Selasa, 25 April 2017

BAGAIMANA MENDAPAT JALAN CERITA KUTEMUI SINAR ITU.




            Seperti naskah Aku Turut Bahagia dan Aduh, Pening! Saya kutip daripada kisah sebenar, begitu juga dengan KUTEMUI SINAR ITU,jalan ceritanya juga berasas daripada kisah sebenar yang terjadi kepada seorang kenalan saya.  Setiap kali bertemu dengannya, saya akan bertanya akan tugas hariannya sebagai Pengurus Masjid, ya… beliau seorang perempuan.  Kadangkala ceritanya membuatkan saya sakit hati, geram, marah, rasa hendak sepak sahaja para petugas masjid yang telah diamanah menjalankan tugas-tugas mereka mengimarahkan masjid.

            Ya! Benar, tugas seorang Imam adalah mengimamkan solat berjemaah, tetapi sebagai seorang yang tahu akan ilmu agama, bukankah menjadi tanggungjawab mereka juga untuk mengajak dan menyampaikan ilmu yang mereka ketahui kepada masyarakat?  Masjid juga bukan hanya menjadi tempat untuk bersolat semata-mata. 

            Saya mohon keizinannya untuk mengambil ceritanya bagi dijadikan novel sastera pertama saya.  Beliau memberi keizinan dengan syarat nama dan nama masjid saya ubah dan tidak dedahkan kepada umum.  Saya akur.  Apa yang saya paparkan di dalam naskah Kutemui Sinar Itu, bukan satu sandiwara atau ciptaan saya semata-mata. Hakikat sesetengah manusia yang diberi ilmu dan kefahaman tentang agama, tetapi sikap mereka jauh berbeza. Ya, ujian buat mereka, ujian juga buat kita sebagai hamba Allah swt.

            Dalam karya ini saya masukkan juga pengalaman saya dan suami berhadapan dengan para tenaga pengajar  yang mengajar di maahad-maahad tahfiz, ada yang demand, ada yang terlalu memilih, malas, tidak berminat dan tidak bersungguh-sungguh menyampai ilmu yang mereka ada.  Hakikat yang benar, biarpun pahit tetapi terpaksa ditelan.  Bukan ingin menjatuhkan sesiapa, tetapi untuk kita muhasabah diri dan membetulkan keadaan.

            Sewaktu menulis, saya berfikir apa intipati yang menarik untuk saya masukkan lagi. Akhirnya saya masukkan tentang penjualan tanah masjid.  Saya tanya kepada beliau, tidak salahkah saya masukkan intipati cerita tentang tanah masjid yang dijual.  Beliau melarang, kerana ada satu kes di mahkamah sedang dibicarakan, kes penjualan tanah wakaf masjid.  Terkedu saya seketika. Saya rujuk kepada sifu saya, sifu saya beritahu, selagi nama tempat tidak betul, dan hanya nama samaran, tiada siapa boleh saman.  Akhirnya naskah itu lengkap dan sempurna.  Semuanya atas bimbingan Puan Azmah Nordin yang banyak membimbing saya menjadi seorang penulis sastera.  

            Saya berharap kawan-kawan akan dapatkan naskah KUTEMUI SINAR ITU, kerana kisahnya adalah kisah kita juga.  Ceritanya berlegar di kalangan kita semua.  Semoga karya Islamik dan naskah sastera pertama saya ini bermanfaat buat semua.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan