Rabu, 27 September 2017

HATI SEORANG EMAK - ASMAH HASHIM ( CERPEN)



Wajah muram abang sulong kupandang lama.  Resah yang mengusik hati, berbalut galau yang tidak henti-henti menjamah seluruh qalbunya.  Riuh-rendah suara anak-anak yang bermain di luar rumah langsung tidak menarik perhatianku.  Keluhan yang terlahir seperti bercerita apa yang sedang bersarang di jiwa.  Kelam malam, lebih kelam hatiku sekarang.  Jalan yang dilalui di malam yang gelap gelita begitu sukar untuk dicari simpangnya. Panggilan telefon daripada adik-beradik yang lain disambut dingin.  Bukan tidak ingin bercerita atau meluahkan apa yang dirasa tetapi terasa bagaikan tidak ada kesudahannya.  Bukan mengurangkan masalah, malah menambah rasa geram dan marah di hati.  Masing-masing sudah tidak mampu lagi.  Masing-masing menolak dengan alasan yang logik diterima akal yang sihat.  Namun bagiku, apa sahaja alasan yang diberi, itu tidak seharusnya terjadi. 
            “Along nak balik, pandai-pandailah kau jaga mak,”  ucap Hassan.
            “Takkan nak lepas tangan sahaja along?  Siapa nak jaga emak?”  bebelku geram.
            “Angahlah jaga, kan angah anak perempuan?” 
            “Angahkan kerja!  Along anak lelaki, sewajibnya along yang jaga,” jelasku dengan wajah berkerut seribut.  Geram betul dengan perangai abang sulongnya yang sering lepas tangan dalam menguruskan urusan emak kandung kami. Mahu sahaja aku baca khutbah panjang agar dia mengerti bahawa tanggungjawabnya kepada orang tua kami sehingga ke  akhirat.
            “Along tak laratlah…  dengan cucu along pun mak cari gaduh! Cucu along baharu tiga tahun,”  jelas along.
            Aku terdiam.  Itulah perangai emak yang membuatkan anak-anak tidak tahan. 
            “Biarlah mak seminggu dua di sini.  Bila dia sudah jemu, angah telefon sesiapa pula,”  ajar along.
            Aku mencebik. Itu tidak perlu diajar.  Tahulah aku mengguruskannya.  Emak memang begitu.  Tidak betah tinggal berlama di rumah anak-anaknya yang seramai enam orang itu.  Bayangkanlah setiap minggu dia akan merantau dari satu rumah ke satu rumah.    Aku memandang sahaja langkah along meninggalkan rumahku.  Kemudian mataku singgah di wajah emak yang termenung jauh.
            “Mak, sudah makan?” tanyaku lembut.  Bercakap dengan emak tidak boleh bentak-bentak atau sambil lewa, mudah tersentuh hatinya.  Mungkin faktor usia, dia mudah terasa hati, biarpun bukan ada niat untuk menguris hatinya.  Penat juga melayan kerenahnya.  Sebagai anak, aku terpaksa belajar menerima emak seadanya, seperti mana dia menerimaku dan adik-beradik yang lain seadanya.
            “Sudah, along beli murtabak pagi tadi,” ceritanya.  Masih tidak terlakar senyuman di bibir tuanya.  Entah apa yang ada di dalam fikirannya. 
            “Angah tak kerja?” tanya emak.
            “Cuti mak… hari inikan, hari minggu,” jawabku.  Sudah lupa harikah emak?  Tidak mungkin nyanyuk sudah bertandang datang? 
            “Ooo… mak ingatkan hari ini, hari Isnin,”  ulas emak, senyuman mekar terlakar.
            “Tengahari ini nak makan apa pula?” tanyaku, sudah menjadi tanggungjawabku.  Sebenarnya nasi dan lauk-pauk sudah siap terhidang di meja makan.  Suami dan anak-anak ke rumah jiran berhampiran, ada kenduri doa selamat.  Aku tidak turut serta setelah mengetahui along hendak hantar emak ke rumahku.
            “Teringin nak makan nasi Arab, Lisa kata sedap,” luah emak.
            Nasi Arab? Jauh tempatnya, di kawasan rumahku tiada orang menjual Nasi Arab, orang Arab pun tiada.  Siapa pula yang hendak membelinya.   Di tempat kerjaku adalah. Aku mendekatinya.  Oh ya! Lisa itu isteri abang sulongku, kakak iparkulah.
            “Di sini, tiada orang jual.  Apa kata hari Isnin nanti angah belikan.  Di tempat kerja angah adalah jual,”  terangku.
            “Kalau macam itu, tak apalah.”  Wajahnya suram semula.
            Aku terdiam.  Inilah perangai emak yang membuatkan tiada siapa pun tahan.  Kalau dia hendak sesuatu, harus segera dicari, kalau tidak rajuknya berhari-hari.  Macam mana ini? Aku kembali resah.  Baharu hendak bertenang.
            “Tunggu abang balik, nanti angah suruh dia pergi beli, ya?” pujukku.
            Emak hanya mengangguk perlahan.  Wajahnya masih seperti tadi, tiada riak gembira.  Aku mengeluh berat. Bukan mudah menceriakan emak sejak akhir-akhir ini.  Ada sahaja masalah yang menyinggah.    Aku duduk di sisinya.
            “Anak-anak sudah tidak suka dengan emak.  Cucu-cucu pun sama.  Semua orang tidak suka emak,” luahnya dengan mata berkaca.
            Aku memicit lengannya.  Wajahnya yang muram, mata yang berkaca kupandang sekali imbas.  Keluhannya kudengar dengan jelas.  Aku tidak membalas kata-katanya. Kubiarkan dia meluahkan apa yang dirasa.  Biar dia bercerita. Itulah sikap emak, mudah sangat bercerita tentang anak cucu dan menantunya.  Ada sahaja yang tidak kena di matanya.  Ada sahaja yang menguris jiwanya. 
            “Angah pun sudah tidak suka emak di sini?  Mak ini menyusahkan kalian agaknya?”  bebel emak lagi.
            “Jangan cakap macam itu mak,”  larangku.  Tidak mahu mengguris hati tuanya.  Berdosa. 
            “Tengok along, adik pun sama, sibuk memanjang.  Tidak pernah telefon atau bertanya khabar emak.  Emak sahaja yang asyik fikirkan mereka,”  luahnya sekali lagi. 
            Kisah yang sama, rasanya sudah berkali-kali dia membawa cerita yang sama.  Bukanlah abang atau adik-adikku tidak ingat kepada emak, mereka ingat.  Tetapi perangai emak berlainan sekali.  Kalau boleh dia mahu kami berkumpul sama seperti waktu kami masih kecil. Berkumpul ramai-ramai di hadapannya.  Mana mungkin perkara itu berlaku, setiap daripada kami ada urusan masing-masing.  Kalau sekali-sekala bolehlah.  Tetapi, emak bagaikan tidak mahu faham.  Kehendaknya juga wajib dipenuhi.    Itu yang sering membuatkan dia merajuk hati.  Kononnya, kami tidak ambil peduli.
            “Mak, bukan mereka tidak ingat, tapi mereka ada urusan sendiri.  Nanti mereka ada masa, mereka datang ziarahlah,” pujukku untuk menyejukkan hati.
            “Kalau ingat, kenapa tak datang?”  marahnya.
            Aku terdiam.  Emak baharu sahaja datang dari rumah abang sulongku, sebelum itu dia tinggal di rumah adik ketigaku.  Bukan lama mana pun.  Aku mengeluh berat.  Sabarlah duhai hati, pujuk diri sendiri.
            Aku membiarkan dia membebel, melepaskan rasa marahnya kepada kami.  Tidak! Kami tidak berbuat apa-apa pun, setiap daripada kami melayan emak dengan baik, begitu juga dengan menantu-menantu emak.  Cuma, sikap emak berlainan sekali.  Dia tidak suka riuh-rendah, dia tidak suka makan masakan menantu-menantunya.  Di mana dia tinggal, terpaksalah anak menantu beli makanan lain untuknya.  Kalau masakan yang kena dengan seleranya, dia akan jamah juga, tetapi sedikit sahaja.  Dalam menjaga orang tua, banyak dugaan dan cabarannya.  Alang-alang tidak sabar, boleh berperang jadinya.  Seminggu di rumahku, akhirnya emak kuhantar ke rumah adik bongsuku.
            Biarlah emak duduk di rumah anak bongsunya lama sikit.  Maklumlah anak kesayangannya.  Sesekali aku, along, alang, uda dan acik menelefon bertanyakan khabarnya.  Itu pun masih tidak kena di hati emak.  Dia tetap mahu kami datang menziarahinya.  Bukan aku tidak mahu pergi, tetapi anak-anakku bersekolah, aku pula bekerja.  Hujung minggu kami sekeluarga ingin habiskan masa bersama, aku pula terpaksa uruskan rumah tangga.  Membasuh apa yang perlu.  Emak tetap menelefon, bertanya, bila hendak datang.  Suamiku tidak marah, tetapi terpancar wajah kelatnya. Fahamlah aku.  Aku perempuan, syurgaku di telapak kaki suami.  Emak tidak boleh marah padaku.
            “Kita  jenguk emak petang ini,” ajakku. Wajah suami yang sedang berehat kupandang seketika.
            “Emak saya pula, bila kita nak ziarah?”  Tanya suamiku tanpa melihat wajahku.
            Aku terkedu, baharu perasan, sudah berbulan-bulan kami tidak ke rumah orang tua suamiku.  Bukan jauh pun, hanya di Klang.  Kami pula tinggal di Kuala Lumpur.
            “Ikut abanglah… saya hanya cadangkan, kalau abang tidak ada hendak ke mana-mana,” kataku sambil menyengih.  Emak?  Biarlah.  Apa dayaku.  Suamiku, anak lelaki juga, masih ada kedua orang tuanya.
I
            Suara emak memarahi anak-anak adik ketigaku, jelas kedengaran. Kami sekeluarga baharu sahaja tiba.  Emak seperti mengamuk.  Kenapa?  Aku melajukan langkah meninggalkan suami dan anak-anak di belakang.  Aku menerpa masuk tanpa sempat memberi salam.  Alang berdiri di tepi pintu sambil mencekak pinggang.  Kakak iparku sudah menangis di sofa bersama dengan anak-anaknya.  Tiga orang, perempuan semuanya.  Apa sudah terjadi? Bisik hati kecilku.
            “Kenapa alang?” Tanyaku, lalu menghampiri emak yang sedang menangis.
            “Mak?”  Aku mengusap lembut lengannya. 
            Dia memandang wajahku.
            “Kenapa?” Tanyaku.  Dahiku berkerut.
            “Adik ipar kau tuduh emak bawa cerita rumah tangga dia dengan jiran sebelah,”  beritahu emak dengan tangisan yang masih berbaki.
            Hah?  Aku terkejut.  Aku memandang wajah  adik iparku yang turut menangis bersama anak-anaknya.  Riuh-rendah rumah  teres setingkat itu.  Aku duduk di sebelah emak.  Wajah adikku yang berdiri bagaikan seorang mandur kupandang lama.  Aku mengangkat kening.
            “Memang mak bercerita. Budak-budak pun ada dengar!” Cerita alang. Terpancar kemarahan di wajahnya.       
            “Mak!”  Aku memandang wajah emak. Kesal melilit hati.  Dalam diam, emak telah merobek rasa kasih dan sayang cucu dan menantu terhadap emak. 
            “Jiran merekalah jahat! Mak mana ada cakap apa-apa!” Mak masih mempertahankan dirinya.  Mungkin juga dia tidak bercerita, mungkin juga dia ada bercerita.  Sukar untuk aku membuat pertimbangan.  Tidak mungkinlah aku bertanya kepada jiran adikku itu.
            “Memang mak tok ada bercerita.  Kami dengar semuanya,”  kata anak sulong adikku. 
            Aku tidak terkata apa-apa.  Jika itu berlaku, tentulah tidak bagus dan tidak baik.  Emak bercerita tentang rumah tangga anak menantunya sendiri kepada orang luar?  Memanglah tidak patut. 
            Emak yang duduk di sebelahku, sudah berhenti menangis dan buat muka selamba.  Tahulah aku duduk perkara.
            “Kita ke rumah along, ya mak.  Tadi along pesan, bawa mak ke rumah dia,”  terangku, itulah tujuan kehadiranku selain menerima panggilan telefon daripada alang tadi. Emak tidak menjawab tetapi bingkas bangun dan membawa beg pakaiannya keluar.  Tanpa berpamitan dengan anak, menantu dan cucu, emak terus masuk dalam perut kereta.  Aku tidak mampu berbuat apa-apa.  Aku memandang wajah adik ketigaku dan meminta diri tanpa menjamah segelas air pun. 
II
           
            Seminggu berlalu, along pula menelefon agar datang mengambil emak.  Along hendak pulang ke kampung isterinya.  Dia tidak mahu bawa emak bersama.  Along pernah bawa emak ke kampun isterinya.  Ramai jiran tetangga.  Emak pula memang suka bercerita dan berbual dengan sesiapa sahaja.  Tidak ada masalah untuk berbual dan saling berkenalan. Masalahnya.
            “Pening kepala along… angah.  Bukan tidak mahu bawa emak.  Tapi emak kalau jumpa manusia, habis semua cerita anak menantu dan cucu hendak diceritakkannya.  Kalau cerita yang baik-baik, along tidak kisah.  Masalahnya, mak ceritakan keburukan kita, itu yang along tidak tahan!” terang along, kenapa dia tidak mahu bawa emak pulang ke kampung isterinya kali ini.
            “Yalah long, angah tidak mahu paksa. Biarlah angah bawa balik emak,” ujarku.  Tidak mahu memanjangkan cerita.  Kalau bercerita baik dan buruk pun, bukan orang lain.  Emak sendiri juga.
            Emakku bawa pulang ke rumah.    Memanglah tiada siapa yang menjaga.  Aku bekerja, begitu juga suamiku.  Anak-anak pula ke sekolah.  Harap emak tidak buat perangai pula.  Hish! Tidak baik berburuk sangka dengan emakku sendiri. Buruk baiknya, dialah emak kandungku.  Bertabahlah hati, bersabarlah jiwa.    Aku enam beradik, empat lelaki dan dua perempuan.  Aku dan adik bongsuku sahaja yang perempuan.  Memanglah emak boleh duduk lama di rumah adik bongsuku, masalahnya…  emak mertuanya duduk sekali. Tidak molek pula aku menumpangkan emak pula.  Terbeban pula adikku nanti.
            “Semua orang sudah tidak mahu bela emak!” Lirik dan lagu yang sama bermain semula.  
            Kalau sudah selalu, lagu yang indah pun menyakitkan telinga.  Rasa malas hendak mendengarnya.  Bukan salah sesiapa, tetapi salah emak yang tidak mahu menyesuaikan diri dengan anak menantu.  Cucu-cucu emak tidak ada seorang pun menyayangi emak.  Kata-kata anak buahku yang sudah meningkat remaja mengusik hatiku.
            “Mak tok suka marah kami, suka cubit kami.  Kalau kami bergurau atau bermain, pasti mak tok herdik,” cerita Aishah, anak sulong adik keempatku. 
            Ke mana sahaja emak pergi, pasti mencari musuh.  Menantu-menantu emak, baik lelaki atau perempuan, tidak pernah melawan, malah menjaga emak dengan baik.  Tutur kata mereka lembut ketika berbicara dengan emak, itu pun emak masih mencari kesalahan mereka.  Isteri along, tidak bercakap dengan dialah.  Isteri acik malas memasaklah.  Isteri busu, masak tidak sedap.  Menantu-menantu lelakinya, tidak pula dia mengadu.  Mungkin mereka lelaki, jadi jarang mencampuri urusan emak. Tetapi mereka tidak melarang kami menjaga emak. Cucu-cucu emak tiada seorang pun yang suka dengan kehadiran emak, hatta anak-anakku sendiri. Jenuh juga menasihati dan meminta mereka menerima keadaan  mak tok mereka dengan baik.  Kenalah belajar menghormati orang tua, biar bagaimana buruk sekalipun perangai emak. 
            Pernah kami berkumpul adik-beradik untuk menyelesaikan masalah emak, namun tiada jalan penyelesaian.  Emak tetap tidak betah tinggal di sebuah rumah dan kami boleh datang menziarahi bila-bila masa.  Emak tetap hendak tawaf rumah anak-anaknya. Kami akur kehendak emak.
              Bukan tidak pernah aku membawa emak tinggal di sebuah pondok, tujuanku agar emak ada teman berbicara, terutama rakan sebaya.  Pada mulanya dia suka, lama-kelamaan dia mula buat perangai lamanya.  Ada sahaja yang tidak kena.  Akhirnya kami terpaksa bawa dia keluar, sebelum dia mula bergaduh dengan orang-orang tua yang ada di pondok itu.  Kenapa emak bersikap seperti ini? 
            Waktu muda emak, emak selalu duduk di tepi rumah, bersantai dengan jiran-tetangga buka cerita, mengadu-domba.  Emak tidak pandai membaca, kerana sejak kecil emak tidak pernah dihantar ke sekolah, emak duduk dengan ibu saudaranya yang hanya tahu mendera fizikal dan mental emak.  Emak berkahwin dengan arwah ayah ketika berusia enam belas tahun.  Waktu dan masa emak dihabiskan menjaga anak-anak.  Emak juga tidak pandai mengaji al-Quran.  Jadi masa emak terisi dengan bersembang dengan jiran tetangga. Arwah ayah pernah mengajak emak ke surau atau masjid dengar syarahan agama, tetapi emak menolak dengan alasan, anak-anak ramai, siapa hendak jaga. Kalau bertanya dengan emak, cerita siapa yang dia tidak tahu tentang penduduk di kampung itu.  Semuanya emak tahu, itupun mendengar cerita jiran tetangga yang datang bertandang. 
Sikap emak terbawa-bawa sehingga ke tua.  Kasihan emak.  Sepatutnya di usia penghujung emas begitu, masa emak terisi dengan amal ibadat.  Emak setakat tahu solat dan berzikir sahaja. Itu pun jenuh juga dipaksa dan diajar.  Biar mulut emak dibasahi dengan zikurAllah, memuji kebesaran ILAHI. Biar tenang hati emak.  Biar emak pasrah dengan ketentuan hidupnya.  Hati yang pernah terdera ketika kecil, lebih mudah mendera bila tiba masanya.  Emak tidak mendera. Waktu  kecil kami, emak menjaga dengan baik, penuh dengan kasih dan sayang.  Bila tiba waktu tuanya segalanya berubah begitu sahaja.  Emak tidak lagi seperti dahulu.  Sikapnya begitu merungsingkan kami, adik-beradik.  Banyak perkara emak terlepas kerana tidak pandai membaca.  Bersembang dengan orang yang baharu dikenali pun, hanya biasa-biasa sahaja dan dia akan mula bercerita tentang keluarganya.  Harap yang baik-baik sahaja.  Harap emak akan berubah juga.

 
                                                                        III

            “Daripada hidup macam ini, baik mati sahaja!” rungut emak satu hari. 
            Aku terkejut mendengarnya.
            “Mak, istighfar… tak baik minta mati!” Tegurku.
            Emak mendengus kasar.  Dia mencebik.
            “Apa guna hidup, kalau anak, menantu dan cucu tak suka?”  Bebelnya.
            “Siapa kata kami tak suka?”  Aku mengeluh berat.  Tiada siapa yang membenci emak, Cuma, kami tidak senang dengan sikap emak yang mampu membuatkan kami adik-beradik bertegang urat.
            “Memang tak suka!  Mana ada cucu-cucu mak yang suka nak bergurau dengan mak! Semua menjauhkan diri, kalau mak datang.  Nak dekat pun tak mahu!”  Katanya lagi.
            “Mereka sibuk belajar, semuanya sudah  besarkan?”  Pujukku seperti selalu.
            “Tak payah nak ambil hati mak… mak bukan budak-budak!” Nada keras sudah terbit daripada bibirnya. 
            Apa yang harus aku lakukan?  Perlukah aku bercakap untuk kebaikan semua? Ya, aku perlu bercakap. Tidak mahu keterlanjuran emak sehingga ke akhir kalamnya.  Biar hubungan kami sekeluarga baik-baik sahaja sebelum ajal menjemput emak. Kami inginkan yang terbaik buat emak.  Mungkin nasihatku emak akan terima. 
            “Mak tahu tak, kenapa anak cucu tak suka dengan emak?  Mak suka melaga-lagakan kami.  Mak suka mengadu-domba tentang kami kepada sesiapa sahaja orang yang emak jumpa.  Cucu-cucu pula emak tak pernah belai mereka, emak hanya tahu marah mereka.  Mereka budak-budak mak.  Mereka tidak akan faham jika emak marah-marah…”  kataku, masih terjaga nada suaraku, agar tidak mengguris hati tuanya. Bimbang emak bertukar murka.  Jadi anak durhaka bukan pilihan.  Bukan juga sengaja hendak menempa.  Nau’zubillah.  Semoga hati emak terbuka untuk menerima nasihatku yang panjang berjela-jela.  Berkajang-kajang kukarang dalam kotak fikiran.  Mengatur ayat untuk anak-anakku lebih mudah daripada mengatur ayat untuk kuterjemahkan kepada emak yang seorang ini. 
            Habis kata-kataku.  Dia menarik tanganku.  Dia memelukku erat.  Mendapatku mesra, mencium dahiku. Terasa panas bibirnya menyentuh dahiku.  Aku terkesima.  Kutolak tubuhnya perlahan.  Wajahnya kupandang lama.  Air mata merembas keluar. Bibirnya bergetar menahan tangis.  Aku ketakutan.  Apakah kata-kataku mengundang duka di hati emak?  Takut, jika aku menjadi anak durhaka.  Tidak sesekali!   
            “Maafkan emak, ampunkan emak!” Tangis emak berlagu sendu.  Titisan air matanya menyentuh lenganku. Panas.  Mungkinkah sepanas hatinya ketika itu. 
            “Kenapa emak minta maaf dengan angah?  Mak tak salah apa-apa dengan angah.  Ngah nak emak jadi, emak yang terbaik buat kami.  Emak sudah berjaya mendidik kami menjadi manusia yang berguna pada agama, bangsa dan negara.  Emak telah mendidik kami menjadi manusia yang baik buat keluarga kami.  Emak adalah emak terhebat dalam hidup kami.  Cuma, mak tetap ada kelemahan, mak tetap ada kekurangan, kerana mak hanya manusia biasa,” tuturku lembut.  Dagunya kuangkat untuk matanya kusentuh dengan pandangan lembutku, kasih seorang anak terhadap emak yang telah melahirkannya ke dunia ini.
            “Bimbinglah mak. Tunjukkan mak… mana yang salah, mana yang benar.  Mak nak jadi mak tok yang baik buat cucu-cucu mak.  Mak nak jadi mertua yang penyayang buat menantu-menantu emak.  Mak nak jadi mak yang pengasih buat anak-anak emak,” kata emak dengan pandangan mengharap.
“Alhamdulillah… mak tidak perlu buat apa-apa, mak ikut sahaja apa yang kami suruh. Semuanya 

akan berjalan lancar.”  Aku memeluknya erat.  Perasaan kasih menyerap dalam jiwa.  Emak mahu 

menerima teguranku.  Emak mahu berubah.  Ya, ALLAH tiada yang lebih bererti daripada ini.   

Terima kasih Ya ALLAH kerana mengembalikan emakku.
 

 Biar siapapun dia, biar bagaimana sikapnya.  Dia tetap seorang emak yang patut disayangi, dikasihi 

kerana tanpanya siapalah aku.  Tanpanya aku tidak akan ada di sini.  Hati seorang emak,lembutnya… 

selembut salju.  Sayang emak!  Pelukanku berbalas dan kami menangis gembira.

2 ulasan: