Jika tidak bekerja, aku suka makan
di rumah. Menikmati masakan isteriku
biarpun tidak seenak masakan ibuku. Namun, cukup menyelerakan. Aku bukan kisah sangat tentang makan, apa
sahaja Liya masak, aku telan dengan penuh selera. Rezeki kurniaan Ilahi, usah tolak. Sesekali bolehlah makan di luar. Jangan selalu, mahu botak kepala.
Hari ini, Liya masak kari kepala
ikan, makanan kegemaranku. Sudah
terhidang di atas meja. Kari kepala
ikan, sayur kacang panjang goreng cili padi, sambal belacan, ikan goreng kembung,
ulam-ulaman. Sayur kacang panjang dan
ulam-ulaman, Liya dapat daripada jiran-jiran kami yang semakin rajin bercucuk
tanam. Sistem bertukar-tukar sayur, kata
Liya.
Aku memandang hidangan yang
terhidang dengan penuh teruja. Tidak sabar menjamahnya. Liya masih sibuk di
dapur, mengemas agaknya. Aiman tidur di
dalam katilnya. Sesekali aku menjengahkan kepala. Katil kecil itu diletakkan dekat dengan meja
makan.
“Lambat lagi ke Liya? Abang dah lapar ni,” laungku.
“Okay, dah boleh makan!” kata Liya lalu duduk menghadapku. Nasi disenduk ke dalam pinggang. Aku membasuh tangan. Kuah kari kusenduk dan curahkan ke atas nasi. Sepotong kepala ikan aku senduk dan letak ke
dalam pinggan. Fuh! Semerbak bau kari,
semakin terbuka seleraku.
Setelah membaca doa makan, aku terus
menyuap nasi yang sudah bergaul dengan kuah kari ke dalam mulut. Uh!
Masin? Kenapa masin?
“Kenapa masin sangat ni? Lori garam tumpah ke? Liya tak rasa dulu ke? Tak pernah Liya masak macam ni? Berangan ya?
Sibuk buat apa tadi, sampai terlajak masuk garam?” semburku.
Patah seleraku, mati keterujaanku.
Hilang rasa lapar. Berkerut dahiku, terasa ditipu pula. Bukan main cantik hiasan makanan yang
dihidang. Tetapi rasa? Hampas!
Liya terdiam, dia memandang wajahku
tidak berkedip. Dia merasa kuah kari
itu. Dia menelan air liur sendiri.
“Liya minta maaf, mungkin Liya tidak
sedar terletak lebih garam,” katanya perlahan, wajahnya bertukar muram.
“Lain kali kalau memasak, ingat
betul-betul! Hilang selera abang, Liya
pun tahukan abang tak suka masakan masin?
Saja nak kenakan abang ya?” marahku.
“Liya tak sengajalah! Liya dah rasa tadi, taklah rasa masin
sangat,” cerita Liya.
“Habis tu, macam mana boleh
masin? Takkan terbubuh garam dua kali?”
Wajah Liya kupandang lama.
Dia terkulat-kulat merenungku,
sesekali menunduk, mukanya pucat lesi.
Erk… aku terkasar sangatkah?
“Kita dah kahwin berapa lama
bang?” tanya Liya dengan muka monyoknya.
“Hampir dua tahun,” jawabku.
“Selama hampir dua tahun, berapa
kali abang makan masakan Liya?” soal Liya lagi.
“Erk…” Aku cuba mengira. Susah juga nak kira, detik hati kecilku.
“Tak terkirakan? Tak berapa kan? Hari ini, baru pertama kali, Liya masak termasin
sikit, marah abang berapi-api ya? Liya tak sengaja bang. Kalau boleh Liya nak
masak yang sedang saja untuk abang. Liya pun tak mahu jadi macam ini!” luah
Liya dengan linangan air matanya.
Alamak! Aku sudah kecilkan
hatinya? Aku mngeluh perlahan. Apa sudah aku buat? Mulut aku pun satu, tak ada insuran, main
lepas saja bercakap. Kan sudah mengamuk
permaisuri aku.
“Liya tahulah, Liya tidak sehebat
mak abang memasak. Setakat boleh makan
saja. Tapi, janganlah hina Liya sangat, terasa tau!” kata Liya.
Kali ini, aku pula terkedu. Itulah mulut, suka sangat nak komen, kan
sudah jadi masalah. Dalam teruja nak
makan, sudah jadi peranglah pula. Aku berasa kesal sendiri. Kalaulah aku
berkata baik-baik tadi, menegur dengan lembut, pasti Liya tidak berkecil
hati.
“Erk… Liya!” sapaku perlahan. Aku bingkas bangun, mendekatinya. Aku duduk
di sebelahnya. Kurenung wajah redupnya. Air matanya masih mengalir lagi. Allah!
Hiba benar hatinya, tersedu-sedu
dia menangis. Kasar benar bahasaku,
sampai begitu sekali Liya terasa? Hati
perempuan, rapuh benar agaknya?
“Maafkan abang ya, tidak sepatutnya
abang berkasar dengan Liya tadi,” kataku
perlahan. Berasa bersalah pula.
“Liya tak marah abang nak tegur,
mungkin Liya lalai tadi. Tapi biarlah
berlapik sikit. Liya dah cuba untuk
menjadi isteri yang terbaik buat abang, maafkan Liya kerana tidak mampu menjadi
yang terbaik buat abang,” ujar Liya.
Aduh! Semakin jauh pula perginya? Tegur pasal masakan dia saja, bukan semua
perkara. Liya sudah jadi terbaik buatku.
“Liya dah jadi terbaik buat abang,
maafkan abang ya!” ucapku.
“Abang tak marah Liya lagi?” tanya Liya lalu mengesat air matanya.
“Tak,” jawabku sambil melakarkan
senyuman.
“Liya pergi tambah sedikit air untuk
kurangkan masinnya ya? Abang tunggu
ya.” Liya terus mengangkat mangkuk
berisi kari kepala ikan dan bawa ke dapur semula.
Lima minit kemudian, Liya kembali
dengan mangkuk berisi kari ikan yang masih
berasap.
“Jemput makan bang,” pelawa Liya.
Aku mengangguk perlahan. Kusenduk kembali kuah kari dan tuangkan ke
dalam nasi, kurasa sedikit. Sudah kurang
masinnya, secukup rasa. Bijak isteriku.
“Hmm… sedaplah,” pujiku. Seleraku terbuka semula. Kupandang wajah Liya yang kembali ceria.
“Terima kasih Liya,” ucapku.
“Sama-sama,” jawab Liya.
Kami nikmati makan malam dengan
tenang kembali. Aku yang bersalah, emosi
tiba-tiba. Bukan aku tidak boleh menegur
Liya, jika dia berbuat salah. Tetapi, aku boleh tegur dengan baik. Liya bukan budak kecil yang perlu dijerkah
dan dimarahi, sama-sama dewasa, boleh
saja berbincang baik-baik. Liya bukan tempat untuk aku melepaskan kemarahan,
tetapi tempat aku berkongsi suka dan duka
bersama. Pengorbanan Liya sudah terlalu
banyak buatku, sanggup berhenti kerja, sanggup duduk rumah menjaga anak kami,
memasak dan menyediakan semua keperluanku, melahirkan zuriatku, itulah
pengorbanan yang paling besar buatku. Kalau setakat kesalahan kecil itu, boleh
sahaja berbicara dengan lembut dan baik.
Berkasar bukan sahaja membuatkan Liya membenciku, malah akan hilang
hormat kepadaku. Aku tidak mahu hubungan
kami jadi begitu. Aku selalu meminta
maaf, jika aku berbuat salah, tidak hilang pun egoku. Liya pasti akan semakin menyayangiku, dan aku
juga semakin menyayanginya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan