Masa terus berlalu, hari ke mari, usia semakin tua, waktu
muda sudah berlalu pergi, meninggalkan begitu banyak kenangan dan kisah silam
yang boleh dijadikan panduan dan iktibar kepada diri sendiri atau kepada orang
lain. Begitu jugalah perjalanan hidup saya. Berkahwin pada usia remaja, satu perkara yang
tidak pernah disangka, 18 tahun sudah bergelar isteri, baharu sahaja selesai
SPM, sudah dipinang orang, orang tua
pula tidak membantah, ada sahaja orang
masuk meminang terus diterima tanpa banyak bicara.
Ya, 30 tahun sudah berlalu, melayari bahtera rumah tangga
dengan penuh suka dan duka. Saya
mengenali suami sewaktu kami sama-sama berada di dalam kumpulan teater, saya
anak jati Kuala Lumpur, membesar dan bersekolah di bandar metropolitan ini.
Suami pula anak jati Kedah tapi membesar di Perlis. Kami tidak bercinta, berkahwin pun dengan
restu keluarga. Betul, biarpun kenal,
tapi tak semestinya kami bercinta. Dia
terus berjumpa orang tua saya untuk meminang saya. Ketika itu arwah abah masih
ada. Pada hari dia bertemu arwah abah,
saya bawa teman lelaki saya berjumpa arwah abah. Itu petanda saya hendak
menolak keinginan suami. Rupanya arwah
abah saya lebih berkenankan suami saya daripada teman lelaki saya.
Atas restu keluarga, akhirnya saya menjadi seorang isteri
ketika berumur 18 tahun dan meminang anak sulong ketika berumur 19 tahun.
Itulah orang tua suruh sambung belajar tak mahu, kan akhirnya dikahwinkan
sahaja. Redha sahajalah. Jodoh sudah tertulis. Suami saya bukan seorang yang berkerja besar,
biasa-biasa sahaja, mula-mula dia bekerja dengan syarikat bas Sri Jaya sebagai
konduktor bas. Percaya tak, sewaktu kami
mula berumah tangga, gajinya hanya RM210 sebulan.
Saya pula sedang mencari pekerjaan, akhirnya bekerja
dengan sebuah Klinik Pergigian di Damansara Utama. Selepas bernikah, kami tinggal di Pantai
Dalam, arwah abah sudah berpesan, tinggal di rumah dia selepas bernikah
seminggu sahaja, selepas itu carilah rumah sewa. Boleh bayangkan tak? Dengan sewa bulanan RM160.00, kami berdua
harungi kehidupan berumah tangga dengan pelbagai ujian dan rintangan. Kesusahan dan kepayahan saya dan suami telan
perlahan-lahan. Kami akur dengan
ketentuan rezeki yang Allah kurniakan.
Kadangkala tidak sabar menghadapi hidup yang susah dan
sukar. Ada ketika gaji yang diperolehi tidak cukup untuk menampung keperluan
hidup kami berdua. Terpaksa pula meminjam
dan berhutang. Ada ketika duit sewa rumah pun kami tidak mampu bayar. Nasib baik tuan rumah kami baik hati. Kami bayar hutang yang tertunggak secara
ansuran, sehinggalah selesai. Kami tidak
sesekali meminta bantuan emak dan arwah abah.
Tidak mahu menyusahkan mereka, dan suami pula tidak mahu dilihat tidak
berkemampuan.
Teringat saya sewaktu mula masuk rumah sewa, tikar getah
pun tak ada di ruang tamu, emak membekalkan saya tiga biji periuk, masih ada
sehingga sekarang, empat biji pinggan, dua biji mangkuk, empat biji cawan,
sebiji kuali dan beberapa bilah sudu dan garpu.
Dapur pula, bukan dapur gas, tapi dapur minyak tanah. Allah! Terpaksalah saya belajar
menggunakannya, di rumah emak saya pakai dapur gas.
Di dapur tiadalah almari dapur, tiada peti sejuk,
semuanya serba tiada. Tuan rumah bermurah hati memberi sebuah meja dan tempat
letak dapur yang dibuat daripada kayu. Hanya ada set bilik tidur yang dibeli
sewaktu kami bernikah. Pernah suami
menangis kerana tidak mampu memberi kemewahan kepada saya, terpaksa hidup susah
dengannya. Saya hanya berkata, yang
penting abang sayang saya.
Pernah merasa duit di tangan hanya ada RM1.50 sahaja,
keesokan harinya baharulah suami dapat gaji.
Dengan duit RM1.50 itulah saya berusaha memikirkan untuk membeli lauk
atau barang makanan yang mampu dimakan pada hari itu. Rupanya kesusahan mengajar kita menjadi
kreatif, dengan duit sebanyak itu, saya beli telur dan sayur taugeh yang murah
ketika itu. Dapatlah kami makan nasi
berlaukkan telur dan sayur taugeh masak kicap.
Alhamdulillah.
Biarpun saya dilahirkan di bandar, tetapi saya seorang
yang sederhana, saya tidak memerlukan duit untuk beli alat solek atau pencuci
muka. Jadi, saya tidak menyusahkan suami
untuk membeli segala keperluan diri.
Setelah hampir setahun berumahtangga, saya bakal melahirkan anak pertama
kami, dengan pendapatannya yang tidak seberapa, kami amat berjimat cermat,
setiap perkara saya budjet terutapa untuk duit lauk pauk di rumah. Tidaklah sering makan di luar, selalunya saya
akan masak sendiri, biarpun penat balik dari tempat kerja.
Selalunya orang yang mengandung anak sulong ini, akan
gembira atau mulalah buat persiapan awal untuk menyambut orang baharu. Tapi
kami tidak, bercadang hendak melahirkan anak sulong di Perlis sahaja, tapi
tidak kesampaian, saya melahirkan anak sulong
tiga minggu awal. Allah! Sebenarnya tiada satu pun barangan bayi kami
beli, ingatkan hendak beli di kampungnya, tetapi lain yang dirancang, lain pula
yang jadi. Setelah saya dimasukkan ke
hospital dan melahirkan, sehelai lamping pun tiada. Maklumlah tunggu suami
dapat gaji, baru beli.
Pada hari saya hendak keluar hospital, suami terpaksa tebalkan muka meminjam duit daripada emak untuk membeli barangan keperluan anak sulong kami. Dengan tidak tahu apa yang perlu dibeli, dia bertanya sahaja kepada jurujual yang ada. Dengan duit RM150. yang dipinjam daripada emak saya, suami pergi sendiri membeli lampin dan baju untuk anak sulong kami. Bukan tidak mahu beli awal tetapi kekangan kewangan waktu itu memang memeritkan. Pernah saya bergurau dengannya,”Sejak berkahwin dengan abang, Mah merasa duduk rumah papan sampailah ke rumah banglo. Dari hanya berjalan kaki sampailah punya kenderaan sendiri.” Dia hanya tersenyum. Itulah kurniaan Ilahi, jika kita sabar dan tabah. Tidak semua orang beroleh kesenangan sejak dari awal berumah tangga.
Pada hari saya hendak keluar hospital, suami terpaksa tebalkan muka meminjam duit daripada emak untuk membeli barangan keperluan anak sulong kami. Dengan tidak tahu apa yang perlu dibeli, dia bertanya sahaja kepada jurujual yang ada. Dengan duit RM150. yang dipinjam daripada emak saya, suami pergi sendiri membeli lampin dan baju untuk anak sulong kami. Bukan tidak mahu beli awal tetapi kekangan kewangan waktu itu memang memeritkan. Pernah saya bergurau dengannya,”Sejak berkahwin dengan abang, Mah merasa duduk rumah papan sampailah ke rumah banglo. Dari hanya berjalan kaki sampailah punya kenderaan sendiri.” Dia hanya tersenyum. Itulah kurniaan Ilahi, jika kita sabar dan tabah. Tidak semua orang beroleh kesenangan sejak dari awal berumah tangga.
Banyak saya belajar tentang hidup daripada kesusahan yang
saya dan suami hadapi. Suami seorang
yang cerewet, kuat cemburu tetapi amat bertanggungjawab orangnya. Dia seorang yang kuat mengongkong. Saya tidak bebas bergerak, kalau hendak ke
mana-mana harus bersam-sama dengannya.
Dalam semua perkara, dia akan perhati dan sudah pasti akan ada batasan
yang perlu saya jaga.
Kami hadapi susah senang
bersama, hidup berumahtangga tidak hanya bertemu gembira, kita akan jumpa
dengan pelbagai masalah yang kadangkala buat kita ingin menyerah kalah. Dari hanya bekerja sebagai seorang konduktor
bas sehinggalah dia bekerja dengan Amanah Saham Nasional sebagai Pegawai
Pemasaran, pernah buka perniagaan dan ada restoran sendiri dan sehinggalah
sekarang, suami menguruskan rumah anak yatim miliknya sendiri, kami masih lagi
diuji dan diuji. Sebagai seorang isteri,
saya bukanlah yang terbaik, tetapi dia menyayangi saya sepenuh hati, bukan saya
kata, tetapi orang yang melihat dan doktor yang merawat saya ketika sakit pun
berkata, “Suami awak sangat sayangkan awak ya.”
Ya, dia seorang suami, abah
dan ketua keluarga yang amat bertanggungjawab. Menjaga diri saya seperti menatang minyak yang
penuh. Saya belum cukup baik
baginya. Dia menerima diri saya yang
sengal ini seadanya. Menerima baik dan
buruk saya.
Buat adik-adik yang belum
berumah tangga, jika sudah berkahwin suka sama suka, hargailah rumah tangga
yang dibina. Sewaktu bercinta dan selepas berumah tangga tidak akan sama. Tanggungjawab, kejujuran dan keikhlasan amat
penting dalam rumah tangga yang kita bina atas dasar kasih sayang dan
cinta. Biar susah dan senang
bersama. Yang berat sama dipikul, yang
ringan sama dijinjing. Paling penting,
jagalah hubungan dengan Allah, maka semuanya akan berjalan lancar.
Sedangkan lidah lagi tergigit,
inikan pula manusia yang berlainan latar belakang, hadapilah dengan tabah dan
sabar. Percayalah, suami yang telah
dikurniakan kepada kita adalah yang terbaik.
Jika dia seorang yang baik, Alhamdulillah, jika sebaliknya, terimalah
dengan redha, Allah ingin menguji
keimanan kita. Jangan sesekali
menceritakan hal rumah tangga kita dengan orang lain. Carilah mereka yang pakar dan mampu memberi
nasihat yang baik buat kita, bukan menambah dan memporak perandakan rumah
tangga kita lagi.
Bukan kekayaan yang memberi
kita kebahagian, tetapi nilai kasih sayang yang akan kekal sehingga ke
syurga.
Kepada abang-abang, hargailah
isteri masing-masing. Sekarang mungkin dia sudah tidak cantik, tetapi
fikir-fikirkanlah siapa yang membuatkan pasangan kita semakin tidak menarik?
Bukan kitakah? Jangan cari alasan untuk mencari lain, orang yang berada di sisi
kita berpuluh tahu, berbelas tahun adalah insan yang terbaik buat kita. Yang baharu belum tentu mampu jadi terbaik.
Selamat menyambut Ulang tahun
Perkahwinan ke -30 buat suami tersayang,
semoga rumah tangga kita kekal sehingga ke Jannah, aamin.
Selamat ulang tahun perkahwinan yang ke 30...semoga kekal bahagia hingga ke jannah...doakan jodoh saya juga kekal bahagia hingga ke jannah...salam buat keluarga...rindu lama x bertemu...
BalasPadamTerima kasih dik, wa'alaikumsalam. aamin dan terima kasih atas doanya, dan terima kasih juga kerana sudi menyinggah di blog akak ni.
Padam