Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Isnin, 9 Oktober 2017

ADUHAI ISTERI - KISAH 8



            Jika tidak bekerja, aku suka makan di rumah.  Menikmati masakan isteriku biarpun tidak seenak masakan ibuku. Namun, cukup menyelerakan.  Aku bukan kisah sangat tentang makan, apa sahaja Liya masak, aku telan dengan penuh selera.  Rezeki kurniaan Ilahi, usah tolak.  Sesekali bolehlah makan di luar.  Jangan selalu, mahu botak kepala.
            Hari ini, Liya masak kari kepala ikan, makanan kegemaranku.  Sudah terhidang di atas meja.  Kari kepala ikan, sayur kacang panjang goreng cili padi, sambal belacan, ikan goreng kembung, ulam-ulaman.  Sayur kacang panjang dan ulam-ulaman, Liya dapat daripada jiran-jiran kami yang semakin rajin bercucuk tanam.  Sistem bertukar-tukar sayur, kata Liya.
            Aku memandang hidangan yang terhidang dengan penuh teruja. Tidak sabar menjamahnya. Liya masih sibuk di dapur, mengemas agaknya.  Aiman tidur di dalam katilnya. Sesekali aku menjengahkan kepala.  Katil kecil itu diletakkan dekat dengan meja makan.
            “Lambat lagi ke Liya?  Abang dah lapar ni,”  laungku.
            “Okay, dah boleh makan!”  kata Liya lalu duduk menghadapku.  Nasi disenduk ke dalam pinggang.  Aku membasuh tangan.  Kuah kari kusenduk dan curahkan ke atas nasi.  Sepotong kepala ikan aku senduk dan letak ke dalam pinggan.  Fuh! Semerbak bau kari, semakin terbuka seleraku.
            Setelah membaca doa makan, aku terus menyuap nasi yang sudah bergaul dengan kuah kari ke dalam mulut. Uh! Masin?  Kenapa masin? 
            “Kenapa masin sangat ni?  Lori garam tumpah ke?  Liya tak rasa dulu ke?  Tak pernah Liya masak macam ni?  Berangan ya?  Sibuk buat apa tadi, sampai terlajak masuk garam?”  semburku.  Patah seleraku, mati keterujaanku.  Hilang rasa lapar. Berkerut dahiku, terasa ditipu pula.  Bukan main cantik hiasan makanan yang dihidang. Tetapi rasa?  Hampas! 
            Liya terdiam, dia memandang wajahku tidak berkedip.  Dia merasa kuah kari itu.  Dia menelan air liur sendiri. 
            “Liya minta maaf, mungkin Liya tidak sedar terletak lebih garam,” katanya perlahan, wajahnya bertukar muram.
            “Lain kali kalau memasak, ingat betul-betul!  Hilang selera abang, Liya pun tahukan abang tak suka masakan masin?  Saja nak kenakan abang ya?” marahku. 
            “Liya tak sengajalah!  Liya dah rasa tadi, taklah rasa masin sangat,” cerita Liya.
            “Habis tu, macam mana boleh masin?  Takkan terbubuh garam dua kali?” Wajah Liya kupandang lama.
            Dia terkulat-kulat merenungku, sesekali menunduk, mukanya pucat lesi.  Erk… aku terkasar sangatkah? 
            “Kita dah kahwin berapa lama bang?”  tanya Liya dengan muka monyoknya.
            “Hampir dua tahun,” jawabku.
            “Selama hampir dua tahun, berapa kali abang makan masakan Liya?” soal Liya lagi.
            “Erk…”  Aku cuba mengira.  Susah juga nak kira, detik hati kecilku.
            “Tak terkirakan?  Tak berapa kan?  Hari ini, baru pertama kali, Liya masak termasin sikit, marah abang berapi-api ya? Liya tak sengaja bang. Kalau boleh Liya nak masak yang sedang saja untuk abang. Liya pun tak mahu jadi macam ini!” luah Liya dengan linangan air matanya.
            Alamak! Aku sudah kecilkan hatinya?  Aku mngeluh perlahan.  Apa sudah aku buat?  Mulut aku pun satu, tak ada insuran, main lepas saja bercakap.  Kan sudah mengamuk permaisuri aku.
            “Liya tahulah, Liya tidak sehebat mak abang memasak.  Setakat boleh makan saja. Tapi, janganlah hina Liya sangat, terasa tau!”  kata Liya.
            Kali ini, aku pula terkedu.  Itulah mulut, suka sangat nak komen, kan sudah jadi masalah.  Dalam teruja nak makan, sudah jadi peranglah pula. Aku berasa kesal sendiri. Kalaulah aku berkata baik-baik tadi, menegur dengan lembut, pasti Liya tidak berkecil hati. 
            “Erk… Liya!”  sapaku perlahan.  Aku bingkas bangun, mendekatinya. Aku duduk di sebelahnya.  Kurenung wajah redupnya.  Air matanya masih mengalir lagi.  Allah!  Hiba  benar hatinya, tersedu-sedu dia menangis.  Kasar benar bahasaku, sampai begitu sekali Liya terasa?  Hati perempuan, rapuh benar agaknya? 
            “Maafkan abang ya, tidak sepatutnya abang berkasar dengan Liya tadi,”  kataku perlahan.  Berasa bersalah pula.
            “Liya tak marah abang nak tegur, mungkin Liya lalai tadi.  Tapi biarlah berlapik sikit.  Liya dah cuba untuk menjadi isteri yang terbaik buat abang, maafkan Liya kerana tidak mampu menjadi yang terbaik buat abang,” ujar Liya.
            Aduh!  Semakin jauh pula perginya?  Tegur pasal masakan dia saja, bukan semua perkara. Liya sudah jadi terbaik buatku. 
            “Liya dah jadi terbaik buat abang, maafkan abang ya!”  ucapku. 
            “Abang tak marah Liya lagi?”  tanya Liya lalu mengesat air matanya.
            “Tak,” jawabku sambil melakarkan senyuman.
            “Liya pergi tambah sedikit air untuk kurangkan masinnya ya?  Abang tunggu ya.”  Liya terus mengangkat mangkuk berisi kari kepala ikan dan bawa ke dapur semula.
            Lima minit kemudian, Liya kembali dengan mangkuk berisi kari ikan yang masih  berasap. 
            “Jemput makan bang,”  pelawa Liya.
            Aku mengangguk perlahan.  Kusenduk kembali kuah kari dan tuangkan ke dalam nasi, kurasa sedikit.  Sudah kurang masinnya, secukup rasa.  Bijak isteriku.
            “Hmm… sedaplah,”  pujiku. Seleraku terbuka semula.  Kupandang wajah Liya yang kembali ceria. 
            “Terima kasih Liya,”  ucapku.
            “Sama-sama,” jawab Liya. 
            Kami nikmati makan malam dengan tenang kembali.  Aku yang bersalah, emosi tiba-tiba.  Bukan aku tidak boleh menegur Liya, jika dia berbuat salah.  Tetapi,  aku boleh tegur dengan baik.  Liya bukan budak kecil yang perlu dijerkah dan dimarahi, sama-sama dewasa,  boleh saja berbincang baik-baik. Liya bukan tempat untuk aku melepaskan kemarahan, tetapi tempat aku  berkongsi suka dan duka bersama.  Pengorbanan Liya sudah terlalu banyak buatku, sanggup berhenti kerja, sanggup duduk rumah menjaga anak kami, memasak dan menyediakan semua keperluanku, melahirkan zuriatku, itulah pengorbanan yang paling besar buatku. Kalau setakat kesalahan kecil itu, boleh sahaja berbicara dengan lembut dan baik.  Berkasar bukan sahaja membuatkan Liya membenciku, malah akan hilang hormat kepadaku.  Aku tidak mahu hubungan kami jadi begitu.  Aku selalu meminta maaf, jika aku berbuat salah, tidak hilang pun egoku.  Liya pasti akan semakin menyayangiku, dan aku juga semakin menyayanginya. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan