Hujan
yang turun lebat di luar bangunan asrama Rumah Kebajikan Permai tidak selebat
hujan di hatinya yang sedang galau. Tanah yang gersang, rerumput kekuningan,
dedaun kering berterbangan beberapa minggu yang lalu, kini basah, pepohon akan kembali menghijau
seperti semangat anak-anak yatim jagaannya dan suami yang tidak pernah kering kontang.
Lidah mereka sentiasa dibasahi
dengan kalimah Allah dan zikrullah yang tidak pernah terputus mengalir keluar dari bibir mongel itu. Batinnya
akan gersang, umpama bendang yang tidak ada airnya, merekah, bertaburan debu kehampaan
menghiasi sanubarinya. Kilat sambar-menyambar tidak ubah seperti perasaannya ketika itu akibat fitnah yang
membakar hatinya yang sedang walang.
Raungan atap dihentam cucuran air
hujan berlawanan suara
gemersik anak-anak yatim yang sedang menghafal al-Quran, melontarkan kalimah
Allah memenuhi setiap aliran dinding dan kawasan rumah kebajikan itu. Dengan
linangan air mata yang mengalir seperti hujan yang sudah lama tidak membasahi
bumi tercinta, hati dan nalurinya seperti ditikam dengan belati yang tajam. Berdenyut
jantungnya menahan bisa dan debaran yang mengamuk, menggoncang dan melemaskan seluruh
jiwanya. Terkapar dirinya bagaikan dia yang
berada di sepuntung nyawa, bukan sebaliknya, suaminya, Harris.
Tanpa sedar, Nisa’ mengesak seorang diri di
dalam kamar, duduk berteleku di atas sejadah dengan telekung masih di tubuh. Pelbagai
perkara membadai benaknya. Seram sejuk roh dan sekujur tubuh, bukan kerana
sejuknya cuaca tetapi sejuk oleh rasa takut dan resah memikirkan pandangan
tidak adil manusia di luar sana.
Sesungguhnya, apa yang berlaku
benar-benar mencabar dirinya sebagai seorang wanita, isteri dan ibu kepada tiga
orang anak kandung dan puluhan orang anak-anak yatim di Rumah Kebajikan Permai serta
sebagai seorang usahawan.
Betapa tidak, lelaki itu sudah
berpuluh tahun melalui alam perkahwinan dengannya, dan dia sudah faham benar
akan hati budi, sikap,
segala usaha, masanya yang dicurahkan untuk menjaga anak-anak yatim ini. Suaminya tidak sehina
dan sebusuk manusia yang sanggup membuang anak tidak sah taraf atau mereka yang
mempergunakan anak-anak yatim untuk kepentingan diri sendiri.
Tidak mungkin suaminya, Harris, melakukan perkara tersebut. Itu bukan sikap
dan akhlak suaminya. Adakah orang yang membataskan pergaulannya dengan kaum
hawa di luar sana sanggup melakukan perkara tersebut? Sudah terlalu tuakah
dirinya untuk melayan keperluan batin seorang lelaki bergelar suami? Nisa’, enam tahun muda daripada
usia suaminya, Harris. Usia suaminya baharu mencecah awal 50-an, seorang yang
amat penyayang, amat pengasih. Jauh lebih baik cara penjagaan anak-anak
berbanding dirinya sendiri sebagai seorang ibu.
Tuduhan apakah ini? Dunia
menyaksikan fitnah paling dahsyat yang melanda seluruh keluarganya, seluruh
penghuni Rumah Kebajikan Permai kelolaan suaminya ini. Manusia jenis apakah
mereka yang tergamak membuat tuduhan tanpa menyelidiki akan kesahihannya
terlebih dahulu?
Sudah hilangkah sikap kemanusiaan
mereka sehingga sanggup menuduh suaminya melakukan perbuatan terkutuk itu
terhadap anak didiknya sendiri! Kejam! Desis hatinya. Embun di matanya
berterusan mengalir, titisannya membasahi pipi yang masih menggebu. Terasa letih tubuhnya,
hilang selera makan semenjak suaminya dibawa pergi. Walaupun diserang kantuk, tetapi tersengkang luas
mata memikirkan nasib suaminya yang sudah pun disumbat ke dalam lokap gara-gara
tuduhan seorang pelajar perempuan yang pernah tinggal di Rumah Kebajikan Permai
itu.
Isy! Pelajar perempuan itu baru
berusia 12 tahun, tetapi sudah pandai mereka cerita. Layak jadi penulis skrip,
malah keluarganya tidak segan-segan mereka tuduhan terhadap orang yang berbakti
kepada mereka, sedangkan anak itu dijaga bagaikan ketulan emas yang perlu
dijaga agar tidak dicuri orang. Diberi perhatian dan kasih sayang sama rasa,
sama rata seperti yang diberikan kepada anak sendiri.
Hembusan nafasnya mendengus kuat,
seperti melepaskan rasa berat bebanan yang sedang ditanggungnya. Terasa seperti
digantung di atas pokok balak yang tinggi melangit hanya menunggu waktu tali
disentak untuk menjerut nyawanya ke alam yang seperti berantakan oleh gempa
bumi yang kuat.
Dahsyat sungguh sikap manusia hari
ini, budi yang diberi, racun yang dibalasnya. Manakah rasa perikemanusiaan
mereka? Bagaimana jika, oleh fitnah yang melulu itu, suaminya disabitkan
kesalahan? Menurut kata pihak polis yang menahan suaminya, kononnya seorang
budak tidak akan pandai mereka-reka cerita, apatah lagi menipu. Benarkah? Boleh
percayakah?
Bagaimana
jika anak itu dihasut atau dipengaruhi oleh orang yang pernah menjadi
penyumbang di Rumah Kebajikan Permai itu? Jika benar, kenapa harus ada dendam? Sedangkan, rumah kebajikan itu tidak mengambil apa-apa pun hak
penyumbang tersebut. Malah, tanah yang dijanjikan untuk diwakafkan kepada rumah kebajikan juga
diambil kembali. Sedangkan, janji itu diucapkan di dalam masjid yang menjadi saksi perjanjian mulut
antara penyumbang dan suaminya. Adakah itu angkara mereka?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan