Setelah
Aku Turut Bahagia diterbitkan, hati melonjak bahagia. Sehingga kepala kosong
tidak tahu apa yang ingin saya tuliskan lagi.
Idea entah ke mana? Kosong sekosong,kosongnya. Kepala mula bingung. Editor sudah mula bertanya akan naskah
terbaharu, kerana karya yang telah diluluskan penerbitannya mengambil masa enam
bulan pula untuk menjadi naskah bercetak dan
berada di kedai buku. Jika lambat menyiapkannya sudah pasti tiada buku
di tahun seterusnya. Bagaimana?
Ketika itu saya sudah mempunyai blog
yang telah dibina oleh seorang kenalan bernama Yong Linda atau Lin, blognya cantik tetapi saya tidak pandai
mengendalikannya. Sehinggalah saya bertemu dan berkenalan dengan Cikgu Monalita
Mansor yang menjadi tenaga pengajar membina blog dan menulis karya
kreatif. Biarpun sudah bergelar penulis
tidak semestinya saya pandai ke semua perkara.
Ada perkara yang kita tidak tahu dan perlu belajar. Cikgu Monalita Mansor menjadikan blog saya
hidup kembali dan aktif sehingga ke hari ini.
Terima Kasih cikgu.
Salah satu latihan diberi di dalam kelas membina blog adalah latihan
catatan bergambar. Saya mendapat sebuah gambar
seorang perempuan sedang mendukung seorang anak, di dalam dewan yang dipenuhi
oleh orang ramai. Ketika itulah saya
mendapat idea untuk memanjangkan catatan saya itu menjadi sebuah novel. Kisah seorang perempuan yang kehilangan
suaminya pada malam kawasan rumahnya
terbakar. Di situlah bermulanya kisah
TOLONG CARI SUAMIKU.
Kelemahan saya adalah tidak pernah
buat lakaran ketika menulis. Main bedal sahaja, asalkan menjadi sebuah
cerita. Lantaklah kau hendak jadi apa,
itulah yang ada dalam kepala, sehinggalah siap manuskrip saya itu. Saya
perjuangkan nasibnya dengan menghantar ke meja editor. Dalam TCSK, saya masukkan thriller, kisah
perebutan harta, penculikan, pembunuhan, pembunuh upahan. Kalau tidak berhati-hati membacanya boleh
pening kepala.
Dari sebuah kisah kehilangan suami,
sehinggalah menjadi senaskah karya thriller kekeluargaan. Setiap penulis pasti akan berusaha mencari
sesuatu yang menarik untuk diberi kepada para pembaca karya-karyanya, begitu
juga saya. Saya terus mengolah cerita di
dalam TCSK sehingga saya sendiri berpuas hati dan Alhamdulillah, editor pun
suka. TCSK adalah karya kedua saya
bersama Alaf 21. Maka lahirlah ia pada
tahun 2014 dengan megahnya. Misai
seperti misai Dato’ K, maka karya itu terus berlegar di kedai-kedai buku.
Mencari kelainan dalam sesebuah
karya bukannya mudah, kadangkala kita masih terpengaruh dengan cara karya
sebelum ini, begitu juga TCSK, masih ada poligami tetapi tidak sekali. Aduhai! Bukan suka poligami tetapi entahlah,
terbawa-bawa dengan cara karya pertama.
Kali ini, saya menjadikan watak Mastura seorang yang tegas, cekal dan
kuat, tidak selemah Ummi Khadeeja yang menyerah kepada takdir hidupnya. Watak Katrina tidak sejahat Syifa Umaira’
akhirnya Katrina berubah menjadi manusia yang baik. Tetapi saya jadikan watak pembantu, iaitu ibu
kepada watak hero, sebagai watak antagonis yang akhirnya saya matikan
dipengakhiran cerita. Tragis kematiannya, hendak tahu bagaimana menemui
ajalnya? Maka, jika terjumpa buku Tolong Cari Suamiku, belilah ya. Adakah
Mastura berjaya menemui suaminya yang hilang?
Terjawab di dalam TCSK.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan