kredit: Gambar Google
Tanah gersang
dan kering kontang itu dipandang lama.
Tidak berkedip matanya memandang dada langit. Memerhati awan yang
berarak lembut, terang benderang cuaca. Deburan halus berterbangan ditiup
angin. Panas matahari membahang, membakar tubuhnya
yang berkulit sawo matang. Degupan
jantungnya beralun perlahan. Angin
berpuput lembut menyapa pipinya yang sudah diusik waktu. Tunggu tulang belulangnya sahaja ketika dan
saat untuk mereput ditelan bumi. Terasa lelah memandang tali air yang merekah
tanahnya. Sudah berbulan-bulan hujan
tidak menitiskan airnya membasahi bumi tercinta. Merajukkah ia? Sehingga tidak sudi lagi
menyinggah dan menyapa kawasan yang tiba-tiba tandus jadinya.
Sungai mengalir lesu, airnya
tidak lagi berkocak riang, menampar jiwa untuk bermandi-manda. Wajah anak-anak pulang dari sekolah melekit
menahan kepanasan dibasahi peluh sendiri.
Kepenatan jelas terpancar di wajah mereka. Kelesuan jelas terlihat di sebalik senyuman
yang layu itu.
“Bila agaknya kita boleh
membajak ni, pak su? Tali air kering kontang, hujan asyik tidak jadi, nampaknya
tahun ini lambatlah kita menanam,” keluh Rahim, anak buah Pak Su Hashim.
“Cuaca di tangan Allah Rahim,
hanya Dia yang mampu mengubahnya!” ujar Pak Su Hashim dengan wajah berombak
resah. Hati siapa yang tidak resah,
pendapatan hanya diperolehi dengan tanam padi, tiga kali setahun, dengan hasil
itulah dia membesarkan anak-anaknya.
“Kenapalah tahun ini teruk
sangat kemaraunya pak su? Tahun lepas
ada jugalah el-ninolah, el-nanalah.
Tetapi tidaklah seteruk tahun ini. Sampai terbakar padang sekolah Syed
Alwi. 40 darjah Celsius, boleh mati
terbakar kita! Selama saya hidup belum
pernah berasakan teriknya matahari sebahang ini. Seperti Allah menimpakan amarahnya, amukan
yang mampu buat kita gelabah separuh gila!” bebel Rahim sambil mengeluh deras.
“Jangan buruk sangka dengan ALLAH! Apa yang berlaku,
baik atau buruk, terima dengan redha dan hati terbuka. Adalah hikmahnya. Kita ini, kadang-kadang lupa diri. Tidak
sedar hidup bukan sendiri-sendiri, ada ‘Tuan’ yang memerhati. Buat seenaknya, tanpa ada perasaan takut,
semuanya kita langgar, biarpun terluka parah, kita tidak ambil pusing
pun,” terang Pak Su Hashim. Dia mencangkung, menggenggam tanah sawah yang
halus dan berdebu itu.
“Sebab ‘Tuan’ tidak nampak, itu
yang sering tidak perasan, pak su!”
Rahim menyengih.
“Buat tidak perasan itulah yang
harunya!” Pak Su Hashim bingkas bangun, dalam senyuman yang terlakar.
Bergelodak jiwanya kebimbangan. Kalau sebulan lagi hujan tidak turun, alamat
terpaksalah dia mencari pekerjaan lain untuk menyara keluarganya sementara
menunggu cuaca kembali berhujan dan berpanas.
Alam kadang-kadang bercakap dengan bahasanya sendiri. Manusia pula kadangkala
lupa dan alpa.
“Pihak Mada akan buat apa
agaknya, pak su?” soal Rahim. Dia
menyepak-nyepak tanah yang tandus itu.
Sudah seperti berada di Gurun
Sahara pula. Nasib baik hembusan
angin ada dan mampu menyegarkan tubuh, biarpun matahari mengigit dengan garangnya.
“Mungkin akan buka saliran
empangan air di Timah Tasohlah agaknya.
Itupun kalau tidak kering juga seperti di tempat lain,” luah Pak Su
Hashim. Kalau Rahim bimbang, dia apatah
lagi. Rahim ada jugalah sumber
pendapatan lain. Jual ikan segar dan buat
belacan untuk dijual. Dia pula hanya
menanam padi semata-mata. Kenapa cuaca
panas keterlaluan? Kenapa tidak ada hujan?
Murkah Allahkah? Ah! mudahnya dia
membuat spekulasi. Allah bukan kejam,
Allah itu Maha Penyayang. Dia mengeluh
berat. Keyakinan dalam diri terhadap
Penciptanya serapuh daun kering yang mudah diterbangkan angin. Mudah goyah. Mudah koyak. Kalau daun kering tentulah tidak mudah
dijahit semula seumpama kain ketika koyak dan rabak mudah dicantum semula.
“Pak su, saya balik dululah. Ada pesanan
belacan dari kampung sebelah,” ujar Rahim dan melangkah pergi.
Keluhan yang terlahir bagaikan
tidak lepas dari kerongkongnya. Mematah semangat seorang pak tani yang berharap
kepada turunnya hujan. Merapuhkan
semangat seorang pak tani yang bergantung hidup pada pertanian. Hujan bagaikan rahmat buat para petani
sepertinya. Air satu keperluan utama dalam hidup manusia, tanpa air manusia
tidak akan mampu hidup.
Begitulah harapannya yang tinggi
terhadap air. Selain memberi sumber
manusia dan makhluk Allah yang lain, air memberi kehidupan kepadanya
sekeluarga. Bagaimana dia hendak menanam
semula jika air tiada. Bagaimana air hendak ada jika hujan tidak turun-turun juga. Rajukkah hujan? Dia
tidak puny acara untuk memujuk agar langit mampu menurunkan hujan. Kepanasan semakin membahang. Semakin mejerut
seluruh tubuhnya. Ala bisa tegal biasa,
berpuluh tahun bermain dengan hujan dan panas.
Perlukah ada perasaan risau dan bimbang ketika kepanasan masih sudi
bergurau senda dengannya? Kerisauan melanda hatinya kerana hujan sudah tidak
sudi lagi bermain, bergurau senda dengan dirinya. Hujan seperti membenci dan
berjauh hati.
Tercari-cari salah sendiri, di
mana silapnya? Hashim melepaskan keluhan berat.
Perlahan-lahan langkah di atur kembali ke rumah. Kisah Nabi Yusuf menjawab mimpi seorang raja membuatkan dia berfikir. Adakah kemarau ini akan lama lagi berlaku? Dia bukan pandai sangat dalam hal-hal tentang
cuaca. Hanya pandai memerhati melihat
dan membaca keadaan angin serta langit.
Kepandaian orang kampung sepertinya yang menampung hidup dengan ketertiban
cuaca. Keadaan telah berubah cuaca tidak
lagi tertib dan mengikut alirannya yang sebenar. Bercelaru, seperti sudah terlalu jauh dari
landasan yang sebenar.
Masih memandang dan masih mengharap.
Harapan seorang insan kerdil seperti dirinya.
Tidak mampu mengubah keadaan. Hanya mampu berdoa dan meminta. Berharap
dan menanti, turunnya hujan mampu memujuk rasa hati yang sedang galau sejak
beberapa bulan yang lalu. Tidak pernah surut, sesurut air di sungai ketika
ini.
Dia meraup mukanya yang dibasahi
peluh. Kepenatan dan kelelahan yang tidak tertanggung oleh hati dan
perasaan. Tidak pernah dia seresah
ini. Tidak pernah dia serisau ini. Anak-anak masih belajar, masih memerlukan
pembiayaan yang bukan sedikit. Lima anak
yang sedang membesar. Kalau tahun ini
kurang penghasilan, kurang pula pendapatan.
Ya Allah! Kembalikanlah
ketenangan hatiku, doa Hashim dalam hati.
Hidup tidak indah jika tiada ujian.
Kehidupan dan ujian seperti aur dengan tebing. Kalau tidak diuji, bukan hidup namanya. Kalau dua bulan lagi tidak hujan, bagaimana dia hendak mula
menanam? Akan adakah air untuk membasahi
sawah padi? Akan adakah pendapatannya
untuk musim ini? Pelbagai perkara
bermain di fikiran. Keresahan yang
meribut di hati tidak pernah hilang. Masih terus tumbuh subur di hati.
“Abang,” suara yang lembut dan
perlahan menyapa telinganya.
Hashim nenoleh. Wajah isteri kesayangan berdiri di muka pintu
dapur sambil melakarkan senyuman.
“Abang dari mana?” tanya Naemah,
isteri yang setia. Susah senang bersama.
“Dari sawah, kalau hujan tak
juga turun, nampaknya tahun ini, kuranglah pendapatan kita,” luah Hashim akan
kebimbangan di hatinya.
“Tak usahlah bimbang sangat
bang, cuaca bukan hak kita. Kita cuba
cari cara lain untuk tambah pendapatan,”
ujar Naemah.
“Kita nak buat apa?” Hashim mengeluh berat.
Kepalanya masih berserabut
memikirkan keadaan yang sedang berlaku.
“Anak-anak masih belajar Mah,
abang tak tahu nak buat apa? Along,
belanjanya di kolej, bukan sedikit. Duit
air, eletrik dan telefon, semuanya kena bayar.” Keluhan rakyat biasa
sepertinya. Bukan ada gaji beribu, bukan
ada pendapatan jutaan ringgit. Kais pagi
makan pagi, kais petang makan petang.
Cukup-cukup makan untuk menyara keluarganya.
“Rezeki itukan milik Allah,
tahulah Allah mengaturnya. Takkanlah
Allah kejam sangat sampai tidak langsung memberi? Sedangkan orang yang tidak beriman diberi
kenikmatan hidup, inikan kita yang tidak pernah culas sujud padaNYA,” nasihat Naemah.
Sujud padaNya? Keluhan terlahir di bibirnya. Benarkah dia sujud kepadaNYA? Atau sudah lama
melupakan Yang Esa? Mencari jawapan
dalam dirinya sendiri. Muhasabah setiap
langkahnya sehari-harian. Sebelum subuh
sehinggalah malam merangkak pergi. Ah! kepenatan alasan yang sering diberi.
Sehingga terlupa akan tanggungjawabnya yang satu. Melupakan yang punya hak untuk disembah.
“Mungkin abang dah lama tak
sujud padaNYA,” luah Hashim dengan hati yang kesal. Kepenatan menguruskan
bendang sering dijadikan alasan. Sering menangguhkan waktu solatnya dengan
tidur dahulu sehinggalah dia terlepas waktu-waktu yang berharga itu.
“Apa maksud abang?” tanya Naemah
kehairanan.
“Sejak sawah kita ada berpuluh
relong, abang sering pulang dalam keletihan. Abang culas dan leka, itu sebab agaknya hujan tidak turun
lagi. Allah murka dengan abang,” cerita
Hashim dengan penuh kekesalan. Itulah
yang sedang bermain difikiran. Tidak mustahil. Dia hanya manusia biasa yang
tidak kuat imannya. Melengah dan
mengambil mudah dalam semua perkara hatta amal ibadatnya.
“Ya Allah, janganlah
berperasangka buruk terhadap Allah, bang.
Biarpun kita culas, tapi pintu taubat masih terbuka. Usahlah abang bimbang. Janji takkan buat lagi,” nasihat Naemah.
Hashim terdiam. Dia bukan berperasangka buruk, tetapi sedar
akan kealpaannya. Dia yang salah, tidak
sedar diri. Setiap hembusan nafas, kesihatan dan kehidupan yang diberi adalah
milik dan kurniaan Ilahi. Nikmat Allah
yang manakah yang harus dia nafikan?
Selama ini hidupnya serba sempurna biarpun tidah mewah. Cukup makan,
cukup pakai. Anak-anak baik dan
bijak-bijak pula. Isterinya pula setia
dan tidak pandai meminta-minta kecuali untuk anak-anak. Rumah ada, tanah ada, diuji sedikit mulakan
hilang rasa syukur. Mulalah berkeluh
kesah sedangkan senafas udara dihirup tidak terbalas dengan emas setinggi
Gunung Kinabalu.
“Mah ada cadangan, kalau musim
akan datang kita tak boleh menanam, apa kata kita berniaga kecil-kecilan, buka
warung tepi jalan. Sekurang-kurangnya
dapat menambah pendapatan kita.
Sementara menunggu hujan turun
semula. Kalau pihak Mada ada jalan dan
memenuhkan tali air, mungkin masih boleh menanam juga musim ini. Abang jangan bimbang sangat. Pasti ada jalan. Kitalah yang kena berdoa dan berharap, bertawakal
hanya padaNYA.
“Buka warung? Nak jual apa?”
tanya Hashim sedikit bimbang, Dia mana
pernah berniaga. Apatah lagi isterinya.
“Waktu panas-panas ini apa yang
paling laku?” tanya Naemah berteka-teki.
“Minuman? Orangkan mudah
kehausan dengan cuaca terik ini.” Hashim memandang wajah isteri tercinta.
“Kita jual cendol, air batu
campur dan goreng pisang,” cadang Naemah
teruja.
“Cendol? Betul juga, awakkan pandai buat. Selama ini
makan sendiri saja,” ujar Hashim dengan wajah penuh ceria. Hidup jangan
sempitkan fikiran. Perlu berusaha
memikirkan dan mencari jalan untuk
memperbaiki hidup. Cadangan isteri
tersayang amatlah baik. Kenapa dia tidak memikirkannya. Tidak ramai yang
berniaga cendol dan air batu campur di kampungnya. Biarpun terpaksa mengeluarkan modal, apalah
salahnya. Perniagaan apa yang tidak
memerlukan modal, hatta modal air liur sekalipun.
“Jangan bimbang ya bang. Allah masih beri kita jalan untuk terus
hidup,” nasihat Naemah sekali lagi
sebelum melangkah masuk ke dalam rumah.
Hashim tersenyum bahagia. Terima kasih Allah kerana memberi kesempatan
untuk meneruskan hidup tidak kira ketika susah dan senang. Selagi nyawa dikandung badan, Allah tidak
pernah melupakan hamba-hambaNYA, hanya hamba-hambaNYA yang sering lupa dan
alpa. Dalam keresahan masih ada harapan yang menggunung.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan