Perkahwinan adalah satu perkongsian
antara aku dan dia. Wanita yang aku
cintai sepenuh hati. Semoga hatiku sentiasa setia padanya yang satu. Biarpun ribut sering melanda. Lidah juga
tergigit, itu semua tidak akan meruntuhkah kasih sayang yang tersemat utuh di
kalbu. Sikap dan perangainya kadang-kadang buat aku angin satu badan. Ada
ketika sikap dan tingkahlakunya buat aku tersenyum sepanjang hari. Dia tidak sempurna, begitu juga diriku. Antara kami saling lengkap melengkapi. Aku tidak menjadikan kekurangan dirinya
sebagai penghalang untuk aku terus mencintainya.
Wajahnya yang mulus, ada ketika
tenang, setenang air di tasik. Ada waktu muram dan suram seumpama laut yang
sedang bergelora. Aku perlu kuat
menghadapi ujian sebagai seorang suami.
Aku juga harus tabah dan sabar dengan sikap dan perangainya. Seperti mana dia bersabar dengan sikap dan
perangaiku juga.
“Abang, jom keluar,” ajaknya manja.
Aku mengangkat kening. Keluar? Ke mana?
Aku bekerja enam hari seminggu, hari minggu jika boleh ingin bersenang
dan bersantai di rumah. Melepaskan lelah
dan kepenatan di tempat kerja.
Ajakannya membuatkan aku terdiam seketika, berfikir dahulu sebelum
mengeluarkan kata-kata. Ak faham keadaan
dirinya. 24 jam di rumah, melayan makan minum dan pakaiku. Menjaga anak kecil
kami. Hanya jiran sekeliling sahajalah kawan-kawannya. Aku mengerti.
Dia perlukan waktu untuk keluar
bersantai di luar. Ingin melihat dunia yang selain di dalam rumah. Aku perlu memahaminya, adakah dia memahami
keadaan diriku?
“Bolehkah?” tanya Liya sekali lagi.
“Pergilah siap,” jawabku. Biarpun
tubuhku minta direhatkan. Mindaku minta bercuti. Namun, kehendak isteri tercinta seharusnya aku tunaikan. Tidak ingin melihat wajahnya yang muram.
Tidak mahu memandang air mukanya yang suram.
Bertabahlah tubuh, bertenangkan minda.
Malam nanti kalian rehatlah sepuas-puasnya, bisik hati kecilku.
Terpancar keriangan di
wajahnya. Terlihat kegembiraan di
sebalik senyumannya. Hati seorang
isteri, itulah adanya. Ke mana pula dia
hendak pergi kali ini? Akalku ligat
berfikir, hendak beli barang apa lagi? Ada pameran bukukah? Ada jualan
murahkah? Uh! Aku mengeluh berat. Orang perempuan, membeli-belah tidak dapat
dipisahkan. Bagaikan aur dan tebing,
tidak mungkin dipisahkan.
“Sayang nak beli apa pula ini?”
tanyaku, sesekali mataku singgah di wajahnya.
“Tak nak beli apa-apa, saja nak
berjalan keluar. Kita bawa Aiman ke
Taman Tasik Perdana, nak tak?” tanyanya.
“Tasik Perdana?” soalku kembali. Sudah terlalu lama aku tidak melangkahkan
kaki di tempat itu. Terasa begitu asing
sekali, sedangkan aku membesar di Bandar Kuala Lumpur.
“Kenapa tiba-tiba nak ke Tasik
Perdana?” soalku lagi.
“Saja nak berehatkan minda tengok
kehijauan taman flora dan fauna,”
katanya.
“Wah! Nak jadi pencinta alamkah?”
usikku.
“Kawasan hijau semakin berkurangan,
bang. Yang ada inilah kita hargai dan
nikmati,” ujarnya.
“Betul,betul,betul,” jawabku ala-ala
Upin dan Ipin.
Liya tersengih. Aiman turut tersenyum bila diagah.
Aku selalu tersalah anggap padanya.
Jahatnya fikiranku. Kata-katanya juga
sering kusanggah hanya kerana aku ketua keluarga. Kata-kataku adalah muktamad. Ikut sahaja
kehendakku, itulah yang sering aku lakukan.
Ah! sudah seperti diktator pula, sedangkan dia adalah isteriku yang
sewajarnya kubimbing. Hidup berkongsi
apa ada. Suka dan duka bersama. Saling
memahami, bertolak ansur dan bertimbang rasa.
Kunci kebahagian sebuah rumah tangga, adalah kesabaran. Dia bersabar denganku, aku pula bersabar dengannya. Baharulah kekal untuk selamanya. Jika dia sahaja yang memberi, dan aku hanya
tahu menerima, apa akan jadi dengan rumah tangga kami? Tentulah berat sebelah jadinya.
Biarlah aku menjadi imamnya, yang
mampu membawanya ke syurga. Biarlah aku menjadi dinding yang mampu melindungi auratnya. Biarlah aku menjadi bumbung agar mampu
melindunginya daripada hujan dan panas.
Biarpun diriku tidak sempurna, asalkan di matanya aku sahaja yang
terbaik dan terunggul.
Hari ini dia tidak minta apa-apa.
Hanya meminta aku menemaninya berjalan menikmati keindahan taman tasik di
tengah-tengah kesibukan kota raya tempat tinggal kami. Ah! kejamnya aku ketika menganggap dia tidak
memahami kepenatanku. Berehat, bukan
hanya duduk bersilang kaki, menyandar di sofa sambil menikmati kacang
goreng. Atau, tidur sepanjang hari,
menyembapkan muka sendiri.
“Semakin cantik Taman Tasik Perdana
ini, kana bang,” katanya seraya matanya
memandang sekeliling. Ramai yang datang,
selain bermain dengan anak-anak, ada juga yang berjoging di persekitaran tasik
yang luas itu.
“Ya, sayang. Sudah lama sangat kita tidak ke mari. Rupanya ada macam-macam sekarang. Lain kali kita datang lagi, boleh lawat Taman
Burung, Taman Orkid dan Muzeum juga,” cadangku.
“Bagus itu. Di negara kita pun banyak tempat lawatan,
bukan semua tempat kita sempat lawati. Tugu
Negara pun kita pergi waktu zaman sekolah dahulu, itu pun dengan rombongan
sekolah. Sudah tinggal di Kuala Lumpur
pun masih tidak mampu melawat semua tempat,” ujarnya. Menjeling manja.
Aku tersenyum, faham maksudnya. Masa dan waktu yang terluang bagaikan tidak
cukup buat kami. 24 jam masa sehari semalam juga tidak pernah cukup. Akukah yang tidak pandai mengatur waktu atau
masa yang cepat berlalu.
Seronoknya membahagiakan hati
seorang isteri. Terasa dunia ini ana yang empunya. Dalam mengejar kebahagian, aku seharusnya
lebih memahami dirinya. Mungkin juga dia
belajar memahami diriku. Kami saling mencintai, apalah salahnya kami saling
memberi.
“Nanti kita datang lagi, ya bang?”
katanya perlahan. Terpancar kegembiraan
di wajah itu. Ya ALLAH! Aku sudah mengembirakannya hanya membawanya ke taman
bunga?
“Insya-ALLAH Liya. Kalau Liya suka,
abang pun suka,” jawabku. Kepanasan
terik mentari petang sedikit pun tidak terasa ketika bersama dengan insan
tersayang. Senyuman yang terlakar di
bibirnya membuatkan hatiku berlagu riang.
Kepuasan seorang suami, sukar
untukku ucapkan dengan kata-kata. Mengembirakan seorang isteri bukanlah
mudah. Sikap dan perangai kami
Kepuasan seorang suami, sukar
untukku ucapkan dengan kata-kata. Mengembirakan seorang isteri bukanlah
mudah. Sikap dan perangai kami berbeza.
Minat pun tidak sama. Tetapi kami saling
memahami dan saling mengerti. Perbezaan pendapat tidak memisahkan kami. Aku
hormati pendapatnya, dia juga menghormati pendapatku.
Dua jam kami habiskan masa di situ.
Melihat dan memerhati ibu bapa lain melayan
kerenah anak-anak mereka. Aiman
masih kecil untuk bermain. Namun
terpancar keterujaannya melihat orang ramai di kawasan permainan kanak-kanak
itu. Apalah sangat masa yang aku habiskan untuk mengembirakan hati kedua insan
yang dekat denganku.
“Bang, jom pergi makan… terasa
laparlah,” ajak Liya.
“Baiklah sayang.” Aku mengapai jari
jemarinya. Kubimbing tangannya menuju ke
taman selera berdekatan. Tidak mengapa
sesekali makan di luar. Jangan selalu,
ya sayang. Boleh jadi tukang cuci
pinggan abang nanti, detik hati kecilku.
Ops! Jangan berkira dengan anak dan isteri. Memberi mereka makan seperti sedekah
juga. Aku bekerja untuk mereka. Mencari
rezeki untuk mereka. Rezeki pemberian
ALLAH kepada mereka melalui diriku. Siapa aku untuk menidakkan hak mereka? Usah diungkit apa yang telah diberi. Usah
dipersoal berapa banyak duit yang kita keluar.
Apalah sangat permintaan mereka?
Tidak susah untuk dipenuhi selagi aku mampu. Ya ALLAH, jadikanlah aku
suami yang tahu menghargai isteriku sendiri.
Pengorbanannya juga bukan sedikit.
Terima kasih aduhai isteriku.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan