Seorang penulis, jika mendengar
cerita, dia tidak akan duduk sahaja, pasti idea mula bermain-main
difikiran. Begitu juga saya, ketika
mendengar cerita seorang kawan tentang perkahwinannya yang dilanda badai. Akal sudah mula menari-nari, kebetulan sedang
mencari intipati novel ketiga. Aduhai,
pucuk dicita ulam mendatang, bukanlah hendak ambil keseluruhan cerita, tetapi
sebagai asas untuk saya mula menulis cerita terkini untuk manuskrip terbaharu
saya.
Kisah apa ya? Apalah yang saya hendak tuliskan? Kawan saya itu ada masalah rumah tangga,
suaminya sudah mula gila talak. Orang
lelaki gila talak, biasalah. Kalau saya
buat kisah rumahtangga juga, tetapi perempuan yang gila talak? Bagaimana agaknya
ya? Mulalah akal saya menyimpul jalan
cerita.
Kisah seorang perempuan beranak lima
gila talak dengan bekas suaminya yang sudahpun berkahwin lagi. Itulah mula langkahnya bagaimana saya mendapat idea menulis cerita untuk naskah
ADUH, PENING! Saya sendiri yang menulisnya juga pening. Bukan mudah untuk saya menulis sebuah kisah
yang jarang-jarang berlaku, biarpun ada.
Ketika menulis satu cerita, para penulis bukan sahaja untuk mencari
keseronokkan atau memberi kegembiraan berganda kepada para pembacanya tetapi
juga ingin menurunkan nasihat buat para pembaca atau masyarakat di luar sana,
jangan mudah untuk melafazkan cerai, apatah lagi ada anak-anak yang masih
memerlukan belaian manja ayah dan ibu.
Hati kita sakit, terus minta cerai,
memang mudah. Tetapi, lihatlah
wajah-wajah kecil yang berada di sisi kita.
Apa nasib mereka? Hidup tanya kasih sayang seorang ayah atau ibu. Kita? Mudahlah, sudah lepas beban di kepala
lantaran sikap dan perangai yang menyakit pasangan kita sudah tidak lagi
terlihat di mata. Kita sudah mampu menarik nafas lega. Tetapi anak-anak?
Pernahkan kita tanya akan perasaan mereka?
Itulah yang ingin saya sampaikan di
dalam ADUH, PENING! Jika rumahtangga menghadapi masalah, cubalah selesaikan
dengan baik. Bersengketa, bermasam muka,
perkara biasa dalam rumahtangga, tetapi janganlah sampai bercerai berai. Jika ada cara untuk berdamai,
usahakanlah. Kasihanilah anak-anak. Apapun yang ingin kita lakukan, tolonglah
fikirkan masa hadapan anak-anak. Sebagai
seorang penulis, tiada satu pun karya yang ditulis tidak diselitkan pengajaran
buat para pembaca di luar sana. Tidak
sedikit banyak, pasti ada.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan