Keretanya diletakkan tidak jauh dari pintu rumah. Pintu kereta dihempas kuat, menggambarkan perasannya yang sedang kalut dan marah. Langkahnya diayun laju melangkah masuk ke dalam rumah. Pintu rumah tidak berkunci. Bahaya ini. Zaman sekarang rumah yang berkunci pun dimasuki tetamu yang tidak diundang. Inikan pula yang tidak berkunci seperti ini. Zaki mendengus kasar. Semakin memberat kepalanya. Zaki menghenyakkan punggung di sofa di ruang tamu rumahnya. Dia menyandar sambil memandang siling. Otaknya berputar ligat. Hmm… apa yang harus dia lakukan lagi, agar ustazah itu tidak meneruskan program yang dirancang dan bakal dirancang. Paksa ke atas orang lain pula itu. Bukan apa, tetapi… aduh! Malaslah hendak buat semua itu. Menyusah dan memenatkan sahaja. Sayang tenaga empat keratnya dikerah dan digunakan untuk perkara yang entah apa-apa dari hasil idea ustazah yang dipacu hormon melulu itu. Buat apa perlu bersusah payah memikat dan ajak orang ke masjid? Kalau mereka hendak datang, pasti datang. Dia dahulu tidak perlu bersusah payah pun memikat isteri yang dikahwininya dulu. Usaha orang tuanya yang hendak dia mendapat jodoh cepat. Bukan ada paksaan pun. Ah! Perempuan memang menyusahkan. Hanya tahu memerintah, minta itu ini, contohnya isteri dan ibunya sendiri.
“Abang
tak kerjakah? Pulang awal hari ini?” Naemah yang sedang memasak ternyata
terkejut melihat kelibat suaminya yang pulang awal ke rumah.
“Bukankah ada program yang akan berlangsung di
masjid?” berkerut dahi Naemah melihat
wajah suaminya dengan penuh kehairanan.
“Sahaja
abang balik, hendak berehat.” Alasan
yang diberi bagi melepaskan diri seraya mengerling ke arah isterinya. Rambut yang panjang disanggulkan ke atas. Muka berpeluh dan berminyak, entah apa yang dibuatnya
tadi. Surirumah tangga sepenuh masa
sehingga tiada masa hendak mengurus diri.
Kalau iaapun bekerja di rumah, apalah salahnya berpenampilan
menarik. Dia memandang ke arah
lain. Hendak ditegur nanti merajuk
pula. Panjang muncung mengalahkan itik
serati.
“Berehat? Baru pukul 11.00 pagi. Ustazah Ummu ada telefon, cari abang,” Naemah
mencuri pandang.
“Awak
pergilah masak, nanti hangit lauk di kuali,” wajah cemberut Naemah membuat
perasaan risau bertandang. Mesti Ustazah
Ummu Salamah ada beritahu apa-apa pada isterinya. Ah, biarlah!
Tiada kena mengena dengan isterinya.
Ini urusan kerja, urusan orang lelaki.
Seorang isteri tidak perlu ambil tahu.
Bukan boleh membantu pun. Zaki
mendengus, malas hendak melayan. Mulut
orang perempuan, bebelnya lebih dari meluahkan fakta. Tiada isi, hanya omongan kosong yang
membuatkan gegendang teliganya bergegar kuat.
Terasa hendak pecah, tiada rasa nyaman yang mengasyikkan. Lebih kurang sama sahaja dengan Ustazah Ummu
Salamah. Suka benar membebel, tidak
penat agaknya. Seperti murai cabut ekor.
“Abang
kenapa? Esokkan ada karnival. Bukan?”
soalan menyinggah, minta jawapan.
“Awak
itu yang kenapa? Usah disibuk akan urusan orang lelaki. Kerja perempuan melayan suami, menyediakan
makan dan minum. Hal lain usahlah ambil
tahu,” lengking suara Zaki memecah kesunyian rumah. Anak-anak serami lima orang, semuanya ke
sekolah.
“Marah
tidak menyelesaikan masalah, bang. Apa
pula kali ini? Abang sabotaj lagi kerja
dan urusan Ustazah Ummu?” tanya Naemah, seakan dapat mengagak apa yang berlaku.
“Awak
jangan masuk campur Naemah, kerja saya, tahulah saya selesaikan!” marah mula menampal dalam hati. Pantang dirinya ditegur. Salah dirinya disanggah. Dia tidak akan tunduk dengan arahan seorang
perempuan. Lebih-lebih lagi seorang
isteri yang sepatutnya tidak membantah dan menurut sahaja kehendak seorang
suami. Tiada kompromi.
“Dia
ketua abang, bukankah dalam Islam kena dengar kata-kata pemerintah, hormat dan
ikut,” Naemah tidak mahu kalah.
“Kena
hormat ketua lelaki, bukan perempuan! Awak tak fahamkah? “ herdik Zaki, memerah wajahnya yang putih
melepak. Berasap kepalanya bagaikan besi
panas disirami air.
“Apa
salahnya bang? Kenapa diskriminasi wujud
dalam dunia orang lelaki? Kita sama sahaja, tiada beza di sisi ILAHI, hanya
keimanan dan ketakwaan yang membezakan kita,” tempelak Naemah, sakit hati pula
menjelma. Wajahnya bertukar masam
bagaikan tertelan cuka.
Biar
berbuih mulut isterinya bercakap, dia peduli apa. Dia tidak akan mengaku kalah. Lelaki
adalah ketua dalam keluarga, khalifah di muka bumi ini. Imam dalam solat. Kaum Perempuan tidak layak perintah atau
memerintah.
“Sudah! Jangan nak bela orang lain
pula? Abang ini yang sepatutnya awak
ikut, bukan Ustazah Ummu yang berlagak rajin dan pandai itu,” tengking Zaki
menyinga.
“Bercakap
dengan abang, bagaikan bercakap dengan tunggul kayu! Buat kering tekak dan
hilang suara. Tinggi benar ego
abang. Langsung tidak mahu menunduk atau
bertolak ansur. Kalau dalam keluarga,
abang memang ketua. Kalau abang hendak
bercakap dengan saya apa sahaja, bagaimana sekalipun, saya tak kisah. Turut sahajalah. Niat Ustazah Ummu baik untuk mengajak
masyarakat mendekati masjis. Mengenal
fungsi masjid. Abang pula bukan hendak
membantu, malah berusaha menggagalkannya.
Malulah bang. Abang sudah lama
bertugas di Masjid An-Nur. Dahulu masjid itu suram dan muram. Kehadiran
Ustazah Ummu membawa sirna cemerlang, bantu sahajalah mana yang
perlu. Kitakan sesama Islam.
Lakukan untuk agama dan kerana ALLAH, bukan hendak menunjuk kepada
orang,” nasihat Naemah panjang lebar.
Mendidih
darah Zaki, rasa hendak terluah di
seluruh urat nadinya bila mendidih. Mahu
sahaja dia cekik leher isterinya ketika itu.
Potong lidahnya agar tidak sewenang-wenangnya berkata-kata. Sudah lupakah isterinya sedang berhadapan
dengan siapa? Bukan main lagi isterinya
berkata-kata membela sesama jantinanya.
Sejak bila isternya bertukar profesyen menjadi pejuang wanita? Sekolah pun setakat SPM, itu pun cukup-cukup
makan sahaja.
Orang
perempuan jika diberi kesempatan bercakap, bagai butir jagung meletup-letup di
dalam bekasnya. Kalau ikutkah hati mahu
sahaja ditutup mulut itu. Biar tiada
suara dan tidak menyakitkan telinga. Dia
bingkas bangun. Ingat balik rumah
bolehlah merehatkan mindanya yang sarat
dengan perasaan geram dan marah.
Bernanah hatinya mendengar omelan isteri. Sudah lupakah isterinya, bahawa tugasnya
hanya di dapur sahaja. Zaki mencebik,
memperlekehkan Naemah yang masih mencuka
memandangnya.
“Hendak
ke mana pula itu? Pergilah kembali ke
masjid,” gelengannya laju. Kecewa menendang tangkai hatinya. Seolah-olah dia tidak percaya betapa sukar
hendak menasihati suaminya.
Tentu
isterinya berfikir yang bukan-bukan tentang dirinya . Orang perempuan suka berprasangka,
lebih-lebih lagi jika dapat maklumat tentang apa yang berlaku. Panjanglah fikirannya menerawang. Bukan dia tidak mahu memikul sama beban yang
ada. Cuma hatinya tidak suka dan berat hendak melakukannya. Ego seorang lelaki, agaknya.
“Abang!”
laung Naemah, melihat langkat kaki suami yang semakin laju meninggalkan
perkarangan rumah.
Zaki
menghempas pintu kereta. Hish! Ingatkan
balik rumah bolehlah bersenang lenang.
Minum seteguk dan jamah sejemput
makanan. Lain yang diharap, lain pula jadinya. Kalau perempuan tentulah perempuan juga
disokongnya. Hendak ke mana pula dia?
Kalau pulang ke pejabat sudah pasti dirinya akan jadi sasaran. Ustazah Ummu
Salamah pasti sedang mencarinya. Ah, lecehnya bekerja dengan kaum Hawa! Zaki menghidupkan enjin kereta. Waktu Jumaat nanti dia yang bertugas menjadi
Imam Solat, untung Khutbah ada penceramah jemputan. Kalau boleh hari itu dia tidak mahu menyinggah di masjid. Pasti Ustazah Ummu Salamah mampu mencarinya
nanti.
Kereta
dipandu perlahan, malas yang sedang meracun, merebak perlahan-lahan diseluruh
genap urat saraf dan nadinya. Sakit
hati, sakit tubuh. Sakit jiwa, matilah
diri. Ah, persetankan semuanya. Dia ada prinsipnya sendiri. Tidak sesekali akur, tidak sesekali
membiarkan wanita itu menang dalam meraih nama dan gelaran. Dia paling lama bertugas di masjid itu. Sepatutnya jawatan yang disandang oleh Ustazah Ummu Salamah adalah haknya. Entah muncul dari dunia mana, tiba-tiba
menjelma., menghenyak semua harapan yang sudah terpasang angan-angannya. Dia masjid itu dia hanya pegawai biasa. Merangkap Imam 3. Dia hanya lulusan STAM dan sekolah pondok. Ustazah itu pula lulusan Al- Azhar dan ada
berbagai ijazah dan diploma. Ah! Peduli
apa dia? Segulung kertas bukan pengukur
untuk dia bermaharajalela!
Kereta
berhenti di perkarangan masjid. Nasib
baik tempat parking untuk para petugas sudah memang tersedia. Kalau tidak pasti tiada ruang untuk dia
meletakkan kenderaan. Khemah yang sudah
siap terpasang. Para penjual sedang sibuk mengemas singgah di matanya. Dia mendengus kasar. Hendak lari ke mana? Terpaksalah dia berhadapan juga.
Dia
melangkah keluar dari perut kereta.
Kawasan masjid sudah mula dipenuhi para Jemaah. Kali ini ramai dari biasa. Mungkin ramai yang menyinggah untuk melihat-lihat
gerai yang ada. Jam sudah menganjak
jam 12.00 tengahari. Zaki berjalan laju, tanpa memandang kiri dan
kanan. Sudah pasti Ustazah Ummu Salamah
ada di sekitar kawasan tersebut. Biar
dirinya tidak dijumpai. Rasa hendak menjadi halimunanlah pula.
“Lajunya
langkah, ustaz?” sapa satu suara. Lembut tetapi cukup menyentuh jiwa. Dia berhenti
berjalan dan menoleh.
Tersenyum
sinis kemudian memandang dengan amarah.
“Sudah
terlewat hendak ke pejabat,” serba salah pula berhadapan dengan ustazah muda yang
rajin terlebih itu.
“Ini
kerja-kerja ustaz, masih awal hendak pergi ke ruang solat. Selesaikan dahulu kerja-kerja ini! Tak usah
main tarik tali, ustaz. Kita diberi gaji
untuk menjalankan tanggungjawab kita di
sini. Jangan ngelat,” tegur Ummu Salamah lembut namun bererti,
dalam menikam jantung hati.
“Jangan
main tuduh tanpa usul periksa, ustazah.
Fitnah namanya. Orang menfitnah dosanya sama dengan membunuh,”
sindir Zaki. Muka memerah menahan
marah. Meluat pun ada.
“Ini
tugas awak, ustaz. Selesaikan hari ini
juga. Esok saya tahu beresnya
sahaja, sebelum majlis perasmian
berlangsung,” fail diunjurkan kepada Zaki, teragak-agak lelaki itu ingin
mengambilnya.
“Tidak
usah berat tulang, nanti tidak tertanggung dek tubuh yang rendang.”
Zaki
mencebik. Fail ditenung lama sebelum
bergerak meninggalkan kawasan laman masjid.
Ummu Salamah sudah lama berlalu.
Meninggalkan dirinya sendiri termanggu di situ. Rasa hendak dicampakkan
sahaja fail-fail tersebut. Biar
lenyap. Tidak nampak. Senanglah dia memberi alasan segalanya sudah
hilang ditelan bumi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan