Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Rabu, 4 Oktober 2017

ADUHAI ISTERI - KISAH 6



            Perkahwinan adalah satu perkongsian antara aku dan dia.  Wanita yang aku cintai sepenuh hati. Semoga hatiku sentiasa setia padanya yang satu.  Biarpun ribut sering melanda. Lidah juga tergigit, itu semua tidak akan meruntuhkah kasih sayang yang tersemat utuh di kalbu. Sikap dan perangainya kadang-kadang buat aku angin satu badan. Ada ketika sikap dan tingkahlakunya buat aku tersenyum sepanjang hari.   Dia tidak sempurna, begitu juga diriku.  Antara kami saling lengkap melengkapi.  Aku tidak menjadikan kekurangan dirinya sebagai penghalang untuk aku terus mencintainya. 
            Wajahnya yang mulus, ada ketika tenang, setenang air di tasik. Ada waktu muram dan suram seumpama laut yang sedang bergelora.  Aku perlu kuat menghadapi ujian sebagai seorang suami.  Aku juga harus tabah dan sabar dengan sikap dan perangainya.  Seperti mana dia bersabar dengan sikap dan perangaiku juga. 
            “Abang, jom keluar,” ajaknya manja.            
            Aku mengangkat kening. Keluar?  Ke mana?  Aku bekerja enam hari seminggu, hari minggu jika boleh ingin bersenang dan bersantai di rumah.  Melepaskan lelah dan kepenatan di tempat kerja.   Ajakannya membuatkan aku terdiam seketika, berfikir dahulu sebelum mengeluarkan kata-kata.  Ak faham keadaan dirinya. 24 jam di rumah, melayan makan minum dan pakaiku. Menjaga anak kecil kami. Hanya jiran sekeliling sahajalah kawan-kawannya.  Aku mengerti.  Dia perlukan waktu untuk  keluar bersantai di luar. Ingin melihat dunia yang selain di dalam rumah.  Aku perlu memahaminya, adakah dia memahami keadaan diriku?
            “Bolehkah?” tanya Liya  sekali lagi.
            “Pergilah siap,” jawabku. Biarpun tubuhku minta direhatkan. Mindaku minta bercuti.  Namun, kehendak isteri tercinta  seharusnya aku tunaikan.  Tidak ingin melihat wajahnya yang muram. Tidak mahu memandang air mukanya yang suram.  Bertabahlah tubuh, bertenangkan minda.  Malam nanti kalian rehatlah sepuas-puasnya, bisik hati kecilku. 
            Terpancar keriangan di wajahnya.  Terlihat kegembiraan di sebalik senyumannya.  Hati seorang isteri, itulah adanya.   Ke mana pula dia hendak pergi kali ini?  Akalku ligat berfikir, hendak beli barang apa lagi? Ada pameran bukukah? Ada jualan murahkah?  Uh! Aku mengeluh berat.  Orang perempuan, membeli-belah tidak dapat dipisahkan.  Bagaikan aur dan tebing, tidak mungkin dipisahkan.
            “Sayang nak beli apa pula ini?” tanyaku, sesekali mataku singgah di wajahnya.
            “Tak nak beli apa-apa, saja nak berjalan keluar.  Kita bawa Aiman ke Taman Tasik Perdana, nak tak?” tanyanya.
            “Tasik Perdana?”  soalku kembali.  Sudah terlalu lama aku tidak melangkahkan kaki di tempat itu.  Terasa begitu asing sekali, sedangkan aku membesar di Bandar Kuala Lumpur.
            “Kenapa tiba-tiba nak ke Tasik Perdana?” soalku lagi.
            “Saja nak berehatkan minda tengok kehijauan taman flora dan fauna,”  katanya.
            “Wah! Nak jadi pencinta alamkah?” usikku.
            “Kawasan hijau semakin berkurangan, bang.  Yang ada inilah kita hargai dan nikmati,”  ujarnya. 
            “Betul,betul,betul,” jawabku ala-ala Upin dan Ipin.
            Liya tersengih.  Aiman turut tersenyum bila diagah.
            Aku selalu tersalah anggap padanya. Jahatnya fikiranku.  Kata-katanya juga sering kusanggah hanya kerana aku ketua keluarga.  Kata-kataku adalah muktamad. Ikut sahaja kehendakku, itulah yang sering aku lakukan.  Ah! sudah seperti diktator pula, sedangkan dia adalah isteriku yang sewajarnya kubimbing.  Hidup berkongsi apa ada.  Suka dan duka bersama. Saling memahami, bertolak ansur dan bertimbang rasa.  Kunci kebahagian sebuah rumah tangga, adalah kesabaran.  Dia bersabar denganku, aku pula bersabar dengannya.  Baharulah kekal untuk selamanya.  Jika dia sahaja yang memberi, dan aku hanya tahu menerima, apa akan jadi dengan rumah tangga kami?  Tentulah berat sebelah jadinya.
            Biarlah aku menjadi imamnya, yang mampu membawanya ke syurga.  Biarlah  aku menjadi dinding yang mampu melindungi auratnya.  Biarlah aku menjadi bumbung agar mampu melindunginya daripada hujan dan panas.  Biarpun diriku tidak sempurna, asalkan di matanya aku sahaja yang terbaik dan terunggul.
            Hari ini dia tidak minta apa-apa. Hanya meminta aku menemaninya berjalan menikmati keindahan taman tasik di tengah-tengah kesibukan kota raya tempat tinggal kami.  Ah! kejamnya aku ketika menganggap dia tidak memahami kepenatanku.  Berehat, bukan hanya duduk bersilang kaki, menyandar di sofa sambil menikmati kacang goreng.  Atau, tidur sepanjang hari, menyembapkan muka sendiri. 
            “Semakin cantik Taman Tasik Perdana ini, kana bang,”  katanya seraya matanya memandang sekeliling.  Ramai yang datang, selain bermain dengan anak-anak, ada juga yang berjoging di persekitaran tasik yang luas itu. 
            “Ya, sayang.  Sudah lama sangat kita tidak ke mari.  Rupanya ada macam-macam sekarang.  Lain kali kita datang lagi, boleh lawat Taman Burung, Taman Orkid dan Muzeum juga,” cadangku.
            “Bagus itu.  Di negara kita pun banyak tempat lawatan, bukan semua tempat kita sempat lawati.  Tugu Negara pun kita pergi waktu zaman sekolah dahulu, itu pun dengan rombongan sekolah.  Sudah tinggal di Kuala Lumpur pun masih tidak mampu melawat semua tempat,” ujarnya. Menjeling manja.
            Aku tersenyum, faham maksudnya.  Masa dan waktu yang terluang bagaikan tidak cukup buat kami. 24 jam masa sehari semalam juga tidak pernah cukup.  Akukah yang tidak pandai mengatur waktu atau masa yang cepat berlalu.
            Seronoknya membahagiakan hati seorang isteri. Terasa dunia ini ana yang empunya.  Dalam mengejar kebahagian, aku seharusnya lebih memahami dirinya.  Mungkin juga dia belajar memahami diriku. Kami saling mencintai, apalah salahnya kami saling memberi. 
            “Nanti kita datang lagi, ya bang?” katanya perlahan.  Terpancar kegembiraan di wajah itu. Ya ALLAH! Aku sudah mengembirakannya hanya membawanya ke taman bunga? 
            “Insya-ALLAH Liya. Kalau Liya suka, abang pun suka,” jawabku.  Kepanasan terik mentari petang sedikit pun tidak terasa ketika bersama dengan insan tersayang.  Senyuman yang terlakar di bibirnya membuatkan hatiku berlagu riang.
            Kepuasan seorang suami, sukar untukku ucapkan dengan kata-kata. Mengembirakan seorang isteri bukanlah mudah.  Sikap dan perangai kami
            Kepuasan seorang suami, sukar untukku ucapkan dengan kata-kata. Mengembirakan seorang isteri bukanlah mudah.  Sikap dan perangai kami berbeza. Minat pun tidak sama.  Tetapi kami saling memahami dan saling mengerti. Perbezaan pendapat tidak memisahkan kami. Aku hormati pendapatnya, dia juga menghormati pendapatku.
            Dua jam kami habiskan masa di situ. Melihat dan memerhati ibu bapa lain melayan  kerenah anak-anak mereka.  Aiman masih kecil untuk bermain.  Namun terpancar keterujaannya melihat orang ramai di kawasan permainan kanak-kanak itu. Apalah sangat masa yang aku habiskan untuk mengembirakan hati kedua insan yang dekat denganku.
            “Bang, jom pergi makan… terasa laparlah,” ajak Liya.
            “Baiklah sayang.” Aku mengapai jari jemarinya.  Kubimbing tangannya menuju ke taman selera berdekatan.  Tidak mengapa sesekali makan di luar.  Jangan selalu, ya sayang.  Boleh jadi tukang cuci pinggan abang nanti, detik hati kecilku.  Ops! Jangan berkira dengan anak dan isteri.  Memberi mereka makan seperti sedekah juga.  Aku bekerja untuk mereka. Mencari rezeki untuk mereka.  Rezeki pemberian ALLAH kepada mereka melalui diriku. Siapa aku untuk menidakkan hak mereka?  Usah diungkit apa yang telah diberi. Usah dipersoal berapa banyak duit yang kita keluar.  Apalah sangat permintaan mereka?  Tidak susah untuk dipenuhi selagi aku mampu. Ya ALLAH, jadikanlah aku suami yang tahu menghargai isteriku sendiri.  Pengorbanannya juga bukan sedikit.  Terima kasih aduhai isteriku.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan