Selasa, 4 Julai 2017

TRAVELOG UMRAH - BAH. 9




            Jumaat pagi,  Sebaik bangun tidur, kami terus mandi sunat ihram kerana hari ini kami akan melakukan umrah sekali lagi dan berihram, nanti tidaklah terkejar-kejar. Usai solat subuh berjemaah di surau hotel, kami turun bersarapan. Seperti biasa menunya tetap sedap ditekak, terutama roti bakarnya.  Sambil menyapa Jemaah sekumpulan, kami menikmati juadah dengan berbual-bual tentang diri masing-masing dan keluarga.  Kak Haslina atau Lina berasal dari Alor Gajah Melaka, mengerjakan umrah bersama suami dan ibu tirinya.  Ibu tiri?  Pada mulanya saya terkejut juga, baiknya hati, menghadiahkan pakej umrah buat ibu tirinya sempena hari lahir kelahiran wanita itu. 

            Sudah dasar penulis, tidak korek cerita, takkan sah. Sudah seperti wartawan tidak bertauliah.  Setiap orang yang kita temui, pasti ada cerita yang tersembunyi, ada yang sudi berkongsi cerita, ada yang tidak.  Kak Lina kehilangan ibu sejak lahir, tetapi arwah ayahnya berkahwin semula setelah dia berusia lima tahun.  Wanita yang dibawa bersama mengerjakan umrahlah yang menjaga dia dan adik beradiknya yang lain.  Katanya, dia bertuah dikurniakan seorang ibu tiri yang terlalu baik. Tidak pernah menyakitkan hati adik beradiknya, menjaga adik beradiknya seperti anak sendiri,  tidak pernah pilih kasih, memenuhi segala keperluan mereka dengan sempurna, saya melihat lelehan air matanya sewaktu bercerita, Allahu Akbar! Susah juga jika hati ada taman, saya pula turut menangis bersama-sama, terharu sebenarnya.  Bertuah Kak Lina dikurniakan seorang insan yang penyayang.  Entah bilalah dapat    bertemu dengan mereka lagi.

            Jam 7.30 pagi, kami diminta berkumpul di lobi hotel, kerana hari ini kami akan ke Tanaim, untuk buat umrah kali kedua.  Kepala ligat berfikir, entah bagaimana pulalah keadaan kota Tanaim yang menjadi miqat bagi mereka yang telah pun berada di tanah haram.  Jauhnya hanya tujuh kilometer dari Bandar Mekah.  Kami ke sana dengan menaiki bas yang telah disewa khas.  Sebut pasal bas, seawal jam 7.00 pagi, kita akan lihat deretan bas menenuhi jalan di sepanjang laluan hotel-hotel yang terdapat di Masjidil Haram.

            Jemaah lelaki sudah siap berihram, Jemaah wanita hanya bertelekung dan berseluar panjang, berstokin.  Sepanjang  perjalanan tidak kira ke mana dan hendak ke mana, perbanyakkanlah berselawat dan berzikir.  Sebaik sampai di Tanaim, usah berkata apa-apa. Hanya sebuah bandar kecil yang menjadi tumpuan para Jemaah haji dan umrah hanya untuk Miqat sahaja. Tidak kelihatan banyak kenderaan di hadapan masjid, mungkin masil awal lagi dan kebetulan adalah hari cuti umum buat penduduk Mekah.  

            Setelah diberi penerangan oleh Ustaz Hisyam, kami melangkah masuk untuk solat tahiyatul Masjid, Dhuha dan Sunat ihram, setelah selesai, kami menaiki bas semula untuk kembali ke Mekah. Ustaz Hisyam mula membaca doa naik kenderaan dan juga niat umrah, maka terikatlah kami semua dengan 13 hukum dan syarat ketika berihram. Allah! Di pagi yang cerah, hari Jumaaat, penghulu segala hari, Nisfu Syaaban pula itu, kami diberi kesempatan beribadat, mengerjakan umrah.  Syukur, Alhamdulillah.

            Sambil itu sempat lagi Ustaz Hisyam menunjukkan Jabal Nur di situ terdapatnya Gua Hira’, tempat di mana Rasulullah saw berkalwat dan menerima Wahyu kenabian Baginda.  Jabal Nur cukup curam, ketinggiannya 281 meter, dengan ketinggian sepanjang  pendakian sekitar 645 meter, cukup tinggi, namun menurut Ustaz Hisyam, ada kenderaan menuju ke puncak. Mula-mula menaiki bas, kemudian sebuah kenderaan lain atau pacuan empat roda akan membawa Jemaah menuju hampir dengan puncak Jabal Nur, selebihnya mendaki anak tangga. Kena bayar tambahan 25 riyal seorang.  Saya mengajak suami turut serta, dia menolak, takut tak mampu mendaki, sedangkan hari ini sudah pasti akan berhabis tenaga untuk mengerjakan umrah.  Saya akur, takkan nak pergi juga, sedangkan mereka bertolak pukul 10.30 malam.  

            Bas yang membawa kami terus melalui terowong menuju ke kawasan Masjidil Haram di bahagian bawah, ada eskeletor menuju betul-betul di dataran Masjidil Haram.  Wah! Dekat juga, boleh naik teksilah kalau hendak ke masjid bagi mereka yang tidak mampu berjalan kaki. Namun, memikirkan kawasan di hadapan barisan hotel sering sangat mengalami kesesakan, rasanya berjalan kaki lebih cepat daripada menaiki kenderaan.

            Sebenarnya, kaki saya masih sakit, tumit masih  berdenyut, tapi semangat!  Semangat kena kuat. Ini kerja fizikal, saya tidak berhenti-henti berdoa, agar Allah sempurnakan ibadah umrah saya buat kali kedua ini, biar sakit, biar rebah, saya akan bertahan selagi mampu.  Bukan mudah hendak dijemput Allah mengunjungi Kaabah dan Tanah suci ini. Saya bukan orang berada, datang ke mari pun dengan ehsan orang. Memikirkan sebab-sebab itu, kami terus bersemangat, berdoa, dan yakin Allah itu Maha Mendengar doa hamba-hambaNYA.

            Kami sampai di Masjidil Haram, Jam 9.00 pagi, namun cahaya matahari sudah begitu memeritkan.  Benarlah, biarpun cuaca membahang panas di Kota Suci ini, namun kepanasannya tidaklah sampai meletihkan atau membuatkan peluh kita berbau tengit.  Masih mampu bertahan untuk meneruskan  ibadah.  Seperti biasa, kami akan memasuki pintu 88 ataupun 89, mudah untuk kami pulang ke hotel nanti.

            Sampai sahaja di hadapan pintu masjid, niat iktikaf, masuk kasut dalam beg plastik atau beg yang dibawa sendiri, hendak tinggalkan di rak kasut pun boleh, hendak bawa bersama pun boleh, asalkan tiada najis dan kekotoran yang dibawa.  Seperti biasa, minum air zam zam sebelum memulakan ibadah umrah.  Allah! Melihat Kaabah di hadapan mata, biar berpuluh kali melihatnya, tidak akan terbit rasa jemu di hati.  Terasa tenang, damai dan tiada perkataan yang mampu diungkapkan. Kami turun di tangga yang sama, berhampiran dengan Rukun Yamani, berjalan sehingga nampak lampu hijau dan bahu berada di sebelah Kaabah, sebelum sampai  di hadapan Hajar Aswad, niat tawaf dibaca dan bermulalah ibadah tawaf sepanjang tujuh pusingan sehingga selesai, bacalah doa yang kita tahu, mintalah apa sahaja, biarpun dipandu oleh Ustaz Hisyam. Kali ini terasa mudahlah pula, terasa senanglah pula. Tidaklah saya terkejar-kejar Ustaz Hisyam, saya berdoa apa yang saya tahu, minta apa sahaja, selain meminta Allah beri kekuatan kepada saya untuk melakukan ibadah umrah sehingga selesai.  Peluh mula membasahi tubuh, sesekali menyapu peluh yang membasahi muka.  Jalan tidak pandang kiri kanan, kadang-kadang baju saya ditarik oleh suami dan anak kerana berjalan tidak masuk dalam kumpulan.  Allah! Ikut kakilah.  

            Bagi mereka yang melakukan tawaf di hadapan Kaabah, akan terasa sekejap sahaja, kerana pusingannya tidaklah sejauh berada di tingkat satu bagi mereka yang menggunakan kerusi roda.  Tujuh pusingan selesai dengan jayanya, saya mengucap syukur, kami terus berjalan sehingga sampai di hadapan Makam Ibrahim, terus berjalan dan mencari tempat untuk solat sunat tawaf.  Ketika bertawaf wajib, usahlah memandai hendak pegang Makam Ibrahim, Hajar Aswad atau pun Kain Kaabah, takut-takut terkena minyak wangi yang disapu padanya, batal pula tawaf kita itu.  Kalau teringin sangat nak sentuh Hajar Aswad, Makam Ibrahim, Kelambu Kaabah, atau solat di Hijir Ismail, lakukanlah sewaktu buat tawaf sunat, ketika itu tiada ikatan apa-apa.

            Usai solat sunat tawaf, berdoa, minum air zam zam, kami ke tempat saie pula, kali ini naik ke tingkat satu, agak berbukit sedikit dan boleh pijak bukit yang sebenar.  Baik, kami ikut sahaja, ingin berasa pengalaman yang berbeza pula kali ini. Allahu! Sekali lagi, saya tetap berdoa agar diberi kekuatan.  Tujuh pusingan, satu pusingan, satu kilometer  perjalanan antara Bukit Safa dan Marwah.  Menghadap kiblat, berdoa dan meneruskan perjalanan sambil membaca doa yang terdapat di dalam buku panduan umrah dan haji.  Jangan bimbang, tetap sama, boleh berdoa ikut keperluan kita sendiri. Tidak terikat harus atau wajib ikut doa yang dibaca oleh mutawif.  Kali ini sudah bijak sedikit, kami tidak ikut langkah Ustaz Hisyam, tapi kasihan juga, sampai di puncak bukit, baik di Bukit Safa atau Marwah, beliau akan tunggu semua Jemaahnya berkumpul.  Pandai-pandailah melangkah.  Penat juga bersaie di tingkat satu ini, memang berbukit pun, orang tualah katakan.  Aku memaut lengan suami.  Tak mengapa, saie tidak memerlukan kita ada wuduk.  Pandai-pandailah, agar tidak sampai terbatal wuduk.

            Tujuh pusingan selesai dengan jayanya.  Alhamdulillah. Sakit kaki semakin terasa, semakin berdenyut.  Allah! Sabarlah hati. Namun kali ini agak istimewa, kita boleh pijak batuan kerikil yang sebenar, bukan tal.  Berkilat batunya, keras dan boleh tahanlah tajamnya, kami bertahlul, menyelesaikan kerja umrah kami. 

             Alahai, Ramainya manusia, maklumlah hari Jumaat, baru pukul 11.30 pagi, orang sudah memenuhi ruang di dalam masjid sehinggalah di kaki Bukit Marwah bersedia untuk solat Jumaat.  Kami tidak akan keluar dari kawasan Masjidil Haram, melihat lautan manusia, fahamilah kami bahawa di dalam kawasan masjid dan di hadapan Kaabah sudah dipenuhi manusia.  Bahagian jalan hendak masuk ke dalam kawasan Kaabah sudah pun ditutup.  Tiada pilihan, terpaksalah duduk di kawasan saie yang ketika itu sudah pun dipenuhi oleh para Jemaah pelbagai bangsa dan warna kulit.

            Kelihatan para petugas masjid sedang mengais keluar kasut-kasut atau selipar yang diletakkan di atas para bangunan masjid.  Dimasukkan terus ke dalam plastik sampah hitam, jangan ingat kasut teman-teman kena curi, kalau ketika keluar masjid tidak kelihatan lagi selipar masing-masing, jangan salah letak dan tidak letak di tempat yang sepatutnya, alamat dibuang oleh para petugas masjid.

            Usai solat Jumaat, kami tidak lagi bersama Jemaah dan Ustaz Hisyam, kali ini keluar dari kawasan, ikut suami, kami keluar di pintu yang lain,  terus menuju ke dataran belakang Masjidil Haram. Alamak! Nak lalu mana ini?  Kelihatan lori kecil membawa jenazah-jenazah yang disolatkan tadi menuju ke perkuburan, diiikuti barisan manusia di belakangnya.  

            Orang begitu ramai, kami hilang punca, saya menyuruh suami masuk semula ke kawasan saie tadi, dia menolak, kami ikut Jemaah lain melalui pintu Al Arqam, belum sempat masuk, kami ditolak keluar.  Fuh!  Kami tidak tunggu lagi, terus bergerak meninggalkan kawasan tersebut, menuju ke bahagian eskelitor menuju ke tingkat bawah bahagian saei.  Hanya jalan itu yang saya yakin akan membawa kami menuju ke pintu 89.  Memang benar, syukur, akhirnya bertemu jalan keluar.  Luas tahu Masjidil Haram, banyak pintu, banyak lorong,  kena pastikan betul-betul, kalau tidak sesatlah.  Alhamdulillah, Allah izinkan kami menyelesaikan ibadah umrah buat kali kedua dengan jayanya.

            Akhirnya kami selamat keluar dari kawasan masjid dan terus pulang ke hotel.  Badan letih dan lesu, tekak haus, air zam zam menjadi pilihan untuk menyegarkan diri.   Sampai di  hotel terus ke tempat makan untuk makan tengahari.  Hari itu, kami rehat sepuas-puasnya.  Esok, aktiviti bebas.  Tidak ke mana-mana, pandai-pandailah sendiri.  

            Malam itu, kami mencuba makanan India/Pakistan di salah sebuah restoran yang terdapat  berhampiran hotel.  Kami pesan nasi sebekas, roti dan ayam panggang.  Ayamnya sedap, nasinya banyak, dan roti minta dua, dibagi lima, siapa nak habiskan?  Ingat perut orang Arabkah? Akhirnya makanan yang berbaki kami bawa balik ke hotel dan beri kepada petugas hotel tersebut.  Jangan membazir.  Nasi sebekas boleh makan empat orang.  Kalau nak makan, kongsi-kongsikan dengan kawan.  Takkan terhabis makan seorang.  Apapun kenalah cuba, pengalaman yang menarik dan puas hati.

Ibadah yang kita lakukan kerana Allah, maka jangan berhenti berdoa dan meminta agar dipermudahkan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan