Suara
orang bercakap-cakap di ruang tamu rumah Haji Shauki mengamit rasa ingin tahu
Malek, siapakah yang datang, ditambah dengan xsebuah kenderaan yang jarang dilihat beada di laman rumah
kampung setingkat itu. Rumah batu
sepenuhnya, berpagar, bercat warna tanah, dihiasi dengan pelbagai pokok
renek dan bunga di laman rumahnya.
Halaman rumah yang bersih, pasu-pasu bunga tersusun kemas.
Malek membuka mulut ingin memberi
salam, namun terkunci mulutnya ketika mendengar…
Haji Shauki mengetap bibir. Menahan
rasa marah dan sabar bertindih-tindih agar tidak meletup. Kata-kata anak-anaknya begitu mengusik hati
tuanya. Kenapa cetik sangat fikiran
anak-anaknya yang berpelajaran tinggi itu?
Kenapa begitu sekali mereka memandang hina pada sepupu mereka sendiri,
Malek? Ya, Malek dahulu jahat,
perompak,, pencuri dan perogol, tetapi itu dulu, sekarang lelaki itu sudah jauh
berubah, ingin berubah. Apa salahnya
memberi dia peluang? Sedangkan Allah
membuka pintu taubat untuk hamba-hamba-Nya yang mahu pulang ke pangkal jalan,
kenapa kita sebagai manusia tidak terbuka hati untuk menerima mereka yang ingin
kembali menjadi baik?
“Ayah saja nak susahkan diri! Kalau jadi apa-apa di rumah ini, macam
mana? Entah-entah dia sengaja buat baik
sebab nak rompak ayah,” kata Shahir,
anak sulong Haji Shauki. Wajahnya serius
sahaja, dengan raut muka yang tidak ubah seperti wajah Haji Shauki memandang
tajam ke arah ayahnya sendiri.
“Kenapa Shahir cakap macam itu? Malek itukan, sepupu Shahir juga?” tempelak Haji Shauki, kurang senang dengan
kata-kata anak sulongnya itu.
“Sepupu jenis apa macam itu? Penjenayah! Tak sudi saya nak mengaku dia
saudara saya, tak kenal lagi bagus!” marah Shahir. Dia menjeling.
“Shahir!” tempik Hajah Rokiah.
“Mak pun nak bela penjenayah
itu?” tegur Shahir, biarpun suaranya
bernada rendah, tetap berasa sindirannya itu.
Hajah Rokiah menggeleng kepala.
“Allah meletakkan takdir manusia
mengikut kemampuan masing-masing. Jika
dia tersalah langkah, kita bawa dia kembali ke jalan yang benar, kita didik dan
ajar dia perkara yang betul, bukan menghina atau memandang sinis pada dia,” marah Hajah Rokiah.
“Kalau orang biasa makan najis, tak
dapat, hidu pun jadilah!” kata Shahir berfalsafah.
“Ayah kesal dengan kau Shahir! Tak sepatutnya kau cakap seperti itu, dia
anak saudara ayah. Ayah tahu dia jahat,
25 tahun dia dihukum penjara, sudah
mendapat balasan yang sepatutnya diterima, dia kehilangan
segala-galanya, sampailah sekarang.
Kita, mungkin bernasib baik menjadi manusia yang berjaya di dunia, di
akhirat belum tentu. Buruk-buruk dia,
dia tetap hamba Allah, dia tetap diberi peluang untuk bertaubat dan kembali ke
pangkal jalan, siapa kita nak menentukan dia jahat selama-lamanya?” kata Haji
Shauki, matanya redup memandang wajah anak sulongnya yang pandai agama, diberi
pendidikan agama secukupnya. Bakal mendapat gelaran doktor kerana sedang
belajar diperingkat Phd, tetapi kenapa cetek sangat pemikirannya. Adakah kerana terlalu tinggi belajar tentang
teori sehinggakan praktikal kehidupannya tidak sampai ke otak.
“Uh! Ayah memang macam itu, mudah
sangat kasihat dekat orang lain!” Shahir masih tidak berpuas hati.
“Saya tak sukalah si Malek itu
berada di rumah ini, nanti apa pula kata orang-orang kampung? Ayah itu ketua kampung dan seorang imam,
kenalah jaga status dan kedudukan ayah sebagai pemimpin kampung ini!” Shahir memeluk tubuh, dahinya berkerut
menahan rasa benci terhadap sepupunya, Malek.
“Shahir!” tempik Haji Shauki.
“Selagi Malek ada di sini, saya
takkan balik ke rumah ini. Saya tak nak
anak-anak saya berbaik dengan penjenayah seperti dia!” kata Shahir lagi.
Hajah Rokiah menggeleng
kekesalan.
Haji Shauki mengeluh berat.
“Saya ingat nak tidur sini, tak
sangka pula si Malek itu menumpang kat rumah ini,” kata Shahir lagi.
“Saya minta maaf ayah, emak, saya tak mampu nak terima anak saudara ayah
itu. Kalau dia sudah tidak duduk sini
lagi, barulah saya balik,” kata Shahir, lalu bersalaman dengan kedua orang
tuanya. Dia menarik tangan anak-anaknya
yang seramai lima orang itu. Isterinya
yang sedari tadi tidak berkutik hanya mampu memandang dengan wajah kekesalan.
Haji Shauki tidak mampu berkata
apa-apa, hanya membiarkan anak sulongnya itu berlalu pergi. Diluah
mati emak, ditelan mati bakap, apa yang harus dia lakukan. Kedua-dua mereka adalah darah dagingnya
sendiri.
Hajah Rokiah memandang dengan
kehampaan. Dia terus berlalu ke
dapur. Itulah tempat orang perempuan
melepaskan rasa lelah di hati.
Malek yang mendengar setiap butir
bicara sepupunya itu terdiam, tidak berkutik. Hanya memandang sahaja langkah
sepupunya itu berlalu pergi. Dia
mengeluh perlahan. Sudah diduga perkara
seperti itu pasti berlaku. Dia tidak
menyalahkan sepupunya itu. Itulah
dirinya, seorang penjenayah dan banduan.
Dosa lama sentiasa mengekori. Dia
benar-benar serba-salah, apa yang harus dia lakukan? Dia tiak mahu disebabkan dirinya anak beranak
itu bergauh pula.
Malek menarik nafas panjang. Wajah diceriakan seperti tiada apa yang
berlaku. Dia tidak mahu bapa saudaranya
itu tahu yang dia telah mendengar setiap butir bicara anak dan ayah itu. Dia berdehem, memberi salam dan melangkah
masuk ke dalam rumah.
Haji Shauki masih berada di ruang
tamu, termenung jauh.
“Pak su, jauh termenung?” soal Malek, cuba berlagak mesra, sedangkan
hatinya sedang bergejolak hebat.
“Erk… Malek? Bila sampai?” soalan dijawab dengan soalan.
Haji Shauki mengelabah. Otaknya terus berfikir laju, adakah Malek mendengar
kata-kata anaknya tadi? Dia mengeluh. “Baru
saja pak su,” jawab Malek tetap tenang.
Wajah Haji Shauki yang kelihatan
serba salah itu ditatap seketika.
“Tadi nampak kereta Shahir kat
simpang depan tu, dia balik sini ke pak su?” tanya Malek. Wajahnya tetap selamba. Hatinya yang menangis
hiba. Sekali buat jahat, selamanya orang
ingat. Biarpun dosa yang telah dilakukan
sudah diterima balasannya di dunia.
“Ha ah! dia balik sekejap,” jawab Haji Shauki agak tergagap.
“Begini pak su, saya dah dapat bilik
sewa di tempat kerja saya tu, sewa dengan kawan-kawan sekerja, saya harap pak
su tak kisah jika saya keluar dari rumah ini dan duduk bersama mereka,” ujar
Malek. Mana ada bilik? Mana ada kawan?
Dia sendirian hidup terbuang.
“Hish! Takkan nak menyewa dengan
kawan-kawan? Duduk sajalah di sini.” Haji Shauki tidak
membenarkan. Dia mahu Malek berada di
hadapan matanya. Dia mahu memantau anak
saudaranya itu. Adakah Malek mendengar
perbualan dia dan Shahir tadi, sehingga membuat keputusan untuk berpindah?
“Berilah saya peluang untuk
berdikari pak su, saya bukan budak-budak, tahulah saya jaga diri,” pinta Malek
dengan nada perlahan.
“Tapi Malek?” Haji Shauki serba salah.
“Izinkan saya pak su!” rayu Malek.
Haji Shauki menunduk. Jika itu sudah kehendak anak saudaranya itu,
dia akur.
Malek menguntum senyuman. Dia lelaki, tidur di manapun boleh.
Haji Shauki memandang wajah anak
buahnya, dahinya berkerut, benarkah anak saudaranya itu sudah dapat bilik
sewa? Atau dia sudah mendengar segala
kata-kata Shahir tadi. Keluhan terlepas
keluar dari bibirnya. Menahan rasa sendu di hati. Simpati menerja tiba terhadap anak saudaranya
itu. Biarpun sudah kembali ke pangkal jalan, tetapi susah benar masyarakat
hendak menerima kehadiran lelaki itu kembali, terutama keluarga sendiri. Berat
mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Semoga anak buahnya itu kuat dan tidak
sesekali kembali ke jalan yang salah.
Malek bingkas bangun dan menuju ke
biliknya. Dia mengeluh perlahan, terasa
sebak dadanya, ke mana pergi orang tidak suka,
biarpun cuba berlaku baik, namun pandangan mata manusia tidak pernah
lekang dari kisah kehidupannya yang lalu.
Ya Allah! Terlalu besar harga yang perlu aku bayar kembali, keluhnya
sendiri. Dia mencapai beg kanvas yang
tidak sebesar mana, cukup untuk mengisi beberapa helai pakaiannya serta
beberapa barang keperluan lain.
Dia masih tidak tahu harus ke
mana? Mungkin buat sementara mencari
hotel murah untuk bermalam, atau bertanya kepada kawan-kawan di tempat kerjanya
nanti. Kes anaknya juga masih tidak
selesai, masih dalam siasatan polis. Dia
perlu cari dalang yang membuat aniaya kepada anaknya. Wajah bekas isterinya yang memandangnya
dengan kebencian sering bermain di matanya. Bilakah wanita itu akan memaafkan segala
dosa-dosanya?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan