Maheran,
itulah nama wanita itu. Anak arwah Tuan Harun yang telah
dirosakkan. Kekesalan tidak akan pernah
padam selagi dia tidak meminta maaf kepada wanita itu. Mahukah wanita itu memaafkannya? Itulah persoalan yang sedang bermain
difikirannya. Hatinya bertambah terluka apabila diberitahu Maheran telah
mengalami tekanan jiwa sejak dia dirogol oleh Malek. Berderai air mata Malek sewaktu sujud kepada
Yang Esa. Terlalu banyak dosanya kepada
manusia lain. Dosanya kepada Allah,
mungkin akan terampun selagi dia tidak menyekutukan Allah swt. Tetapi, bagaimana dosanya dengan Maheran
serta anak yang terlahir atas perbuatan jijiknya itu? Mahukah mereka memaafkannya? Mengampunkan
segala dosanya?
Malek juga telah mendapatkan alamat
tempat tinggal keluarga Maheran di Kuala Lumpur. Dia sudah bersedia untuk dihukum kerana
perbuatannya yang lalu. Semoga Allah
mempermudahkan urusannya. Biarpun
hatinya takut untuk berhadapan dengan masalah yang baharu itu, tapi dia
terpaksa demi ketenangan dirinya. Dia
tidak mahu mati dalam keadaan menanggung dosa yang tidak terampun oleh Allah
swt kecuali dimaafkan oleh Maheran dan keluarganya.
“Wan temankan ayah!” pelawa Zakuan.
Malek menoleh. Dia mengeluh. Kalau boleh dia tidak mahu
melibatkan ahli keluarganya. Biarlah dia
sahaja yang berhadapan dengan dosanya yang lalu. Biarpun pada mulanya Zakuan berkeras
membantah rancangannya untuk berjumpa keluarga arwah Tuan Harun, setelah
diterangkan sebabnya, akhirnya Zakuan redha dan tidak membantah lagi.
“Tak apalah Wan, pergilah balik,
biar ayah selesaikan masalah ayah ini,”
ucap Malek. Bekas makanan
tengahari yang dibawa oleh Zakuan sudah dibasuh bersih. Hampir setiap hari
Zakuan datang singgap di rumahnya.
Biarpun berasa serba salah, bukan dia tidak suka? Tetapi rasa malu yang menebal di hati melihat
layanan yang diberi Zakuan kepadanya.
Ringan sahaja mulutnya ingin melarang Zakuan datang mengunjungi dan
membawa makanan untuknya.
“Ayah nak pergi dengan apa? Teksi?
Motor buruk ayah tu?” Zakuan
memandang wajah Malek tidak berkedip.
“Tak kisahlah dengan apa, asalkan
sampai,” ujar Malek. Dia berlalu ke ruang tamu dan duduk di sofa.
“Kenapa ayah selalu menolak
pertolongan Wan? Ayah tak suka dengan
Wan ya? Wan tahu, ayah tak senang Wan
datang sini, kan? Benci sangat ke ayah pada
Wan? Jahat sangat ke Wan ni, ayah?” luah Zakuan.
Malek terdiam. Dia merenung wajah Zakuan yang mula keruh.
“Wan… ayah tidak pernah bermaksud
nak melarang Wan ke mari. Wan pun tahu
bagaimana dengan emakkan? Emak tak suka
Wan selalu jumpa ayah. Wan tak kasihan
ke dengan emak? Hatinya sudah cukup berduka dan terluka Wan, usah ditambah lagi.”
Zakuan mendekati Malek. Dia duduk di
hadapan Malek, dipandang wajah ayahnya lama.
“Wan tahu, ayah malu dengan
Wan. Wan sudah kehilangan kasih sayang
ayah sejak 25 tahun yang lalu.
Cukuplah! Wan hanya ingin ada
ayah seperti orang lain. Wan hanya ingin
menumpang kasih ayah. Benarkanlah Wan
jadi anak ayah sepenuhnya. Izinkan Wan
berbakti kepada ayah selagi ada nyawa ayah dan Wan masih bernafas,” luah Zakuan.
Malek terus menekup mukanya. Kata-kata Zakuan benar-benar menghiris halus
hatinya. Menuang garam ke atas luka yang masih berdarah. Kenapalah anak itu terlalu baik? Terhenjut-henjut bahunya menahan
tangis.
“Maafkan ayah, Wan!” ucap Malek
dalam tangisannya.
“Wan dah lama maafkan ayah,” ujar
Zakuan, lalu memeluk erat tubuh tua itu.
Kedua anak beranak itu saling
berpelukan.
“Wan ikut ayah ya?” Zakuan tidak mengalah.
Malek mengesat air mata yang jatuh
di pipinya. Keegoaannya kalah juga
dengan sikap baik anak lelakinya itu.
“Baiklah Wan, jika Wan dah
mendesak.” Malek mengalah.
Petang itu Malek dibawa Zakuan
menuju ke rumah keluarga Maheran berpandu dengan alamat yang diberi oleh Pak Su
Haji Shukri. Deretan kereta yang bertali
arus, jalan yang sentiasa sesak, itulah Kuala Lumpur. Mereka akan menuju ke Taman Melawati. Keluarga Maheran telah menetap di situ
setelah keluar dari kawasan Kampung Seberang.
Semakin dekat dengan kawasan perumahan itu, semakin berdebar
hatinya. Semakin seram sejuk
tubuhnya. Masuk penjara pun tidak
setakut ini.
Mereka berhenti di sebuah rumah
banglo setingkat yang berbentuk lama.
Kawasannya berpagar sepenuhnya, keadaan biasa di kawasan perumahan di
Kuala Lumpur. Di sekeliling rumah kelihatan
pokok-pokok kecil dan rendang ditanam untuk mencantikkan lagi kawasan yang
sebesar setengah ekar itu. Ada beberapa buah kereta di halaman rumah.
Zakuan meletak kenderaannya di tepi
kawasan rumah tersebut. Mereka menunggu
seketika. Zakuan menoleh memandang wajah
ayahnya yang kelihatan gugup.
“Ayah, kalau tidak bersedia lagi,
baik tak payah berjumpa mereka dulu,” kata Zakuan.
“Tidak Wan, ayah mesti bertemu
mereka. Ayah perlu hadapi perkara
ini. Ayah tidak mahu mati dalam keadaan
membawa dosa-dosa ayah yang banyak, cukuplah dosa ayah dengan emak Wan. Ayah tidak mahu menambah lagi,” terang Malek.
Zakuan mengangguk tanda faham. Dosa dengan Allah akan mudah diampunkan jika
hambanya meminta ampun, tetapi dosa dengan manusia tidak akan terampun selagi
tidak dimaafkan oleh orang yang telah dianiaya.
Degupan jantungnya semakin berdegup
kencang. Hembusan nafasnya berasa sesak.
Malek cepat-cepat menarik nafas perlahan-lahan. Dia segera beristighfar dan berdoa, semoga
langkah yang diambil ini adalah yang terbaik dalam hidupnya.
Zakuan sudah pun mematikan enjin
kereta. Dia melangkah keluar. Berdiri
tegap, sebenarnya hati dia juga berdebar-debar. Entah bagaimana
penerimaan keluarga wanita itu nanti apabila terlihat kelibat ayahnya. Biarpun mereka kemungkinan tidak mengenali
atau mengecam wajah ayah, tetapi jika sudah diberitahu akan tujuan, tentulah
keadaan pasti akan jadi kecoh nanti.
Semoga Allah permudahkan urusan ayahnya yang telah berusaha mengubah
kehidupannya ke jalan yang lebih baik.
“Ayah!” panggil Zakuan.
Malek menoleh. Dia melakarkan senyuman.
“Mari kita keluar,” ajak Zakuan.
Malek mengangguk perlahan. Dia membuka pintu kereta dan berdiri tegap.
Terasa lembut lututnya. Biarpun
berpakaian kemas, berbaju kemeja, dan berseluar slack, tidak mampu menenangkan
hatinya. Orang bersalah, inilah
keadaannya. Berasa takut dengan
bayang-bayang sendiri. Dengan lafaz
Bismillah Malek terus melangkah
mendekati pintu pagar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan