Riuh rendah suara pelajar yang
mengikut Kem Ibadat yang dianjurkan oleh Persatuan Belia dengan kerjasama pihak
Masjid Kampung Seberang. Ramai anak-anak
Kampung Seberang yang berumur dari 7 tahun – 17 tahun. Mereka dibahagikan kepada tiga kumpulan. Malek telah menjemput mereka yang layak
membimbing anak-anak itu. Program selama
tiga hari dua malam berjalan lancar.
Pelbagai aktivit diadakan, mereka diajar bersolat cara Rasulullah
saw. Diajar juga mengaji dan menghafal
ayat-ayat lazim yang mudah.
Ada juga program bersukan dan riadah
serta kesenian Islam. Majlis dirasmikan
oleh Yang Berhormat kawasan Parlimen di situ.
Turut diadakan jualan hasil-hasil pertanian dan kraf tangan yang dibuat
oleh penduduk kampung. Ramai yang mengambil bahagian. Terasa meriah program yang diadakan.
Malek tersenyum sendiri melihat
kerjasama penduduk Kampung Seberang. Beramai-ramai turun padang, memasak dan
menyediakan makanan untuk anak-anak mereka yang menjadi peserta Kem Ibadat
itu. AJK yang dilantik juga menjalankan
tanggungjawab mereka dengan baik. Tidak
ada yang culas atau curi tulang. Masing-masing menjalankan tugas mereka dengan
baik.
Zakuan turut membantu. Sibuk dia ke sana ke sini menguruskan
keperluan peserta. Malek tidak mahu,
habis kem, habislah segala yang mereka pelajari sewaktu mengikuti kursus. AJK
program akan memastikan anak-anak yang terlibat akan terus menghadirkan
diri ke masjid untuk solat berjemaah.
Kelas mengaji al Quran juga akan
diadakan untuk anak-anak yang masih tidak tahu membaca al-Quran. Usai solat isyak, Pak Su Haji Shauki dengan
dibantu seorang ustaz dan ustazah akan bertadarus dengan anak-anak yang
bersolat berjemaah di masjid. Biarpun
hanya sekali sehari, sudah bermanfaat, daripada mereka tidak membaca langsung
al Quran di rumah. Idea ini datang daripada Hassan, salah seorang AJK persatuan.
Semua AJK Masjid Kampung Seberang
bersetuju, mereka juga akan tumpang mengaji bersama.
Malek duduk beberapa meter dari
kawasan Masjid Kampung Seberang. Dia
memerhati dari kejauhan. Biarpun dia
berjaya mengatur pelbagai program dan semua program yang dirancang berjaya
bukan kerana dia pandai, tetapi kerana kerjasama penduduk Kampung Seberang yang
ingin berubah ke arah yang lebih baik.
Ditambah dengan Pak Su Haji Shauki seorang yang sangat ambil berat,
bertanggungjawab, jujur dan ikhlas dengan tugas yang tersandang di bahunya.
Ketegasan dan ketokohan pak su membuatkan penduduk kampung amat
menghormatinya. Kealiman pak su juga,
maka orang kampung tidak pernah mempersoalkan tindakan atau arahan yang diberi
oleh pak su.
Tepat pukul 7.00 malam, anak-anak
yang ibu ayah mereka bekerja kilang dan tidak ada di rumah akan dikerahkan ke
masjid atau menghadiri kelas tusyen yang diadakan di dewan orang ramai. Penduduk Kampung Seberang berjumlah 2000
orang termasuk golongan muda dan kanak-kanak. Data mereka semua sudah Malek
kumpulkan sejak awal lagi, mudah untuk dia merancang dan menjalankan aktiviti
di kampung itu. Setakat ini semuanya berjalan dengan lancar. Kalau ada kerjasama, tiada perasaan iri hati,
tiada kemarukan politik dan masing-masing berlumba hendak menjadi pemimpin dan
pentingkan diri sendiri, tentu tidak sukar merancang perkara yang baik.
Masalah orang lain sudah selesai. Masalah sendiri tidak juga ditemui jalan
keluar. Masalahnya sekarang adalah
empat wanita yang masih menjadi musuh tradisinya. Berkali-kali dia hadir ke rumah mereka,
memohon maaf, merayu, menyembah dan menyerah.
Namun, kedegilan mereka begitu
tinggi. Sukar untuk mereka
memaafkannya. Adakah dia perlu
mengalah? Dia sudah berusaha memohon
maaf, jika mereka masih berkeras. Dia
tidak boleh dan mampu berbuat apa-apa.
Hanya kepada Allah swt dia berserah.
Ayu, gadis itu? Dia akan cuba mendekati gadis itu, biarpun
bukanlah anak sah tarafnya tetapi gadis itu tidak berdosa. Dia yang berdosa. Biarlah dia memberi kasih sayang yang
seadanya kepada gadis tersebut. Biarpun
dia tidak disukai. Ya, dia benar-benar
sudah berubah. Apa yang telah dia
lakukan dahulu, adalah satu kesilapan.
Satu dosa yang tidak terampun oleh manusia yang telah dianiayanya. Tidur malamnya diganggu dengan mimpi-mimpi
ngeri. Siang hari, hatinya diulit
kekesalan yang tidak terucap.
Jalan pulang yang dicari sudah
ditemui, tetapi masih panjang liku-liku dan lorong yang terpaksa dilalui. Dia perlu kuat semangat. Perlu kental hati
melawan perasaan kecewa sendiri. Tidak
boleh putus asa dengan rahmat Allah swt.
Pintu taubat masih terbuka selagi nyawa dikandung badan. Semoga Allah menerima segala kebaikan yang
dibuatnya kini. Semoga Allah menerima
taubat nasuhahnya. Apa yang penting,
masyarakat kampungnya masih sudi menerima kehadirannya. Masih mahu
menghormatinya setelah apa yang telah dilakukan sebelum ini.
Ya, Allah terimalah perjalanan
pulangku ini, doa Malek dalam hati.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan