Khamis, 25 Mei 2017

TRAVELOG UMRAH - ASMAH HASHIM



        Mei tahun lepas saya diuji dengan sakit puan yang berpanjangan selama enam bulan, sehingga terpaksa masuk wad dan tambah darah tiga beg.  Allah! Tidak pernah termimpi akan mengalami perkara tersebut.  Benar-benar menguji diri, apatah lagi ujian buat suami juga.  Dia sabar melayan penyakit yang saya hadapi.   Saya cuba tidak mengeluh, cuba bertenang, namun sampai mengganggu waktu ibadat saya, perkara itu benar-benar menyakitkan hati.  Saya cuba juga menerima takdir yang telah ditentukan pada saya dengan banyakkan berzikir dan mengingati Allah swt.  Saya tahu, ini ujian buat kami suami isteri. Enam bulan darah turun tanpa henti, sekejap banyak, sekejap sedikit.

            Pada awalnya saya tidak mahu ke hospital dan berharap sangat darah yang mengalir akan berhenti, rupanya tidak, sebulan menunggu, darah masih juga keluar, masuk dua bulan, saya masih cuba bersabar dan terus berharap serta berdoa yang tidak henti-henti, agar Allah memberikan penyembuhan.  Masuk bulan ketiga, tubuh saya sudah mula terasa letih, lesu biarpun hanya untuk berjalan dari bilik ke ruang tamu, degupan jantung sudah boleh kedengaran di cuping telinga ketika tidur, tarik nafas sudah terasa sakit di bahagian belakang. Sesekali saya terasa hendak pitam.  Allah! Kenapa pula ini?  Saya ke klinik sekali lagi.  Doktor memberi ubat dan surat agar saya ke hospital membuat pemeriksaan lanjut.  Saya tunggu lagi, masih berharap keadaan akan pulih.  

            Akhirnya sendiri tidak tahan, apabila rasa pitam semakin kerap berlaku.  Akhirnya saya ke hospital.  Sampai di hospital, saya menyerahkan surat rujukan yang telah diberi oleh Dr. Robitah kepada saya.  Apa lagi, kena marahlah, tarikhnya sudah sebulan berlalu. 

            “Tarikh ini sudah lama puan? Kenapa baru hari ini datang?”  tempelak salah seorang petugas di bahagian kecemasan Hospital Sg. Buluh.  

            Saya hanya menyengih, tahu diri sendiri salah.  

            “Sakit apa?” tanya petugas itu, seorang lelaki muda dan berpakaian serba putih.

            Saya pun menceritakan apa yang berlaku.  Dia hanya mengangguk dan menyuruh saya ke bilik rawatan yang terletak di bahagian belakang untuk ambil tekanan darah dan  ketinggian.  Setelah fail dibuka, saya dirujuk kepada doktor yang bertugas di bahagian kecemasan. Tunggu lima belas minit, namapun dipanggil.

            Seorang doktor perempuan muda berbangsa India. Bertanyakan beberapa soalan, ambil tekanan darah, periksa degupan jantung dan mengambil simpel darah.  Kemudian dia memberi saya sekeping kertas dan menyuruh saya membuat pemeriksaan jantung.  Aduh! Sakit jantungkah aku? Fikir saya dalam hati.  Hati mula tidak sedap.  Apa yang pasti, saya terasa seperti akan ditahan di hospital.

            Setelah hampir setengah jam, akhirnya keputusan pun diperolehi.  Saya masuk semula ke dalam bilik rawatan dan bertemu dengan doktor tadi.  Dia meneliti keputusan darah yang telah diterimanya.  Dia memandang wajah saya.

            “Kenapa lambat datang hospital?” tanya doktor perempuan itu dengan wajah serius.

            “Ingatkan boleh baik sendiri,” jawab saya, yang sebenarnya, takut dan malas hendak berurusan dengan hospital. 

            “Puan tahu tak, kalau puan lambat datang berjumpa kami, kemungkinan puan diserang  sakit jantung adalah tinggi.  HB  darah puan sudah sampai ke tahap 4.2, takkan puan nak tunggu sehingga darah habis di badan baru nak datang hospital?” sekali lagi saya dimarahi.  

            Alahai! Tahan telinga sahajalah.  Salah sendiri, tetapi sampai 4.2? Uh!  Memang darah turun banyak, sehari entah berapa pad yang terpaksa  saya pakai.  Orang degil dan berasa kuat, beginilah caranya.  

            “Kita kena tambah darah dan puan harus masuk wad,” ujarnya lagi.

            Masuk wad? Uh! Tak suka! tak suka! kata saya dalam hati.  Buat wajah tenang, padahal sedang menggelabah.  Kalaulah saya datang awal sudah pasti tak perlu masuk darah. Sabar sahajalah.

            Setelah doktor perempuan itu menyiapkan segala dokumen dan fail, saya dibawa oleh seorang petugas menuju ke wad 9, Bahagian Sakit Puan.  Wajah suami saya tatap seketika.  Dia menggeleng, mungkin kesal dengan kedegilan saya.  Saya hanya menyengih.  Masih lagi mampu tersenyum dan ketawa.  

            “Puan nak guna kerusi roda tak?” tanya petugas berbangsa Melayu itu.

            “Tak apalah, saya boleh jalan,”  jawab saya.  Saya menyandarkan badan di dinding lif, kerana sebenarnya badan  cepat berasa letih.  

            “Kalau HB sampai 4.2, selalunya orang tak boleh jalan dah puan, boleh pengsan ni,” kata petugas hospital itu kepada saya dan suami.

            “Masih kuat lagi,” jawab saya sambil tersenyum. 

            Sampai di tingkat 9, Bahagian Sakit Puan, saya terpaksa menunggu lagi untuk buat pemeriksaan lanjut, pakaian terpaksa ditukar, maklumlah kena bermalam di wad.  Entah berapa harilah pula ini ya?  Hampir dua jam menunggu, macam-macam prosedur yang terpaksa dilalui.  

            “Puan Asmah, saya  Dr. Debbie, puan akan masuk wad ya, dua hari ya puan, itu pun bergantung bagaimana darah yang akan puan terima ini nanti sesuai atau tidak dengan badan puan,”  kata doktor berbangsa Cina itu kepada saya.

            Saya anggukkan sahajalah, mahu atau tidak, suka atau tidak, terpaksalah saya menempuhnya.  Padan dengan muka sendiri.  Akhirnya saya di tempatkan di dalam wad, satu bilik dua orang.  Berjiran dengan seorang wanita India  yang juga mengalami masalah yang sama dengan saya, period yang berpanjangan.  Kami berbual seketika.  Ramah orangnya. Hari pertama, saya menunggu dengan sabar darah yang akan didermakan kepada saya. 

            Mula-mula mereka masukkan air, telan ubat, makan petang.  Seorang doktor Melayu, saya lupa namanya, mengambil simpel darah, dan masukkan jarum drip ke tangan. Allah!  Susah betul nak cari urat, sampai bengkak tangan saya dikerjakan mereka.  Hendak marah pun tiada guna, bukan salah mereka. Urat saya yang kecil dan tidak montok sehingga sukar untuk memasukkan jarum drip.  Tahan nafas sahajalah.  Bibir saya hanya mampu berzikir kerana menahan sakit setiap kali doktor tersebut gagal memasukkan jarum drip ke lengan.  Kalau ikut sakit, rasanya mahu saha meraung sekuat hati.  Tempat dicucuk tadi, muka membengkak.  Allah! Sabarlah hati.  Ya Allah, kuatkan diriku menghadapi kesakitan ini. Zikir, zikir, zikir, itulah yang saya lakukan.  Sekurang-kurannya mengurangkan rasa sakit yang sedang dihadapi.  Akhirnya berjayalah juga doktor tersebut masukkan jarum drip untuk menyalurkan air sebelum saya menerima darah.  Saya disahkan  mengalami amenia.  Kurang darah dalam badan. 

            Esoknya, bermulalah perjuangan saya, masukkan darah orang lain ke tubuh saya.  Pengalaman pertama, sewaktu melahirkan ketiga-tiga anak saya belum pernah menerima darah orang lain masuk ke tubuh, entah darah siapa, apapun saya ucapkan terima kasih kepada insan-insan yang tidak henti-henti menderma darah demi untuk orang kebaikan orang lain.  Ya Allah! Rupanya masuk darah itu sakit.  Tidak seperti masuk air ke dalam tubuh.  Terasa denyutan di tempat yang dicucuk, seperti kita masukkan kain atau barang ke dalam lubang kecil. Setiap kali darah itu mengalir masuk, saat itulah kesakitannya terasa, lengan saya mula membengkak, mula lebam dan teramat sakit.  Saya hanya mampu menangis di dalam hati.  Zikir masih lagi meniti di bibir.

Dalam hati tidak henti-henti berdoa, agar saya tabah dan sabar. Ini ujian, saya perlu kuat, itulah motivasi untuk diri sendiri.  Saya yakin Allah bersama-sama saya.  Saya tidak memberitahu emak dan ahli keluarga saya yang lain pun.  Saya tidak mahu menyusahkan mereka.  Hanya suami yang datang melawat.  Menurut doktor satu beg darah hanya mengambil masa empat jam.  Entah kenapa, darah yang pertama, mengambil masa lapan jam.  Bayangkan saya terpaksa menghadapi kesakitan selama lapan jam untuk menghabiskan satu beg darah.  Mata hanya di jam dan beg darah dan lengan yang semakin membengkak dan lebam, terasa keras dan kejung lengan saya.  Sesekali air mata meniti di pipi. Sakit, ya sakit! Allah! Ampunilah aku! Doa saya dalam hati
.
            Hari yang sama tiga orang sahabat datang menziarahi, biarpun saya melarang, usah datang.  Kerana kehadiran mereka akan buat hati saya sedih.  Namun, saya bersyukur kerana mereka mengambil berat akan diri saya.  Lapan jam berlalu dengan sungguh menyeksakan.  Petang itu barulah makanan dihantar kepada saya, itupun setelah habis satu beg darah, terasa kurang sikit rasa sakit dilengan, tapi di bahagian drip itu sudah mula membengkak dan perit.  Saya sudah tidak tahan.

            “Dik, boleh buka tak jarum ini, sakit sangat, akak dah tak tahan,” rayu saya kepada seorang jururawat yang datang untuk memeriksa tekanan darah saya.

            “Tak boleh kak, esok nak masuk darah lagi,” terangnya.

            “Tak apa, nanti masukkanlah balik,”  kata saya. Pandai-pandai pula mengajar jururawat itu. Yang penting saya ingin meringankan sedikit rasa sakit yang sedang dihadapi.

            “Baiklah, saya tanya doktor dulu ya kak,”  kata jururawat itu penuh sopan.

            “Terima kasih dik,” balas saya. Saya memandang kedua belah lengan saya, kesan lebam di sana-sini.

            Tidak berapa lama kemudian doktor perempuan  yang telah memasang jarum drip ke lengan saya tengahari itu datang.

            “Kenapa kak? Nak buka?  Bengkak ya?”  sambil memeriksa lengan saya yang seperti orang pakai tatu.

            “Ya Allah bengkak teruknya kak,” katanya sambil membuang jarum drip di lengan saya.

            “Bengkok jarumnya kak, padanlah sakit,” katanya lagi. 

            “Allah!” jawab saya, sambil mengesat air mata.  Rupanya jarum tersebut bengkok dan sebab itu darah yang masuk ke dalam tubuh agak lambat. 

            “Esok pagi saya akan pasang semula ya kak,” katanya sebelum berlalu.

            Saya hanya mampu menggangguk.  Hari semakin menjelang senja.  Suami yang menunggu sejak tengahari, sudah pun balik.  Jam 7.15 makanan sudah terhidang.  Saya hanya memandang sahaja makanan tersebut.  Hendak makan macam mana.  Kedua belah tangan sudah jadi kayu, keras dan sakit.  Macam mana saya nak makan?  Tak apalah, tak payah makan.  Jiran sebelah sudah pun selesai menjamah makanan dan ada beberapa orang saudaranya datang menjengah.  Riuh rendah suara mereka berbual, rancak sekali.  Terasa sunyilah pula.  

            “Kak, kenapa tak makan?” tanya suami kepada perempuan India itu.

            “Tak boleh makanlah dik, tangan tak boleh bengkok,” kata saya.

            “Kasihannya, mari saya suapkan,”  kata kakak ipar pesakit sebelah katil saya itu lagi.

            Suap?  Dia berbangsa India, aku Islam. Hati mula sebak. Macam mana nak buat?  Hish! Jauh benar fikiran saya menerawang.  Mereka berlain bangsa dan agama sahaja, bukan nak suapkan saya makanan yang haram. Pada mulanya menolak, dan akhirnya saya akur setelah mereka mendesak. Wanita India yang mungkin tua setahun dua daripada saya tolong menyuapkan nasi ke mulut sehingga habis. Allah, sebak saya.  Inilah negaraku, biarpun berlainan bangsa dan agama, tetapi semangat tolong menolong masih wujud lagi.  Terima kasih tidak terhingga kepada keluarga berbangsa India yang berasal dari Kuala Selangor itu.     

      Malam itu saya cuba melelapkan mata, sesekali melayan FB dan membalas doa kawan-kawan.

            Usai mandi dan sarapan, sebarisan doktor datang melawat dan memeriksa fail.  Kes saya dibaca oleh Dr. Debbie dan diterangkan kepada Ketua Jabatannya yang membuat pemeriksaan dari  katil ke katil.  Ada juga doktor pelatih, staf nurse, boleh tahan ramainya.

            “Puan Asmah, kita sudah masukkan satu beg darah, namun tiada perubahan HB darah puan, baru naik 4.8. Nampakkan terpaksalah kita masukkan tiga semuanya,”  ujar Dr. Debbie.

            Tiga?  Satu pun rasa nak mati, inikan pula hendak tambah lagi dua?  Mahu sahaja aku bunuh doktor yang suruh masuk sampai tiga itu.  

            “Kalau tak masuk tak boleh ke doktor. Makan ubat tambah darah,”  kataku sambil menyengih.

            “Puan, jika jantung puan tidak cukup darah untuk dipam, maka puan boleh  kena serangan jantung, mana pilihan yang puan mahu? Sakit lengan atau sakit jantung?” jawab Dr. Debbie.  

            Saya  menelan air liur sendiri.  Tak nak semua, kalau boleh! Kataku dalam hati. Sakit lengan? Dia nampaklah tangan saya  yang bengkak dan lebam itu.

            Setelah diterangkan kepada doktor yang bertugas. Tertulislah saya  perlu terima tiga beg darah. Sabar sahajalah, sekali lagi jarum drip itu akan menerjah ke lengan saya .  Tak guna punya jarum, kalau telan darah macam itu sahaja, jadi drakula pula nanti. Uh! Terima sahajalah.

            Sekali lagi, barisan doktor yang bertugas susah hendak jumpa urat yang mampu menerima darah dan air ke dalam tubuh.  Teruk betullah, apalah yang tidak kena dengan urat-urat saya ini?  Nampak besar, tapi pendek-pendek, tak sesuai, sekali lagi rasa sakit dan bengkak pun berlaku.  Allah! Kau kuatkan tubuh dan hati hambaMu ini, doa saya dalam hati.  Sambil membiarkan doktor itu mencari-cari  urat yang sesuai, saya layan zikir sambil pejam mata.  Bukan membayangkan cara jarum itu dimasukkan tetapi tak lalu nak tengok lengan saya menjadi tempat cucukan.  

            “Susahnya puan, kalau tidak boleh juga, hanya dua tempat sahaja lagi kami tak masukkan, di leher dan kaki,” kata doktor perempuan itu yang kerja 48 jam tanpa henti.  

            Tak sanggup hendak marah dia, tengok mata dia pun saya sudah simpati. 48 jam tanpa henti.  Kemudian esok dia bercuti. Boleh tidur panjang, fikirku sendiri.  Masukkan di leher? Uh! Tak payah, Takkan nak  buat kesan lebam di leher. Di kaki?  Cari nahas, nanti nak berjalan macam mana? Carilah urat di lengan  sampai jumpa.

            Dia melayan saya berbual, tanya itu dan ini, saya pun turut bertanyakan itu dan ini.  Ada juga doktor pelatih yang datang buat kajiselidik, saya layankan. Tanya itu dan ini, sempat lagi saya menasehati mereka belajar bersungguh-sungguh kerana yuran pengajian amatlah tinggi.  Kalau sampai 350k, Uh! Jenuh nak bayar balik duit pinjaman, kalau tidak berjaya jadi doktor? Rugi duit dan rugi masa.  Sempat lagi jadi pakar motivasi. Terhibur seketika hati ini. 

            Sesudai subuh, seorang doktor muda masuk sambil membawa peralatan untuk memasukkan jarum drip ke lengan, tercari-carilah dia urat di lengan saya.  Tepuk kiri, tepuk kanan, tak juga jumpa. Pemalu betullah sang urat ini. 

            “Kita juga kat pelipat siku ini ya puan,” kata doktor lelaki berbangsa India. 

            Masih muda lagi.  Ramainya doktor yang muda-muda di hospital ini.  Alahai!  Nak kata apa, buatlah dik, asalkan jumpa uratnya. Mata saya memerhatikan sahaja dia mencari urat di seluruh lengan.  Allah!  Dicucuknya tempat yang disangka ada urat besar, bolehlah agaknya.  Uh!  Rasa nak menangis menahan sakit.

            “Tak boleh jugalah puan,” katanya.

            Hmm…  bengkak kembali lengan saya.  Sabarlah hati.  Sikit sahaja ujian ini, detik hati kecil saya.  Lafaz zikir bermain-main di bibir.  Tidak pernah tinggal setiap kali rasa sakit menerja. Setelah dicuba di beberapa tempat dan gagal, akhirnya  dia masukkan jarum antara  ibu jari dan lengan.  Ada urat besar sikit di situ, dan berhasil.  Saya menarik nafas lega. 

            “Saya masukkan air dahulu ya puan, selepas itu baru kita masukkan darah,” katanya sebelum berlalu pergi.  Saya tetap mengucapkan terima kasih.  

            “Masuk darah lagi ke kak?” tanya pesakit sebelah.

            “Ya dik, lagi dua beg,” jawab saya.

            “Saya balik hari ini, doktor masih tak mahu buat apa-apa, fibroid tak besar dan mereka nak tunggu sampai darah berhenti mengalir,”  cerita pesakit berbangsa India itu.

            “Masalah orang perempuan, tidak pernah berakhir,” kataku. 

            Dia mengangguk perlahan.  Wajahnya juga tidak ceria.  Sama-sama jadi pesakit sudah tentulah saling memahami.  Kalau duduk di hospital, seribu satu penyakit kita akan jumpa, ada yang tidak pernah kita tahu pun.  Penyakit datang tanpa dipinta, pergi pula begitu sukar sekali. Bayangkanlah seperti seoran tetamu tiba-tiba datang rumah, sudah duduk berminggu-minggu, suruh balik tidak mahu, begitulah penyakit.  Sebaiknya cegahlah sedari kanak-kanak lagi, jaga pemakanan, kurangkan yang manis dan berkolesterol tinggi. Banyakkan senaman ringan, untuk kesihatan diri sendiri juga. 

            Darah kedua masuk empat jam selesai. Biarpun sakit waktu darah menerja masuk, seboleh-boleh saya cuba bersabar.  Ya, zikrullah banyak memberi kekuatan kepada saya.  Terasa semuanya berjalan lancar dan mudah, terasa tenang menghadapi ujian getir ini, bagi saya ujian ini masih kecil jika hendak dibandingkan dengan orang lain.  Allah swt tahu setakat mana kemampuan saya menghadapi ujian ini. 

            Dua kali ditahan di wad. Setelah beberapa bulan kemudian saya ditahan lagi, kali ini masuk bilik bedah untuk lihat apa yang berlaku dan ada apa di dalam rahim.  Kenalah bius separuh sedar.  Punyalah sejuk duduk dalam bilik bedah tersebut.  Enam jam saya tidak dibenarkan bangun untuk menghilangkan rasa kebas.  Allah! Kaki terasa berat, tidak mampu  berasa apa-apa.  Sabar, zikrullah, hanya itulah yang saya lakukan.  Tidak mampu mengeluh lagi. Inilah ujian.  Semoga Allah swt memberi yang terbaik buat saya selepas ini.  Tidak henti-henti saya berdoa agar Allah memberi saya kekuatan dan kesabaran yang tinggi.


            Biarpun sudah dibuat pelbagai pemeriksaan, namun tidak dipasti punca kenapa darah masih mengalir keluar dari faraj.  Saya sendiri sudah pening memikirkannya. Ini semua ketentuan Ilahi, saya menyerah bulat-bulat kepada Allah swt.  Sampaikan saya terfikir hendak buang rahim jika masih tidak menunjukkan tanda-tanda kesembuhan. Amal ibadat saya terganggu, idea menulis lagilah.  Jiwa dan hati tidak tenang.  Bukan mudah beribadat dalam keadaan darah istihadah masih mengalir keluar.  Satu kali solat kena salin pad. Kalau keluar ke mana-mana, amatlah sukar untuk saya solat.  Bilik air dan ruang solat tidak ada berdekatan.  Memang menyukarkan.  Enam bulan saya terpaksa menempuhnya.  Berubat cara Islamik juga, doa yang tidak putus-putus, menangis sepuas-puasnya di hadapan Allah swt.  Hanya Dia sahaja yang mampu menyembuhkan penyakit saya ini.  Ya, redha!

            Suatu hari saya dan suami keluar ke pasar malam untuk membeli barang keperluan maahad selepas keluar dari wad.  Saya memandang wajah suami, dia seorang yang penyabar dengan kerenah saya.  

            “Bang, saya rasakan, Allah pasti akan anugerahkan kita hadiah besar,” kata saya.  

            “Kenapa pula?” jawabnya.

            “Kerana kita sabar hadapi ujian yang sedang berlaku,” sambung saya lagi.

            “Abang rasa tak, kita mesti dapat pergi umrah,”  kata saya lagi dengan penuh yakin.

            “Alhamdulillah, Insya-Allah semoga ada rezeki kita,” jawab suami.

            “Semoga Allah makbulkan,” doa suami.

            Kami sama-sama aaminkan.  Tiba-tiba sahaja terdetik di hati saya yang kami akan mengerjakan umrah. Saya mengucap syukur kerana Allah benar-benar memberi kekuatan kepada saya menghadapi ujian kecil ini.  Setiap kali saya buat solat hajat memohon dipermudahkan dan disembuhkan penyakit saya ini.  

            Masa berlalu, hujung bulan 11 2016, istihadah saya berakhir.  Allah, saya sujud syukur terasa lega dan mampu menarik nafas lega.  Dan paling saya tidak duga, suami pulang dengan membawa balik satu borang.

            “Pihak Kelab Proton tawarkan abang pergi umrah, awal tahun depan,” kata suami, wajahnya cukup ceria, senyuman terlakar di bibirnya.  

            “Abang gurau ya?”  kata saya, seperti tidak percaya.

            “Ya, betul, mereka nak bagi kepada abang, pakej mengerjakan umrah, percuma.  Mereka tanggung semuanya,” sambung suami saya sambil duduk menghadap saya.

            Kepala saya kosong, biarpun mengucapkan syukur, tetapi tidak tahu apa yang ada dalam hati saya, bagaikan tiada rasa.  Mungkin terkejut kerana  kata-kata saya benar. Tarikh untuk suami menunaikan umrah juga sudah diberi, passport juga mereka telah ambil untuk buat visa.  Cuma, suami tidak buat apa-apa persiapan pun.  Kain ihram pun dia tidak beli sehinggalah tarikhnya ditangguh ke tarikh yang lain, bulan empat pula.  

            “Tak apalah bang, adalah hikmah itu jika abang tak boleh pergi bulan satu ini,” pujuk saya.  Tidak mahu dia patah semangat.  Siapalah yang tidak teruja, sehingga beg pun mereka telah serahkan kepada suami.  Namun, bila tiba tarikhnya, ditangguh kerana peruntukan yang sepatutnya diberi, tidak diterima.  Suami saya tetap sabar, biarpun sudah diberitahu kepada kawan-kawan dan adik beradik.  Allah swt sememangnya lebih Maha Mengetahui.

            Masuk bulan empat, lagi seminggu untuk berangkat ke tanah suci Mekah, masih tiada kata putus dari pihak Kelab Proton.  Suami sudah mula berkeluh kesah. 

            “Janji Allah pasti, jika Dia tak bagi lagi, adalah yang terbaik itu. Tak apalah, kita tunggu duit EPF abang keluar dua tahun lagi, kita pergilah dengan duit sendiri,” sekali lagi saya memujuk. 

            Ya, kami redha dengan ketentuan Ilahi.  Sememangnya hanya Dialah perancang yang terbaik. Mungkin belum rezeki suami saya.  Diberitahu kembali kepada kawan-kawan bahawa kemungkinan suami tidak jadi mengerjakan umrah.  

            Hujung minggu, aktiviti di rumah anak yatim kami padat, selain memantau anak-anak yatim kami bergotong royong membersihkan kawasan, saya juga sibuk di dapur menguruskan keperluan dan barang basah yang dibeli oleh suami di Pasar Borong Selayang.  

            “Datuk  Ali nak datang,”  kata suami.

            “Nak buat apa?” tanya saya sambil tangan laju membersihkan ikan-ikan yang ada.

            “Saja nak ziarah, dia ingat abang pergi umrah esok, itu sebab nak datang ziarah.”  Suami tersenyum dan berlalu.

            Saya terdiam, jelas terpancar wajah kekecewaannya.  Namun, kami tetap sedapkan hati dengan kata-kata perangsang.  Usai segala urusan menyimpan, memasak makanan untuk tiga kali makan, saya pun berehatlah, sementara menunggu tetamu datang.  Hari ini buat mee kari, bolehlah jamu Datuk Ali makan mee kari, kata saya dalam hati.

            Selepas zohor seperti yang dijanjikan.  Datuk Ali hadir seorang diri.  Saya jarang turut campur urusan suami, jika dia ada tetamu, saya akan biarkan dia sahaja melayan tetamu tersebut, lebih-lebih lagi lelaki.  Setelah menghidangkan makanan dan minuman saya masuk ke bilik untuk meluruskan badan setelah berdiri selama empat jam.  Suami pula melayan berbual dengan Datuk Ali, salah seorang penderma dan penyumbang di rumah anak yatim kami.  Sudah seperti keluarga sendiri, amat lembut dan sopan orangnya.   Tidak kedekut dan sangat bermurah  hati.  

            “Mah, jom keluar, datuk nak jumpa,” kata suami.

            “Ala, nak buat apa?” kata saya, memang jenis malas nak bercakap kecuali kawan sekepala.

            “Jomlah!” ajak suami lagi.

            Akhirnya saya akur, tudung disarung dan saya melangkah keluar duduk di sofa sambil menunduk hormat kepada Datuk Ali.

            “Apa khabar?” tanya Datuk Ali.

            “Alhamdulillah datuk,” jawab saya.

            “Mah, datuk ada benda  nak cakapkan kepada kita,” kata suami, wajahnya bertukar keruh.
            Alahai, kes apa pula ini, detik hati kecil ini.

            “Begini, saya  akan taja ustaz dan isteri pergi umrah, pergilah daftar segera, saya tanggung kosnya,” kata Datuk Ali.  

            Allah!  Saya terkedu seketika.  Saya pandang wajah suami.

            “Ya, datuk nak bagi kita berdua pergi umrah,” kata suami riang sambil mengalirkan air mata.  Air mata gembira, air mata suka, air mata bersyukur dengan takdir Ilahi buat kami.

            “Jazakallahu khairan kathira datuk,” kata saya.  Kepala saya kosong, tak tahu apa nak kata, antara percaya dan tidak.

            Datuk Ali turut sebak sewaktu menuturkannya.  Ya, kami menangis.  Menangis gembira.  Ilham yang saya perolehi adalah benar, ilham yang diberi Allah berkat kesabaran saya dan suami menghadapi ujian yang kecil itu tetapi dibayar dengan harga yang amat mahal. Janji Allah itu pasti.  Tiga kali suami saya dijanjikan untuk menunaikan umrah, tetapi tidak kesampaian.  Janji manusia hanya di bibir, tetapi janji Allah swt tidak pernah dimungkiri.  Malah, datuk meminta suami mendaftar segera dan pergi sebelum bulan puasa.   Usai Datuk Ali, khabar gembira itu kami sampaikan kepada anak-anak.  

            Sebulan lagi kami akan berangkat ke tanah suci Mekah. Kemudian terdetik cadangan untuk bawa kedua-dua orang anak perempuan kami, termasuklah yang belajar di maahad tahfiz.   Ada duit simpanan yang tidak pernah kami usik atas nama saya disumbang oleh seorang hamba Allah sebagai sumbangan peribadi untuk suami.    Sudah bertahun, kami hanya melihat bakinya sahaja. Guna pun jarang.  Sesekali diambil untuk kegunaan sendiri kerana duit itu memang diperuntukkan untuk suami, bukan duit tabung anak-anak yatim. 

            “Duit dalam akauan simpanan yang di beri oleh kawan abang itu rasanya cukup untuk kita bawa anak-anak perempuan kita,” kata suami.

            “Itu duit peribadi abang kan?” tanya saya.

            “Ya, duit abang, bukan tabung maahad,” katanya. 

            Ya, saya tahu akaun itu kerana diletakkan nama saya dan anak bongsu saya.  

            Setelah berkira-kira, memang cukup untuk membayar tambang dua orang lagi untuk mengerjakan umrah. Kami ambil pakej biasa sahaja, tidak terlalu mahal. Asalkan sampai.  Usah terlalu banyak meminta. Namun, dukacitanya, anak yang bongsu tidak dibenarkan bercuti oleh pihak maahad tempat dia belajar.  Kami akur dengan peraturan yang telah ditetapkan.  Anak bongsu saya pula redha untuk kami pergi dahulu bersama kakaknya yang baharu sahaja tamat belajar di KUIS. Sudah tertulis rezekinya untuk menunaikan umrah pada tahun 2017.

            Dua hari kemudian, suami bawa Datuk Ali pergi ke pejabat Andalusia untuk membayar pakej umrah kami.  Sehari selepas itu, urusan passport pula, passport lama sudah mati, terpaksalah buat yang baharu.  Semuanya berjalan lancar pada mulanya.

           Allah tangguhkan pemergian suami kerana DIA ingin saya dan seorang lagi anak turut bersama menerima jemputanNYA. Allah!

            Awal bulan empat, sebelum pesta buku sekali lagi saya diuji, dengan kehadiran period selama sebulan.  Hanya beberapa  detik sahaja lagi akan berangkat ke tanah suci Mekah, saya mula menghitung hari agar tidak terkena waktu saya berada di Mekah, nanti tidaklah dapat melakukan ibadah umrah kalau saya masih dalam keadaan tidak suci. Allah! Sekali lagi Kau menguji hambamu yang kerdil ini. Setelah buat pengkiraan dan menghitung waktu bersih, waktu haid dan waktu istihadah, tarikh kami ke tanah suci jatuh pada hari saya sudah bersih tetapi jika ada darah mengalir dikira istihadah. Saya masih boleh melakukan ibadah umrah.  Legalah sedikit biarpun tetap berasa tidak selesa.  Namun, saya tetap berdoa, mengamalkan makanan Sunnah, manalah tahu jika boleh segera darah itu berhenti. Paling bimbang jika berlaku seperti sebelum ini. Seminggu sebelum berangkat darah berhenti, saya sempat mengadakan sesi di Pesta Buku Antarabangsa 2017 di PWTC.  Terlalu banyak Allah memberi, sedangkan sedikit sangat saya membalasnya.

            Bagi saya, semuanya adalah berkat kami suami isteri menjaga anak-anak yatim, membesarkan mereka, didik dengan kasih sayang, adab dan akhlak, kami jaga bagaikan anak sendiri.  Ujian yang datang terlalu kecil jika hendak dibandingkan dengan apa yang akan Allah balas kepada saya dan suami.  Tidak pernah meminta apa-apapun, hanya meminta Allah redha dan rahmati hidup kami sehinggalah kami bertemu denganNYA.

            Ujian yang datang sebagai penguat keimanan.  Hanya pada Allah swt kita bersandar. Kerana sakit yang saya alami dan saya sabar, maka Allah swt memberi ganjaran besar buat saya.  Terasa kerdil sangat diri ini.  Terasa kecilnya jiwa ini jika hendak dibandingkan dengan apa yang telah Allah swt anugerahkan kepada kami sekeluarga.  Kami dijemput Allah swt melihat Kaabah yang menjadi kiblat umat Islam seluruh dunia. Kami dijemput Allah swt menunaikan umrah dengan ehsan orang, tetapi yang memberi tetap Allah. Datuk Ali adalah jambatan untuk kami sampai ke tanah suci Mekah.  

            Hidup, biarlah berbuat baik, kerana Allah swt melihat apa sahaja yang kita lakukan, apa yang terlahir di hati kita, semuanya Allah swt tahu. Ikhlas kau memberi, Allah akan membayar harga keikhlasan itu.  Itu sebab saya selalu meminta kawan-kawan berbuat  baik dengan siapa sahaja, kerana Allah akan membalas kebaikan kita itu.  Ikhlaslah berjuang untuk agama, ikhlaslah melakukan apa sahaja, setiap apa yang kita lakukan ada ibadah di dalamnya, kecuali melakukan perkara yang dilarang olehNYA.

            Setiap kali saya melihat dan menerima khabar yang kawan-kawan atau saudara mara hendak mengerjakan umrah, pasti hati saya akan sayu, terasa hati, kecewa kerana tidak tahu entah bila saya akan dapat menjejakkan kaki ke tanah suci itu.  Sekalipun jadilah, itulah yang sering bermain-main di benak saya.  Melihat ada kawan-kawan yang pergi berkali-kali, timbul rasa cemburu.  Pernah juga saya terfikir  Allah tidak sudi menerima saya menjadi tetamuNYA. Kadang-kadang berserah sahajalah, kami bukan orang kaya yang ada duit  berkepuk atau tanah berelong-relong untuk dijadikan modal menunaikan umrah.  Harapkan royalti buku?  Saya bukanlah penulis yang terkenal atau karya karya saya menjadi rebutan sehingga diulang cetak berbelas-belas kali.  Akur dengan rezeki yang ditentukan Allah swt kepada saya dan keluarga.  Usah banyak meminta, nanti jadi hambaNYA yang tidak tahu bersyukur.  Sering memujuk hati, tidak mengapalah, asalkan saya buat yang terbaik untuk meraih kasih sayangNYA.  Dia tahu hati kami, Dia tahu apa yang kami lakukan dan inginkan dalam hidup ini.  Tiada apa lagi yang saya perlukan selain rahmat dan kasih sayangNYA terhadap saya dan keluarga.

            Allah swt dengar keluhan saya, dengar rintihan saya, akhirnya dijemput juga hambaNYA yang hina dina ini menjejakkan kaki ke tanah suci Mekah dan Madinah, bertemu dan melihat sendiri peninggalan Rasullullah saw, kekasih Allah dan kekasih seluruh umat Islam di dunia dan akhirat.  Apa lagi yang ingin saya minta kepadaNYA? Malu!  Kerana amalan sendiri  tidak seberapa, tetapi meminta upah yang tinggi. Umpama kita dan majikan. Kita bekerja sambil  lewa, tetapi hendak gaji tinggi.  Tidak malukah? Hendak kaya, tetapi beribadat malas?  Adakah selayaknya kita menerima?  Itulah yang sering saya rasakan terhadap diri sendiri. Setakat solat lima waktu, nak minta itu ini?  Kejamnya saya kepada diri sendiri. 

             Jika buku tulisan saya laku seadanya sahaja, saya redha, berdoa  jangan berhenti, kerana saya tahu, orang yang sabar pasti ada balasan terbaik buatnya. Jika melihat karya kawan-kawan diulang cetak, ada penulis yang ramai peminat dan mengikut, saya tidak akan berasa cemburu, kerana saya tahu, itu adalah rezeki penulis tersebut.  Allah yang memberi, Dia tahu siapa yang selayaknya terima.  Rezeki masing-masing sudah tertulis begitu.  Apa yang penting, saya terus berusaha menulis yang baik-baik sahaja. 

            Tahun ini adalah tahun yang paling manis buat saya, doa saya diterima untuk menerbitkan karya dengan DBP. Doa saya diterima untuk menunaikan umrah.  Perlukah saya minta lagi?  Ya, saya akan terus meminta, minta KASIH SAYANG ALLAH.    Semoga Allah tidak berpaling daripada saya sekeluarga.  Harapan saya bukanlah harta dunia atau kesenangan dunia, harapan saya dan suami adalah ingin melahirkan anak-anak muda, yatim, hafiz Al- Quran, beradab dan berakhlak dan akhirnya menjadi seorang  ulama’ yang mampu  berdakwah dan berjuang untuk agama. Menyampaikan yang hak dan menghalang kebatilan.  Semoga Allah swt redha dan rahmati perjalanan hidup kami demi agamaNYA.  Sejak Allah swt menganugerahkan hadiah yang tidak ternilai itu, semangat juang dalam diri untuk agama semakin tinggi.

Semakin bersemangat, semakin yakin, selagi saya dan suami ikhlas melakukannya kerana Allah swt, Allah pasti akan beri KEMENANGAN kepada kami. Tidak salah mencari kekayaan, dalam Islam sendiri dituntut, itu sebab ada zakat, hanya orang kaya sahaja yang boleh mengeluarkan zakat dan mampu melakukannya.  Biarpun tangan kami yang meminta, tetapi bukan untuk diri kami, tetapi untuk anak-anak yang tidak berkemampuan yang sudah hilang tempat bergantung.  Seharusnya kekayaan yang dicari bukan dihabiskan untuk diri sendiri tetapi gunakan kekayaan itu untuk agama, berjuang ke jalan Allah swt.  Teringat kata seorang ustazah sewaktu saya menunaikan umrah.  Beri RM1.00 tetapi meminta harta selautan.  Ikhlaslah lakukan apa sahaja kerana Allah swt, bukan kerana orang lain.

            Allah swt terlalu banyak memberi, tetapi terlalu sedikit kita membalasnya. Jika diberi harta, bukan harta yang minta dibalas, jika diberi sehat, bukan kesehatan yang minta dibalas, tetapi hanya sujud, patuh dan taat atas segala suruhannya dan tinggalkan segala larangannya, semudah itu sahaja.  Allah tidak meminta kepada kita, tetapi kitalah yang meminta kepadaNYA.  Memikirkannya buat hati ini  berasa bersalah, tiada apapun yang saya lakukan untuk agama, tiada satu pun saya lakukan untuk Allah swt, sekadar ucapan syukur dan ucapan sayang, cukupkah?  Lemahnya saya, tidak mampu berjuang lebih jauh lagi, takut menghadapi manusia, risau memikirkan penerimaan manusia lebih tinggi dari memikirkan penerimaan Allah swt terhadap saya.  

            Kepada teman-teman yang sedang diuji tidak kira senang atau susah, ingatlah, janji Allah pasti selagi kita sabar, tabah dan menyerah hanya kepadaNYA.  Lagi banyak ujian, lagi banyak kita bersujud kepadaNYA. Kasih sayang Allah swt meliputi seluruh alam.  Tidak akan ditinggalkan seorang pun hamba-hambaNYA hatta yang kafir sekalipun tetap diberi yang terbaik.  

            Allah! Saya dambakan syurganya, tetapi apa yang saya perbuat untuk mendapatkannya?  Dengan hanya berdoa? Berzikir? Berharap? Peluk tubuh tanpa berbuat apa-apa?  Namun, kasih sayang Allah terlalu besar terhadap saya, DIA tahu setakat mana kemampuan saya, DIA tahu ke tahap mana saya mampu melakukannya, saya perlu tanam tekad di hati.  Biarpun hanya berdakwah dengan karya, biarpun karya seperti itu kurang peminatnya, saya tetap akan lakukan, demi agama yang saya cintai. Jika jalan akhirat yang saya pilih, dunia pasti mengikut di belakang saya, Insya-Allah.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan