Selasa, 12 September 2017

ULASAN NOVEL DI LANGIT CINTA

Di Langit Cinta
Lily Haslina Nasri
Alaf 21
2008
496 muka surat.
****bintang.

Sudah lama tidak baca novel cinta. Asyik dengar sahaja ada kawan-kawan kata karya penulis ini menarik dibaca. Biasalah, sebagai pembaca, saya akan beli, ingin tahu juga menariknya di mana?

Pertama kali membaca karya penulis ini. Kisah cinta pilu menggigit jiwa. Saya paling suka gaya bahasanya, gaya bahasa karya-karya penulis dahulukala, penuh dengan bunga-bunga bahasa yang menarik hati dan jiwa ingin terus melekat dan menghabiskannya sehingga ke garisan penamat.

Hani seorang gadis biasa, berasal dari keluarga susah. Dia yang baru sahaja berhenti bekerja di sebuah sekolah agama di Perak dilanggar oleh seorang lelaki muda bernama Raiz.

Wajah sang teruna mengusik jiwa, mengganggu tidur malamnya, menjelma ketika siang tiba. Tidak disangka Raiz adalah anak majikan tempat baru Hani bekerja.

Usik-mengusik tanda sayang, hati terpaut dalam diam. Rupanya Hani tidak bertepuk sebelah tangan, Raiz menyimpan perasaan yang sama.

Cinta antara dua darjat bukan semuanya mampu bersatu, dikecewa, gagal, ditinggalkan perkara biasa. Sedang cinta bersemarak berkembang, berbunga hati menanti jejaka impian rupanya hanya angan-angan Cinderela yang ingin mengahwini anak raja.

Raiz berkahwin dengan Meriam, sepupunya. Hani makan hati lalu bawa diri. Raiz masih menagih janji. Hani melarikan diri, tidak mahu menghancurkan hati seorang perempuan, kononnya.

Apa yang berlaku? Raiz koma? Hani dipenjarakan? Meriam? Kisah cinta tiga segi, adakah bahagia menanti Hani dan Raiz?

Jawapannya terdapat dalam buku ini. Syabas buat penulis yang telah berjaya mengusik hati dan perasaan saya untuk membaca buku ini dalam masa yang singkat kerana bahasanya yang indah.

~Kalau Abang Helang menghilang, adik menjadi angin menderu~

Tiada ulasan:

Catat Ulasan