Sabtu, 4 November 2017

JALAN PULANG - BAB 34



“Innalillahi…  kenapa Salmah fikir sampai ke situ pula?”  Haji Shauki mengeluh kesal. 
            Malek menunduk.  Dia faham perasaan bekas isterinya.  Ini melibatkan masa hadapan anak gadisnya.  Jika bekas isterinya ingin mengadakan majlis akad nikah di luar negeri sekalipun dia redha.  Dia tidak berhak mencampuri urusan anak-anaknya.  Dia seorang ayah yang tidak bertanggungjawab.
            “Wan tak setuju tok su.  Wan nak ajak ayah dan tok su bertemu keluarga sebelah lelaki.  Biarlah kita bersemuka. Berterus terang.  Wan tak nak jadi isu besar jika mereka ketahui selepas bernikah.  Nanti mereka beranggapan kita menipu mereka pula,” Zakuan bimbang perkara itu berlaku.
            “Tok su pun setuju jika kita bertemu keluarga lelaki itu. Biar mereka kenal siapa ayah kamu, kemudian kita  serahkan kepada mereka untuk buat keputusan,” cadang Haji Shauki.
            Malek hanya mendengar.  Roti canai yang dipesan hanya dipandang kosong.  Kasihan keluarganya, kasihan anak-anaknya.    Kerana kesilapan dirinya, masa depan keluarganya hancur dan bermasalah.  Allah!
            “Kau jangan fikir yang bukan-bukan pula Malek, inilah akibatnya jika kita buat sesuatu ikut nafsu. Tak berfikir dengan bijak.  Anak-anak jadi mangsa!”  tegur Haji Shauki.
            “Tok su!” Zakuan memandang wajah datuk saudaranya.
            “Maafkan ayah Wan,” pinta Malek dengan mata berkaca. 
            “Sudahlah ayah, Wan dah lama maafkan ayah.”  Zakuan mengusap tangan Malek.  Masing-masing tidak menjamah makanan yang dipesan. Asyik berbual sehingga lupa perut perlu di isi.
            “Bila Wan nak pergi?” tanya Malek.
            “Malam ini juga,”  cadang Zakuan.
            Dengan  berpandukan alamat yang diberi Zara, Zakuan, Malek dan Haji Shauki menuju ke rumah keluarga  lelaki yang akan masuk meminang adiknya.   Sebuah rumah banglo mewah dan besar.  Terletak pula di satu kawasan yang semua orang tahu, hanya menjadi tempat tinggal orang ada-ada.  Di luar pintu ada pondok pengawal.  Seorang lelaki berbangsa Melayu sedang bertugas.  Di luar kawasan perumahan mewah ini pun sudah ada pengawal keselamatan, di hadapan rumah pun ada?
            Siapakah keluarga ini?  Mahukah mereka menerima Zara sebagai anak menantu sedangkan Zara adalah anak seorang banduan?  Tidak malukah mereka nanti?  Pelbagai persoalan bermain dibenak mereka bertiga.
            “Orang kaya rupanya…” Haji Shauki meneliti setiap inci kawasan rumah tersebut.  Cantik hiasan lamannya.  Banglo ala-British.   Dua tingkat setengah.  Hiasan lampu lamannya sahaja sudah mencecah ribuan ringgi, belum lagi hiasan dalamannya. 
            “Kenapalah Zara tidak cari lelaki biasa sahaja,”  keluh Zakuan.  Terlalu tinggikah selera adiknya itu?  Setahunya Zara bukan jenis yang suka bermewah-mewah, sejak kecil ibu sudah mengajarnya hidup bersederhana, sehinggalah masuk university, Zara berusaha sendiri mencari duit poket untuk menyara dirinya tidak mahu menyusahkan ibu.
            Malek tidak mampu berkata apa-apa.  Dalam kepala ligat berfikir untuk merayu agar keluarga itu tidak menolak Zara kerana kesilapan dirinya.  Bukan salah Zara kerana mendapat ayah seperti dirinya.
            Hati masing- masing berdebar-debar.  Zakuan dan Malek saling berpandangan.  Haji Shauki yang berjubah dan berkopiah mendahului melangkah mendekati pintu pagar  yang terbuka.    Mereka mendekati pondok  pengawal.
            “Kami hendak berjumpa dengan Haji Latif, beliau ada ke?” tanya Haji Shauki setelah memberi salam.
            “Ada, tuan semua dari mana? Datang atas tujuan apa?” tanya pengawal itu semula.
            Haji Shauki memberitahu ceritanya. 
            Pengawal keselamatan itu memandang mereka bertiga, seorang demi seorang.  Seperti hendak mengecam wajah-wajah mereka.
            “Tinggalkan lesen kereta, boleh?” pinta pengawal keselamatan.
            Haji Shauki mengeluarkan dompetnya dan menyerahkan lesen memandunya. 
            Angin malam itu terasa damai.  Bintang bertaburan di langit yang kelam.  Lampu neon bercahaya menerangi kawasan rumah yang cantik dan megah itu.  Bau harum bunga Sundal Malam yang tertanam subuh di tepian rumah menambat bauan yang menyengat hidung mereka bertiga.
            “Tuan ada di dalam, boleh terus ke pintu utama,” beritahu pengawal keselamatan itu.
            Mereka bertiga mengangguk dan berjalan ke arah yang diberitahu.  Hiasan pintu sahaja sudah cukup cantik dan mewah.  Entah kayu apa yang digunakan oleh tuan rumah.  Mereka memberi salam.  Daun pintu terbuka luas.  Seorang perempuan separuh umur, berpakaian  seperti pembantu rumah orang British menyambut kehadiran mereka.  Semakin berdebar hati mereka, semakin mencungap nafas masing-masing. 
            Bagaimana jika mereka menolak Zara?  Tentu adiknya akan meraung kekecewaan.  Zakuan meraup mukanya dengan kedua belah tangan.  Semakin berpeluh dirinya, bukan kerana cuaca yang panas, tetapi situasi yang bakal mereka hadapi nanti tentu berbahang.
            “Ayah harap tidak berlaku perkara yang bukan-bukan ya?”  Malek turut gelisah.
            “Tenang Malek, serahkan kepada Allah.  Jika ada jodoh Zara, tiada siapa yang dapat menghalangnya.  Elok jugalah kita ketahui siapa bakal besan kau tu.”  Haji Shauki mengusap lembut bahu anak buahnya. 
            Mereka melangkah masuk. Tal yang dipijak terasa sejuk di kaki.  Berkilau terkena cahaya lampu  tal tersebut, tetapi tidak licin.  Berhati-hati mereka melangkah, takut terluka tal tersebut.  Ah! Tidak baik merendah diri sesama makhluk biarpun siapa mereka.  Merendah diri hanya kepada Allah swt.
            Mereka menjejakkan kaki di ruang tamu yang luas dan cantik.  Lampu pelbagai bentuk, perabut yang  mewah, kain langsirnya sahaja cukup menarik.  Mata mereka masih lagi memandang ke sana ke mari. Seperti baharu pertama kali melihat sebuah istana dan isi di dalamnya.
            “Silalah duduk, kenapa berdiri saja,” sapa seseorang.
            Mereka serentak menoleh.  Seorang lelaki berjubah dan berkopiah, seperti baharu selesai menunaikan solat.  Diikuti seorang lelaki muda belia. Kacak orangnya, berkarisma dan bergaya.  Di belakangnya seorang perempuan yang berjubah dan bertudung labuh. Manis dan menawan wajahnya.
            Tetamu yang hadir terkedu seketika.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan