Hajah Som mencuka, kerusi rodanya ditolak
mengeliling ruang tamu. Sudah hampir tiga jam Ayu keluar. Tidak pernah lewat seperti hari ini, ke mana
pula menyinggah? Keresahan terpancar di
wajahnya. Kedutan di muka semakin kelihatan.
Faktor kematangan usia yang tidak boleh dielakkan. Tua tetap tua.
“Tak balik lagi budak tu mama?” tanya Maheran. Dia juga gelisah.
“Entah ke mana dia pergi?
Entah-entah dah lari!” kata Hajah Som dengan muka kelat.
“Biarlah dia lari, semakin lama dia
berada di depan mata saya, semakin sakit hati,”
kata Maheran, jelas terlihat kebenciannya terhadap Ayu.
Hajah Som menjeling.
“Kalau dia tak ada, siapa nak uruskan rumah ini?” tempelak Hajah Som. Cermin matanya dibetulkan.
“Cari ajelah pembantu rumah,” suruh Maheran.
“Cakap senang ya Maheran? Kita mana
ada duit? Harap ehsan saudara mara saja,
harta peninggalan arwah ayah kau bukan banyak mana, kau nak suruh kita mati
kelaparan?” Hajah Som mendengus.
“Budak tu pun bukan mendatangkan
hasil! Menghabiskan duit kita adalah,”
kata Maheran, dia duduk memeluk lutut di atas sofa. Matanya membulat
menentang mata Hajah Som.
“Memang dia tak mendatangkan hasil,
tapi dia boleh buat kerja rumah! Boleh mandikan mama, boleh memasak, tak perlu
bergaji.” Hajah Som membuka pintu luar
dan menjengahkan kepalanya. Kereta
miliknya tidak kelihatan, menandakan Ayu masih belum pulang.
“Ke mana pula budak ni pergi?” Marah Hajah Som.
“Kenapa mama nak bela dia lagi?”
Maheran mencuit hati mamanya.
“Kerana kau tak nak jadi ibu yang
bertanggungjawab!” jawab Hajah Som
marah.
“Mama tahukan dia anak apa?” Maheran mendengus garang.
“Habis tu? Kau ingat aku suka sangat dengan dia? Takkan aku nak buang dia? Kau nak suruh aku
jadi kejam macam kau?” bengkeng Hajah Som.
“Orang yang buat Maheranlah yang kejam!” marah Maheran,
seketika itu jugalah wajah lelaki yang datang ke rumahnya beberapa hari yang
lalu menyinggah di mata. Kerana lelaki itulah hidupnya musnah! Minta
kemaafaan!? Jangan harap! Detik hati
kecil Maheran.
“Sudah! Lupakan!” jerkah Hajah Som.
Maheran terdiam. Suara mamanya tidak pernah rendah sejak dia
melahirkan Ayu, mama sering marah-marah, baran tidak kena masanya. Anginnya selalu tidak baik, sehinggalah
mamanya diserang angina ahmar. Lumpuh
separuh badan, terpaksa berkerusi roda sehingga ke hari ini.
Bunyi enjin kereta dimatikan
membuatkan Hajah Som membuka pintu rumah seluas-luasnya. Kelibat Ayu yang melangkah masuk ke dalam
rumah membuatkan hatinya lega. Takut
juga dia, jika Ayu tinggalkan rumah.
Tiada siapa yang boleh diharapkan menguruskan dirinya. Maheran?
Uruskan diri sendiri pun tidak mampu, sesekali datang gilanya, mengamuk
satu rumah.
“Kenapa lambat? Kau tanam sayur ke?”
tempelak Hajah Som dengan wajah kecut. Membuntang matanya memandang Ayu yang
melangkah masuk ke dalam rumah dalam keadaan tergesa-gesa.
Ayu tergamam, pucat lesi
wajahnya. Gara-gara bersembang dengan
Zakuan sehingga tidak sedar dia sudah terlewat.
“Maaf nenek,” ucap Ayu.
“Pergi menggatal ke? Kau nak jadi macam aku dulu! Dapat anak macam
kau pula!” lengking suara Maheran. Dia
mencekak pinggang, memandang Ayu dengan muka yang garang.
“Maaf mama,” sekali lagi Ayu melafazkan ucapan maaf. Memang dia bersalah.
“Mama? Siapa mama kau?” tempik Maheran, sakit telinganya apabila
mendengar Ayu memanggilnya ‘mama’. Dia
tidak suka gadis itu. Biarpun lahir dari
rahimnya, tetapi dia tidak pernah redha kehadiran Ayu dalam hidupnya. Anak samseng! Bukan anak dia! Detik hati
kecil Maheran.
Ayu terus membawa barang-barang yang
dibeli ke ruang dapur. Terketar-ketar dia menyimpang semua barangan
tersebut ke dalam ruang almari yang disediakan. Neneknya, Hajah Som tidak suka
barangan dapur yang bersepah. Perlu
disusun dengan betul dan ikut label yang
telah ditetapkan oleh neneknya.
“Kau ke mana? aku tanya kau tak
jawab lagi?” soal Hajah Som yang sudah
pun berada di ruang dapur. Kerusi
rodanya boleh digerakkan sendiri.
“Tak ada ke mana-mana nenek, jalan
sesak. Ada… ada kemalangan tadi,” dalih Ayu. Takkan dia hendak beritahu dia
bertemu Zakuan, tentu akan bertambah kemarahan mereka.
“Kau jangan nak belajar menipu pula?
Kalau aku dapat tahu bukan sebab kemalangan jalan raya kau lambat balik, nahas
kau!” ugut Hajah Som.
Ayu menunduk. Inilah kehidupannya di rumah itu. Menjadi tempat kemarahan mereka berdua. Ya, inilah rumahnya. Dia perlu banyak bersabar. Ah!
tidak usah mengeluh. Dia masih
ada Allah swt di sisinya.
“Menung lagi!” jerkah Maheran.
Ayu tersentak. Sejak mamanya balik dari rumah sakit jiwa,
begitulah keadaannya, asyik marah dan mengamuk.
Entah bila hendak pulih. Sukar benar
mereka hendak membuang sejarah hitam yang membelenggu hidup mereka selama
berpuluh tahun. Sepatutnya dia yang
harus lebih marah dan kecewa. Dia tiada
sesiapa, sebatang kara. Tiada siapa yang suka,
ke mana sahaja menjadi kebencian orang.
Siapa dirinya sering menjadi sebutan.
Ah! sakit hatinya hanya Allah yang tahu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan