Rabu, 31 Mei 2017

TRAVELOG UMRAH - BAH. 2 - ASMAH HASHIM.




Masa untuk berangkat mengerjakan umrah semakin menghampiri.  Kami bertiga pergi jugalah kursus di pejabat Andalusia di Kelana Jaya, ini ibadat, perlu ada ilmu, jika tidak mati akal di sana nanti, tidak tahu nak buat apa, takut sia-sia jadinya.  Kali pertama ikut kursus, boleh tahan kelakar juga ustaz yang mengajar.  Cuba memahami, biarpun saya sudah habis dan katam belajar Kitab Manasik Haji, tetapi praktikal dan teori takkan sama.  Teori sebagai panduan, nak tahu sepenuhnya kenalah ada praktikalnya.  Begitu juga dengan umrah dan Haji.  Kali kedua pergi kursus, alahai, ustaz ini ajar sekerat-sekerat, nasib baik waktu kali pertama pergi kursus sudah mampu faham sepenuhnya.  Hanya tunggu saat melakukan praktikalnya nanti di tanah suci.  Buku panduan yang dibekalkan tidak lupa dibaca setiap malam.  Banyak juga doa yang perlu dihafal, tak perlu hafallah, manalah sempat, boleh bawa buku tersebut sambil melakukan ibadat yang wajib itu.
Setiap hari saya melakukan solat sunat taubat dan hajat, semoga Allah permudahkan urusan saya dan keluarga di sana nanti, apa yang penting adalah sehat sepenuhnya. Dalam debar, hati tetap teruja tidak sabar-sabar hendak menjejakkan kaki ke  tanah haram itu.  Jiwa bergelora, rasa rindu yang tidak pernah kunjung padam, ingin melihat Kaabah di hadapan mata, ingin melihat makam Rasulullah saw yang tercinta.  Berdoa siang dan malam agar dipermudahkan segala urusan ibadah kami di sana.
Barang-barang keperluan tidaklah beli banyak pun, hanya bawa yang perlu sahaja, selipar, kain telekung dua helai, stokin tebal  dan sarung tangan yang hanya menutup bahagian lengan.  Minyak wangi, tak payahlah bawa.  Alat solek pun begitu, buat berat beg sahaja.  Bawa barang-barang keperluan harian dan yang diperlukan sahaja.  Di sana yang pakai telekung hanya orang Indonesia dan Malaysia, bangsa lain pakai jubah sahaja.  Asalkan cukup syarat menutup aurat sudah dibolehlah. Lainlah lelaki, kenalah beli kain ihram, sekurang-kurangnya dua pasang.  Boleh tukar ganti kalau tidak sempat dibasuh dan kering nanti.

10hb Mei 2017 
Beg telah siap dikemas, barang-barang sudah di isi ke dalam tiga buah beg seorang. Kebanyakkan Syarikat Travel akan menyediakan tiga buah beg seorang, satu beg pakaian yang besar, satu beg yang boleh dibawa naik ke atas kapal terbang dan satu beg sandang untuk mengisi barang-barang keperluan seperti tag nama dan buku panduan umrah. Sejak awal lagi sudah dipesan, usah bawa banyak sangat kad-kad yang tidak diperlukan ke tanah suci. Kad pengenalan pun disuruh tinggalkan, takut hilang nanti.  Hanya bawa passport dan visa umrah sahaja. Wang pun bawa setakat keperluan, kalau hendak membeli belah, sebaiknya gunakan kad bank yang boleh diaktifkan di sana nanti, tetapi kena mendaftar di negara kita terlebih dahulu. Bagaimana caranya,  boleh tanya bank masing-masing. 
  Memandangkan kami akan turun di Mekkah terlebih dahulu, bermakna terus melakukan umrah, maka disunatkan berihram dari rumah atau di Lapangan terbang nanti.  Sebaiknya, pakailah di rumah, lebih memudahkan kerana nak mandi sunat ihram lagi.  Usai mandi sunat ihram dan solat sunat ihram, kami memakai pakaian yang sesuai untuk mengerjakan umrah, selagi belum niat, 13 syarat yang wajib ke atas mereka yang berihram tidaklah jatuh lagi.
Jam 11.30 malam kami sudah bertolak keluar dari rumah, dihantar oleh ustaz yang mengajar di Maahad tahfiz kami, emak saya dan anak sulong.  Sebenarnya, dalam hati  saya masih tidak percaya bahawasanya saya akan mengerjakan umrah, bagaikan mimpi sahaja rasanya.  Kepala masih kosong, seperti tiada rasa.  Hanya zikir yang bermain di bibir, serta doa yang tidak putus-putus agar Allah permudahkan segalanya dan perjalanan kami semua.
Sampai di Lapangan Terbang KLIA2, orang tidak begitu sesak, kami terus menuju ke kaunter yang diarahkan. Sebenarnya, kami tidak kenal sesiapa pun di dalam rombongan kami ini.  Wajah mutawif yang ditugaskan untuk memberi panduan pun kami tidak tahu, hanya tahu namanya sahaja.  Sebaik sampai di kaunter, kami mengambil kad nama dan tag untuk beg.  Sementara menunggu sesi taklimat kami terus ke restoran KFC untuk membasahkan tekak.  Jam 1.30 malam, kami yang akan berangkat ke Mekkah sudah pun berkumpul di tingkat satu tempat menunggu dan di situlah taklimat di beri oleh ketua mutawif yang bertugas.  Ada tiga kumpulan, dua dari Syarikat Andalusia dan satu dari Syarikat Al Faizin, ada juga Jemaah dari Indonesia, mereka transit di Malaysia sebelum bertolak ke Mekkah, kami dalam penerbangan yang sama.  Berwarna warni kumpulan mereka, terang benderang warna pakaian mereka.  Suami memakai ihram di surau KLIA2. 
Pengalaman pertama kali, macam-macam rasa ada.  Berdebar, takut pun ya.  Apatah lagi cerita-cerita yang sering berlegar-legar di fikiran.  Tidak mengapa, selagi yakin Allah swt itu Maha Adil, Pengasih dan Penyayang, lalui sahaja apa pun dugaan yang bakal di terima. Jam 2.00 pagi kami berjalan masuk ke dalam bahagian pelepasan.  Paling tidak suka naik kapal terbang adalah menuju ke tempat perlepasan yang agak jauh perjalanannya. Bukan seperti naik bas, hanya perlu berdiri di hadapan bas itu sendiri. Fuh! Boleh tahan jauhnya, lenguh sudah kaki saya, belum lagi buat tawaf dan saie, inilah akibatnya jarang bersenam, stamina tiada. Sampai di pintu yang dikhaskan untuk penerbangan ke Jeddah, kami menunggu waktunya,  dijadualkan kami bertolak jam 5.00 pagi waktu Malaysia, dan dijangka sampai ke Jeddah jam 10.30 pagi waktu Jeddah.  Ketika itulah terlihat wajah-wajah yang begitu asing bagi saya, tiada siapa pun yang saya kenal.  Kami hanya berbalas senyuman, tiada kata yang keluar dari bibir masing-masing.  Hanya melayan perasaan sendiri dan rasa mengantuk yang semakin menekan mata. 
Jam 5.00 pagi sudah berada di atas pesawat yang akan berangkat meninggalkan tanah air tercinta.  Doa dibaca, zikir tidak berhenti, bukan takut mati, cuma tidak mahu mati yang tidak  berkubur.  Okay, paramugarinya memakai tudung sebab kami naik kapal terbang yang memang dikhaskan untuk Jemaah yang akan menunaikan umrah, boleh pun tutup aurat, tetap cantik dan bergaya dengan seluar panjang, jauh lebih baik dari skrit pendek yang menampakkan peha.  Allahu Akbar!  Kami naik Air Asia X, memang besar tetapi tempat duduk, kus semangat, awat sempit?    Nasib baik orang Malaysia tidaklah ada versi besar sesangat.  Masih boleh muat tetapi tetap tidak selesa.  Sabar  sahajalah, usah bersunggut.
Melayan debar di hati, merasa teruja, tidak sabar-sabar hendak menjejakkan kaki ke bumi Arab Saudi.  Perjalanan berjalan lancar, Kapten yang memandu sememangnya pakar, layan tidur dahulu, sementara menunggu waktu subuh, pertama kami solat di atas pesawat, solat sambil duduklah, memandangkan kami akan terus ke Mekkah maka pesawat sudah pun mengikut arah kiblat. Usai solat, tidak berapa lama kemudian dihidangkan sarapan pagi. Nasi Lemak berlaukkan rendang ayam.  Rasa? Alhamdulillah, jika hendak menunaikan umrah atau Haji, usah cakap yang tidak-tidak, pesan orang tua-tua.  Beringat sahajalah. Suap, telan, suap, telan.    Kemudian?  Sambung tidur sambil berzikir, sebanyak yang boleh, berdoa sebanyak yang boleh.  Terlelaplah juga biarpun tidak selesa, almaklumlah,  tidur sambil duduk.  Sejam setengah sebelum sampai sekali lagi kami dikejutkan untuk makan sekali lagi, tidak pasti, sarapan atau makan malam. Sate pula menunya kali ini.  Perut masih terasa kenyang, sate yang hanya beberapa cucuk pun tidak habis dijamah, suamilah yang tukang menghabiskannya dikongsi dengan ustaz yang menjadi mutawif kumpulan kami.
Sejam sebelum sampai di Jeddah,  pramugara yang bertugas sudah membuat pengumuman untuk kami memasang niat kerana sudah hampir ke miqat yang telah ditetapkan untuk orang Asia.  Bermulalah 13 syarat ihram yang perlu kami patuhi, antaranya rambut tidak boleh gugur.  Tidak boleh berwangi-wangian baik lelaki dan perempuan.  Baik, arahan diterima.  Kami berjaga-jaga dan sentiasa berwaspada.  Takut terlanggar 13 syarat-syarat tersebut.

Cuaca di luar sudah terang benderang, matahari sudah mula memancarkan sinarannya.  Sekali lagi pengumuman dibuat, pesawat semakin menghampiri Lapangan Terbang Jeddah atau Haji.  Katanya lapangan terbang tersebut adalah khas untuk kumpulan yang mengerjakan umrah dan Haji sahaja.  Sebaik pesawat berhenti, kami pun berpusu-pusu keluar.  Lupa nak bagitahu nama mutawif kami.  Ustaz Hisyam Elias, sudah berumur 31 tahun tetapi masih bujang.  Keluar pesawat, terus menaiki bas yang disediakan menuju ke terminal lapangan terbang tersebut.  Okay, mata saya memerhati sekeliling.  Macam bangunan lama sahaja, memang tidak cantik.  Menurut Ustaz Hisyam, Jeddah ada tiga lapangan terbang, termasuk tempat kami berhenti ini.  Oh, ada lapangan terbang lain lagi.  Sewaktu kami sampai sunyi sepi sahaja keadaannya. Macam tempat kena tinggal pun ya.  Aduhai, banyak  songeh betullah penulis ini, maklumlah penulis.
Ucapan syukur tidak lekang dari bibir kerana kami selamat mendarat dan menjejakkan kaki ke sini.  Biar tidak cantik, asalkan ada.  Padang  pasir dan terlihat kawasan pembinaan, rupanya tiga lapangan terbang akan disatukan menjadi satu. Jalan raya punyalah cantik, pokok? Tidak banyak.  Usah harap ada pokok-pokok, atau bukit bukau berwarna hijau ya.  Ini Arab  Saudi, lautan padang pasir, bukit bukau kongkrit dan batu kerikil.  Kami menaiki tiga biji bas menuju ke Bandar Mekkah, sebelum itu singgah sebentar di sebuah destinasi yang telah tertulis di dalam al-Quran, tempat apa? Tunggu!




Tiada ulasan:

Catat Ulasan