Khamis, 15 Jun 2017

-TRAVELOG UMRAH - BAH 7- ASMAH HASHIM




            Sebelum bertolak, ada kawan-kawan yang datang ke rumah, menghulur sedikit buat belanja. Ada juga dari kejauhan mengirim duit untuk kami buat belanja di tanah suci nanti, pesannya, makan sahaja apa yang ada di sana, usah makan di hotel, duit yang dititipkan cukup untuk seminggu.  Wajib habiskan.  Hari kedua, tengahari, kami keluar awal, konon tidak mahu makan di hotel.  Kami singgah salah sebuah restoran, Zam Zam Restoran yang terletak berhampiran Masjidil Haram.  
            Kami mengintai ke dalam kedai.  Saya memandang wajah suami.  Dia mengangkat kening.
            “Mana ada tempat duduk nak makan?” kata saya.
            Saya memandang sekeliling, ramai yang hanya makan di kaki-kaki lima, di tepi tangga.  Konsep restoran di sini agaknya, tiada tempat untuk duduk sambil makan-makan. 
            “Kita beli, kita makanlah di tepi jalan juga,” kata suami.
            Saya hanya mengangguk. Ada pelbagai jenis makanan arab dan Pakistan, roti pun ada, suami membeli dua jenis lauk, dua keping roti dan sebungkus nasi beriani kambing. Harga boleh tahan, tetapi kerana banyak, boleh makan lima orang tidaklah terasa mahal sangat. 
            Usai membeli, kami menapak mencari tempat strategik untuk duduk sambil menjamu selera.  Tengok kiri, tengok kanan. Pandang tepi, pandang depan, semuanya ada orang, penuh.  Seronok pula tengok mereka makan, tidak kira lelaki dan perempuan. Kebanyakkkannya mungkin ada hubungan kekeluargaan.
            “Nak duduk kat mana ni? Semuanya penuh?” soal anak perempuan saya.
            Kami berjalan lagi sehingga sampai di dataran Masjidil Haram, tidak mungkin bawa makanan itu ke dalam masjid, sudah tentu tidak akan dibenarkan. Kami terus berjalan dan berjalan, sehingga sampai hadapan  Al Rajhi Bank.  Ada tempat kosong di tepi kaki lima itu.

            “Kat situ pun bolehlah,” kata saya.

            Suami akur, kami terus duduk di tepi kaki lima tersebut.  Dua  helai plastik yang dibekalkan oleh restoran tadi, kami bentang dan letakkan makanan.  Orang yang lalu lalang menoleh tidak berhenti. Hairan? Mungkin? Kerana tiada orang Melayu yang duduk makan kecuali kami agaknya.  Biarlah mata yang melihat, asalkan dapat rasa masakan yang terhidang.
            Sedang enak menikmati makanan yang dibeli, datang seorang perempuan Pakistan, mungkin, dilihat pada caranya berpakaian.  Dia duduk di sebelah kami, membuka bekas makanan yang dibawa.  Saya hanya menjeling dengan ekor mata.  Nasi arab, tetapi tiada lauk di dalamnya,  Allah! Hanya tulang ayam. Mungkin dia perolehi sewaktu beratur mendapatkan makanan yang disedekahkan, kebetulan cedukan nasi itu terkena di bahagian tulang ayam tidak ada isinya.  
            “Kasihannya bang, tidak ada lauk, hanya nasi dan tulang ayam,” bisik saya kepada suami.
            Suami menoleh.  Dia menceduk lauk ayam yang kami beli, masih berbaki dan masih banyak.  Diletakkannya ke dalam bekas makanan perempuan tadi.  Dengan bahasa yang kami tidak faham, mungkin dia mengucapkan terima kasih. Kami menghabiskan nasi dan roti yang dibeli, lauk? Memang banyak dan tidak mungkin mampu dihabiskan.  Sekali lagi suami mengisi bekas nasi perempuan Pakistan tadi denga nisi ayam, pada mulanya ditolak, mungkin perempuan itu sudah biasa makan nasi tidak berlauk.  Saya menunjukkan isyarat tangan menyuruh dia makan sahaja. Sekali lagi dia mengucapkan terima kasih dengan bahasa yang tidak kami fahami.  Sebelum berlalu masuk ke dalam masjid, suami menghulurkan wang rial kepadanya.  Dia memandang wajah kami silih berganti, menadah tangan dan berdoa.  Allahu Akbar! Kecil sahaja pemberian kami itu. Mungkinkah dia orang susah? Mungkinkah dia dalam keadaan musafir seperti kami?  Tidak kami ketahui.  Sudi-sudikanlah bersedekah tetapi jangan dilihat oleh orang lain, takut tidak terberi nanti. Ramai juga yang susah di sana. Terutama pekerja-pekerja asing, mereka tidak meminta, tetapi menunggu untuk diberi sedekah.
            Seminggu makan nasi arab dan India?  Rasanya tidak tertelan dek tekak.  Nasi putih juga sedap di mata dan tekak.  Hanya tiga kali sahaja kami merasa makan nasi arab, India dan Pakistan.  Selebihnya kami makan apa yang ada di hotel.  Tak boleh telanlah, biarpun sedap. Ayam bakar yang menyelerakan  dari Restoran Makkah yang terletak tidak jauh dari Masjidil Haram, berhampiran dengan hotel tempat kami menginap.  Di restoran tersebut ada tempat makan di bahagian atas, tidak ramai orang yang makan di situ.   
            Jangan harap hendak duduk bersantai ya, konsep restoran di sana, bungkus dan makanlah di mana sahaja, di tepi jalan atau di dalam bilik sendiri.  Jangan beli banyak, perut kita, perut orang Asean, jumlah yang mereka hidangkan rasanya untuk perut orang-orang sebelah Asia Barat, banyak, boleh makan tiga orang, kalau perut kecillah.
            Kalau datang ke Mekah, jangan lupa merasa ais krim dan jus buah-buahannya yang pekat dan manis.  Sempat beli dua kali sahaja ais krim, terlalu manis.   Kebetulan saya kurang makan makanan yang manis-manis, sesekali bolehlah.  Kalau tengok buah pisang yang terjual di kedai-kedai serbaneka mereka, memang mengiurkan.  Begitu juga dengan aneka jenis roti yang terjual.  Kenalah cuba, tak cuba tidak tahu selera mereka.  
            Sepanjang perjalanan hendak ke Masjidil Haram, kita akan menjamu mata melihat barang kemas yang tersusun, harga emas sama sahaja, aneka jenis jubah pelbagai fesyen, lip lap, lip lap… barang-barang cenderhati berharga dua riyal, boleh kering poket dibuatnya. Ingat boleh pandang sahaja?  Kalau tidak kuat iman, boleh habis duit yang dibawa. Jangan pandang-pandang, nanti tergoda!
            Kalau hendak beli Jubah, baik lelaki atau perempuan, belilah di Madinah, sebab harganya lebih murah dan lebih cantik. Tapi… kalau barang-barang cenderhati, baik beli di Mekah, lebih murah dan banyak pilihan.
            Di Mekah, orang boleh tidur di mana sahaja, di kaki lima dataran masjid, di dalam masjid. Tidak akan dihalau kecuali ketika kawasan masjid akan dibersihkan.  Jadi, usah berasa hairan, raikan sahaja, bukan semua mampu tinggal di hotel.  Seronok melihat perangai manusia yang berbagai ragam.  Senyum sahaja, tidak perlu kata apa-apa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan