Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Jumaat, 9 Jun 2017

TRAVELOG UMRAH - BAH. 5 - ASMAH HASHIM.



Hari kedua berada di tanah suci, subuh di hotel sahaja kerana sememangnya tidak mampu hendak bangun seawal 2.00 pagi. Begitu juga zohor, kami solat di surau Hotel.  Makan dan tidur sahaja hari itu.  Malam itu adalah malam nisfu syaaban.  Saya ajak suami dan anak pergi masjid.  Tidak kira, letih atau sakit kaki, masjid harus diterjah.  Bukan mudah hendak dapat beribadat malam nisfu syaaban di Masjidil Haram.  Peluang sudah di hadapan mata, sakit tak sakit, harus pergi juga.  Sebelum asar kami sudah berangkat ke masjid.  Sebabnya, katanyalah, selepas asar, kawasan di luar masjid akan ditutup, tidak dibenarkan Jemaah masuk,  kata merekalah.  Bila sudah berada di dalam masjid, kita takkan tahu apa yang berlaku di luar.  Kami tetap masuk melalui pintu 89, lebih mudah ingat jalan.

            Kami solat asar berjemaah, solat jenazah di belakang multazam, setiap kali masuk masjid, kawasan itulah yang menjadi tempat saya dan anak bersolat, ada bahagian perempuan di sebelah belakang.  Memang berhimpit-himpitlah dengan Jemaah bangsa lain.  Kalau ikut nak marah, memang asyik maki orang sahajalah, kepala kita yang bersujud pun dilangkahnya.  Bertolak-tolak nak masuk kawasan solat muslimat, betul-betul belakang multazam, Alhamdulillah sentiasa dapat solat di kawasan tersebut.  

            Sementara menunggu waktu maghrib, suami mengajak saya duduk di tempat saie, kerana di situ orang tidak begitu ramai berbanding di dalam masjid.  Kami bergerak ke kawasan saie yang terletak tidak jauh dari kawasan belakang multazam, tempat strategik untuk kami bersolat Jemaah.  Dari situ kami lalui satu lorong menuju ke kawasan saie. Masih ramai Jemaah sedang bersaie, pelbagai kaum dan bangsa.  Sambil duduk di tengah-tengah kawasan antara kawasan saie, mata kami leka memerhati Jemaah yang bersaie, tua, muda, kecil, besar, ada juga yang berkerusi roda.  Ada yang berlari-lari anak, ada yang berjalan tidak juga yang lari selaju-lajunya.  Kuatnya mereka! Detik hati kecil saya.  Sambil memerhati, jangan lupa berzikir dan berdoalah agar dikuatkan semangat dan fizikal, esok kami akan buat umrah lagi. 

 Kami duduk di kawasan saie sehinggalah hampir masuk waktu maghrib, perlahan-lahan kami bergerak masuk semula ke kawasan masjid. Kena ingat jalan yang dilalui.  Alhamdulillah, kami mampu mengecam laluan yang dilalui.  Tempat paling saya suka adalah di belakang Multazam, memang ramai Jemaah perempuan di kawasan itu.  Suami pula akan bersolat di dataran berhampiran Makam Ibrahim, ada ruang solat untuk lelaki disediakan, tidak mengganggu Jemaah yang sedang melakukan tawaf.  Seperti biasa terpaksa berhimpit dengan Jemaah-jemaah yang berlainan bangsa dan kaum.  Raikan perbezaan.  Sementara menunggu azan berkumandang, kami mengaji dan berzikir sebanyak-banyaknya, kemudian berdoa, berdoa dan  berdoa, bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi juga untuk orang lain.

            Ketika berada di hadapan Kaabah, mata pasti akan melekat, terlekat di situ, memerhati lautan manusia, memerhati Kaabah sepuas-puasnya.  Entah bilalah dapat datang lagi, detik hati kecil saya, panorama bangunan pencakar langit menghiasi dada langit di hadapan Kaabah.  Jam besar! Sungguh besar.  Sesekali menoleh kiri dan kanan, melihat gelagat manusia yang pelbagai.  Petugas kebersihan masjid, tidak pernah henti-henti bekerja.  Ada sahaja tugasan mereka, membersih kawasan laluan, tempat solat, mengutip sampah yang ada, menyapu dan mengelap lantai. Biarpun bersesak, tetapi terasa damai berada di dalam Masjidil Haram.
           
            Ketika masuk ke dalam kawasan masjid, kita ada dua pilihan, sama ada hendak buat tawaf sunnat atau solat tahiyatul masjid dua rakaat, afdalnya buat tawaf sunnat, sama sahaja cara buat tawaf umrah, Cuma… niatnya sahaja yang lain, tetap tujuh pusingan, rupanya ada juga Jemaah yang tidak faham, tentang cara lakukan tawaf sunnat, hanya buat dua tiga pusingan dan selesai. Alahai! Itu sebab kena belajar, jangan sesuka hati sahaja.  Tawaf sunnat tetap kena buat tujuh pusingan, walaupun tidak dikenakan dam, tetapi tidak sempurnalah jadinya, selepas tujuh pusingan terus buat solat tawaf dua rakaat.  Waktu inilah jika nak pegang Kaabah, Hajar Aswad, Makam Ibrahim atau bersolat di Hijir Ismail dipersilakan. 

            Saya tak sanggup berhimpit-himpit dengan lautan manusia, tolak menolak untuk pegang Kaabah.  Uh! Ganas betul. Ketika ini terlihatlah kau, kau, aku, aku…  masing-masing ingin melepaskan diri, masing-masing ingin mencapai impian sendiri.  Hanya mereka yang sering diingatkan membantu orang lain sahaja yang akan terus membantu, jika tidak, hanya fikirkan diri sendiri.  Ruang solat lelaki dan perempuan tidak sekali.  Selalunya para Jemaah wanita dan lelaki akan dihalau ke bahagian masing-masing jika terlihat berkumpul sekali.

            “Hajah! Haji! Hajah! Haji!” itulah perkataan yang keluar dari mulut para pegawai tentera dan polis yang berada di kawasan masjid, menjaga kawasan, menjaga keadaan Jemaah agar mengikut peraturan.  Saya dan suami sudah menetapkan tempat pertemuan kali setelah selesai solat iaitu di kawasan tepi yang dekat dengan air zam zam, melalui jalan itu senang untuk kami pulang melalui pintu 89.

            Sesekali terdengar Jemaah bergaduh dengan para petugas masjid.  Kalau tengok cawan yang digunakan setiap kali usai minum air zam zam, saya rasa pembekal cawan tersebut sudah kaya raya agaknya.  Buat pertama kali, kami solat di hadapan Kaabah di malam nisfu syaaban.  Doa kawan-kawan yang mengirim doa sudah siap saya taip dan bawa setiap masa di dalam beg sandang. Sewaktu menunggu maghrib. Saya mula membaca doa yang dikirim. Bermohon Allah menunaikan doa kawan-kawan, mendoakan kawan-kawan yang saya kenal, jauh dan dekat, berdoa untuk anak-anak, untuk ahli keluarga yang lain juga.  Solat di Masjidil Haram, tiada zikir, tiada doa, semuanya kena buat sendiri.  Saya dan anak baca Yassin tiga kali dan  berdoa.  Malam itu,  banjiran manusia luar biasa. Penuh kawasan masjid sehingga laluan pejalan pun dipenuhi manusia, sehingga dihalau oleh para petugas masjid sekali lagi.

            Saya dan anak tetap kekal duduk solat di belakang multazam.  Tidak berganjak dan tidak bergerak-gerak, sempit? Ya! Ada Jemaah yang tidur sementara menunggu maghrib, ada yang mengaji. Pandang kiri muka arab, pandang belakang pun sama, tepi pun sama, sebelah saya pun sama.  Tiada wajah orang-orang Asia.  Kalau ada pun dari Indonesia dengan kumpulan masing-masing.  Ada yang berselfie, saya langsung tidak hidupkan telefon, dua minggu tanpa FB dan Whatsapp, ingin berasa beribadah sepenuhnya kepada Allah swt.  Telefon tetap bawa, untuk saya ambil gambar sahaja, bukan gambar sendiri.  Mata asyik terpaku melihat Kaabah, renung dan tenung sepuas-puasnya.  Melihat gelagat manusia, ada yang tercari-cari ahli keluarga yang terpisah.   Jika terlepas pegangan, pasti terpisah. Jadi, berhati-hatilah.  Saya berdoa sebanyak-banyaknya,  berzikir sebanyak-banyaknya.  Kesempatan yang ada tidak saya sia-siakan sehingga terlupa hendak merakam azan yang berkumandang.  Cukup menyentuh hati, cukup mengasyikkan.  Tiada istilah mengantuk apatah lagi melihat Kaabah yang terbentang di hadapan mata. 

            Hampir pukul 9.00 malam kami pulang ke hotel, setelah selesai solat Isyak berjemaah, dan solat jenazah.  Suami sudah menunggu tempat  yang kami janjikan.  Berpusu-pusu dengan lautan manusia pulang ke sarang masing-masing.  Masya-Allah, ramainya manusia.  Lautan manusia, berbagai bangsa dan bahasa.  Terlalu bahagia ada di sini.
           




Tiada ulasan:

Catat Ulasan