karya yang memenangi tempat KEDUA Sayembara Menulis Novel Remaja anjuran Koperasi DBP pada tahun 2014
Saya sudah bekerja sejak
kecil, tapi bekerja dengan emak sayalah.
Waktu umur saya 16 tahun, seorang jiran mengajak saya bekerja di sebuah
restoran yang terletak berhampiran Bukit Bintang, waktu itu sudah dekat sangat
dengan cuti sekolah. Hendak buat apa
waktu cuti selain tolong emak berniaga.
Tak mahulah, ketika itu sudah remaja, sudah tahu malu. Tawaran bekerja
saya terima, kerja di mana? Restoran
Sate Ria, sekarang sudah tidak ada lagi.
Itulah pengalaman pertama saya bekerja. Umur tidak cukup, mana boleh bekerja,
saya pergi temuduga dengan seorang lagi rakan sekampung. Tahu berapa gaji sejam dalam tahun 80-an,
RM1.60 sejam. Semangat hendak bekerja,
upah usah kira, yang penting pengalaman.
Hari pertama, saya dan rakan saya diajar cara mengambil pesanan,
mengemas meja, dan macam-macam lagi, tak ingatlah semua, tetapi itu pengalaman
pertama yang paling saya suka.
Pada mulanya memanglah kekok, maklumlah tidak biasa,
apatah lagi bekerja di sebuah restoran.
Kerana sudah diajar bekerja sejak kecil, jadi saya cepat belajar, hari
kedua sudah mula pandai sedikit, hari seterusnya semakin pandai dan cekap. Hari-hari seterusnya, saya orang paling
pantas buat kerja.
Seminggu saya bekerja tiga shif, empat jam sehari.
Pekerja sementara, tidak boleh bekerja lebih dari waktu yang telah
ditetapkan. Bermakna mereka tidak mahu
bayar lebihlah. Aku sering juga ambil
kerja masa selama dua jam. Seronok punya
pasal, jangan hairan dengan saya. Saya
memang suka bekerja. Lagi banyak, lagi bagus. Sikap saya, jangan tiru.
Sebulan bekerja, banyak perkara saya belajar, saya
mengenal diri saya sendiri. Rupanya saya suka bekerja dengan orang ramai,
penyelia saya pun hairan, padahal umur baharu 16 tahun tapi kecekapan bekerja
mengalahkan orang yang ada pengalaman.
Tidak tahulah, dia puji ikhlas atau apa, yang penting pujian itu memberi
saya semangat untuk bekerja dengan lebih rajin lagi.
Bekerja di restoran Sate Ria, tentulah menghidangkan
sate, pada tahun awal 80-an dan lewat 80-an Restoran Sate Ria banyak cawangan
di sekitar Kuala Lumpur. Selain sate yang
beraneka saiz, kuahnya juga sedap, ada juga soto dan nasi goreng. Waktu tengahari dan malam selalunya pelanggan
penuh. Itu dahulu, akhirnya restoran
tersebut terkubur selamanya, saya sendiri tidak tahu sebabnya, sedangkan
makanannya sedap dan restorannya juga bersih.
Kalau tidak salah, restoran itu di bawah Syarikat UDA. Sekarang sate masih ada lagi dan paling
terkenal adalah Sate Samuri.
Saya bekerja di restoran tersebut tidak lama, sebulan
lebih sahaja, penyelia suruh saya bekerja lagi di situ, saya tolak, sebab nak
masuk tingkatan lima dan ambil SPM, takkan nak bekerja, nanti tidak ke sekolah
saya. Saya tolak tawaran tersebut biarpun dijanjikan kenaikan gaji. Kalau sudah
ditawarkan bekerja, tentulah saya seorang pekerja yang bagus. Bukan main lagi puji diri sendiri ya?
Habis sekolah, saya belajar menaip, memang ada sijil
menaiplah. Memang cekap menaip. Saya sebenarnya minat dan bercita-cita hendak
bekerja di pejabat. Bukan main lagi ya? Itu
minat sayalah tetapi tidak kesampaian.
Puas minta dan memohon, tiada siapa yang layan. Maklumlah tiada
pengalaman, setakat sijil menaip siapalah pandangkan? Waktu itu SPM tidak
keluar lagi, jadi faham-fahamlah. Saya
berkahwin muda sangat, belum sempat dapat menikmati usia muda, sudah dipinang
orang. Arwah abah terus sahaja terima. Sewaktu
sedang bertunang, saya mendapat tawaran bekerja di sebuah klinik pergigian di
Damansara Utama, Dzul Dental Surgery sebagai pembantu doktor.
Bekerja di klinik pergigian bukanlah mudah, sebulan kena
kursus di cawangan Dr. Dzul yang terletak di Ampang Point. Berulang aliklah
saya dari Bangsar ke Ampang. Dua biji
bas tau. Nampak macam senang bekerja di
klinik, saya diajar cara membersihkan alat-alatan yang digunakan untuk mencabut
gigi dan merawat pesakit, guna air panas yang mendidih, ada bekas khas, bukan
main basuh dengan air paip. Semuanya wajib dicuci.
Cara menyusun alat yang akan digunakan juga diajar, cara memasukkan ubat
pelali dalam bekasnya.
Banyak lagilah,
nama alatan tersebut pun saya dah lupa, maklumlah sudah lama sangat. Sebulan selepas kursus saya dihantar
bertugas di Klinik milik Dr. Dzul di Damansara
Utama, selain mempunyai klinik, Dr. Dzul juga punya syarikat membekalkan alatan
dan ubat-ubatan untuk klinik pergigian.
Sekarang sudah terkenal dan kaya rayalah beliau, waktu tahun 80-an tidak
ramai yang menjadi pembekal peralatan pergigian ini. Setahun saya bekerja
dengan klinik tersebut sebelum berhenti.
Paling saya tidak lupa, apabila salah seorang doktor yang
menjadi pekerja di klinik itu mencabut gigi seorang pelajar UITM, waktu itu
tengahari, gigi geraham pula itu. Mak ai!
Tak tahulah silapnya di mana, memancut darah keluar macam air pancut, kau
rasa? Saya pula nak pitam melihatnya.
Kasihan pelajar tersebut. Nasib dialah dapat doktor baharu yang
merawatnya. Klinik tersebut punya dua
orang doktor yang bekerja ikut shif, seorang doktor lelaki dan seorang lagi
doktor berbangsa cina tetapi beragama Islam dan berasal dari Australia. Bolehlah cakap Melayu sikit-sikit, jenuhlah
speaking mat salleh dengan beliau. Saya berhenti dengan cara baiklah. Pekerjaan yang kurang saya minati, tetapi terpaksa kerana hanya itu
sahaja peluang yang datang. Jadi,
tidaklah cemerlang. Setakat biasa-biasa
sahaja.
Setelah lapan tahun berkahwin, kami sekeluarga, ketika
itu anak masih seorang, suami pula ditawarkan bekerja, naik pangkatlah,
bertukar tempat kerja ke utara tanah air,. Kedah. Bekerja sebagai kerani
perkhidmatan di ASNB cawangan Utara. Di Kedah, kami mendapat anak kedua. Setelah anak kedua berumur enam tahun, saya
mula bertanya kepada suami, boleh tak jika saya nak bekerja?
Pada mulanya dia membantah, maklumlah, isterinya ini manalah ada
pengalaman sangat. Setakat ada sijil menaip dan sijil komputer yang saya ambil
saja suka-suka.
Satu hari, dia bertanya, nak kerja ke? Saya macam tidak percaya sahaja, dia
bertanyakan soalan bernilai tinggi itu. Tentulah nak! Dari duduk rumah melayan televisyen dan
segala jenis telenovela saya tonton, baiklah bekerja, dapat juga hasilnya. Dia yang tolong carikan, rasa nak menangis
pun ya. Nak tahu bekerja di mana? Bekerja dengan sebuah badan NGO yang aktif di
utara tanah air dan di Malaysia.
Aduhai! Perwatakan, penampilan
saya berubah 360 %, mana tidaknya, ketika itu saya baru berjinak-jinak memakai
tudung.
Angkatan Belia Islam Malaysia Cawangan Kedah yang
terletak di Jalan Datuk Kumbar menjadi tempat pertama saya bekerja dalam bidang
pentadbiran pejabat. Wah! Tak riang riakah saya? Pekerjaan yang saya minati selama ini dan
angan-angankan sudah ada di hadapan mata.
Saya bekerja sebagai Setiausaha Hal Ehwal Wanita ABIM Kedah, atau nama
singkatannya HELWA, bukan main lagi, jadi setiausaha wei! Kau orang tak bangga? Saya bangga yang amat.
Hari pertama masuk kerja, saya disyaratkan memakai tudung
labuh, jubah, stoking dan sarung tangan. Sudah macam ustazah, orang yang
mengenali saya di kawasan perumahan Jalan Datuk Kumbar tertoleh-toleh memandang
penampilan saya, maklumlah pakai baju kurung pun hanya waktu Hari Raya sahaja,
bila saya berjubah dan bertudung labuh, tentulah mereka hairan. Jangan nak ketawa ya? Tetap cantik dan comel.
ABIM Negeri Kedah terletak di dalam sekolah Ren. Islam
ABIM Alor Setar, macam mana saya dapat bekerja di situ? Ketika itu suami aktif dengan badan NGO
tersebut. Nak ambil saya bekerja pun masuk mesyuarat. Anak sulong pula bersekolah di sekolah rendah
tersebut, faham-faham sahajalah, ada orang dalam.
Biarpun saya minat bekerja di pejabat, boleh menaip dan
menggunakan komputer, tidak bermakna saya pandai buat kerja hal-hal
pejabat. Hari pertama sudah disuruh buat
memo untuk dihantar kepada para guru yang mengajar dan kepada pihak pengurusan
juga. Alahai! Nak buat macam mana? Apa perlu ada dalam memo tersebut. Pening juga kepala, hendak bertanya, terasa
malu, nampak sangat tidak tahu buat kerja.
YDP ABIM Kedah telah memanggil saya dan menerangkan
bidang tugas saya, tugas saya selain membantu pengurusan ABIM Kedah, saya juga
bekerja di bawah Hal Ehwal Wanita ABIM Kedah, menguruskan aktiviti mereka,
membantu buat surat menyurat. Turut
menjadi penyelaras program mereka.
Di ABIM Kedah, perkara pertama yang saya disuruh lakukan
adalah menerbitkan kembali BULETIN mereka yang terhenti sebab tiada siapa yang
urus. Kau rasa? Kenapa saya?
Aduh! Pening kepala! Manalah saya
tahu tentang penerbitan? Nak tulis apa?
Nak buat apa? Alasan YDP ABIM Kedah
ketika itu, kerana saya seorang penulis, tahun 1999 cerpen saya sudah tersiar
di dalam majalah, itu dijadikan alasan oleh majikan saya untuk saya menerbitkan
makalah untuk ABIM Negeri Kedah. Tugas
yang berat buat saya yang langsung tidak berpengalaman. Walaupun saya penulis,
bukan saya yang terbitkan! Mereka tidak tahu agaknya?
Waktu mesyuarat pertama Buletin ABIM Kedah, adalah
mencari nama yang sesuai, akhirnya DEMI MASA menjadi tajuk atau nama bagi
makalah tersebut. DEMI MASA diterbitkan
sebulan dua kali. Saya dan dengan
bantuan suaminya mencari pencetak untuk mencetak makalah tersebut. Saya juga
yang kena cari bahan, cari maklumat aktiviti ABIM seluruh negeri Kedah, saya
yang menaip dan menyusun artikel yang akan disiarkan. Kau rasa?
Minggu pertama, memang hancuslah! Tetapi majikan saya masih
positif. Saya mula membelek majalah,
cari maklumat di internet. Maklumlah orang cepat belajar. Sebulan bekerja dengan NGO tersebut. Saya berbangga dengan kemampuan diri sendiri.
Saya mampu melakukan semua urusan yang diberi dengan sempurna. Setiap arahan dan tugasan yang diarahkan
tiada satupun saya culas atau buat sambil lewa.
Bekerja dengan ABIM Negeri Kedah, banyak mengajar saya
menjadi manusia kreatif dan cepat dan cekap bekerja. Satu arahan, saya boleh
faham 10. Itu kata majikan saya. Senang
berurusan dengan saya. Mudah faham dan mudah bergerak. Kenapa saya jadi macam itu? Entahlah, saya
sendiri tidak tahu. Bekerja dengan ABIM
Kedah, mereka hanya mengarahkan sahaja, yang lain pandai-pandailah kau buat
sendiri. Jadi, sebagai pekerja, saya harus kreatif, inovatif dan berusaha
sendiri. Yang tiada, diadakan, yang
susah, disenangkan.
Sewaktu bekerja dengan ABIM, saya banyak didedahkan
dengan program dan majlis-majlis, macam-macam program dan wacana, betapa
semangatnya saya bekerja dengan badan tersebut dan terbiasa menjawab telefon
dengan ayat…
“Assalamualaikum, Abim Kedah!”
Sampai di rumah pun saya jawab
seperti itu. Teruknya saya!
Bekerja dengan badan NGO, pekerja tidak ramai, tenaga
kerja hanya beberapa kerat yang makan gaji, yang lainnya sukarelawan. Jadi, faham-faham sahajalah jika ada program
besar dijalankan. Saya sebagai pekerja
tetap, semua aktiviti saya jadi AJK, fahamkan?
Orang yang pernah bekerja dengan badan NGO dan sukarelawan pasti
faham. Namun, itu tidak pernah
mematahkan semangat saya untuk bekerja besungguh-sungguh, apatahlah tempat saya
bekerja untuk agama. Setiap program saya
bantu sebaik mungkin, kebetulan saya bekerja tujuh hari seminggu, maklumlah
bekerja untuk dua majikan, HELWA dan
ABIM. HELWA ada programnya sendiri,
begitu juga ABIM, kadang-kadang bekerjasama dalam satu program, kau rasa apa
tugas setiausaha?
Biarpun tidak lama saya bekerja dengan mereka, kerana
suami ditugaskan kembali ke Kuala Lumpur, namun kenangan itu tidak pernah saya
lupakan, dan bagi saya tempat terbaik yang pernah saya bekerja. Majikan yang
baik. Saya menjadi manusia paling
kreatif ketika bersama mereka. Saya
mampu buat apa sahaja, perkara yang saya tidak pernah lakukan pun saya mampu
buat seperti menerbitkan sebuah buletin atau makalah untuk ABIM Negeri Kedah,
mungkin masih tersimpan Buletin DEMI MASA di pejabat ABIM Kedah,
harap-haraplah. Cuma, saya tidak simpan untuk diri sendiri. Setelah saya berhenti, buletin itu hanya
mampu diterbitkan sebulan sekali, dan akhirnya dengar kata diberhentikan terus
sebab tiada siapa yang mampu menguruskannya.
Bekas majikan saya berkata, saya adalah pekerja terbaik yang pernah
bekerja dengan mereka.
Pekerjaan yang terakhir saya adalah bekerja dengan sebuah
rumah anak yatim yang juga ada kena mengena dengan ABIM, Kompleks Kebajikan
Rukaiyah yang terletak di Sg. Merab adalah tempat terakhir saya bekerja. Itupun secara kebetulan seorang kawan beritahu, ada kerja kosong, dan pekerjaan itu
ditawarkan kepada saya jika berminat.
Menjadi penolong pengurus dan pegawai kewangan. Hebat punya jawatan, tetapi saya buat semua
kerja di rumah kebajikan itu, dari tukang cuci sehingga ke pegawai, kau
rasa? Berseronoklah dengan pekerjaan
yang diamanahkan.
Masuk kerja 8.30 pagi, saya akan mengemas seluruh
kawasan, membersihkan kawasan asrama, maklumlah budak-budak yang tidak terajar
untuk membersihkan sendiri kawasan tempat tinggal mereka. Siap semua kerja saya mengemas dan memasak,
jika perlu dua jam. Selepas itu masuk
pejabat pula, uruskan surat menyurat dan kewangan, tulis cek, buat akaun. Aduhai! Saya mana ada pengalaman buat
akaun? Tak pernah belajar pun! Langsung tidak
pernah, tapi bagaimana saya boleh jadi pegawai akaun?
Kalau ikut hati nak cerita, banyak lagi, terlalu banyak,
sepanjang saya bekerja dengan orang,
semua pekerjaan yang tidak pernah saya tahu dan buat, sekolah pun setakat SPM
sahaja, bukan ada diploma atau sebarang sijil kemahiran. Bagaimana saya boleh menguruskan penerbitan
buletin, bagaimana saya boleh menguruskan kewangan sebuah rumah anak yatim yang
duit dalam akauan beratus ribu dengan
jujur dan amanah. Sepanjang saya menguruskan kewangan rumah anak yatim itu,
segala laporan kewangan tersusun kemas, ikut cara saya, janji orang faham dan
saya sendiri faham.
Wei! Duit sentiasa
ada dalam tangan, kalau kau tak kuat, boleh pecah amanah tau! Buku cek pula saya uruskan, setakat nak tipu
bayaran yang dibuat senang sahaja, tapi itu bukan diri saya, saya yakin
ALLAH melihat perbuatan dan hati
saya. Apatah lagi menguruskan kewangan
rumah anak yatim. Dua tahun saya bekerja
di rumah anak yatim tersebut sebelum berhenti dan buka rumah anak yatim
sendiri. Majikan saya menangis dan pengurus saya marah kerana saya
berhenti.
Saya bukan bercerita ingin membangga diri tetapi ingin
memberitahu, bahawasanya jika kita bekerja dengan jujur, bertanggungjawab,
ikhlas ALLAH akan balas dengan kebaikan.
Cuba lihat pekerjaan saya pada awal usia muda saya, saya bekerja di
mana? Pembantu restoran sahaja, sekarang
saya di mana? Saya seorang penulis dan
juga membantu suami menguruskan rumah anak
yatim milik kami sendiri.
Apa yang ingin saya beritahu adalah di mana sahaja kita
berada, dan dengan siapa pun kita bekerja, biarlah bekerja dengan ikhlas, jujur
dan bertanggungjawab, usah berkira tenaga, fahami tugasan yang diberi, buat
sebaik mungkin. Kita buat bukan minta
dipuji, tetapi untuk kepuasan hati, itulah yang saya lakukan. Saya buat semuanya dengan jayanya sebab saya
hendak membuktikan kemampuan diri sendiri.
Biarpun saya tidak berkelulusan tinggi, tetapi saya boleh bekerja dengan
baik dan majikan juga sayang.
Bekerjalah dengan hati, maka hasilnya juga akan lahir
dengan baik dan berjaya. Bukan ada niat
membangga diri tetapi ingin mengajak teman-teman bekerja dengan jujur dan baik
bukan untuk orang lain tetapi untuk kecermelangan diri sendiri. Kepuasan hati sendiri. Bukan untuk mendapat pujian orang, tetapi pujian
dari hati sendiri.
Dan tahulah kenapa suami saya kontrol saya, kalau dia tak kontrol, isteri dia layak jadi YB, kau rasa? saya kuat bekerja dan hanya fikirkan pekerjaan, sejak dia kontrol, malas pula nak buat apa kerja sekalipun, kau rasa? putus asalah sebab suami dah tak sokong. Jangan tiru perangai saya.
Dan tahulah kenapa suami saya kontrol saya, kalau dia tak kontrol, isteri dia layak jadi YB, kau rasa? saya kuat bekerja dan hanya fikirkan pekerjaan, sejak dia kontrol, malas pula nak buat apa kerja sekalipun, kau rasa? putus asalah sebab suami dah tak sokong. Jangan tiru perangai saya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan