Kenderaan
bertali arus di hadapan Restoran Mamak
Ali Maju yang terletak di pekan kecil Kampung Seberang. Ledakan hon kereta yang sesekali berbunyi
kadang-kadang membuatkan para pelanggan Restoran mamak Ali Maju itu menoleh dan
melihat. Malek akan singgah makan di
situ sekali sekala jika dia teringin menjamah roti canai dan teh tarik. Sedang leka menikmati hidangan kegemarannya,
seorang lelaki yang hampir sebaya dengannya terus melabuhkan punggung
menghadapnya.
Malek mengangkat kepala, wajah
lelaki yang berada di hadapannya dipandang seketika. Dia tersenyum sinis. Lelaki yang pernah jadi kawan dan sahabat
konon. Sewaktu dia ditangkap, lelaki itu
berjaya melarikan diri entah ke mana. Akhirnya dia seorang yang disumbat ke
dalam penjara. Lelaki itu? Lepas bebas dengan semua duit rompakan. Hari ini, lelaki itu tiba-tiba muncul di
hadapannya? Bagaimana lelaki itu tahu
dia berada di sini?
“Apa khabar sahabat?” tanya lelaki
itu setelah memesan secawan kopi panas.
“Sahabat? Kau masih anggap aku sahabat?” soal Malek sambil menghabiskan suapan roti
canainya yang terakhir.
“Kau sahabat aku dunia dan akhirat,
maaflah tak ziarah kau waktu di penjara,”
ujar lelaki itu.
“Sudahlah Rocky! Tak payah berpura-pura, kenapa kau cari
aku? Aku dah cuci tangan, takkan laku
kerja-kerja terkutuk itu lagi,” jelas Malek, jika itulah tujuan Rocky datang
mencarinya. Rambut yang diwarnakan
perang, cermin mata hitam, gigi yang masih rapi, cara berpakaian seperti
seorang ahli perniagaan yang berjaya,
sudah tentu Rocky cukup kaya dan berjaya.
“Kenapa kau tak cari aku? Aku masih
simpan harta benda kau,” beritahu Rocky.
“Aku tak perlukan harta haram itu
Rocky,” kata Malek.
“Wah! Sudah insaf?
Terkejut aku, penjara mampu buat kau jadi manusia?” sindir Rocky.
“Kau nak apa sebenarnya ni Rocky?”
Malek mula meninggi suara. Bercampur
dengan orang jahat, pasti jadi jahat juga jika tidak kena gayanya.
“Aku nak kau bekerja dengan aku,
mahu tak? Gaji lumayan aku akan bayar
kau, takkan kau nak hidup miskin sampai ke tua?” pelawa Rocky.
“Kerja apa yang kau boleh tawarkan
pada aku? Aku miskin? Aku bahagia dengan kehidupan aku sekarang ni
Rocky!” Malek mendengus kasar.
“Hey, kawan! Setakat jadi pengerusi belia kampung, tak
kemana perginya, aku nak kau jadi pengawal peribadiku merangkap rakan
kongsi,” pelawa Rocky.
“Rakan kongsi? Pengawal
peribadi? Tu, dah ramai pengawal
peribadi kau, dua buah kereta, penuh, tak cukup lagikah?” sambil bibirnya
menjuih keluar restoran. Dua buah kereta
BMW bersiap sedia di hadapan restoran tersebut. Menunggu dan menanti serta
memerhati.
“Itu lain, mereka kuli aku!” kata
Rocky dengan bangga.
“Kau buat kerja apa pula kali ini?
Masih merompa?” Malek meneliti wajah lelaki itu. Kedutan sudah terlihat dengan kasarnya,
tetapi masih lagi tidak insaf.
“Merompak? Lambat nak kaya dan banyak masalah, aku
sekarang ni dah jadi ahli perniagaan, pendapatan aku boleh tahan, itu sebab aku
nak ajak kau turut serta, makan tujuh keturunan tak habis-habis tau,” kata Rocky dengan penuh bangga.
“Berniaga apa tu? Kayu balak?”
“Kayu balak lama-lama habis juga,
kau ingat tebang pokok, lama-lama pokok tu tak pupus? Mana ada kelas!”
“Habis tu? Setahu aku kau SPM pun
tak lulus, dulu kerja kau meragut, merompak saja, takkan sekarang dah jadi ahli
perniagaan? Perniagaan apa yang kau
uruskan?” Malek tidak berpuas hati.
Lelaki itu bukan seorang yang bijak, kalau ia pun dia berniaga,
perniagaan apa yang dia tahu buat selain meragut dan merompak.
“Kau jangan pandang rendang dengan
aku sahabat! Masa boleh berubah, ilmu boleh cari, setakat berniaga jual kacang
rebus tepi jalan sesiapa pun boleh buat, tak perlu sekolah tinggi,” kata Rocky.
“Takkan jual kacang rebus boleh guna
khidmat pengawal peribadi?” Malek
menyengih, sinis.
Rocky mendekatkan dirinya hampir
dengan Malek, “Aku jadi pengedar dadah terbesar di kawasan Kuala Lumpur dan di
kampung ini, kerja senang sahabat, kaki banyak, duit pun mudah dapat,” kata Rocky dengan bangga.
“Dadah? Kau jadi pengedar pula?” Malek mengerutkan dahi. Rupanya, selama ini Rockylah perosak anak
penduduk kampungnya, sudah tentu kehadiran lelaki itu ada tujuan yang besar.
Ditambah keadaan Kampung Seberang sudah jauh berubah.
“Perniagaan kau tergugat ke?”
Rocky menyengih.
“Kau sahabat aku, aku tahu perbuatan
kau telah menghancurkan perniagaan aku di sini, kalau kau bekerjasama dengan
aku, kita mampu bina empayar perniagaan yang hebat di sini.” Rocky menyengih.
Dia pasti sangat, Malek tidak akan menolak/
“Hey, Rocky, kalau kau berniaga
perniagaan yang halal, tak rosakkan anak bangsa sendiri, tak hancurkan sebuah
keluarga, aku akan sokong kau sepenuhnya.
Takkanlah sebodoh itu kau tidak tahu perniagaan yang kau jalankan menghancurkan
anak bangsa kita?” Malek mengetap bibir.
Wajah selamba Rocky menambah sakit di hatinya.
“Apa aku peduli! Yang penting duit
sahabat! Kau juga pentingkan duit, kan?”
Rocky menyengih lagi.
“Aku takkan bekerjasama dengan
manusia banjingan seperti kau Rocky! Kau raih kekayaan di atas kesengsaraan
orang lain? Baik kau jadi penyapu
sampah, lebih mulia kerja mereka, daripada kau yang jadi penjahanam anak bangsa
sendiri!” Malek sudah bingkas bangun. Dia tidak mahu berlama dengan manusia tidak
tahu diri itu.
“Kau jangan hina sangat aku Malek,
kau tu apa kurangnya? Kau sama banjingan
dengan aku, kau rosakkan anak arwah Tuan Harun sampai jadi gila! Kau dah lupa
ke? Atau kau ingin aku ingatkan?” sindir Rocky, sejarah lama diungkit.
Malek mengenggam erat buku
lima. Lelaki itu memang sengaja mencari
nahas. Peduli apa dia dengan konco-konco Rocky yang setia menunggu di luar
restoran. Peristiwa hitam itu usah
disebut, dia sedang cuba melupakannya.
Biapun tidak terampun dosanya yang lalu, namun mengenang kembali
peristiwa itu sudah cukup mencair leburkan hatinya.
“Rocky! Aku takkan biarkan kau
ganggu keamanan penduduk Kampung Seberang!
Kalau nak nak jahanam, jahanamlah seorang diri, kau tak perlu pelawa
aku!” Malek menjegilkan mata. Lelaki itu tidak layak dihormati.
“Hey, Malek! Kau tidak tahu dengan siapa kau berurusan,
ini Rockylah!” kata Rocky sambil mendabik dada.
“Aku akan pastikan kau ditangkap dan
ke tali gantung! Hidup pun tak guna, hanya tahu merosakkan orang lain!” Malek
berlalu pergi setelah membayar harga makanan.
Sempat dia menjeling ke arah kereta BMW yang ada di hadapan Restoran
Mamak Ali Maju.
Rocky menyengih dan turut bangun
meninggalkan restoran tersebut.
Malek terus menaiki motosikalnya dan
berlalu pergi dari situ. Jika benarlah,
selama ini Rocky adalah pengedar besar di kawasan kampungnya, dia tidak akan biarkan lelaki itu merosakkan penduduk
kampungnya lagi. Lelaki itu harus
disumbatkan ke dalam penjara atau dihapuskan terus dari muka bumi ini. Kalau hidup hanya tahu menyusahkan orang
lain, baik mati sahaja.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan