Setiap tiga bulan sekali, kami pasti akan keluar bercuti bersama
anak-anak yatim didikan kami. Destinasi
dipilih secara rambang. Kali ini, kami
bercadang bercuti ke sebuah tempat yang ada kolam renang sahaja. Percutian kali
ini hanya santai-santai sambil merehatkan minda.
Masuk melalui tol Alor
Gajah, pertama kali saya menjejakkan kaki di Alor Gajah, pemandangan di kiri
kanan sangat cantik dengan barisan rumah penduduk kampung, ada juga kawasan
peninggalan sejarah Allahyarham Dol Said, kami juga melalui sebuah kampung yang
cantik namanya Cherana Putih, menurut suami, seperti nama zaman Hang Tuah. Ya Allah! Indahnya ciptaan Allah, dikelilingi
Banjaran Titiwangsa, Alor Gajah menarik dengan gayanya tersendiri. Sebuah kampung yang damai dan tenang. Di kiri kanan jalan, akan kelihatan,
gerai-gerai kecil berjualan hasil kerjatangan penduduk kampung, tidak
ketinggalan makanan tradisional Melaka yang terkenal, dodol dan wajik, ada yang
dimasak di kawasan gerai, memang menarik.
Tempatnya terletak di sempadan Negeri Melaka dan Negeri
Sembilan. Kami bertolak dari Maahad Az
Zein Al Makki Sg. Buluh sekitar jam 9.30 pagi.
Sampai di destinasi kami Kolam Renang Marine Arm yang terletak di kawasan Kampung Seri Kendong di
dalam daerah Rembau hampir pukul 11.30 pagi.
Kawasannya terletak di tebing Banjaran Tititwangsa.
Terletak di
kawasan kampung, agak tenang, dan tersorok ke dalam. Di kelilingi kehijauan hutan belantara,
pemiliknya seorang bekas pekerja kapal, membangunkan sebuah kawasan rekreasi
yang menarik biarpun tidak berapa kemas kerana masih dalam pembinaan. Paling menarik, kolam renangnya, air yang
mengalir datangnya sumberi mata air dari atas bukit berdekatan. Kolamnya juga luas dan besar, mampu menampung
pengunjung yang ramai. Airnya tidak
berkalorin, segar dan sejuk. Berbumbung,
pengunjung akan selesa dan tidak perlu berjemur menahan cahaya matahari.
Bentuk hadapan
kolam seperti kepala kapal agak unik.
Bangunan yang dijadikan ruang pejabat dan chalet juga seperti ruang
pejabat yang terdapat di dalam sebuah kapal.
Turut disediakan sebuah dorm yang mampu memuatkan berpuluh orang dalam
satu masa, beberapa buah chalet dan surau.
Bilik air yang banyak. Ada ruang
untuk menjalankan aktiviti barbeque, ada sebuah café yang dibuka hanya ketika
hujung minggu dan untuk tempahan
berkumpulan.
Beberapa
perkhidmatan juga disediakan, seperti mendaki bukit dan menghayati keindahan
alam, belajar berenang dengan cara yang pantas, menurut pemilik, tiga sahaja,
seseorang yang tidak boleh berenang, akan mahir berenang menggunakan kaedah
yang diajarnya.
Jalan masuk ke
Kolam Renang Marine Arm terletak di simpang empat, ke Tampin, Rembau dan Alor
Gajah. Ketika berada di kawasan
tersebut, terasa seperti berada di dalam dua negeri dalam satu masa. Daerah-daerah itu bersempadan. Mahu makan malam di Melaka, atau Negeri
Sembilan, boleh, boleh saja.
Pekan kecil
Kampung Seri Kerding tidaklah begitu menarik, tidak banyak bangunan, hanya ada
sebuah Taman Selera atau Kedai Mara dan sebuah bangunan setingkat di seberang
jalan. Deretan kedai di dalam Taman
Selera memang menarik hati, apa yang menarik?
Makanannya, terdapat beraneka jenis masakan Negeri Sembilan dan juga
Melaka. Pilih sahaja. Cara susunan dan ulam-ulaman yang terhidang
pasti menarik selera sesiapa sahaja, terutama mereka yang sedang
kelaparan. Harga berpatutan. Tidak terlalu mahal dan tidak terlalu
murah. Cuma aspek kebersihan kurang ditekankan
terutama jika sebuah Taman Selera yang berkongsi ruang makan. Harga Masak Lemak Cili Api Daging Salai RM7.00
seorang makan.
Di seberang jalan
ada sebuah restoran menjual masakan panas.
Boleh tahan sedapnya. Harganya pun biasa-biasa saja yang terdapat di
pasaran. Sepinggan nasi ayam berharga
RM5.00.
Kalau ke kiri dari
kawasan Kolam Renang Marine Arm, menuju ke Tampin, sebuah pekan kecil yang agak
sibuk, ada Mydin dan Giant. Kalau terus
akan masuk Kampung Cherana Putih yang terletak dalam daerah Alor Gajah. Di kampung tersebut ada sebuah kolam air
panas. Kami singgah juga, tetapi tiada
apa yang menarik, apatah lagi hadir waktu tengahari, dan kolam tersebut tidak
berbumbung. Rasa-rasanya nak tahan rasa panas air tersebut atau panas teriknya
matahari. Kami tidak tunggu lama, hanya
seketika sebelum singgah untuk menjamah buah durian yang mahal harganya, tetapi
tuan empunyai gerai baik hati, memberi harga yang murah kepada kami, dapatlah
anak-anak didik kami menikmati durian kampung di tepi jalan.
Malamnya pula,
seorang kenalan kami membawa kami merasa sate yang sedap di Bandar Tampin, Sate
Zol, orang begitu ramai, padat, sejam kami menunggu sebelum dapat menikmati
sate daging yang garing dan kuahnya yang
sedap.
Rupanya kawasan
tempat kami menginap tidaklah jauh dari A Famosa sempatlah juga kami singgah di
A Famosa Mall yang menjual semua barangan berjenama. Sekadar menikmati
keindahan di dalam Mall tersebut.
Menurut teman kami, setiap malam ada pertunjukkan bunga api sekitar 9.45
malam. Kami tidak sempat menikmatinya
gara-gara menunggu sate.
Tiga hari dua
malam menghabiskan masa di Rembau dan kawasan persekitarannya, bolehlah
dikatakan menarik juga. Bersenang-senang
dan bersantai-santai. Apa yang penting,
anak-anak didik kami gembira, kami juga boleh berehat.
Sebelum pulang,
kami di bawa ke Pekan Tampin sekali lagi untuk menikmati cucur udang Alor Gajah
yang dikatakan sedap. Rugilah tak cuba,
bukan mudah hendak datang jauh-jauh.
Memang sedap, cucur udang selain daripada cucurnya, kuahnya juga harus
sedap. Baharulah terasa nikmatnya makanan tersebut. Alhamdulillah, sekali lagi ada orang belanja.
Malam sebelumnya,
kami diraikan oleh teman kami ke rumahnya, menikmati makan malam yang enak dan
menarik. Dimasak sendiri oleh tuan
rumah, mee hailam dan nasi goreng cina berserta ayam percik yang istimewa,
hanya dijual dua hari sahaja dalam seminggu. Terlupa pula namanya. Hanya ada di Pekan Tampin.
Malaysia punya
banyak tempat-tempat yang menarik untuk dilawati, ada yang berbayar, ada juga
yang percuma. Terpulang kepada diri
sendiri untuk memilih yang terbaik untuk bercuti bersama-sama keluarga.
Begitu juga dengan
makanan. Sememangnya makanan di Malaysia
beraneka jenis dan enak-enak belaka.
Masyarakat yang berbilang kaum dan etnik menambah cantiknya negaraku
ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan