Saya menetap di Kedah selama lapan
tahun. Sewaktu hari pertama pindah ke sana, saya menangis mendayu-dayu,
maklumlah tinggal di tempat kita tiada saudara mara, kecuali suami yang ada
keluarganya di Perlis dan saudara mara di Kedah. Saya terpaksa berjauhan dengan kedua orang tua, ketika itu anak saya baru
seorang.
Sebelum berpindah, kami bertanya dengan ramai orang tentang sekolah anak dahulu, niat di hati hendak hantar sekolah agama. Syukur, ustazah yang mengajarnya mengaji, telah rujuk kepada kawan-kawannya, dan memberitahu tempat sekian-sekian ada sebuah sekolah agama rendah.
Sebelum berpindah, kami bertanya dengan ramai orang tentang sekolah anak dahulu, niat di hati hendak hantar sekolah agama. Syukur, ustazah yang mengajarnya mengaji, telah rujuk kepada kawan-kawannya, dan memberitahu tempat sekian-sekian ada sebuah sekolah agama rendah.
Tempat kerja suami pula di Bandar Alor Setar, ketika itu
suami bekerja dengan Amanah Saham Nasional Berhad di Alor Setar, jadi… rumah
atau tempat tinggal kami tentulah tidak boleh jauh dari kawasan tempat kerja.
Manalah nak cari? Maka, kami memiinta pertolongan
kawan-kawan sekerja suami, dan Jalan Datuk Kumbar dicadangkan tempat sesuai untuk kami menetap, kebetulan ada sebuah
sekolah rendah Islam di situ. Cantiklah!
Sesuai sangat. Suami ambil cuti beberapa hari, dan kami
pulang ke kampungnya dengan menyewa sebuah kereta, waktu itu kami belum ada kenderaan sendiri. Terpaksalah keluar duit untuk menyewa kereta
bagi memudahkan pencarian rumah itu nanti.
Kami mula mencari di kawasan Jalan Datok Kumbar, ada sebuah
sekolah rendah Islam di kawasan itu, Sekolah Rendah Islam Alor Setar dibawah
kelolaan ABIM. Di situlah anak sulong
saya bersekolah sehingga habis darjah 6.
Kami pula tinggal di sebuah taman baharu buka, Taman Derga Jaya, lapan tahun saya berkampung
di situ. Dari sewa sehinggalah beli
sendiri, rumah teres kos rendah, tiga bilik dengan harga RM27k, murah
sangat-sangat, dalam tahun 1994, kalau tak salah. Waktu itu anak sulong baru berusia enam
tahun. Beli atas tangan tuan tanah yang
tanahnya diambil oleh pemaju, dia dapat 10 pintu, sebahagiannya dijual kepada
orang lain, buat apa simpan banyak-banyak, kan?
Sebelum membeli rumah sendiri kami menyewa di taman itu hampir dua tahun kalau tak
salah, lot tepi, kawasan tepinya luas, boleh buat sebiji lagi rumah, dekat
dengan tangki air besar. Jiran sebelah rumah, suaminya asal orang Melaka,
tetapi sudah lama berkhidmat di Alor Setar dan berkahwin buat kali kedua
setelah kematian isteri dengan orang Kedah juga, beli rumah di situ, maka terus
menetap di Alor Setar. Baik orangnya,
merekalah suami isteri jiran yang kami kenal setelah pindah ke sana. Hari pertama pindah, barang-barang tak
banyak, banyak juga yang ditinggalkan kepada adik ipar yang menetap di rumah
sewa kami di KL, kami bawa yang perlu sahaja, yang lain, beli semula seperti
dapur, rak pinggan mangkuk dan almari dapur.
Pak Taib dan Kak Azizah, nama jiran kami itu.
Pagi-pagi lagi, mereka sudah ajak kami ke pasar sari
untuk cari barang-barang dapur, Allahu Akbar! Nikmatnya tinggal merantau apabila
dikurniakan jiran yang baik sangat.
Waktu saya mengandungkan anak kedua, kedua suami isteri inilah yang
bersusah payah menghantar lauk sekali sekala, maklumlah saya mabuk teruk, waktu
dalam pantang, merekalah sibuk mencari daun-daun ubat untuk buat mandi dan
mencari tukang urut untuk mengurut saya.
Jasa mereka tidak pernah kami lupa, kalau balik ke Kedah, pasti singgah
rumah mereka jika berkesempatan.
Hidup di tempat orang, jangan sombong diri, ikut rentak
masyarakat sekeliling, selagi tidak menyalahi kehendak agama. Sikap ramah tamah saya memudahkan saya
bergaul dengan penduduk di kawasan taman tersebut. Selama lapan tahun saya tinggal di situ, saya
ada keluarga angkat, kawan baik, sahabat andai, rakan sekerja yang jika
berkesempatan saya akan kunjungi dan lawati.
Orang utara ramah, mudah didekati, mudah tersenyum,
pertama kali ke bandar Alor Setar, kami tiada kereta, tiada motosikal, maka,
terpaksalah naik bas, setiap kali terjumpa atau mereka terpandang saya, pasti
senyuman akan mereka lakarkan. Sampai saya beritahu suami, orang utara memang
suka senyum ya? Murah dengan senyuman.
Bila berjauhan dengan keluarga, jiran tetanggalah yang
menjadi saudara mara. Begitulah yang saya
rasa. Dari kawasan taman yang sunyi, hanya ada beberapa buah rumah, sampai
semuanya penuh diduduki. Saya cuba
menyesuaikan diri dengan gaya bahasa dan budaya masyarakat setempat, masakan
dan menu yang berbeza dari tempat asal saya.
Nasib baiklah tekak saya ni, mudah terima apa sahaja, untungnya jadi
anak KL ni, bedal apa sahaja. Kebetulan
kahwin dengan orang utara, tidak susah untuk saya menguasai bahasa loghat
sana. Kalau bercakap utara, rasanya
suami saya kalah. Sampaikan jiran di Kuala Lumpur ingat, saya ni orang utara,
suami orang KL.
Kami beli rumah di kawasan itu, setelah melahirkan anak
kedua, rezeki anak kedua. Selang sebuah rumah di kiri rumah kami, ada seorang
jiran, sepasang suami isteri dan dua orang anak lelaki, seorang down syndrome,
tapi kacak wajahnya, lasak jangan cakaplah, terpaksa emaknya kendong sepanjang
masa, kalau dia dilepaskan, merata dia pergi.
Saya ingin ceritakan tentang kawan saya Siti Mariam,
itulah namanya, kami, jiran tetangga panggil Siti sahaja, dia dua tahun tua
daripada saya. Orangnya tinggi,
kurus. Di lorong taman tempat saya tinggal,
ada beberapa lagi jiran selorong yang lain, ada yang dari Johor, dan
Penang. Yang ramai berasal dari Kedah.
Kebanyakkan surirumah tangga, waktu itu saya belum lagi bekerja, maklumlah anak
masih kecil.
Mula-mula berkenalan, sembang biasa-biasa sahaja, masuk
tahun kedua, sudah lain jadinya. Pagi-pagi lagi kami sudah berkumpul, setelah
suami masing-masing pergi kerja, anak-anak pergi sekolah. Apa lagi, berkelahlah kami awal pagi, buka
tikar di hadapan anjung rumah, tengoklah giliran rumah siapa. Kadang-kadang di kawasan rumah saya. Tidak kiralah masak apapun, selalunya
perancangan dibuat sehari sebelum perkelahan bermula sudah ditetapkan menu apa
yang hendak dimasak.
Jangan ceritalah keseronokkannya, makan sedia, siang
malam, kadangkala, dengan suami-suami sekali. Hidup berjiran, tidak boleh
terlalu cerewet. Siti Mariam adalah
jiran yang paling rapat dengan saya. Apa
sahaja cerita tentang saya, saya akan cerita kepadanya, sehinggalah satu hari,
ada seorang kawan, bercerita kepada saya tentang Siti Mariam yang menceritakan
semula, apa yang saya ceritakan kepadanya.
Wah! Angin satu badan! Pantang
saya orang bermuka talam ni! Saya takkan
bertanya, saya takkan menyerang atau marah-marah, tindakan saya adalah MEMBISU,
langsung tak bercakap dengan dia, kalau kami berkumpul seperti biasapun, saya
takkan bercakap dengan dia, hampir seminggu, akhirnya…
“Mah, hang marah kat akukah?” tanya dia.
Saya tengok muka dia, saya pandang dia lama.
“Hang ingat aku tak tau, hang cakap pasai aku kat Pah!
Hang memang mulut cabui!” kata saya marah, benar-benar marah! Saya anggap dia
seorang sahabat, kawan paling rapat, tiba-tiba tikam saya dari belakang! Takkah
sakit hati jadinya. Rasa nak bunuh dia
waktu itu juga.
“Ala, aku minta maaflah! Aku bukan sengaja, kau taulah
mulut aku, selalu terlepas cakap!” katanya memohon maaf.
Rupanya, dia tak boleh tak berkawan dengan saya. Nak tergelak pun ada waktu dia merayu supaya
saya berkawan dengan dia semula. Yalah,
orang sudah minta maaf, takkan kita tak nak maafkan, betul tak? Akhirnya kami
berbaik semula. Tetapi ada syarat;
“Hang cakap pasai aku kat sesiapa lagi! Putus teghui!”
kata saya dengan nada tegas dan keras.
“Baik! Baik! Aku janji!” jawab Siti Mariam sambil mengangkat
kedua belah tangannya.
Sejak itu saya dan dia menjadi seperti saudara, dia
banyak bantu saya menjaga anak kedua saya itu yang rajin merantau bermain di
rumahnya. Siti Mariam yang saya kenali,
adalah seorang yang baik hati, tidak pandai keluarkan perkataan ‘TIDAK’ kalau
ada yang meminta tolong daripadanya.
Mintalah nak pinjam apa sahaja, baik duit, atau
motosikalnya. Dia akan beri dengan
senang hati, tidak pernah merunggut membantu orang lain, dia akan ke sana ke
sini dengan motosikalnya. Kawan-kawan di
taman itu akan minta pertolongan dia kalau nak beli apa-apa barang di Pekan
Jalan Datok Kumbar, dia dengan senang hati menerima dan melakukannya. Setelah
anak kedua saya berusia lima tahun, saya
bekerja, Siti Mariamlah yang mengasuh, upah yang saya beri hanya RM70 sahaja,
anak saya akan berada di rumahnya dari pukul 8.30 sampailah pukul 5.00 petang
jika saya tiada urusan lain.
Kalau anak saya bersekolah, dialah yang akan ambil di
pejabat setelah saya bawa anak saya ke pejabat tempat saya bekerja. Dia melayan
anak saya, seperti anaknya sendiri, makanan memang saya sudah siapkan, duit
belanja harian juga saya beri, kot-kotlah anak saya nak makan apa-apa.
Dia pula mudah ditegur jika buat salah, mudah diajar,
mudah diingatkan jangan buat yang bukan-bukan.
Itulah sahabat, namun… dalam baik-baik kami, dia segan untuk bercerita
kepada saya, tentang suaminya yang sudah bernikah lagi. Dia hanya mengadu dengan orang lain, dia malu
dengan saya. Apabila saya mendapat tahu,
memang pedih telingalah dia mendengar bebelan saya. Ambil kau! Siapa suruh rahsiakan? Tapi, saya sayang dia. Sayang kerana sikap
baik dan kejujurannya terhadap saya. Terlalu banyak kebaikan yang dia lakukan
kepada saya sepanjang saya mengenali dia.
Jasanya tidak akan saya lupakan sampai bila-bila.
Bagi saya, tiada insan sebaik Siti Mariam yang saya
kenali, apabila memikirkan dia, saya
akan teringatkan kawan saya di Puchong Permai, Ani namanya, perangai mereka lebih kurang sahaja. Saya pernah ingatkan dia, agar buat
pemeriksaan pap smear, sebab kita sudah berkahwin dan melahirkan. Dia menolak dengan pelbagai alasan. Kali terakhir saya bertemu dengannya setelah
saya berpindah semula ke Kuala Lumpur adalah ketika hari pertunangan anak
sulong saya dengan orang Kedah, dia disahkan kanser pangkal rahim tahap 4. Waktu itu dia berasa sudah pulih
sepenuhnya. Dia berjanji akan turut sama
waktu anak saya bernikah nanti.
“Mah, kalau aku dengar cakap hang, tentu aku tahu lebih
awal, aku menghidap kanser,” katanya kepada saya.
Gara-gara saya suruh dia buat pap smear setiap tahun, dia
tak nak.
“Itulah hang, degil, keras hati, pemalas!” jawab
saya. Dia terima sahaja cakap-cakap
saya, itu sebab saya suka sangat berkawan dengannya. Hatinya yang baik,
menerima sahaja kawannya yang mulut macam petir ini. Namun, saya akur, itu semua ketentuan Ilahi,
dia tidak tahu saya menangis dalam hati apabila dikhabarkan tentang
penyakitnya, saya pura-pura kuat, agar hatinya tidak goyah. Setiap kali teringatkan arwah, pasti air mata
saya akan mengalir. Betapa istimewanya arwah kepada saya.
“Hang jangan lupa jemput aku waktu kenduri anak hang
nanti ya,” pesannya sebelum saya bertolak balik ke Kuala Lumpur.
Hari kenduri semakin dekat, tidak henti-henti saya
menelefon dia, puas mendial nombor yang diberi, satu pun panggilan saya
tidak berjawab. Sehinggalah majlis selesai. Dia tetap tidak
menjawab atau membalas panggilan
saya. Kecil hati usah cakaplah, marahpun
ada, hari itu dia yang beria-ia nak sangat saya jemput dia. Alih-alih tak dapat
dihubungi.
Sebulan selepas kenduri, saya menerima panggilan daripada
kakak angkat saya, mengatakan Siti Mariam telah kembali ke rahmatullah akibat
kanser pangkal rahimnya yang dihadapi telah menyerang ke bahagian lain
tubuhnya. Allah! Sewaktu kenduri anak saya
itu, dia terlantar sakit. Tiada siapa
yang memberitahu saya, kalau tidak sudah pasti saya menziarahinya. Sepanjang malam saya menangis, mengenangkan
insan sebaiknya yang pergi dahulu. Semoga
arwah ditempatkan bersama-sama orang yang beriman, diterima segala kebaikan
yang pernah dicurahkan kepada jiran setaman dan kemulian hatinya yang tidak
pernah berdendam dengan sesiapa.
Itulah nilai seorang sahabat, boleh ditegur, boleh
bergurau kasar, tidak ambil hati, bertolak ansur, ringan membantu, sayang
kerana Allah. Bukan atas dasar mementingkan diri sendiri. Jangan sesekali
menikam dari belakang orang yang menganggap kita sahabat mereka. Jangan sesekali membuka aib orang yang pernah
bercerita tentang kehidupan peribadinya kepada kita. Jangan khianati hubungan
baik kita dengan orang yang menganggap kita sahabat. Biarpun tidak berkawan
dengan orang yang tiba-tiba menjadi musuh kita, usahlah buka cerita tentang
dirinya. Kalau sudah tidak berkawan, tak
apalah, simpanlah rahsia kawan kita itu diam-diam di hati. Usah pula kita baik
sangat nak cerita kat orang. Jadilah
sahabat yang setia sehingga ke mati. Jika kita dikurniakan seorang sahabat yang
sanggup berkongsi apa sahaja dengan kita, hargailah dia. Kerana kita tidak akan
dipertemukan lagi dengan insan yang mampu menjadi sahabat kita ketika susah dan
senang.
Saya tetap
dikelilingi oleh mereka yang baik-baik dan sudi menjadikan saya sahabat mereka.
Saya hanya berani menegur mereka yang saya rasakan tidak akan berkecil hati
dengan saya. Saya tidak pandai
berpura-pura berbaik dengan orang, kalau tak suka, tak sukalah! Kalau saya sayang, saya akan sayang seperti
saudara sedaging. Semoga kita menjadi
sahabat yang didambakan.
Al-Fatihah buat arwah Siti Mariam.
Al-Fatihah buat arwah Siti Mariam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan