Dari
kejauhan, Malek dan Hassan mengintai dari sebalik pokok-pokok pisang yang
tumbuh subur di tepi tasek terbiar
berhampiran kawasan Kampung Seberang.
Beberapa orang lelaki sedang memujuk beberapa orang pelajar sekolah agar
membeli sesuatu.
“Mereka tukan pengedar Abang Malek?”
kata Hassan. Sudah beberapa kali dia
melihat ketiga-tiga lelaki itu berlegar-legar di kampung ini.
“Mana Hassan tahu?” tanya Malek
separuh berbisik.
“Dah banyak kali saya tengok mereka
sebelum ini, waktu markaz penagih itu aktif, mereka sering berulang alik masuk
kampung kita ni,” ujar Hassan, dahinya
berkerut. Dia yakin benar, mereka orang
yang sama.
“Kita tunggu sampai mereka berlalu.
Nanti kita dekati budak-budak tu. Suka sangat melepak kat tempat seperti
ini. Rasanya tasek ni kita boleh gunakan
sebagai tempat reakreasi. Nanti saya bincang dengan pak su,” kata Malek sambil matanya meliar memerhati kawasan
tasek yang terletak tidak jauh dari kampung mereka. Kawasan lain yang tidak digunakan dan terbiar
sudah diguna pakai sepenuhnya. Tinggal
kawasan tasek itu sahaja lagi. Boleh
buat kawasan memancing dan beriadah untuk penduduk persekitaran Kampung
Seberang.
“Baik cadangan abang tu, saya setuju
aje. Nanti kita ajak penduduk kampung
bersihkan kawasan ni, kalau tidak jadi tempat melepak budak-budak ponteng
sekolah,” kata Hassan pula.
Mereka terus mengintip dan memerhati
sehinggalah ketiga-tiga lelaki itu berlalu.
Tinggal beberapa orang pelajar yang duduk bersantai sambil menghisap
rokok. Hari masih awal, tentu mereka
ponteng sekolah.
Malek mengeluh kesal. Para pengedar ini tidak tahu duduk diam,
masih juga hendak kacau anak-anak muda kampung ini. Mereka hendak apa sebenarnya? Masih tidak puas hati lagi merosakkan ramai
manusia yang lain? Tidak sudah-sudah
menyusahkan penduduk kampung ini.
“Bang! Mereka dah pergi,” kata Hassan, sambil menguit lengan Malek.
“Tunggu sampai mereka
menghilang. Nanti kita fikirkan bagaiman
nak perangkap mereka. Selagi tidak ke
tali gantung, hidup mereka hanya tahu menyusahkan orang!” Marah Malek.
Malek menunggu dengan sabar, biarpun
kepalanya berat dengan masalah yang sedang dihadapinya sendiri, tapi dia juga
tidak boleh melupakan tanggungjawabnya kepada masyarakat kampungnya itu. Masalahnya dengan Maheran akan diselesaikan
juga nanti, bagaimana hanya Allah yang Maha Mengetahui. Melihat keadaan Maheran membuatkan jiwanya
tidak tenteram. Perempuan itu sudah terlalu banyak terseksa kerana perbuatan
dirinya. Oleh kerana itu, dia tidak mahu ada manusia lain yang jadi sepertinya.
Dosa yang dilakukan jika tidak dimaafkan akan dibawa sehingga ke neraka. Ketika
itu penyesalan tiada gunanya lagi.
“Bang!” tegur Hassan.
Malek menoleh. Para pelajar itu masih lagi melepak sambil
menghisap rokok.
Malek dan Hassan keluar dari tempat
persembunyian mereka. Mereka berjalan
mendekati para pelajar sekolah menengah yang masih berpakaian seragam, beg
sekolah diletakkan di tanah, mereka bersandar di perdu pokok sambil menghembus
asap rokok dengan rakusnya. Seronok
sangat nampaknya.
Malek memegang bahu salah seorang
pelajar tersebut. Tersentak kesemuanya,
terkejut melihat kelibat Malek yang bermuka garang, memandang tajam ke arahnya
mereka.
Hassan pula memegang salah seorang pelajar yang cuba melarikan diri.
“Ini kerja kau orang ya? Tak pergi sekolah? Ponteng? Hisap rokok?
Keluarkan semua barang dari dalam beg kamu semua!” Malek mengetap
bibir. Cukuplah dia dan ramai lagi yang
menjadi sampah masyarakat. Dia tidak
akan membiarkan lima pelajar itu menambah jumlah mereka yang telah rosak
akhlaknya.
“Maaf pak cik! Kami melepak aje!” kata salah seorang pelajar yang ditangkap
itu.
“Melepak apanya jam 10 pagi ni? Belum habis waktu belajar, kan?” marah Malek.
“Kau ni anak Daud, kan? Mak ayah kau tak ke kau ponteng sekolah?”
teka Malek lagi. Wajah pelajar yang
berdiri di hadapannya dipandang seketika. Sahlah, ini anak Daud, kawan
sekampungnya yang baik.
“Ya, ya… pak cik! Tolong jangan
beritahu ayah saya pak cik!” rayu pelajar itu, berambut pendek, baju sekolah
sudah berada di luar seluar. Tali leher
sudah diletakkan di dalam beg. Mukanya
penuh dengan jerawat.
“Tahu takut? Kalau takut kenapa ponteng sekolah?” Malek
mencubit perut pelajar itu.
“Sakit pak cik!” jerit pelajar itu.
“Sakit? Kau tahu bagaimana sakitnya hati orang tua
kau nanti bila tahu kau ponteng sekolah dan
merokok?”
“Kawan-kawan saya ni ajak ponteng
pak cik! Mereka juga yang ajar saya
merokok,” alasan pelajar itu.
Malek ketawa.
“Jangan salahkan orang! Kalau kau tak nak, orang takkan paksa! Diri sendiri yang tak tahu nak jaga diri,
pandai pula nak letakkan kesalahan pada orang lain?” getus Malek.
Mahu sahaja penampar naik ke muka pelajar itu. Apa yang berlaku kepadanya dahulu, dia juga
tidak boleh menyalahkan orang lain. Dia
sendiri yang membuat pilihan
“Tiga lelaki yang datang dengan kamu
tadi tu siapa? Apa mereka nak?” Malek terus bertanya. Para pelajar itu sudah
pucat mukanya. Ramai anak muda di
kampung itu takut dengan Malek apatah lagi tahu siapa Malek sebelum ini.
“Mereka, mereka suruh kami cuba
benda ini,” kata seorang lagi pelajar yang asyik menunduk
sejak tadi. Langsung tidak berani angkat
muka.
“Bak sini!” Malek mengambil bungkusan tersebut.
Dia membukanya.
“Kau orang nak buat apa dengan benda
ini? Kau orang tahu tak, apa bendanya ini?”
Malek menunjukkan bungkusan berisi serbuk seperti Kristal itu.
“Jenis ada tu bang?” tanya Hassan.
“Syabu Hassan, mahal harganya
ni!” Malek mengetap bibir.
“Kau orang tahu tak ini dadah?” soal Malek.
“Tak tahu pak cik! Kata pak cik-pak cik tadi, ini ubat stress, kemurungan,
dan boleh menggembirakan,” jelas salah seorang pelajar itu lagi.
Malek menggeleng kekesalan. Lima
orang pelajar tingkatan tiga itu dipandang seorang demi seorang. Umur
masih muda, sudah berani ponteng kelas dan merokok. Ada pula yang menawarkan dadah secara
percuma, apabila para pelajar ini sudah ketagih mulalah mereka menjualnya
pula. Bijak strategic para pengedar
dadah ini jalankan pemasaran mereka.
Merka umpan dahulu, sudah mengena, mereka akan tangkap terus sehingga
penagih baharu itu akan ketagihan yang amat sangat. Ketika itu amat sukar untuk
menyelamatkan mereka atau menghilangkan ketagihan yang dialami.
“Ini dadah!” jerkah Malek. Geram pula hatinya.
“Benarlah, ketiga-tiga lelaki tadi
itu, pengedar. Apa kita nak buat ni
bang? Nanti mereka cari lagi budak-budak ni!”
Hassan pula gelisah.
“Kita gunakan budak-budak ni
perangkap ketiga-tiga lelaki itu.” Malek tersenyum.
“Kau orang kena bantu pak cik, kalau
tak pak cik sumbat kau orang dalam lokap!”
ugut Malek.
“Tak nak pak cik!” laung mereka
berlima.
“Sekarang, jom pergi ke sekolah
semula. Kena denda pun kenalah, kau
orang dah buat salah. Terima saja
hukuman. Jangan nak besar kepala. Bila
ketiga-tiga lelaki itu nak datang lagi?”
Para pelajar itu menceritakan temu
janji seterusnya dengan pengedar dadah itu.
Mereka juga diberi ganjaran jika mampu ajak ramai lagi kawan-kawan beli
barang tersebut.
Malek mengetap bibir. Ini sudah melampau! Mereka menggunakan
pelajar sekolah untuk pujuk pelajar lain jadi penagih pula. Mereka tidak akan dibiarkan. Malek memandang persekitaran tasek terbiar
itu. Tempat itu akan di bangunkan
sebagai pusat reakreasi. Biar bermanfaat. Dibiarkan terbiar, ada saja makhluk asing
yang sudi singgah terutama yang jenis kaki ponteng sekolah.
“Lepas ini pak cik tak nak tengok
muka kau orang berlima ponteng sekolah lagi! Faham?”
“Bbb… baik pak cik!” janji
kelima-lima mereka.
Malek dan Hassan mengiringi para
pelajar itu kembali ke sekolah. Boleh
tahan jauhnya mereka berjalan kaki.
Kebetulan Malek dan Hassan hanya menaiki motosikal. Terpaksalah mereka berjalan kaki bersama para
pelajar tersebut.
“Kita mesti kekang masalah ponteng
sekolah ni bang. Mula-mula ponteng,
lepas itu mulalah rancang yang bukan-bukan pula.” Hassan mengeluh kekesalan.
“Nanti kita ajak pak cu pergi
berbincang dengan pihak sekolah. Tentu
ada cara untuk mengatasinya. Kita tak
boleh biarkan anak-anak bangsa kita terus tercicir dalam pelajaran dan terlibat
dengan anasir tidak sehat,” cadang
Malek. Itulah yang akan dilakukannya
nanti. Dia sudah nekad tidak akan
membiarkan golongan remaja dan muda ini menjadi sampah masyarakat. Hasilnya berjaya atau tidak, itu bukan
haknya. Yang penting dia akan berusaha
dahulu untuk mengubah keadaan. Setiap
benda, kalau tidak digerakkan, takkan bergerak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan