Pernah jatuh cinta?
Sudah tentu, setiap daripada kita pasti pernah jatuh cinta ketika usia
meningkat remaja. Ada yang mengatakan,
perubahan hormon seorang remaja bermula ketika usia 10 tahun, ketika ini,
perasaan ingin mengenali manusia berjantina lain sudah ada. Namun, masih terbatas kerana rasa malu yang
masih menebal dalam diri. Biarpun hati
suka kepada seseorang, rasa suka itu disimpan dalam hati.
Semakin mereka meningkat remaja, 13-16 tahun, ketika
inilah jiwa mereka berperang dengan diri sendiri. Mula sudah mencari ruang dan peluang untuk cinta
dan mencintai. Kejadian-kejadian rogol
dan perlakuan bebas lelaki dan perempuan mudah berlaku jika tidak dibendung dan
disekat dengan cara yang betul.
Bagaimana? Ibu ayah risau tak?
Setiap daripada kita punya cara pendidikan dan mendidik
dengan cara yang berbeza. Ada ibu ayah
yang tidak kisah pun anak-anak ada teman lelaki atau perempuan. Ada juga ibu ayah yang mengawal pergaulan
anak-anak agar tidak terjebak dalam masalah.
Hari ini, pergaulan bebas lelaki dan perempuan adalah perkara biasa Di sekolah lagi anak-anak remaja ini sudah berani
bermain cinta.
Saya juga pernah jatuh cinta, bukan sekali, tetapi
berkali-kali. Kadangkala saya terfikir,
lelaki A yang saya kenali, adalah pasangan saya sehingga akhir hayat, tidak
berapa lama berkawan, tiba-tiba hubungan terputus. Bertemu lelaki B, sangkaan tetap sama, masa
dan ruang yang diambil untuk mengenal hati budi, kononnya, berakhir juga dengan
perpisahan. Ironinya, tidak seorang pun
lelaki yang saya kononnya suka atau cinta, menjadi imam saya.
Apabila mempunyai anak perempuan, dan anak-anak terlibat
dengan cinta, baik lelaki dan perempuan, sebagai ibu yang mempunyai pengalam
yang sama dengan mereka, tentulah saya akan cuba yang terbaik untuk menasihati
mereka. Tidak semua cinta pertama akan
membawa bahagia sehingga ke jinjang prelamin.
Apatah lagi di usia yang masih muda dan mentah. Saya dan suami masih berpegang dan yakin, setiap
manusia yang dilahirkan di dunia ini ada jodoh mereka masing-masing. Tidak perlu tergesa-gesa mencari, jodoh itu
pasti akan datang sendiri. Jika belum
bertemu jodoh, usah risau, kerana Allah swt telah menentukan pasangan kita
masing-masing.
Pengalaman banyak mengajar saya untuk mendekati dan menasihati
anak-anak perempua saya erti cinta yang
sebenar. Anak kedua pernah suka
seseorang, oleh kerana kami membataskan pergaulannya, perasaan itu pernah
diluahkan tetapi masih terjaga adab dan akhlak. Dengan cara lembut dan bajk
saya dan suami menasihatinya agar tidak terbawa-bawa perasaan cinta itu
sehingga menganggu pelajaran. Sayangi
diri sendiri, barulah boleh kita sayangi orang lain. Jika benar lelaki itu jodoh kita, pasti dia
akan hadir dan menjadi imammu. Saya
tidak pernah marah jika anak perempuan saya suka kepada seorang lelaki, itu
adalah normal bagi seorang perempuan.
Tetapi, sebagai seorang Islam, Melayu dan berpendidikan agama, pastinya
ada batasan yang perlu dan wajib dijaga.
Dalam semua perkara, cinta atau tidak, maruah dan harga diri wajib
dijaga dan diutamankan.
Anak bongsu saya paling berani, menulis surat cinta
sehingga tertangkap oleh ustazahnya.
Pecahlah rahsia kenapa sering sakit kepala. Sedang asyik menghafal
al-Quran, dalam hati ada seseorang, tidak boleh focus, sakit kepala
menyerang. Saya tidak marah, kerana adalah
perkara biasa, seorang remaja seusia anak bongsu saya akan jatuh cinta kepada manusia
yang berlainan jantina. Cuma, bagaimana
cara saya mengatasi masalahnya dan menyelami hati seorang remaja seperti anak
saya.
1)
Saya menasihatinya, bahawa tidak salah
jatuh cinta. Ini normal, biasa sebagai
seorang manusia sudah tentulah akan suka kepada lawan jantinanya. Tetapi, tidak sesuai jatuh cinta dalam usia
yang muda dan masih belajar. Sebaiknya
dalam usia yang muda, sepatutnya pelajaranlah yang paling dicintai.
2)
Saya menyuruh dia bertaubat, banyakkan
berzikir, bawa bertenang, lupakan cinta yang ada di hati, perlahan-lahan buang.
Kerana jika benar lelaki yang disukainya itu adalah jodohnya tidak akan ke
mana-mana. Pasti akan kembali kepadanya juga.
Paling penting, cintai Allah dan Rasul terlebih dahulu, sebelum menerima
cinta seorang bernama lelaki dalam usia yang terlalu muda.
3)
Sebagai seorang yang beragama Islam,
maruah dan akhlak yang baik adalah utama.
Cinta akan datang selagi ada ruang dan peluang. Tidak boleh berjumpa, ada batasan dalam pergaulan lelaki dan perempuan. Tidak
ada seorang lelaki di dunia ini akan memilih seorang perempuan yang rendah akhlak
dan murah harga dirinya.
4)
Lelaki yang baik adalah untuk seorang
perempua yang baik. Mungkin pada pandangan seorang remaja yang
cetek, kehadiran seorang lelaki dalam hidupnya adalah yang terbaik. Saya terangkan, salah jika dia berfikir
begitu. Masih banyak waktu, masih
panjang masa untuk memilih. Bukan dia
yang pilih, tetapi Allah swt yang akan memilih untuknya. Siapakah lelaki yang bakal menjadi pasangan
hidupnya. Jika dia menjadi seorang
muslimat yang baik, taat kedua orang tua, menjaga hubungannya dengan Allah swt
dan sayang akan Rasulullaah saw, Allah akan hadirkan seorang lelaki yang
terbaik dalam hidupnya. Jadi, kenapa perlu tergesa-gesa menyerahkan hati kepada
seorang lelaki yamg tidak lagi dipastikan bahawa dia adalah jodohmu.
Biar siapa pun anak kita, aliran apa yang dipelajari,
naluri usia remaja suka dan ingin bercinta tetap ada. Bezanya, adalah cara pergaulan dan bagaimana
cinta yang ada di hati mereka itu direalisasikan.
Bagi anak-anak yang belajar dalam bidang agama, rasa
cinta dilahirkan dengan cara yang terbatas, diam-diam suka, jika berbalas, surat
cinta bertukar tangan. Kecuali, mereka berjumpa secara rahsia
tanpa pengetahuan orang tua. Remaja yang
sedang dilamun cinta, mudah menipu.
Bagi anak-anak remaja yang terlepas bebas dan
aliran Kebangsaan, rasa cinta boleh diluahkan dengan mudah, kerana tiada keterbatasan
dalam pergaulan, boleh bertemu dan
berbual mesra, jika tidak dibendung takut-takut menjadi perkara yang
tidak baik pula.Ketika inilah, kedua orang tua memainkan peranan untuk
menasihati mereka agar tidak
terburu-buru jatuh cinta.
Sebagai ibu ayah, kadangkala kita tidak boleh menjadi penghalang,
tetapi jadilah kawan yang boleh menasihati mereka, mendekati dan memujuk serta
terangkan bahawa jodoh untuk mereka akan hadir juga. Terangkan juga kepada mereka, bahawasanya
lelaki yang baik tidak akan sesekali menyentuh mereka selagi belum ada ijab dan
Kabul.
Ya, ada orang berfikir, jodoh perlu dicari. Bagi saya tidak, jodoh adalah ketentuan
Ilahi. Kadang-kadang yang mencari tidak
juga jumpa-jumpa. Tetapi yang menunggu
dan menanti dengan penuh yakin, bahawa jodohnya telah ditetapkan oleh Allah swt
selalu mendapat jodoh yang terbaik.
Dekatilah anak remaja kita. Perhatikan perubahan diri mereka, perasaan
mereka, sebaik sahaja usia mereka menjangkau 10-16 tahun. Seringlah bertanya. Seringlah bercerita bahayanya bercinta di usia
remaja. Kepada yang mempunyai anak
remaja lelaki, nasihatilah mereka agar tidak menyentuh anak perempuan orang. Begitu juga yang mempunyai anak perempuan
remaja berceritalah agar mereka tahu menjaga keterbatasan dalam pergaulan. Sudah pasti kita tidak mahu rasa cinta ini
memusnahkan masa depan mereka. Tentunya kita tidak mahu rasa cinta ini menjadi
penyebab lahirnya anak yang tidak sah taraf.
Baik atau buruknya bercinta ketika usia remaja, sebagai ibu ayah, kitalah penentunya.
#ghostwriter
Tiada ulasan:
Catat Ulasan