Ruang
yang dingin terasa hangat. Fikiran yang
berserabut terasa semakin kacau.
Kebimbangan terpancar di wajah mereka.
Di hadapan mata, minuman sudah terhidang sebaik sahaja mereka melabuhkan
punggung di sofa yang empuk dan selesa. Bau harumah lavender menenuhi ruang,
terasa segar dan nyaman. Tetapi tidak di hati para tetamu yang berada di ruang
tamu itu.
“Maaf jika kehadiran kami menganggu
tuan dan puan,” kata Haji Shauki setelah
masing-masing membisu, seperti patah kata-kata.
Mulut seperti terkunci, hilang perkataan yang ingin dituturkan, takut
dan berani sama banyak. Serba salah
turut menerja.
“Tak mengapa, saya Haji Latif, ini
anak saya Taufik dan isteri saya Maimun.
Kenapa saudara bertiga seperti orang bersalah dan takut-takut? Kami tak makan orang. Jangan tengok rumah kami besar, maka kami
juga besar diri, Insya-Allah tidak.
Rumah ini kurniaan Allah, bukan niat ingin menunjuk, sekadar menikmati
rezeki kurniaan Ilahi,” cerita Haji Latif ramah.
Bertubuh sederhana besar, berkumis
nipis dan berjanggut. Berkaca mata,
wajahnya bersih, kulitnya kuning langsat. Hidungnya mancung. Matanya jernih dan
bersinar. Wajahnya seperti sentiasa tersenyum, tenang dan damai.
Lelaki muda itu pula, berbaju Melayu
dan berseluar slack. Rambutnya tersisir kemas.
Senyumannya manis, selayaknya seorang yang berwajah kacak seperti itu,
saling tak tumpah wajah perempuan di sebelahnya.
Perempuan itu pula seperti kacukan
Pakistan atau Arab. Sopan dan manis
senyumannya. Berkaca mata juga, mungkin
factor usia, tetapi tidaklah terlalu tua.
Zakuan meneliti seorang demi seorang ahli keluarga tersebut.
Dalam rumah pula tergantuk pelbagai
jenis gambar tulisan khat. Bunga ros merah segar menjadi penghias meja tepi
dinding. Di keempat-empat penjuru ruang
tamu.
“Kami adalah keluarga Zara, Zara
Malek.” Zakuan memperkenalkan diri.
“Oh, keluarga Zara? Kenapa datang ke mari? Bukankah kami yang akan ke sana minggu
depan?” soal Hajah Maimun dengan wajah kehairanan.
“Maaf, melihat keadaan rumah tuan
dan puan, dan kami ini hanya orang kampung, tentulah seperti burung pipit dan
burung enggang sahaja,” kata Haji Shauki.
Dia mengeluh perlahan, semakin kuat rasa bimbang di hati.
“Kenapa berkata begitu? Saya sudah lama tahu asal usul Zara, bukan
saya baru kenal dia, dia setiausaha saya.
Saya kenal hati budinya,” ujar
Taufik.
“Oh! Majikan Zara?” Zakuan mengerut dahi.
“Ya…” jawab Taufik.
“Tapi tuan dan puan tak kenal
ayahnya, dan tak tahu asal usul ayahnya,” sampuk Malek, sudah bersedia untuk
bercerita. Ya, semoga Allah tidak
menghampakan perasaan anak gadisnya.
“Kenapa dengan ayahnya? Ada masalah ke?” tanya Haji Latif.
“Tuan, puan, anak… saya ayah
Zara. Saya bekas banduan, bekas perompak dan perogol!” Malek berterus
terang. Dadanya sebak. Hatinya sarat dengan penyesalan.
Mereka bertiga tersentak. Mereka beristighfar serentak.
“Tujuan kami datang adalah untuk
beritahu cerita yang sebenar. Kami tidak mahu tuan dan puan mengetahui kisahnya
daripada penduduk kampung. Anak buah
saya waktu mudanya memanglah jahat, tetapi sudah pun menerima hukuman 25
tahun. Baharu setahun dibebaskan. Dia sudah banyak berubah. Dia sudah kembali ke pangkal jalan. Kehidupan yang lalu telah banyak mengajarnya
untuk membantu orang lain pula agar tidak terjebak seperti dirinya. Saya berharap sangat, janganlah tuan dan puan
menilai cucu saudara saya itu kerana kesalahan ayahnya sewaktu muda
dahulu. Bukankah setiap manusia patut
diberi peluang kedua? Saya berharap
keluarga ini diberi peluang kedua,”
cerita Haji Shauki.
“Allah!” ucap Haji Latif, dia menyandarkan tubuhnya di
sofa berwarna kuning air itu. Dia
mengeluh perlahan, berfikir sejenak, memandang wajah anak dan isterinya.
“Saya merayu, janganlah ditolak anak
saya dan memandang hina dirinya kerana kesilapan saya,” pinta Malek dengan wajah keruh. Kalau boleh dia hendak melutut dan merayu
agar keluarga itu tidak mengambil tindakan membatalkan niat mereka untuk
meminang anaknya, Zara.
“Saya sudah beberapa kali berjumpa
Zara, baik budaknya, bersopan santun dan berakhlak murni. Saya suka kejujurannya. Saya suka dia sebab dia pandai memasak dan
ringan tulang. Biarpun saya tahu, dia
bukanlah datang dari keluarga yang senang.
Sebenarnya, dia telah memberitahu saya asal usul keluarganya sebelum
saya buat keputusan untuk masuk meminangnya,”
kata Hajah Maimun.
“Mama dah tahu?” Taufik memandang
wajah mamanya kehairanan.
“Kami ada berbual. Zara ingin sebuah hubungan yang telus dan
jujur. Dia berani beritahu mama yang
ayahnya bekas banduan dan baru sahaja dibebaskan. Sekarang, katanya ayahnya ada di kampung, dan
dia tidak pernah berjumpa ayahnya, bukan kerana malu tetapi larangan
ibunya. Pada mulanya mama terkejut. Dia minta mama buat keputusan terbaik untuk
Taufik dan bakal cucu mama nanti. Dia
tidak mahu keluarga kita tahu dari mulut orang lain dan kita berasa malu
dengannya,” cerita Hajah Maimun lanjut.
Malek terkedu. Bekas isterinya memang pandai mendidik anak.
Allah! Dia sahaja yang tidak tahu menghargai insan tersebut.
Haji Shauki juga terkejut.
Zakuan terdiam, kenapa Zara tidak
memberitahunya? Adakah Zara sengaja agar
mereka bertiga bertemu dengan keluarga Haji Latif dan melihat sendiri
kemurniaan hati keluarga yang kaya raya ini?
“Zara sudah beritahu Mun?” Haji Latif memandang wajah isterinya.
“Ya bang. Itu sebab saya tetap juga nak pergi
meminangnya. Kejujurannya telah menambat
hati saya. Dia tidak kisah pun jika saya
menolak dia menjadi menantu kita. Dia
faham katanya. Dia terima dengan hati
terbuka.” Hajah Maimun mengangguk
perlahan.
“Saya sayangkan Zara bukan kerana
keluarganya, tetapi kerana dirinya sendiri,”
kata Taufik penuh yakin.
Malek, Zakuan dan Haji Shauki
terdiam seketika.
“Maafkan saya kerana pernah menjadi
manusia jahat dalam hidup ini,” kata
Malek. Dia menunduk malu, malu pada Allah, malu pada diri sendiri dan malu pada
orang lain.
“Allah itu Maha Pengampun En.
Malek. Siapa kita untuk menghukum orang
lain. Zara akan tetap menjadi keluarga
kami, kami terima dia seadanya.” Haji Latif tersenyum.
“Terima kasih tuan, puan, Nak Taufik
kerana menerima anak saudara saya seadanya.” Haji Shauki sendiri sedih dalam
gembira. Terharu pun ada.
“Terima kasih pak cik, mak cik dan
Taufik,” kata Zakuan pula.
“Jadi, rombongan kami akan bertolak
awal pagi pada tarikh yang telah ditetapkan. Dengar kata ibu Zakuan pandai
masak Ikan keli salai masak lemak, boleh suruh ibu masakkan?” Hajah Maimun tersenyum bahagia.
“Boleh mak cik. Nanti saya beritahu
ibu.” Zakuan tersenyum bahagia.
“En. Malek, saya juga dengar banyak
kebaikan yang telah encik lakukan untuk kampung encik dari mulut Zara
sendiri. Bukan dia tidak ambil tahu apa
yang encik lakukan, dia sentiasa mengikuti perkembangan encik daripada
kawan-kawan sekampungnya. Dalam diam,
dia bangga dengan encik. Encik bertuah
dapat anak seperti Zara.” Hajah Maimun
terus bercerita. Banyak perkara dia
berkongsi dengan Zara. Melihat cara Zara
bercerita tentang ayahnya, terserlah kebanggaan itu.
Malek terus menangis di situ
juga. Dia kalah dengan kata-kata Hajah
Maimun sebentar tadi. Anak-anaknya telah
menerima dirinya seadanya. Mereka amat
hebat! Allah! Tidak layak dia menjadi
seorang ayah.
Haji Shauki mengusap belakang Malek
dan cuba menenangkannya.
“Saya ingat dia bencikan saya dan
tidak sudi bertemu saya.” Malek mengesat
air matanya. Suasana sayu menyelubungi
rumah itu.
“Encik Malek sememangnya bertuah,” ujar Haji Latif.
“Kerana kemurniaan hatinyalah yang
telah menambat hati kami sekeluarga. Dia
rajin membantu saya di rumah ini jika saya perlukan pembantu peribadi
menguruskan kerja-kerja persatuan saya, tidak pernah dia mengeluh biarpun telah
seharian bekerja di pejabat membantu anak lelaki saya,” cerita Hajah Maimunah lagi.
“Kami inginkan menantu yang tahu
menghormati keluarga kami dan orang tuanya, dan semua ciri itu ada pada
Zara,” sambung Haji Latif pula.
Ketiga-tiga tetamu tadi menarik nafas
lega. Dirasakan pertemuan itu akan
berakhir dengan kekecewaan, tetapi adalah sebaliknya. Sesungguhnya Allah lebih mengetahui apa yang
terbaik buat hamba-hambaNYA.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan