Emak jual pisang goreng di Jalan Bangsar sejak saya sekolah rendah. Setiap hari, selepas balik sekolah saya akan membantu emak berjualan. Sewaktu zaman awal 80-an siapa yang nak motivasi diri kata berniaga itu bagus. Saya sering berasa malu apabila kawan-kawan bertanya, "Mak kau jual goreng pisang ya?"
Saya anak yang sulong, urusan di rumah selalunya mak akan serahkan kepada saya. Teruk tau buat kerja. Kadang-kadang tak sempat nak bermain dengan kawan-kawan. Balik sekolah saja, tukar baju, terus pergi ke tempat mak berniaga. Tolong mak sampai pukul 6.00 petang.
Di rumah pula, kupas keledek, rebus dan tumbuk sampai sejuk. Kupas pula pisang untuk buat cucur pisang. Mak pula sibuk memasak lauk untuk makan malam kami sekeluarga.
Lepas makan dan siapkan semua kerja, basuh baju sekolah pula. Terasa letih yang amat sangat. Itulah rutin saya setiap hari sampai saya berkata dalam diri, tak nak terlibat dalam dunia yang berbentuk perniagaan.
Kadang-kadang berasa, mak terlalu kejam kerana asyik menyuruh saya melakukan kerja rumah. Belum lagi memantau adik-adik lagi empat orang itu. Mak sudahlah garang, kedekut pun ya. Jangan haraplah nak minta apa-apa tak perlu buat kerja.
Nak duit, buat kerja dahulu. Saya benar-benar berasa mak sangat kejam waktu itu. Maklumlah kita budak lagi, mana faham apa niat dan kebaikan yang mak kita lakukan kepada kita dalam usaha mendidik, mengajar kita menjadi manusia serb boleh.
Kekejaman itu amat bererti sekarang ini kerana saya mampu menjadi manusia yang boleh buat semua kerja rumah. Pandai sesuaikan diri di mana saja berada. Terima kasih mak!
Tapi, saya tidak mampu mendidik anak-anak saya dengan cara yang sama kerana anak-anak tinggal di asrama.
Namun, saya berpesan dengan anak-anak kalau pergi ke rumah sesiapa sahaja, ringankanlah badan. Buat kerja apa yang boleh. Bimbang saya, jika anak-anak tidak pandai bawa diri, nama saya dan suami juga yang buruk.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan