Namanya
Aleeya Aneesa. Bukan! Bukan penulis novel itu tau. Keluarga memanggilnya Leya. Dia
hanya insan biasa yang dilahirkan berpuluh tahun yang lalu. Erk… umur rahsia,
boleh begitu? Biarlah rahsia. Tidak perlu diuar-uarkan, terasa tua pula nanti. Sudah
berkahwin beberapa bulan yang lepas. Dia bekerja sebagai penjawat awam di
pejabat kerajaan. Gaji tidak besar mana, sesuailah dengan kelulusannya yang
hanya ada Ijazah Sumber Manusia.
Tinggi lima kaki empat inci. Pinggang
24 inci. Cukuplah dia memberitahu bahagian tertentu tubuhnya. Boleh bayangkan
sendiri. Dia tidaklah gemuk, malah kurus dan cantik bergetah walaupun tidaklah
seperti ala-ala model di luar sana. Sudah cukup untuk menggetarkan hati suami
sendiri. Setiap hari, dia ke tempat kerja memandu sendiri. Nun di Putrajaya,
duduknya pula di Puchong Perdana. Rumah teres dua tingkat, sewanya usah cerita.
Jaga status kata suaminya sedangkan boleh saja sewa rumah flat dengan harga jauh
lebih murah. Ikutkan sahaja, bukan dia yang bayar sewa pun, tetapi suaminya.
Dia berkahwin dengan seorang duda
beranak lima. Macam mana boleh jadi macam tu? Uh! Panjang ceritanya. Menurut
pakar kaji selidik, jika usia sudah melebihi 30-an orang yang akan masuk
meminang, jika bukan suami orang, sudah tentulah duda. Mahu tak mahu kenalah
terima daripada mendapat status andartu terlajak tak larisnya. Takut tahu, jadi
anak dara tua. Jiran tetangga asyik bertanya bila nak makan nasi minyak.
Sedangkan setiap hari dia makan nasi minyak di kedai mamak. Emak dan ayah juga
membebel, asyik fikir pasal diri sendiri, tak nak berkahwin.
Akhirnya,
terjumpa seorang lelaki yang sedang merana kerana ditinggal isteri dan lima
anaknya. Terpaksalah dia kutip demi merealisasikan impian kedua orang tua dan
jiran tetangga. Kutip? Siapa kutip siapalah agaknya ya? Erk… ke berkahwin
kerana nak tutup mulut orang? Boleh sahajalah. Asalkan ada jodoh dan sampai
serunya. Bukan main pilih dan tangkap muat sahaja. Dia pilih juga.
Nama suaminya, Ikmal Hakimi. Sedapnya
nama, kan, kan? Kalau tengok pada nama tentulah orangnya kacak bergaya dan ada
karisma. Boleh tahanlah, tetapi taklah sekacak Aaron Aziz atau siapa ya nama
pelakon lelaki yang sedang popular di Malaysia? Cari sendiri, fikir sendirilah
ya.
Sudahlah berkahwin dengan duda anak lima, dia terus mendapat gelaran ibu segera. Nasib baik bukan dia yang kena jaga. Sesekali suaminya bawa juga anak-anaknya pulang ke rumah, hanya untuk makan-makan dan beramah mesra. Hmm… kenalah jadi seorang ‘ibu tiri’ yang baik semuanya. Dalam fikiran ramai orang, ibu tiri selalunya jahat dan suka mendera. Maaflah ya, dia bukan spesies seperti itu. Masih ada hati dan perasaan.
Anak-anak
suaminya masih kecil dan memerlukan perhatian. Tidak mungkin dia menjadi
manusia jahat yang hanya ada hati, tetapi tiada perasaan. Anak-anak suaminya
tiga perempuan dan dua lelaki. Berumur antara dua tahun sehingga lapan tahun.
Hati naluri seorang ibu, tidak perlu belajar menjadi ibu hanya ketika ada anak
sendiri. Anak-anak suaminya, anak-anak dia juga walaupun bukan lahir daripada
rahimnya.
Untuk mengelak dapat suami orang,
duda pun tidak mengapalah. Ada anak lima pun, dia tak kisah. Namun, kebahagiaan
yang baru menjelma bagaikan tercalar dengan sengaja, atau disengajakan. Terasa
hendak menjerit sahaja. Walaupun tidak dimadu atau bermadu, dalam diam tak diam
dia sudah ‘bermadu’ dengan bekas isteri suaminya. Huh! Susah juga berkahwin
dengan duda yang ada anak dan ada bekas isteri! Baik kahwin dengan duda yang
kematian isteri! Aleeya mengetap bibir. Rasa hendak dihempuk sahaja fail-fail
yang berselerakan di atas mejanya. Fikirannya sudahlah berserabut, ditambah
dengan masalah yang dicipta oleh manusia bernama bekas isteri.
Wajahnya langsung tidak melakar
bahagia. Muncung bibirnya boleh panjang sedepa kalau dibiarkan sehingga ke
petang. Sakitnya di sini, di hati yang paling dalam. Tidak mampu meluahkan
kerana yang terlibat adalah anak-anak suaminya juga. Oleh kerana geram yang
melampau, terbit rasa di hati, menyesal dia berkahwin. Biarlah jadi anak dara
tua sehingga ke mati. Aleeya mengeluh berat.
“Kau kenapa? Sejak dari tadi, asyik
mengeluh aje aku dengar. Tak penat ke?” tanya Rozita kawan sepejabat yang
selalu prihatin dengan dirinya.
“Tu... bibir kau, boleh sangkut
baju. Besar sangat ke masalah kau?” sambungnya lagi.
Aleeya memandang wajah rakannya itu
tidak berkelip. Macam mana dia nak mulakan ya? Terasa seperti mengumpat pula. Lebih-lebih
lagi hal rumah tangga sendiri. Buatnya Rozita canang satu pejabat, dia juga
yang malu besar nanti.
“Macam mana ya, aku nak cakap?”
Aleeya sedang berkira-kira.
“Kalau nak kongsi, aku sedia
mendengar. Kalau tak sudi, aku pun tak paksa.” Rozita mengangkat bahu.
Aleeya menyengih. Eh! Masih boleh
menyengih lagi. Ingatkan sudah hilang kegembiraan di hati.
“Hah, boleh pun menyengih,” usik
Rozita.
“Nantilah... aku cerita kat kau. Tapi,
bukan waktu sekarang. Sekarang ni, waktu kerja! Jangan culas, nanti kena
tindakan tataterbit!” Sempat lagi Aleeya bergurau. Hilang sedikit rasa marah di
hati.
“Yalah… bibir tu jangan biar muncung
lama-lama. Aku takut tak boleh nak leperkan semula, nahas kau,” gurau Rozita.
Aleeya mencebik. Rozita Yamin, ibu
kepada dua orang anak yang sedang meningkat remaja. Layak dipanggil kakak, baik
dan suka membantu orang lain. Pakaiannya ke pejabat selalu ikut peredaran
fesyen tetapi menutup auratlah. Pantang dengar ada jualan murah, pasti dia yang
muncul dahulu. Kalau nak tahu pasar raya mana yang buat jualan murah, bolehlah
tanya kepadanya. Nak tahu kedai yang murah boleh juga rujuk kepadanya. Tudungnya
pula beraneka ragam dan warna. Agak-agaknya almari pakaian dan tudungnya entah
besar mana. Aleeya tersenyum sendiri. Hilang seketika semua masalah yang bersarang
di dada.
Masalahnya tidak akan berkurang. Bukan
sahaja dia yang pening. Suaminya sendiri juga pening. Tangan asyik letak di
dahi semenjak dua menjak ini. Hendak membantu, dia sendiri tidak tahu macam
mana. Semuanya melibatkan wang ringgit. Boleh papa kedana jadinya. Hisy, tak
baik fikir begitu! Mungkin semua ini ujian semata-mata. Pasti ada jalan keluar
yang terbaik. Sekali lagi keluhan terlahir di bibirnya. Mencanak rasa mual di
hati dengan masalah yang timbul. Masalah orang ketiga. Entah apa bekas isteri
suaminya hendak sebenarnya? Masih berfikir dan mencari jawapannya. Diluah mati bapak, ditelan mati emak. Bidalan
orang tua-tua yang besar maknanya.
Tengah hari itu, nasi yang dijamah
bagaikan tidak boleh terhadam. Disumbat ke tekak terus ditelan tanpa dikunyah
seperti biasa. 40 kali kalau ikut sunahlah. Baik untuk penghadaman jika makanan
yang masuk ke mulut dikunyah sehingga lumat. Ini bukan soal malas mengunyah,
tetapi mengejar waktu rehat yang hanya sejam. Ditambah dengan masalah yang
melingkari jiwanya. Semakin kuranglah nafsu makannya, biarpun makanan yang dibeli
adalah kegemarannya juga.
Kedai yang mereka sedang duduk
bersantai ini, jarang didatangi oleh rakan sekerja yang lain. Masakannya
biasa-biasa sahaja. Harganya sahaja yang buat perut memulas tiba-tiba.
Mahallah. Rasa hendak ketawa melihat wajah Rozita ketika melihat harga makanan
yang telah dikira. Ikan keli masak sambal, ulam-ulaman, kuah kari dicurahkan
atas nasi, sayur taugeh goreng bersama air teh ais limau RM10.00. Biar betul! Ringan
sahaja mulut hendak bertanya. Ikan keli takkan seekor RM5.00? Kalau makan di
kedai Wak Karman, lauk seperti itu paling tidak RM7.00 sahaja. RM3.00 lagi
boleh buat minum petang. Uh! Wak Karman hanya kau di hati. Aleeya menyengih.
Menyesal tak sudah.
Dia
lagi mahal kerana ambil sotong dan udang yang memang kegemarannya. Kalau lauk
udang di kedai Wak Karman, biasalah RM10.00 sahajalah. Biasalah udang dan
sotong mahal. Ini tidak. RM15.00 terbang hanya makan tengah hari. Larilah bajet
kalau macam ini. Apasal pula main
kira-kira makanan bagai? Memang kepala sedang biul sekarang ini. Masalah kecil
dianggap bagaikan masalah negara. Tak apa, tak apa, dia harus bertenang dan
berdiri di belakang suaminya. Tidak akan mengalah dengan permainan janda
suaminya. Kuat Aleeya, kuat! Dia harus
mempertahankan rumah tangganya. Kebahagiaan milik dia dan suami.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan