Rabu, 10 Disember 2014

ULASAN AIR MATA RAJA

AIR MATA RAJA ( Jejak Pewaris Istana Melaka)
Shaharudin Haji Ali/ Norzailina Nordin
2011
DBP
RM55.00
960 muka surat

Saya mendapat tahu tentang buku ini apabila membuka Fb penulisnya Norzailina Nordin.  Tapi menanguhkan tujuan untuk membelinya sebab terpandangkan  buku yang masih belum dibaca di rak buku.  Tersusun kemas dan bagaikan meraung meminta saya menjengah mereka.  Apabila salah seorang admin BTL memaparkan karya ini di wall grup, hati melonjak ingin membelinya.  Ingin benar mengetahui apakah isinya?  Akhirnya saya membuat pesanan kepada penulisnya sendiri. Alhamdulillah dengan rendah hati, penulisnya sendiri menghantarkan ke rumah.
Karya yang baik untuk dijadikan kajian oleh pakar sejarah di luar sana.  Saya teruja membacanya,hanya mengambil masa empat hari saya menghabiskan karya ini sehingga ke garisan penamat.  Karya ini mengisahkan kisah sebenar yang dialami oleh  Paduka Raja Bendahara Tun Sri Lanang  ketika menulis karya besar Sejarah Melayu.  Kita yang buta sejarah dan hanya belajar sejarah waktu di sekolah, sudah pasti beranggapan Melaka kehilangan dan tiada waris setelah kemangkatan Sultan Mahmud Mangkat Dijulang.

 Setelah membaca karya ini saya cuba memahaminya dengan cara dan pemikiran saya berpandukan dengan sejarah yang dipelajari waktu sekolah dahulu, saya cuba memahami perjalanan kisah ini.  Setelah membaca sehingga ke akhir, baharulah saya faham.  Bahawasanya, selama kesultanan Melaka wujud, Melaka diperintah oleh keturuan Tun Fatimah, anak bendahara Melaka yang mati dibunuh oleh Sultan Mahmud Syah akibat fitnah.  Sedangkan waris sebenar dari keturunan Tun Teja, anak sultan Pahang ketika itu diketepikan, hanya kerana rasa bersalah Sultan terhadap keluarga Tun Fatimah.  Cuma  terdapat kekeliruan  di muka surat  356, tentang amukan Hang Kasturi dan berlawan dengan Hang Tuah.  Sedangkan di dalam sejarah yang dipelajari, setahu saya, Hang Jebat yang melakukan onar dan menderhaka.

Penceritaan yang bersahaja, mudah difahami, gaya Bahasa yang tidak terlalu berat sasteranya.  Malah mudah dihadam.  Bagaikan membaca   sebuah perjalanan sejarah yang berada di hadapan mata.  Tidak rugi mendapatkan karya hebat ini.  Adakah waris sebenar Kesultanan Melaka masih wujud sehingga ke hari ini?  Hanya mereka sahaja yang mengetahui.  Mungkin ada sebab tersendiri maka mereka masih tidak menuntut takhta yang ada.  Semoga segalanya menjadi terang dan nyata.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan