Hari kedua
berada di tanah suci, subuh di hotel sahaja kerana sememangnya tidak mampu
hendak bangun seawal 2.00 pagi. Begitu juga zohor, kami solat di surau
Hotel. Makan dan tidur sahaja hari
itu. Malam itu adalah malam nisfu
syaaban. Saya ajak suami dan anak pergi
masjid. Tidak kira, letih atau sakit
kaki, masjid harus diterjah. Bukan mudah
hendak dapat beribadat malam nisfu syaaban di Masjidil Haram. Peluang sudah di hadapan mata, sakit tak
sakit, harus pergi juga. Sebelum asar
kami sudah berangkat ke masjid.
Sebabnya, katanyalah, selepas asar, kawasan di luar masjid akan ditutup,
tidak dibenarkan Jemaah masuk, kata
merekalah. Bila sudah berada di dalam
masjid, kita takkan tahu apa yang berlaku di luar. Kami tetap masuk melalui pintu 89, lebih
mudah ingat jalan.
Kami solat asar berjemaah, solat
jenazah di belakang multazam, setiap kali masuk masjid, kawasan itulah yang
menjadi tempat saya dan anak bersolat, ada bahagian perempuan di sebelah
belakang. Memang berhimpit-himpitlah
dengan Jemaah bangsa lain. Kalau ikut
nak marah, memang asyik maki orang sahajalah, kepala kita yang bersujud pun
dilangkahnya. Bertolak-tolak nak masuk
kawasan solat muslimat, betul-betul belakang multazam, Alhamdulillah sentiasa
dapat solat di kawasan tersebut.
Sementara menunggu waktu maghrib, suami
mengajak saya duduk di tempat saie, kerana di situ orang tidak begitu ramai
berbanding di dalam masjid. Kami
bergerak ke kawasan saie yang terletak tidak jauh dari kawasan belakang
multazam, tempat strategik untuk kami bersolat Jemaah. Dari situ kami lalui satu lorong menuju ke
kawasan saie. Masih ramai Jemaah sedang bersaie, pelbagai kaum dan bangsa. Sambil duduk di tengah-tengah kawasan antara
kawasan saie, mata kami leka memerhati Jemaah yang bersaie, tua, muda, kecil,
besar, ada juga yang berkerusi roda. Ada
yang berlari-lari anak, ada yang berjalan tidak juga yang lari
selaju-lajunya. Kuatnya mereka! Detik
hati kecil saya. Sambil memerhati,
jangan lupa berzikir dan berdoalah agar dikuatkan semangat dan fizikal, esok
kami akan buat umrah lagi.
Kami duduk di
kawasan saie sehinggalah hampir masuk waktu maghrib, perlahan-lahan kami
bergerak masuk semula ke kawasan masjid. Kena ingat jalan yang dilalui. Alhamdulillah, kami mampu mengecam laluan
yang dilalui. Tempat paling saya suka
adalah di belakang Multazam, memang ramai Jemaah perempuan di kawasan itu. Suami pula akan bersolat di dataran
berhampiran Makam Ibrahim, ada ruang solat untuk lelaki disediakan, tidak
mengganggu Jemaah yang sedang melakukan tawaf.
Seperti biasa terpaksa berhimpit dengan Jemaah-jemaah yang berlainan
bangsa dan kaum. Raikan perbezaan. Sementara menunggu azan berkumandang, kami
mengaji dan berzikir sebanyak-banyaknya, kemudian berdoa, berdoa dan berdoa, bukan sahaja untuk diri sendiri
tetapi juga untuk orang lain.
Ketika berada di hadapan Kaabah,
mata pasti akan melekat, terlekat di situ, memerhati lautan manusia, memerhati
Kaabah sepuas-puasnya. Entah bilalah
dapat datang lagi, detik hati kecil saya, panorama bangunan pencakar langit
menghiasi dada langit di hadapan Kaabah.
Jam besar! Sungguh besar.
Sesekali menoleh kiri dan kanan, melihat gelagat manusia yang
pelbagai. Petugas kebersihan masjid, tidak
pernah henti-henti bekerja. Ada sahaja
tugasan mereka, membersih kawasan laluan, tempat solat, mengutip sampah yang
ada, menyapu dan mengelap lantai. Biarpun bersesak, tetapi terasa damai berada
di dalam Masjidil Haram.
Ketika masuk ke dalam kawasan
masjid, kita ada dua pilihan, sama ada hendak buat tawaf sunnat atau solat
tahiyatul masjid dua rakaat, afdalnya buat tawaf sunnat, sama sahaja cara buat
tawaf umrah, Cuma… niatnya sahaja yang lain, tetap tujuh pusingan, rupanya ada
juga Jemaah yang tidak faham, tentang cara lakukan tawaf sunnat, hanya buat dua
tiga pusingan dan selesai. Alahai! Itu sebab kena belajar, jangan sesuka hati
sahaja. Tawaf sunnat tetap kena buat
tujuh pusingan, walaupun tidak dikenakan dam, tetapi tidak sempurnalah jadinya,
selepas tujuh pusingan terus buat solat tawaf dua rakaat. Waktu inilah jika nak pegang Kaabah, Hajar
Aswad, Makam Ibrahim atau bersolat di Hijir Ismail dipersilakan.
Saya tak sanggup berhimpit-himpit
dengan lautan manusia, tolak menolak untuk pegang Kaabah. Uh! Ganas betul. Ketika ini terlihatlah kau,
kau, aku, aku… masing-masing ingin
melepaskan diri, masing-masing ingin mencapai impian sendiri. Hanya mereka yang sering diingatkan membantu
orang lain sahaja yang akan terus membantu, jika tidak, hanya fikirkan diri
sendiri. Ruang solat lelaki dan
perempuan tidak sekali. Selalunya para
Jemaah wanita dan lelaki akan dihalau ke bahagian masing-masing jika terlihat
berkumpul sekali.
“Hajah! Haji! Hajah! Haji!” itulah
perkataan yang keluar dari mulut para pegawai tentera dan polis yang berada di
kawasan masjid, menjaga kawasan, menjaga keadaan Jemaah agar mengikut
peraturan. Saya dan suami sudah
menetapkan tempat pertemuan kali setelah selesai solat iaitu di kawasan tepi
yang dekat dengan air zam zam, melalui jalan itu senang untuk kami pulang
melalui pintu 89.
Sesekali terdengar Jemaah bergaduh
dengan para petugas masjid. Kalau tengok
cawan yang digunakan setiap kali usai minum air zam zam, saya rasa pembekal
cawan tersebut sudah kaya raya agaknya.
Buat pertama kali, kami solat di hadapan Kaabah di malam nisfu
syaaban. Doa kawan-kawan yang mengirim
doa sudah siap saya taip dan bawa setiap masa di dalam beg sandang. Sewaktu
menunggu maghrib. Saya mula membaca doa yang dikirim. Bermohon Allah menunaikan
doa kawan-kawan, mendoakan kawan-kawan yang saya kenal, jauh dan dekat, berdoa
untuk anak-anak, untuk ahli keluarga yang lain juga. Solat di Masjidil Haram, tiada zikir, tiada
doa, semuanya kena buat sendiri. Saya
dan anak baca Yassin tiga kali dan
berdoa. Malam itu, banjiran manusia luar biasa. Penuh kawasan
masjid sehingga laluan pejalan pun dipenuhi manusia, sehingga dihalau oleh para
petugas masjid sekali lagi.
Saya dan anak tetap kekal duduk solat di belakang multazam. Tidak berganjak dan tidak bergerak-gerak, sempit? Ya! Ada Jemaah yang tidur sementara menunggu maghrib, ada yang mengaji. Pandang kiri muka arab, pandang belakang pun sama, tepi pun sama, sebelah saya pun sama. Tiada wajah orang-orang Asia. Kalau ada pun dari Indonesia dengan kumpulan masing-masing. Ada yang berselfie, saya langsung tidak hidupkan telefon, dua minggu tanpa FB dan Whatsapp, ingin berasa beribadah sepenuhnya kepada Allah swt. Telefon tetap bawa, untuk saya ambil gambar sahaja, bukan gambar sendiri. Mata asyik terpaku melihat Kaabah, renung dan tenung sepuas-puasnya. Melihat gelagat manusia, ada yang tercari-cari ahli keluarga yang terpisah. Jika terlepas pegangan, pasti terpisah. Jadi, berhati-hatilah. Saya berdoa sebanyak-banyaknya, berzikir sebanyak-banyaknya. Kesempatan yang ada tidak saya sia-siakan sehingga terlupa hendak merakam azan yang berkumandang. Cukup menyentuh hati, cukup mengasyikkan. Tiada istilah mengantuk apatah lagi melihat Kaabah yang terbentang di hadapan mata.
Saya dan anak tetap kekal duduk solat di belakang multazam. Tidak berganjak dan tidak bergerak-gerak, sempit? Ya! Ada Jemaah yang tidur sementara menunggu maghrib, ada yang mengaji. Pandang kiri muka arab, pandang belakang pun sama, tepi pun sama, sebelah saya pun sama. Tiada wajah orang-orang Asia. Kalau ada pun dari Indonesia dengan kumpulan masing-masing. Ada yang berselfie, saya langsung tidak hidupkan telefon, dua minggu tanpa FB dan Whatsapp, ingin berasa beribadah sepenuhnya kepada Allah swt. Telefon tetap bawa, untuk saya ambil gambar sahaja, bukan gambar sendiri. Mata asyik terpaku melihat Kaabah, renung dan tenung sepuas-puasnya. Melihat gelagat manusia, ada yang tercari-cari ahli keluarga yang terpisah. Jika terlepas pegangan, pasti terpisah. Jadi, berhati-hatilah. Saya berdoa sebanyak-banyaknya, berzikir sebanyak-banyaknya. Kesempatan yang ada tidak saya sia-siakan sehingga terlupa hendak merakam azan yang berkumandang. Cukup menyentuh hati, cukup mengasyikkan. Tiada istilah mengantuk apatah lagi melihat Kaabah yang terbentang di hadapan mata.
Hampir pukul 9.00 malam kami pulang
ke hotel, setelah selesai solat Isyak berjemaah, dan solat jenazah. Suami sudah menunggu tempat yang kami janjikan. Berpusu-pusu dengan lautan manusia pulang ke
sarang masing-masing. Masya-Allah,
ramainya manusia. Lautan manusia,
berbagai bangsa dan bahasa. Terlalu bahagia
ada di sini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan