Kadang-kadang saya
rindukan suasana di zaman 70 an – 90 an, waktu itu negara tidak pesat membangun
seperti hari ini. Bangunan tinggi tidak sebanyak sekarang ini. Saya membesar di Jalan Bangsar, cuba lihat
sekarang ini, apa yang ada? Allah hai! Bangunan pencakar langit, tinggi
melaung. Perit mata melihatnya, setiap
inci tanah yang ada, habis diterokainya.
Nampak sangat ketamakan manusia ada di situ. Bangsar dikira pinggir bandar, begitu juga
tempat saya bersekolah dan belajar di Kampung Kerinchi, Allah! Tak terucap dengan kata-kata. Habis semua kampung Melayu, yang tinggal
hanya kenangan di hati kami penduduk asal di situ.
Begitu juga dengan sikap masyarakat waktu zaman itu,
penuh dengan adab dan sopan, biarpun ada yang kasar, bergaduh, mengumpat,
mengata sampai tak ingat nak mati, namun tetap boleh hidup harmoni, kalau ada
masalah tetap datang membantu. Keluarga
arwah abah saya penduduk asal di Bangsar itu, biarpun ada kampung sebelah,
Kampung Haji Abdullah Hukum tetapi kampung tempat arwah abah tinggal adalah
kampung yang dihuni oleh arwah datok saya sejak dia muda. Nama kampung saya, Kampung Paya bersebelahan
dan berjiran dengan Kampung Haji Abdullah Hukum, ramai penduduk asalnya tinggal
di flat Sri Putra sekarang ini. Di
situlah jiran tetangga, sedara mara dan juga rakan sepermainan dan rakan
sekolah saya tinggal. Sesekali ada kenduri kendara, pergilah juga bertemu
mereka. Kalau berjumpa riuh rendah
jadinya. Malah mereka berbangga kerana ada juga anak jati kampung itu jadi
penulis.
Saya masih boleh membayangkan kawasan rumah serta
kedudukan rumah saya di kawasan tersebut, biarpun tidak ada sekeping gambar pun
untuk diabadikan kepada anak cucu saya, namun tetap tersemat kukuh di
sanubari. Kalau hendak ke kawasan
kampung saya kena seberang rel keretapi, kadangkala terpaksa panjat gerabak
keretapi kerana ia parkir melintang jalan tempat kami berulang alik menuju ke
Kampung Paya.
Kerajaan tidak pernah mahu menaikkan taraf kampung
tersebut sebagai kampung Melayu, selama berpuluh tahun, tetap kekal sebagai
kampung setinggan, sehinggalah ia dirobohkan pada tahun 1984. Tinggalkan Kampung Paya sebagai sejarah dalam
hidup kami. Duduk di kawasan kampung, seluruh penduduk seperti sebuah keluarga,
saling tegur menegur anak-anak kampung yang buat atau main yang bukan-bukan.
“Atan! Kau main apa tu? Nanti mak cik bagitahu ayah kau!”
Ayat yang akan selalu kami jumpa. Jadi, kami tidak berani
buat bukan-bukan dan main bukan-bukan.
Anak-anak orang lain yang tinggal di kampung itu akan dijaga dengan
baik, diperhatikan, diberi nasihat jika buat jahat, ditegur, dihalau balik jika
sudah mendekati senja. Tiada siapa yang
akan marah, jika anak mereka kena marah, tiada siapa akan bermasam muka jika
anak-anak mereka ditegur buat sesuatu yang sumbang, kerana anak-anak orang juga
anak-anak mereka, anak-anak kampung itu.
Hari ini, tidak lagi, ayat yang akan kita selalu jumpa;
“Bang, anak jiran sebelah kita tukan…” cerita si isteri.
“Jangan masuk campur hal orang, biarkan! Nanti disembur oleh jiran kita tu, baru awak
tahu! Jaga sahaja anak kita sendiri, anak orang biar lantak nak jadi apa,” kata
suami.
Inilah ayat yang akan kita jumpa. Kita tidak lagi ada jiwa saksama, kita sudah
hilang perasaan berkasih sayang antara kita, mahu jaga menjagai sesama kita.
Mahu melihat elok dan baik sesama kita.
Anak orang, tetap anak orang, betul!
Tetapi jika salah, kenapa kita tidak boleh menegur? Kadangkala, ada jiran tetangga yang ingin
menegur tetapi sesetengah sikap orang kita akan keluar ayat ini;
“Tak payah jaga tepi kain kami, anak kami, tahulah kami
nak ajar! Awak tu jaga anak sendiri!”
Hati kita sudah tidak lagi mampu bersatu, kita jauh
daripada rasa cinta sesama kita. Kita
berasa kita pandai, boleh hidup sendiri, tidak memerlukan orang lain. Kalau dahulu, ada emak dan ayah pergi kerja,
jiran tetangga sahaja yang menengok-nengokkan, tak perlu upah, tak perlu risau
jika ke mana-mana, ada sahaja mata jiran tetangga yang memerhati anak-anak
kita.
Ya, zaman telah berubah, angin perubahan yang dikatakan
moden, maju dan membangun, sehingga sikap kita juga menjadi seperti bangunan
tinggi yang tersergam memacak di bumi, berdiri megah menghadap langit, keras,
kasar dan tidak ada jiwa. Mungkin hati
kita juga sama naik kerasnya seperti
bangunan tinggi yang ada.
Cuba fikir sejenak, tarik nafas, dan kenangkan zaman
kanak-kanak kita. Apa yang sering orang
tua kita ingatkan, tegur, ajar dan didik.
Bukankah mereka mengajar kita pendidikan adab dan akhlak? Cara berjalan di hadapan orang tua, cara bercakap, cara meminta
sesuatu. Cara masuk tandas, cara keluar tandas. Makan, minum. Pernah tak kita dengar bidalan orang tua-tua
dahulu, jangan makan tangan kiri, jangan makan sambil berdiri, jangan duduk
atas bantal, jangan meniarap, jangan makan sambil bercakap. Banyak lagi yang
tidak mungkin mampu saya senaraikan.
Itulah adab sebenarnya.
Cuma, kita tak ambil berat, kita ambil ringan. Lama-lama terus padam dalam ingatan. Anak-anak kita pula, tidak kita ajar semua
itu. Bagi kita semua itu hanya momokan
orang tua-tua dahulu, sudah tidak penting lagi.
Tidak ada kelas, tidak berguna, orang tua-tua dulu mana ada
sekolah. Maka, hilanglah adab ditelan
zaman, lahirlah generasi zaman sekarang yang sudah tidak lagi beradab. Lihatlah sekeliling kita, lihatlah anak-anak
kita, anak jiran-jiran kita, anak-anak murid kita, bagaimana sikap mereka? Bagaimana adab mereka? Akhlak mereka?
Ibu dan ayah yang baik akan mengajar adab dan akhlak
kepada anak-anak mereka di RUMAH, bukan menyerahkannya ke sekolah dan
membiarkan guru-guru yang ajar. Segalanya
bermula di rumah. Rumah adalah tempat
pendidikan yang paling baik dalam menentukan halatuju generasi di masa
hadapan.
Jika seorang ketua keluarga sendiri tidak mampu mendidik
dirinya menjadi manusia yang beragama, berilmu dan beradab, jangan mimpi kita
mampu melahirkan generasi yang tinggi nilai-nilai murni. Kita pula, semakin tinggi ilmu, semakin
bijak, kaya, ada duit dan kedudukan, semakin sombong dan ego, pantang anak-anak
kita didenda, ditegur oleh pihak sekolah, mulalah melenting, marah-marah, buat
surat layang, masuk dalam FB, masuk dalam berita, saman pihak sekolah, saman
cikgu. Kita Viralkan semua perkara. Kita
robek maruah bangsa sendiri terang-terangan.
Allah! Sebelum DAJJAL sebenar lahir, kita sendiri telah
bawa DAJJAL mata satu itu ke dalam rumah.
Teknologi adalah kehendak dan ilmu daripada Ilahi, kita anggap yang datang dari barat itu adalah
yang terbaik, canggih, bagus, moden, kita lupa dan mungkin tidak tahu, mereka
ambil semua ilmu itu dari AL QURAN NUR KARIM… bacalah terjemahan, lihatlah,
bagaimana ayat-ayat al-Quran menyebarkan ilmunya kepada alam, kepada
manusia. Orang-orang Yahudi, barat sudah
tahu kelemahan kita, Allah swt juga ada
mengingatkan tindak tanduk mereka. Tapi,
kita terus memejamkan mata, dan mengatakan apa yang ada di dalam Al-Quran
adalah ketinggalan zaman. Padahal, orang-orang Yahudi terlebih bijak daripada
kita, ambil semuanya dan sajikan kepada kita ilmu yang bercanggah daripada
al-Quran, sedihkan?
Segalanya atas izin Allah jua. Biar sebiji batu yang bertaburan di jalan
raya pasti Allah tahu, sehelai daun yang kering menyembah bumi, atas kehendak
Allah juga. Kenapa kita selalu
beranggapan, hidup beragama adalah hidup ketinggalan zaman, satu yang haram,
Allah beri banyak lagi yang dibolehkan.
Satu yang haram, Allah sajikan yang lebih banyak yang dibolehkan.
Kalau ikut agama, tidak boleh berpakaian seksi? Boleh, pakailah di rumah, ketika bersama suami, nak pakai baju jarang sampai
nampak kulit pun boleh, siapa kata tidak boleh, tetapi hanya untuk SUAMI. Nak
bersolek? Boleh, pakailah apa sahaja di
rumah, semuanya dibolehkan, nak melawa macam artis pun boleh, asalkan kita tahu
untuk siapa dan untuk apa.
Islam juga tidak melarang kita kaum Hawa menuntut ilmu,
pergilah belajar di mana sahaja, asalkan terjaga diri kita, terjaga maruah dan
harga diri, bukan telanjangkan diri menjadi santapan kaum Adam yang sudah tentu
lemah imannya. Jika saling jaga
menjagai, lelaki menjaga auratnya, perempuan juga menjaga auratnya. Lelaki
Islam menjaga perempuan Islam kerana agamanya, sudah tentu aman damai dan tidak
ada lagi lahirnya anak luar nikah di luar sana.
Kalau sudah tahu SYAITAN itu musuh kita, kenapa masih
hendak mengikutinya? Kalau sudah tahu
iman kita itu rapuh, kenapa tidak meminta kepada Allah swt
memperkukuhkannya? Kalau sudah tahu
tidak berilmu, kenapa tidak belajar sahaja? Bukan niat ingin menunjuk pandai,
jauh sekali ingin mengajar, bukankah tanggungjawab kita di muka bumi Allah ini
menjadi khalifah, saling ingat mengingati, takut terlupa, saling tegur menegur
takut kita alpa. Maaf jika ada yang
tersinggung, niat hati saya baik, demi Allah, demi kasih sayang Rasulullah saw,
tiada daya dan upaya saya mengubah hati-hati teman-teman semua, kecuali Allah
swt.
Kembalilah kepada agama Islam yang suci, yang murni,
ajarilah anak-anak kita agama yang mereka anuti, ajarlah adab dan akhlak kepada
anak-anak kita, mudahkan kerja guru-guru di sekolah, semoga anak-anak kita
menjadi generasi yang diharapkan oleh Rasulullah saw. Wallahu’alam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan