14 Syaaban, kami bercadang untuk
beriktikaf di masjid sempena malam Nisfu Syaaban. Ya Allah! Tiada ucapan yang mampu saya luahkan ketika dan saat itu, buat pertama kali
kami berada di tanah suci Mekah di Masjidil Haram pada hari dan malam Nisfu Syaaban,
malam yang dikatakan para Malaikat membawa lembaran amalan setiap manusia naik ke langit setelah tempoh
setahun berlalu dan diganti dengan lembaran amalan yang baharu. Malam yang penuh berkat dan rahmat serta
makfirah daripada Allah swt. Kami
melangkah ke dalam masjid, setelah solat asar berjemaah, kami masuk ke bahagian
kawasan saie untuk berehat sementara menunggu waktu maghrib. Sambil itu mata
memerhatikan para jemaah yang sedang bersaie. Seperti biasa, kekaguman membalut diri. Kuatnya semangat para jemaah yang datang dari
pelbagai negara, bangsa dan kaum.
Sementara menunggu, kami banyak
menghabiskan masa dengan mengaji dan berzikir.
Hampir waktu maghrib barulah kami masuk semula ke dalam kawasan masjid,
tempat yang biasa saya dan anak duduk beriktikaf adalah tempat yang berhampiran
dengan kawasan multazam atau belakang Makam Ibrahim, ada tempat solat wanita di
bahagian belakang. Saya
mengintai-ngintai kawasan tersebut.
Kelihatan seperti penuh, mata terus mencari, Alhamdulillah, ada ruang
yang muat untuk saya dan anak. Saya
terus melangkah masuk ke kawasan tersebut.
Anak gadis saya mengikut sahaja dari belakang.
Kami terus melabuhkan punggung di kawasan
tersebut. Sementara azan berkumandang,
sempat lagi rasanya membaca Yassin tiga kali.
Usai membaca doa dan Yassin sehingga selesai, mataku meliar lagi,
memerhati. Masya-Allah! Lautan manusia lagi. Semakin ramai Jemaah memenuhi
ruang di dalam Masjidil Haram. Para petugas
masjid sudah mula menjerit-jerit menghalau Jemaah yang duduk di bahagian yang
tidak sepatutnya, ada yang dihalau, ada juga yang berdegil, malah melawan. Ragam manusia, kalau tidak sabar, kita juga
akan terbabit sama.
Malam itu, kami bersolat di hadapan
Kaabah dengan penuh tawaduk, merendah diri, terasa kerdil diri ini, air mata
mengalir setiap kali doa dititipkan.
Bersyukur, memohon ampun, semoga diterima segala ibadah, tidak mudah
lupa diri, tidak bongkak dan sombong ketika berjalan di muka bumi ini. Semoga Allah swt memberi yang terbaik buat
diri dan keluarga saya. Barisan Jemaah yang tidak henti-henti beribadat, ada yang mengaji,
solat sunat bersambung-sambung, berdoa
dan mengaji selagi mampu dan berdaya.
Ada yang berdoa dengan cucuran air mata, mungkin juga doanya sama dengan
saya dan Jemaah yang lain, memohon keampunan dan diterima segala amalan.
Berada di tanah suci, tiada niat
lain, selain ingin beribadat sepuas-puasnya, seolah-olah kita akan mati
keesokkan harinya, itulah yang kita rasa.
Ya, bukan mudah untuk selalu berada dan beribadat di hadapan Kaabah, rukuk
dan sujud hanya kepada Allah swt. Tempat
yang banyak pahala, tempat yang penuh rahmat dan keberkatan, setiap doa akan
dimakbul dan amalan digandakan. Bukan
semua orang mampu berada di sini, bukan kerana wang ringgit yang banyak, bukan juga
kerana harta melimpah ruah maka kita mampu menjejakkan kaki ke tanah suci
Mekah. Hanya mereka yang dijemput oleh
Allah swt sahajalah yang mampu sampai.
Kata orang, ketika berada di tanah
suci, usahlah merepek yang bukan-bukan. Katanya lagi, setiap apa yang keluar
dari mulut kita mahupun yang baik atau yang buruk, akan termakbul. Jika berasa marah, eloklah segera
beristighfar, jika tidak sabar, memohonlah kekuatan daripada Allah swt. Kena banyak bersabar dengan kerenah manusia,
kena bersabar kerana kepenatan melakukan ibadat umrah. Hati kena kuat, jiwa kena bersemangat,
sebaiknya berdoalah sejak di tanah air lagi, ingin melakukan ibadat sepenuhnya,
dan segala urusan dipermudahkan Allah swt.
Allahkan Maha Mendengar, dan tidak mustahil segala urusan ibadat kita
akan menjadi mudah. Itulah yang saya
alami. Alhamdulillah, segala ibadat
wajib mahupun sunat mampu kami lakukan sebaik mungkin. Biarpun fizikal tidak sekuat mana, hati kena
ada semangat. Habis waktu Isyak, barulah
kami pulang ke hotel semula. Puas rasanya, terpenuhi segala impian.
Esok, adalah hari Jumaat, kami akan
melakukan umrah buat kali kedua dan akan solat Jumaat di Masjidil Haram. Subhana-Allah, tidak tergambar dengan
kata-kata, peluang dan ruang yang ada, tidak akan kami sia-siakan. Usah difikirkan lautan manusia, besar atau
kecil, bersesak atau berhimpit, raikan sahaja. Kerana, masjid itu tidak akan
sunyi daripada kehadiran manusia yang pelbagai bangsa dan ragam. Sama-samalah kita berkongsi ruang dan
tempat untuk beribadat. Jika kita ingin meraih syurga Ilahi, keampunan dan
kasih sayangnya, begitu juga dengan orang lain.
Pada 15 Syaaban, hari Jumaat pula itu, kami melakukan ibadat yang amat
besar dan bererti buat kami, umrah.
Alhamdulillah, Allah telah memilih hari dan bulan yang baik buat kami
untuk beribadat kepadaNYA, semoga kami mampu istiqamah sehingga pulang ke tanah
air nanti, aamiin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan