan yang menyindir, itu sebab saya terasa malu. Emak seorang yang kuat bekerja, selama 25
tahun dia berniaga goreng pisang di kawasan tersebut, hanya Hari Raya sahaja
dia cuti. Melihat emak berniaga, kadangkala membuatkan saya menanam azam dalam
diri, tak nak jadi ahli perniagaan!
Susahlah! Penat!
Seawal pagi, emak dah bangun, siapkan segala keperluan
kuih muihnya, siapa lagi yang tolong, kalau bukan saya, adik-adik? Mungkin emak rasa mereka masih kecil, maka
mereka tidak pernah disuruh, terutama adik-adik lelaki. Sebagai anak zaman itu,
manalah pandai membantah, ikut sahaja suruhan orang tua, apatah lagi arwah abah
selalu berleter suruh tolong emak.
Hujung minggu pun emak semangat berniaga, ramai orang, berpikul pisang
sehari.
Berniaga tepi jalan, jangan ingat tak ada masalah, pihak
penguatkuasa Dewan Bandaraya selalu datang kacau, siap angkut segala perkakasan
perniagaan emak bersama-sama pisang mentah.
Emak disuruh memohon lesen perniagaan, emak akur, bertahun-tahun asyik
kena saman dan diangkut perkakasnya, akhirnya permohonan emak diterima. Tidaklah mereka datang mengganggu lagi. Tapi emak tak pernah marah atau mengherdik
mereka. Mereka pun cakap baik sahaja. Emak dan arwah abah akurlah, undang-undang
tetap undang-undang, kenalah ikut.
Saya berhenti menolong emak setelah mencapai usia remaja,
malulah oi! Sudah anak dara, dan kebetulan hendak ambil SPM. Tapi emak, terus
gigih berniaga seorang diri dengan dibantu oleh arwah abah. Seharian duduk di hadapan kedai dobi itu,
bermula jam 11.00 pagi sehingga 7.00 malam. Kalau siapa yang biasa tinggal di
Jalan Bangsar sehingga ke Pantai Dalam dan melalui kawasan tersebut, pasti
tahu.
Kerana pengalaman yang banyak dan melihat kepayahan emak
berniaga, membuatkan dunia perniagaan bagi saya amatlah memenatkan. Bila sudah berumahtangga, saya paling tidak
suka untuk memulakan apapun perniagaan.
Namun, kesempitan hidup, membuatkan saya terpaksa membuang azam saya
itu. Saya akhirnya turut menjejaki
langkah emak dengan membuat kuih muih yang saya tahu. Macam-macam saya buat, dari sejenis dua kuih
sehinggalah sehari tujuh jenis yang saya buat, semuanya dihantar ke gerai
berhampiran rumah sewaktu di Kedah.
Tapi, perniagaan dan saya bagaikan tidak mahu
dipisahkan. Saya pernah buat karipap
dingin beku, buat biskut raya, katering, nasi lemak bungkus, semuanya separuh
jalan sahaja. Sudah letih dan penat, saya berhenti. Tidak kuatnya semangat saya. Sebab jiwa berniaga tiada dalam diri.
Pada suatu hari suami menyatakan hasratnya hendak membuka sebuah
restoran. Saya terus membantah. Saya
tahu penat lelah yang terpaksa dilalui kalau berniaga dalam bidang
makanan. Tugas yang tersedia tidak
pernah habis, bermula terbit matahari sehinggalah matahari terbenam. Suami saya langsung tidak mengambil endah
kata-kata saya, dia tetap dengan keputusannya.
Saya membantah sahaja, tapi tetap
ikut. Rupanya suami hendak berniaga
restoran berkongsepkan Francise.
Bagaimana? Restoran apa? Nanti sambung lagi ya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan