Isnin, 30 Januari 2017

JALAN PULANG - BAB 24



            Malek mendekati rumah banglo tinggal yang sudah lama tidak berpenghuni itu. Semak samun memenuhi kawasan banglo dua tingkat yang terletak di hujung Kampung Seberang itu.  Dia mendengus kasar.  Melihat keadaan rumah itu, seperti sudah lama ditinggalkan.  Adakah selepas dia dan kawan-kawannya melakukan rompakan dan… Malek menunduk malu untuk menyebut perkataan yang telah mengheretnya ke dalam penjara selama 25 tahun itu.
            Sesungguhnya kehidupan masa mudanya begitu menjijikkan.  Dia membuka pintu pagar besi yang sudah berkarat it. Jalan yang bertal cantik itu sudah pun pecah-pecah, bumbung atap genting juga sudah retak dan ada yang sudah tiada.  Dinding pula berlumut, rumput tumbuh panjang hampir sama tinggi dengannya.  Pokok daun kapal terbang tumbuh melata di setiap penjuru sudut rumah itu, menjalar dengan kasar sehingga meninggalkan ruang yang sedikit sahaja di bahagian dinding.
            Ke mana Tuan Harun pergi? Anak gadis Tuan Harun yang telah dirosakkan itu, di mana dia berada sekarang?  Kalau boleh dia ingin melutut dan bersujud kepada keluarga Tuan Harun, memohon ampun dan maaf, terlalu besar dosa yang telah dilakukannya.  Tidak tertanggung dek dosa yang besar itu.  Dosanya kepada Allah, hanya Allah yang akan mengampunkannya, bagaimana dengan dosanya sesama manusia? Apatah lagi Tuan Harun, kali terakhir mereka bertemu adalah sewaktu perbicaraan kesnya, Tuan Harun dan anak gadisnya menjadi saksi pendakwaraya.  
            “Encik! Encik buat apa di sini?” sapa seseorang.
            Malek menoleh, seorang gadis muda, mungkin sebaya Zakuan berdiri memandangnya dengan kehairanan.
            “Maaf, saja lihat-lihat,” jawab Malek.
            “Anak siapa?” tanya Malek.
            “Saya cucu Tuan punya rumah ini,”  jawab gadis itu lembut.
             Wajahnya! Saling tak tumpah seperti wajah anak gadis Tuan Harun. Malek mendekati gadis tersebut.
            “Setahu saya, Tuan Harun hanya ada seorang anak,” ujar Malek.
            “Ya, dia emak saya,” jawab gadis itu perlahan.
            “Oh, di mana Tuan Harun dan keluarganya sekarang?” tanya Malek.  Dia masih mengamati wajah gadis itu. Cantik dan manis, persis emaknya.
            “Datuk dah lama meninggal, selepas emak melahirkan saya, saya tinggal dengan nenek, tapi nenek baru sahaja meninggal bulan lepas,” jawab gadis itu, ada nada sendu dalam kata-katanya.
            “Innalillahi…”ucap Malek.  Dia mengurut dada.  Tidak sempat dia meminta ampun dan maaf. Allah! Nampaknya dia terpaksa bertemu mereka di akhirat nanti, entahkan di syurga atau neraka nasib dirinya.  Malek menunduk.
            “Pak cik ni siapa? Buat apa di sini?” tanya gadis itu.
            “Pak cik orang kampung sini juga.  Waktu sedang berjalan-jalan, ternampak rumah terbiar ini, itu yang singgah.” Sengaja mereka cerita.
            “Bermakna anak  gadis Tuan Harun berkahwin jugalah ya?”  soal Malek.
            Gadis itu menunduk seketika, kemudian menggeleng perlahan. Wajahnya yang tenang bertukar muram.  Dia menarik nafas panjang dan melepaskannya perlahan-lahan.
            “Emak tidak pernah berkahwin,” jawab gadis itu tersangkut-sangkut.
            “Kalau tidak pernah berkahwin? Anak ini…” Malek terkedu. Dia memandang wajah gadis itu.
            “Panjang ceritanya pak cik. Maaflah, saya telah membuka pekung di dada keluarga saya.”  Gadis itu menyeka air mata yang mula menitis di pipinya. 
            Malek terdiam seketika, otaknya ligat berfikir.  Apakah? Ah! tidak mungkin! Takkanlah?  Ah! Apa yang telah dia lakukan?
            “Emak anak di mana?” tanya Malek, ingin benar dia bertemu dengan gadis yang telah diperkosanya dahulu.
            “Emak?” gadis itu diam seketika.
            “Ya, emak anak,” kata Malek. Hatinya melonjak-lonjak ingin tahu.
            “Emak ada di Hospital Mental di Tanjung Rambutan.  Baru kelmarin masuk semula, entah apa yang mengganggunya, baru keluar beberapa bulan yang lalu, dah masuk semula. Sejak saya dikandungkan, sampailah sekarang, asyik keluar masuk rumah sakit jiwa sahaja,” cerita gadis itu tanpa ada rasa syak wasangka terhadap Malek.
            “Ya Allah!” Malek berasa sebak.
            “Mak anak jadi gila? Kenapa?”
            “Menurut cerita nenek, rumah mereka pernah dirompak, habis segala duit dan barang kemas diambil, emak pula, waktu itu masih dara sunti, dirogol oleh salah seorang perompak sehingga mengandung. Mak malu, tidak mahu pergi sekolah, tidak mahu keluar rumah, menangis sahaja setiap hari, datuk bawa emak berubat merata tempat, namun tetap tidak mahu sembuh.  Menurut doktor yang merawat emak, jiwa emak tertekan dan fobia, tidak mampu melupakan peristiwa tersebut. Sakit emak bertambah teruk apabila mendapati dirinya mengandung. 
            Datuk dapat tahu emak  mengandung pun agak lewat, doktor tidak mahu menggugurkan kandungan emak, sehinggalah saya lahir.  Saya dilahirkan di wad gila, emak diikat sepanjang mengandungkan saya, jika dia dilepaskan, dia akan menumbuk-numbuk perutnya seperti mahu membunuh bayi di dalam kandunganya.  Akhirnya, saya dilahirkan juga, emak tak nak saya. Nenek ambil jaga saya, datuk meninggal sebaik sahaja saya dilahirkan,” cerita gadis itu, setitis air mata pun tidak lagi mengalir di pipinya.  Dia hanya tersenyum sekali sekala sepanjang waktu dia bercerita.
            Allah! Menjerit-jerit  perasaan kesal di hati Malek.  Rasa seperti jantungnya ditoreh-toreh dengan kasar sewaktu mendengar cerita gadis itu.  Gadis manis yang berdiri di hadapannya itu adalah benih yang ditaburkan dengan paksa kepada gadis yang tidak berdosa itu.  Dia cuba berpaut di pagar, terasa lemak lutuhnya.  Terasa hendak menjerit memohon ampun dan maaf kepada gadis yang tidak berdosa itu.  Lahir tanpa ayah, emak pula gila, datuk meninggal dan sekarang tinggal dengan neneknya.
            Malek cuba berwajah tenang, sedangkan fikirannya berserabut dengan dosa semalam.
            “Anak tak rasa kesal dengan apa yang berlaku?  Anak tak nak jumpa lelaki yang telah merosakkan emak anak?” uji Malek.  Air mata sudah merembas keluar dari hatinya.  Torehan pisau tajam daripada cerita gadis itu sedang menghiris jantungnya.
            Gadis itu memandang wajah Malek, dia tersenyum sinis.
            “Pak cikkah orangnya?” tanya gadis itu.
            Pucat muka Malek.  Dia terkedu seketika.  Dia cuba tersenyum, tapi tawar.
            “Takkan pak cik, kan?  Pak cik nampak seperti orang baik-baik. Biarlah pak cik.  Saya takkan simpan dendam, kata ustaz tempat saya belajar, dendam itu adalah milik syaitan. Orang yang berdendam akan masuk neraka.  Biarlah, mungkin sudah takdir saya dilahirkan dalam keadaan begini.  Saya terima, mesti ada hikmahnya,” kata gadis itu lembut. Tudung labur yang kemas di kepalanya sekali-sekala menari-nari ditiup angin. Jubah yang dipakai agak besar menutup keseluruhan susuk tubuhnya. 
            Allah! Hanya itu sahaja perkataan yang mengalir keluar dari mulut Malek.  Baiknya hati gadis itu. 
            “Kenapa tidak tinggal di rumah ini, dan dibiarkan terbiar sahaja?” tanya Malek.
            “Nenek tidak mahu tinggal di sini, saya datang ini sebab nak letak papan tanda, untuk dijual, sudah tiba masanya kenangan perit ini dikuburkan terus,” kata gadis itu lagi. Matanya menerawang memerhatikan rumah banglo itu. 
            Malek turut memerhati.  Sesekali matanya mengamati wajah gadis itu.  Langsung tidak seperti wajahnya, lebih persis wajah gadis yang telah diperkosanya itu. Ya, Allah! Gadis ini adalah darah dagingnya sendiri, biarpun bukan anak yang sah, tetapi dia yang bersalah.  Malek menelan air liur sendiri terasa pahit di tekaknya.  Dosa yang dilakukan terus subur tumbuhnya.  Apa yang harus dia lakukan? 
            Anak gadis itu pula, sopan dan kelihatan baik orangnya.  Kalaulah dia tidak bersikap rakus pada malam kejadian rompakan itu, sudah pasti anak itu tidak akan lahir dan terpaksa menanggung malu seumur hidupnya, serta anak Tuan Harun tidak akan menjadi gila sehingga ke hari ini.  Dia telah memusnahkan banyak hati dan jiwa orang lain.
            “Saya minta diri dulu pak cik, semoga kita jumpa lagi!’ ujar gadis itu sebelum berlalu dengan keretanya. 
            Malek hanya menunduk hormat, terkuncinya lidahnya untuk memberitahu anak gadis itu bahawa dialah manusia yang telah merosakkan emak anak gadis itu dan dialah ayah kandung anak gadis itu. Malu! Dia benar-benar malu!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan