Jumaat, 13 Mei 2016

ADUH PENING! - BAB 4



ALEEYA membeli semangkuk air batu campur dan sepinggan nasi ayam. Perutnya lapar, tetapi tekaknya rasa meloya hendak menjamah makanan yang terhidang. Sakitnya tu di sini. Hatinya bergetar hebat. Jiwanya terasa senak.
            “Akak ada masalah ya?” Lin sudah pun duduk menghadap Aleeya yang sedang menguis nasi ayam di dalam pinggan. Mentang-mentang makan nasi ayam, takkan makan pun macam ayam, main kuis-kuis. Lin mengeluh perlahan.
            “Ceritalah kat kami, kak... Kalau kami boleh bantu, kami bantulah. Kalau tak boleh, kami nasihatkan, sabar ajelah,” sampuk Ros.
            “Yalah, kak… kenapa suami akak ada dengan perempuan tu dan ada anak-anak lagi? Anak-anak suami akak tu, kan? Kak! Apa sebenarnya dah terjadi ni?”  Ina mula meninggikan suara.
            “Hmm… sebenarnya, suami akak datang bercuti dengan anak-anak dan bekas isterinya. Bekas isterinya tak benarkan akak ikut sekali. Itu yang akak datang sendiri secara senyap-senyap, tanpa pengetahuan suami akak,” cerita Aleeya tidak malu berterus terang lagi. Kalau dia cakap berbelit-belit nanti, banyak pula pertanyaan mereka.
            “Ooo, itu yang terhendap-hendap macam pencuri? Kenapa pula, janda suami akak tak benarkan akak ikut sekali?” Ros mengerut dahi. Macam pelik sahaja.
            “Kata Nadia, anak-anaknya tak suka akak ikut sekali. Tiada ketenangan,” luah Aleeya. Sebak terasa di hati. Mahu sahaja dia menangis di situ. Dia kan isteri kepada ayah anak-anak itu. Adakah mereka memang tidak suka dengannya?
            “Oh, nama perempuan tu Nadia? Janda suami akaklah ya?” Lin terangguk-angguk sendiri.
            “Jangan sebut ‘janda’lah. Gelaran itu juga akan kita hadapi juga satu hari nanti. Itu pun kalau kau orang sempat bernikahlah.” Aleeya mencebik.
            “Ops! Hina diri sendiri ya, kak?” Ros tersenyum.
            “Tau tak apa!” Aleeya mengeluh perlahan. Nasi yang terhidang masih tidak terusik.
            “Kak, tak lapar ke? Kalau tak nak nasi tu, biar saya habiskan,” kata Ina dengan wajah manis manja.
            “Uh! Beli sendirilah… lapar ni tau!” Aleeya menarik nasi ayam itu rapat dengannya.
            “Kedekutnya!” Ina mencebik.
            “Alah… gurau pun tak boleh ke? Akak yang ajak kau orang ke sini, tentulah akak yang belanja. Pergilah pesan,” arah Aleeya sambil tersenyum.          
            “Kami pun gurau juga.” Ina menyengih. Dia melangkah ke gerai berhampiran. Memesan makanan kegemaran serta minuman untuk mereka bertiga.
            “Jadi… apa cadangan akak? Takkan nak biarkan si Nadia tu bermadu kasih dengan suami akak? Anak tu alasan aje, kak!” Lin memandang wajah Aleeya yang terpancar kegelisahannya.
            “Hisy, mana ada bermadu kasihlah. Dia temankan anak-anak dia aje.” Aleeya kurang senang dengan perkataan ‘memadu kasih’. Suaminya bukan insan seperti itu. Tidak mungkin menyulam kembali kasih yang terputus.
            “Mana akak tahu? Takkan suami akak nak cakap? Itu sebab mereka tak benarkan akak ikut sekali. Mana boleh macam tu, kak. Akak punya hak untuk ikut suami akak ke mana sahaja tau. Anak-anak tak boleh diguna pakai sebagai penghalang,” kata Ina pula.
            Aduh! Batu api betul mereka ini. Kalau ikutkan hati boleh meletup jadinya.
            “Hoi! Kau orang janganlah jadi batu api! Kang akak serang mereka berdua, lain pula jadinya. Manalah tahu apa yang kau orang fikirkan tak berlaku. Kan malu!” Aleeya mengetap bibir, sebenarnya terkesan juga di hatinya.
            “Ops! Maaf, kak!” Ina menyengih. Nasi sudah berada di dalam mulutnya.
            “Sopanlah sikit anak dara oi! Kalau putera idaman tengok, terus batal nak berkenalan.,” gurau Aleeya.
            Ina menyengih, cepat-cepat menelan nasi yang ada di dalam mulut.
            “Kita main tarik rambutlah, kak! Baru brutal. Dah bercerai, buatlah cara dah bercerai. Mana boleh keluar seperti keluarga pula?” cadang Lin tidak menghiraukan nasihat Aleeya tadi.
            “Tak kuasa akak! Orang perempuan kena jaga tatasusilanya. Jangan bagi malu kaum Hawa. Kita lawan secara senyaplah. Akak nak tengok, Nadia tu nak buat apa dengan suami akak? Bukan dia tak boleh bercuti sendirian dengan anak-anak dia sahaja. Sibuk nak ajak suami akak. Suami akak pula menggedik nak ikut!” Aleeya menghentak meja makan. Bergema seketika keadaan di situ.
            “Kak! Sabar!” nasihat Ros sambil mengusap lengan Aleeya.
            “Pasal sabarlah ni akak perhatikan aje, Ros.” Sebak menghadirkan diri. Rasa hendak menangis sahaja ketika itu. Hati siapa yang tidak sakit melihat kemesraan suaminya dan Nadia. Seolah-olah mereka masih lagi suami isteri. Harap mereka tidak lupa yang mereka sudah pun bercerai.
            “Jom, kak... lepas makan kita perhati mereka lagi. Kalau sampai ke tahap yang tidak sepatutnya, kita serang!” cadang Ros sambil menggenggam penumbuk.
            “Jaga tatasusila kita sebagai perempuan. Marah biar di dalam hati. Geram biar meletup di jiwa,” pesan Aleeya. Memanglah dia marah, dia sakit hati. Tetapi, dia tidak akan menyerang Nadia. Selagi perempuan itu masih menjaga adabnya sebagai perempuan yang bukan lagi isteri kepada suaminya, selagi itu dia akan bersabar. Tetapi kalau sudah jauh perginya, dia tidak akan berdiam diri.
            “Jom... kita tegur mereka, kak!” ajak Lin dengan muka selamba.
            “Alah… buat-buatlah akak tak sengaja datang sini,” sambung Ina sambil mengerdipkan mata.
            “Hisy, tak payahlah! Buat malu aje. Akak kan tahu suami akak ada di sini.” Aleeya menolak dengan baik. Tidak mahu suaminya menyangka dia mengintip pula.
            “Yalah, kak… jadilah manusia yang baik.” Ina mencebik lagi.
            “Dah makan, lepas tu kita bergembira!” arah Aleeya. Dalam hati hanya ALLAH yang tahu.
            “Leya? Leya!” Ikmal menghampiri.
            Keempat-empat mereka terus memandang Ikmal yang sudah pun berada di hadapan mereka.
            Aleeya terkedu. Dia tidak mahu menyergah suaminya, sekarang dia yang kena sergah. Aduh! Apa nak buat ni? Aleeya memandang wajah teman-temannya.
            “Hei, Abang Ikhmal? Macam mana boleh ada di sini? Tak sangka sungguh!” Lin menyengih.
            “Kau orang buat apa di sini? Dah lama sampai?” tanya Ikmal sambil duduk di sebelah Aleeya yang sudah kaku tidak bergerak.
            “Kami ajak Kak Leya berjalan ke sini. Dia kata abang pergi bercuti dengan anak-anak. Padanlah waktu kami ajak ke mari tadi, bukan main menolaknya,” sambung Ina.
            “Ya ke? Bukan nak skodeng abang ke tadi?” Ikmal memandang Aleeya di sebelah yang masih tidak berkutik.
            “Skodeng? Hisy… taklah. Kalau kami tahu abang ada di sini, kami takkan bercuti di sini, kan Lin, Ina?” sampuk Ros pula.
            “Ha’ahlah!” jawab Ina dan Lin serentak. Mereka menyengih.
            “Awak kenapa Leya? Senyap aje?” Ikmal menguis lengan Aleeya yang masih membatukan diri.
            “Tak ada apa, terkejut tengok awak.” Aleeya tersenyum manis sedangkan hatinya berdegup kencang.
            “Ikmal! Kenapa lama sangat?” Nadia mengerutkan dahi. Melihat bekas suaminya duduk bersantai bersama empat orang perempuan membuatkan hatinya cuak. Siapa pula ini? Dia mendekati. Anak-anak mengekori di belakang.
            “Maaflah, terjumpa Leya dan kawan-kawan dia. Ina, Lin, Ros... ini bekas isteri abang. Itu anak-anak abang.” Ikmal memperkenalkan Nadia dan anak-anaknya kepada rakan-rakan sekerja Aleeya.
            “Aleeya ada di sini? Skodeng kami ke?” Nadia mencebik. Dia memandang sinis ke arah isteri bekas suaminya.
            “Skodeng? Tak kuasa saya!” kata Aleeya sedikit kasar. Dia memandang tajam wajah Nadia.
            “Ya ke? Tiba-tiba aje ada kat sini?” sindir Nadia.
            “Hisy… mana kami ada skodeng. Kami tak tahu pun puan dan tuan ada di sini,” kata Lin, tidak mahu berlaku pertikaman lidah antara kedua-dua perempuan itu. Nanti kecoh jadinya.
            “Yalah.” Ina mengangguk laju.
            “Tak kisahlah. Jom, kita makan dan minum dulu. Nanti kita atur agenda lain,” ajak Ikmal.
            “Saya nak bawa anak-anak balik! Mereka tak suka isteri awak ada di sini, takkan awak tak faham?” Nadia memandang tajam wajah Ikmal yang duduk santai di sebelah Aleeya.
            “Takkan kot? Kasihanlah kat budak-budak.” Ikmal terkejut.
            “Along, angah, betul ke tak suka Mak Cik Leya ada bersama?” tanya Ikmal pada anak-anaknya yang masih berdiri di sebelah Nadia.
            “Tak payah tanya mereka! Jom, along!” Nadia menarik tangan anak-anaknya untuk beredar dari situ.
            “Abang pergilah dengan mereka. Leya nak bersantai dengan kawan-kawan Leyalah. Tak syoklah ganggu abang bercuti dengan anak-anak dan bekas isteri abang tu.” Aleeya memandang sahaja langkah Nadia dan anak-anaknya beredar dari situ. Macam orang merajuk sahaja. Selalunya merajuk pada yang sayang. Takkanlah Nadia sayangkan suaminya lagi? Uh! Malas nak fikir.
            “Tak apa ke?” Ikmal memandang wajah Aleeya mencari kepastian.
            “Tak apa… pergilah bergembira!” Aleeya menguntumkan senyuman manis buat suami tersayang. Dalam hati usah dikira. Meletup-letup bunyinya. Untung dalam hati, kalau terlihat sehingga ke luar agak-agak terpancar percikan bara api yang membakar dalam diam. Wajah teman-teman yang memerhati langsung tidak dipandang. Dia rela menunduk memandang nasi ayam yang sudah tidak bernyawa itu.
            “Betul ni?” Sekali lagi Ikmal bertanya.
            “Ya,” jawab Aleeya tegas.
            “Okey, jumpa di rumah nanti ya?” Ikmal berlalu pergi dengan muka manis.
            Aleeya mengetap bibir, memandang sepi langkah suaminya yang berlari-lari anak mengejar anak-anak dan bekas isterinya. Nasib baik tidak kena marah atau kantoi sebab datang di situ. Nasib baik ada kawan-kawan yang pandai berlakon.
            “Kak, takkan nak biarkan aje?” Lin menepuk tangan Aleeya yang sudah macam patung tidak bergerak-gerak.
            “Biarkan ajelah!” laung Aleeya melepaskan rasa marah di hati.
            “Jom, sejukkan hati yang panas!” Nasi dipinggan dijamah sehingga habis. Air di dalam gelas disedut sehingga habis. Selesai! Jangan membazir. Duit sudah dilabur. Masa untuk bergembira. Kalau suami dia pandai sangat nak bergembira dengan Nadia dan kononnya dengan anak-anak. Dia juga pandai menggembirakan hati sendiri.
            Terbuntang mata ketiga-tiga rakannya memandang. Lajunya makan, fikir mereka serentak.
            “Hah! Apa lagi? Jomlah!” ajak Aleeya sudah mula bingkas bangun dan berjalan keluar dari taman selera itu.
            “Sah, sah dah angin satu badan!” Lin menarik tangan kedua orang temannya mengikut langkah Aleeya. Pelampung yang disewa sejak tadi mula diguna pakai.
            Aleeya menggembirakan hatinya sendiri. Terasa pedih dan perit di hati. Kalau ikutkan hati, mahu sahaja dia mengajak suaminya balik. Nampak sangat Nadia sengaja mahu menghabiskan masa bersama suaminya. Anak-anak hanya alasan. Dia mengetap bibir. Pelampung yang menampung tubuhnya diketuk berkali-kali. Geram! jeritnya dalam hati.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan