Khamis, 2 November 2017

JALAN PULANG - BAB 32



Ketiga-tiga lelaki itu meronta-ronta hendak melepaskan diri.  Mereka bertindak agresif, melawan sewaktu digari.  Pucat lesi wajah mereka sebaik diserbu oleh pihak polis.  Malek hanya tersenyum puas.  Dia tidak akan membiarkan pengkhianat bangsa seperti lelaki bertiga itu.  Malek pasti ketiga-tiga lelaki itu adalah konco-konco Rocky.  Dia juga pasti Rocky tidak akan duduk diam.
            Ketiga-tiga lelaki itu boleh dikenakan hukuman mati jika sabit kesalahan kerana jumlah dadah jenis syabu yang ditemui di dalam kenderaan mereka lebih dari satu kilogram. Biar mati, lagi baik.  Hidup pun tiada gunanya jika hanya tahu menjahanamkan masa depan orang lain.
            “Alhamdulillah, tertangkap juga pengedar yang menjahanamkan anak kampung kita ini,” kata Haji Shauki dengan wajah gembira.  Sejak Malek membantunya menjaga keamanan kampung ini, banyak perubahan telah dilakukan oleh anak buahnya itu.  Benar, keinsafan mampu mengubah keadaan seseorang ke arah lebih baik.
            “Alhamdulillah!” jawab beberapa orang kampung yang turut serta dalam serbuan itu.  Lima pelajar yang terbabit juga telah dibawa ke balai polis sebagai saksi dan berjaya mengumpan tiga lelaki itu sehingga tertangkap.
            “Nampaknya, tempat ini, kenalah kita bangunkan.  Biar dimanfaatkan,”  kata Hassan penuh semangat.  Dia turut bersemangat membantu Malek menjalankan aktiviti berfaedah untuk anak-anak muda kampung itu.  Melihat hasil usaha Malek yang berjaya membuatkan  Hassan yakin, kawan sekampungnya itu sudah berubah dan benar-benar mengubah dirinya.  Hassan benar-benar bangga.
            “Pihak polis sedang cari ketua mereka. Pak su harap ketuanya juga berjaya ditangkap,”  ujar Haji Shauki.
            “Insya-Allah pak su, kita berdoa agar dalangnya juga berjaya ditangkap.  Biar bersih kampung kita ini dari anasir tidak berfaedah,” kata Malek.  
            Ya, masalah kampungnya boleh selesai, bagaimana dengan masalah dirinya?  Dia masih belum mendapat kemaafaan daripada bekas isteri dan Maheran?  Adakah jiwanya akan tenteram selagi kedua wanita itu tidak memaafkannya?  Akan terampunkah dosa-dosanya?  Allah terimakah taubatnya?  Allah! Mengingatkan perkara tersebut buat hatinya kacau bilau biarpun wajahnya kelihatan tenang dan garang.  Padahal, hatinya bergelora menahan rasa sesal yang tidak pernah kunjung padam.  Kenapalah dia jahat dahulu?  Kenapalah dia terlalu mengikut hawa nafsu?  Suara halusnya bergema di hati, meraung dan melaung semahu-mahunya, melepaskan rasa gundah jauh di lubuk hatinya yang paling dalam.
            “Malek! Petang nanti pak su ada mesyuarat dengan ahli majlis bandaran, pak su nak Malek hadir sekali ya?  Kita boleh cadangkan untuk bangunkan tasek ini pula.  Nampaknya semakin banyaklah tempat reakrasi di kampung kita ni.  Projek tanah terbiar di hulu kampung sana tu pun, sudah dimulakan.  Kita akan tanam pokok buah-buahan tempatan.  Pak Cik Harun akan pantau projek tersebut.  Tiga ekar, luar tu, banyak pokok kita boleh tanam. Hasilnya nanti anak cucu kita boleh rasa,”  cerita Haji Shauki gembira.   Wajahnya tersenyum sendiri, hatinya seperti menari-nari melihat perubahan yang berlaku, tuan  punya tanah juga tidak melarang tanah mereka diguna pakai daripada dibiarkan kosong dan semak samun.  Dimanfaatkan mengikut keperluan. Ada tanah terbiar yang dijadikan kebun sayur dan tanaman  yang sesuai untuk kegunaan penduduk kampung sendiri.  Mereka perlu beli, tetap dengan harga yang berpatutan dan duit itu kemudian diguna semula bagi penanaman semula.  Semua dapat manfaatnya. 
            Sebagai ketua kampung dan Imam masjid, dia perlu bijak menjalankan tanggungjawabnya.  Dia perlu pandai memujuk penduduk kampung agar tidak ada yang saling berdengki dan busuk hati.  Kerjasama dari jabatan-jabatan yang bersangkutan juga baik.  Cepat mereka bertindak.  Semua kerja jadi mudah jika ada kerjasama semua pihak.  Bukan hanya tahu bercakap, tetapi kerja tidak berjalan. 
            Malek hanya mengangguk sahaja.  Dalam hatinya sedang bergelok sesama sendiri. Masih tercari-cari cara untuk mendapatkan kemaafan kedua manusia yang telah disakitinya itu.
            “Hassan, malam ini jangan lupa, Ustaz Yusri akan datang ajar budak-budak  kita bermain qasidah dan bernasyid.  Abang nak Hassan uruskan nanti ya,”  kata Malek sebelum mereka bergerak pulang.
            “Baik bang, mana boleh lupa.  Budak-budak kita dah tak sabar bang.  Seronok sangat nampaknya,”  jawab Hassan teruja.
            “Belajar berqasidah?”  Haji Shauki memandang kedua-dua orang anak buahnya.
            “Ya pak su, kita wujudkan hiburan secara Islamik, biar budak-budak itu suka.  Taklah mereka melepak tak tentu pasal malam-malam hari.  Ustaz Yusri pun dah setuju nak mengajar, kita bagi duit minyak saja kat dia,” terang Hassan.
            “Bagus, bagus, cepat kau orang buat kerja.  Produktif betul.  Pak su suka sangat, terima kasihlah Hassan, Malek,”  ucap Haji Shauki.
            “Demi kemakmuran kampung pak su.  Kalau kita sebagai anak kampung ini tak menjalankan aktiviti berfaedah, siapa lagi yang kita nak harapkan?” kata Malek. Mereka berjalan seiringan  pulang ke rumah, sambil-sambil itu meninjau projek-projek yang sedang berjalan.  Mini stadium juga berjalan lancar pembinaannya.  Bantuan yang diterima juga menggalakkannya. Ramai yang hendak menyumbang apabila terlihat hasilnya.  Mencadang, bercakap, boleh.  Tetapi perlu ada tindakan untuk meneruskan cadangan yang dikemukakan. 
            “Alhamdulillah… pak su lega mendengarnya Malek.  Pak su yakin Malek boleh lakukan.  Biarpun kita pernah berbuat dosa dan salah, tidak mustahil untuk kita berubah.  Orang lain hanya mampu menjadi pendorong, diri sendiri yang sepatutnya berusaha untuk berubah.  Sekarang ini, kampung kita meriah dengan pelbagai aktiviti ekonomi, agama dan pendidikan.  Semuanya hasil usaha Malek, kalaulah Malek tak bantu pak su, sudah tentu kampung kita ini masih ditakuk lama.  Sepi, macam kampung ditinggalkan.  Muram dan suram,”  luah Haji Shauki dengan wajah serius. sesekali terlepas keluhan di bibirnya.
            “Terima kasih pak su, orang kampung pun sudah dapat menerima kehadiran saya.  Alhamdulillah.  Cuma… Salmah.  Entah bilalah dia nak maafkan saya.  Saya tahu, saya banyak dosa dengan dia.  Saya menyesal pak su,”  Malek merintih dalam hati.
            “Soal Salmah, perlahan-lahanlah kau pujuk dia.  Hati perempuan, bila sudah terluka, susah nak diubati,  kerasnya seperti batu kerikil.  Malek kenalah bersabar, ya?” nasehat Haji Shauki. 
            “Ya, Bang Malek. Berilah Kak Salmah masa, nanti lembut juga hatinya,” sampuk Hassan yang sejak tadi hanya menjadi pendengar. 
            “Yalah Hassan.  Abang takkan putus asa,” kata Malek.  Ya, dia tidak akan putus asa.  Allahkan Maha Melihat?  Allahkan Maha Mendengar.  Dia perlu berusaha memujuk, meminta maaf dan berdoa agar Allah lembutkan hati mereka yang pernah dilukainya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan