Selasa, 20 Februari 2018

ANAK ADALAH AMANAH.



Anak yang dilahirkan oleh kita bukan diberikan hanya suka-suka oleh Allah swt. Ada tanggungjawab yang terpikul di bahu kita sebagai orang tua. Amanah yang tidak seharusnya disia-siakan oleh kita sebagai pemegang amanah. Setiap amanah yang diberi pasti akan ditanya oleh Allah swt, bagaimana kita menjaga amanah kita ini.
Anak dilahirkan umpama kain putih, suci bersih, kitalah yang mencorakkannya untuk letak warna apa. Cuba lihat dan pandang anak-anak kita, tahu solat? Tahu membaca Al Quran? Sudah kenalkan anak-anak dengan Allah swt? Tahukah anak-anak siapa Nabi Muhamad saw? Itu semua tanggungjawab kita sebagai orang tua mereka.
Ibu-ibu, jangan terlalu biarkan anak-anak terlepas bebas sejak kecil lagi, apabila anak-anak meningkat remaja takut tidak terkawal nanti. Keluar malam, bergaul bebas lelaki dan perempuan. Jangan sesekali izinkan kerana kesannya kita sendiri yang akan tanggung di kemudian hari.
Anak yang tak terkawal oleh kita, mulalah kita fikir nak hantar ke sekolah tahfiz atau sekolah pondok. Tempat yang baik itu kita jadikan seperti tempat pemulihan akhlak buat anak kita. Padahal sepatutnya pendidikan bermula dari rumah. Ibu ayah guru pertama buat anak-anak.
Ubahlah cara berfikir. Ubahlah cara bertindak. Kepada ibu ayah yang masih punya anak kecil lagi, mulakanlah dari sekarang untuk mendidik anak-anak cara hidup orang Islam dan Melayu. Ada batasan, beradab, berakhlak dan bersopan-santun.
Jangan jadikan anak-anak kita mangsa kerakusan kita mengejar harta dunia sehingga lupa tanggungjawab yang sebenar. Jangan kita serahkan bulat-bulat mendidik anak-anak kita kepada guru-guru di sekolah.
Baik buruk anak kita terletak di bahu kita sendiri. Jahat atau baik anak-anak kita, kita sendiri yang membentuknya. Sentiasa muhasabah diri sendiri. Usah salahkan orang lain.
Di mana salah dan silap kita sehingga anak-anak tidak menjadi seperti yang kita harapkan. Selidiki sumber rezeki yang kita perolehi. Jaga hubungan kita dengan Allah, pasti Allah jaga mereka yang ada di sekeliling kita.
Begitu jugalah anak-anak yang kami terima di Maahad kami, bukan mudah mendidik anak-anak yang tidak terdidik sejak kecil.
Fikir-fikirkanlah!

Kredit keratan di bawah: Hjh Salmiah Alias, Mc Ani.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan