Aku
melangkah masuk ke dalam rumah. Badan terasa sengal dan letih. Seharian
bekerja membuatkan tubuhku cepat berasa penat.
Faktor usia? Mungkin tidak, masih terlalu muda. Sebaik pintu utama dibuka, dahiku berkerut
seribu. Subhana-ALLAH! Apa sudah jadi dengan
rumahku? Kenapa bersepah? Kenapa tidak berkemas. Aku mendengus kasar. Badan yang letih, minda yang serabut,
bertambah serabut ketika melihat keadaan rumah yang bersepah seperti itu. Ya ALLAH! Mana perginya isteriku? Apa yang dia buat sepanjang berada di
rumah? Tidak mungkin hanya duduk
bersembang dengan jiran tetangga sehingga lupa mengemas dan membersihkan rumah.
Permainan anak-anak merata tempat. Tiada
seorang pun di rumah, mereka ke mana?
“Liya! Liya!” jeritku, kemarahan
menembak ke hati. Aku pantang rumah
bersepah. Sudahku beritahu dan sebagai
seorang isteri, aku pasti dia tahu.
Tidak pernah rumah berada dalam keadaan seperti itu. Apa yang telah
mengganggu masa isteriku? Adakah menjaga
anak seorang pun tidak dapat diuruskan? Kenapa harus ikut perasaan malas? Tidak
tahukah menjaga kebersihan itu tuntutan dalam agama? Aku mengeluh kesal. Mataku masih tidak terlepas pandang melihat
keadaan ruang tamu yang bersepah dengan alat permainan dan makanan. Kusyen berterabur di lantai. Langsir tidak diselak. Bagaimana cahaja hendak masuk? Aku terus membebel dalam hati. Langkah diatus
semakin laju menuju ke dapur pula. Hampir terjojol mataku melihat singki yang
masih penuh dengan pinggan mangkuk bekas sarapan pagi tadi. Semakin berapi-api pula peraaan marah yang
menghenyak dalam hatiku.
Aku mengetap bibir. Bayang isteriku masih tidak kelihatan. Keluhan demi keluhan terlahir di bibirku. Perasaan geram, marah berombak-ombak dalam dada. Panggilanku tidak bersahut. Dia ke mana? Aku melangkah keluar rumah. Tercangak-cangak mengintai ke dalam rumah jiran sebelah. Isteriku sering berada di rumah jiran sebelah. Kali ini dia ke mana? Ke mana? Marahku dalam hati.
Aku mengetap bibir. Bayang isteriku masih tidak kelihatan. Keluhan demi keluhan terlahir di bibirku. Perasaan geram, marah berombak-ombak dalam dada. Panggilanku tidak bersahut. Dia ke mana? Aku melangkah keluar rumah. Tercangak-cangak mengintai ke dalam rumah jiran sebelah. Isteriku sering berada di rumah jiran sebelah. Kali ini dia ke mana? Ke mana? Marahku dalam hati.
Bukan tidak sayang isteri, tetapi
kasih sayang yang diberi bukan menjadi tiket untuk bermalas dan sehingga lupa
akan tanggungjawab. Bukan suruh buat
kerja berat, hanya menguruskan rumah tangga.
Memang benar, tanggungjawab menguruskan rumah tangga terpikul di bahu
seorang suami, jika aku mampu menyediakan pembantu rumah, aku harus menyediakan
seorang pembantu rumah. Tugas seorang
isteri adalah melayan suaminya sahaja.
Apakan daya, aku tidak mampu
menyediakan keperluan itu. Aku berharap,
isteriku akan melakukan kerja-kerja rumah dengan baik, menjaga makan pakaiku
dengan sempurna. Tidak minta lebih pun.
“Cari apa dan siapa Man?” tanya
jiran sebelah.
Aku hanya menyengih. Tidak menjawab pertanyaan jiranku itu. Kak Bedah, ramah dan baik orangnya. Sudah
seperti keluarga sendiri. Hidup berjiran,
begitulah sepatutnya. Keluarga, nun jauh
di kampung. Jiran sebelah menyebelahlah saudara terdekat jika ingin meminta bantuan. Aku menggeleng laju. Sekali lagi langkahku atur masuk ke dalam
rumah. Terasa tebal mukaku. Tidak mungkin aku memberitahu, isteri dan anakku
sudah menghilangkan diri.
Pelbagai persoalan bermain
difikiranku. Memikirkan sikap dan
tindakan isteriku tersayang. Semakin
penat dan letih jadinya. Semakin semak dan bercelaru fikiranku. Nanti kau! Detik hati kecilku. Marah! Memanglah aku marah. Tiada minuman petang, rumah bersepah. Dari ruang tamu sehinggalah ke dapur. Siapa tidak marah? Aku mengeluh berat. Berdenyut kepalaku.
Aku bergegas ke bilik yang terletak
di tingkat atas rumah teres dua tingkat itu.
Daun pintu kutolak kasar, menggambarkan perasaan marahku yang
membuak-buak. Berasa tercabar dengan apa
yang berlaku. Nasib baik hanya aku yang pulang, bagaimana jika aku ada membawa
tetamu? Apa kata mereka ketika melihat keadaan rumahku yang bersepah itu. Malu!
Tentulah aku akan malu. Orang boleh cakap, aku tidak pandai mengajar
isteri. Isteriku tidak tahu menguruskan
rumah tangga. Siapa yang
bertanggungjawab? Bukankah aku?
“Abang!” sapa Liya yang berbaring di
atas katil.
Aku mengerutkan dahi, mendekati
isteriku yang terbaring lemah. Anak di
sebelah nyenyak tidurnya. Aku mengeluh
berat lagi.
“Sayang kenapa?” tanyaku
perlahan.
“Liya demam, maaflah tak sempat nak
mengemas rumah, hari ini, Liya hanya tidur dan uruskan Aiman sahaja,” cerita
Liya.
Aku menepuk dahi. Berasa bersalah,
aku tersalah anggap, aku berperasangka buruk terhadap isteriku sendiri. Tidak sepatutnya aku melakukan kesalahan
seperti itu. Sepatutnya aku cari
isteriku sampai ketemu, bertanya dan baharulah buat kesimpulan. Ya ALLAH, isteriku demam rupanya.
“Kita ke klinik ya? Kenapa tidak
telefon abang?” tanyaku.
“Ingatkan selepas tidur, rasa nak
demam itu akan lega. Rupanya tidak,
malah semakin teruk,” ujar Liya.
Wajahnya pucat lesi. Ya ALLAH! Aku berdosa kepadanya.
“Maafkan abang sayang!” ucapku, lalu
mencium dahinya. Aduhai isteriku.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan