ALEEYA
membeli semangkuk air batu campur dan sepinggan nasi ayam. Perutnya lapar,
tetapi tekaknya rasa meloya hendak menjamah makanan yang terhidang. Sakitnya tu
di sini. Hatinya bergetar hebat. Jiwanya terasa senak.
“Akak ada masalah ya?” Lin sudah pun
duduk menghadap Aleeya yang sedang menguis nasi ayam di dalam pinggan. Mentang-mentang
makan nasi ayam, takkan makan pun macam ayam, main kuis-kuis. Lin mengeluh
perlahan.
“Ceritalah kat kami, kak... Kalau
kami boleh bantu, kami bantulah. Kalau tak boleh, kami nasihatkan, sabar
ajelah,” sampuk Ros.
“Yalah, kak… kenapa suami akak ada
dengan perempuan tu dan ada anak-anak lagi? Anak-anak suami akak tu, kan? Kak!
Apa sebenarnya dah terjadi ni?” Ina mula
meninggikan suara.
“Hmm… sebenarnya, suami akak datang
bercuti dengan anak-anak dan bekas isterinya. Bekas isterinya tak benarkan akak
ikut sekali. Itu yang akak datang sendiri secara senyap-senyap, tanpa
pengetahuan suami akak,” cerita Aleeya tidak malu berterus terang lagi. Kalau
dia cakap berbelit-belit nanti, banyak pula pertanyaan mereka.
“Ooo, itu yang terhendap-hendap macam
pencuri? Kenapa pula, janda suami akak tak benarkan akak ikut sekali?” Ros
mengerut dahi. Macam pelik sahaja.
“Kata Nadia, anak-anaknya tak suka
akak ikut sekali. Tiada ketenangan,” luah Aleeya. Sebak terasa di hati. Mahu
sahaja dia menangis di situ. Dia kan isteri kepada ayah anak-anak itu. Adakah
mereka memang tidak suka dengannya?
“Oh, nama perempuan tu Nadia? Janda
suami akaklah ya?” Lin terangguk-angguk sendiri.
“Jangan sebut ‘janda’lah. Gelaran
itu juga akan kita hadapi juga satu hari nanti. Itu pun kalau kau orang sempat
bernikahlah.” Aleeya mencebik.
“Ops! Hina diri sendiri ya, kak?” Ros
tersenyum.
“Tau tak apa!” Aleeya mengeluh
perlahan. Nasi yang terhidang masih tidak terusik.
“Kak, tak lapar ke? Kalau tak nak
nasi tu, biar saya habiskan,” kata Ina dengan wajah manis manja.
“Uh! Beli sendirilah… lapar ni tau!”
Aleeya menarik nasi ayam itu rapat dengannya.
“Kedekutnya!” Ina mencebik.
“Alah… gurau pun tak boleh ke? Akak
yang ajak kau orang ke sini, tentulah akak yang belanja. Pergilah pesan,” arah
Aleeya sambil tersenyum.
“Kami pun gurau juga.” Ina
menyengih. Dia melangkah ke gerai berhampiran. Memesan makanan kegemaran serta
minuman untuk mereka bertiga.
“Jadi… apa cadangan akak? Takkan nak
biarkan si Nadia tu bermadu kasih dengan suami akak? Anak tu alasan aje, kak!” Lin
memandang wajah Aleeya yang terpancar kegelisahannya.
“Hisy, mana ada bermadu kasihlah. Dia
temankan anak-anak dia aje.” Aleeya kurang senang dengan perkataan ‘memadu
kasih’. Suaminya bukan insan seperti itu. Tidak mungkin menyulam kembali kasih
yang terputus.
“Mana akak tahu? Takkan suami akak
nak cakap? Itu sebab mereka tak benarkan akak ikut sekali. Mana boleh macam tu,
kak. Akak punya hak untuk ikut suami akak ke mana sahaja tau. Anak-anak tak
boleh diguna pakai sebagai penghalang,” kata Ina pula.
Aduh! Batu api betul mereka ini. Kalau
ikutkan hati boleh meletup jadinya.
“Hoi! Kau orang janganlah jadi batu
api! Kang akak serang mereka berdua, lain pula jadinya. Manalah tahu apa yang
kau orang fikirkan tak berlaku. Kan malu!” Aleeya mengetap bibir, sebenarnya
terkesan juga di hatinya.
“Ops! Maaf, kak!” Ina menyengih. Nasi
sudah berada di dalam mulutnya.
“Sopanlah sikit anak dara oi! Kalau
putera idaman tengok, terus batal nak berkenalan.,” gurau Aleeya.
Ina menyengih, cepat-cepat menelan
nasi yang ada di dalam mulut.
“Kita main tarik rambutlah, kak!
Baru brutal. Dah bercerai, buatlah cara dah bercerai. Mana boleh keluar seperti
keluarga pula?” cadang Lin tidak menghiraukan nasihat Aleeya tadi.
“Tak kuasa akak! Orang perempuan
kena jaga tatasusilanya. Jangan bagi malu kaum Hawa. Kita lawan secara
senyaplah. Akak nak tengok, Nadia tu nak buat apa dengan suami akak? Bukan dia
tak boleh bercuti sendirian dengan anak-anak dia sahaja. Sibuk nak ajak suami akak.
Suami akak pula menggedik nak ikut!” Aleeya menghentak meja makan. Bergema
seketika keadaan di situ.
“Kak! Sabar!” nasihat Ros sambil
mengusap lengan Aleeya.
“Pasal sabarlah ni akak perhatikan
aje, Ros.” Sebak menghadirkan diri. Rasa hendak menangis sahaja ketika itu.
Hati siapa yang tidak sakit melihat kemesraan suaminya dan Nadia. Seolah-olah
mereka masih lagi suami isteri. Harap mereka tidak lupa yang mereka sudah pun
bercerai.
“Jom, kak... lepas makan kita
perhati mereka lagi. Kalau sampai ke tahap yang tidak sepatutnya, kita serang!”
cadang Ros sambil menggenggam penumbuk.
“Jaga tatasusila kita sebagai
perempuan. Marah biar di dalam hati. Geram biar meletup di jiwa,” pesan Aleeya.
Memanglah dia marah, dia sakit hati. Tetapi, dia tidak akan menyerang Nadia.
Selagi perempuan itu masih menjaga adabnya sebagai perempuan yang bukan lagi
isteri kepada suaminya, selagi itu dia akan bersabar. Tetapi kalau sudah jauh
perginya, dia tidak akan berdiam diri.
“Jom... kita tegur mereka, kak!” ajak
Lin dengan muka selamba.
“Alah… buat-buatlah akak tak sengaja
datang sini,” sambung Ina sambil mengerdipkan mata.
“Hisy, tak payahlah! Buat malu aje. Akak
kan tahu suami akak ada di sini.” Aleeya menolak dengan baik. Tidak mahu
suaminya menyangka dia mengintip pula.
“Yalah, kak… jadilah manusia yang
baik.” Ina mencebik lagi.
“Dah makan, lepas tu kita
bergembira!” arah Aleeya. Dalam hati hanya ALLAH yang tahu.
“Leya? Leya!” Ikmal menghampiri.
Keempat-empat mereka terus memandang
Ikmal yang sudah pun berada di hadapan mereka.
Aleeya terkedu. Dia tidak mahu
menyergah suaminya, sekarang dia yang kena sergah. Aduh! Apa nak buat ni? Aleeya
memandang wajah teman-temannya.
“Hei, Abang Ikhmal? Macam mana boleh
ada di sini? Tak sangka sungguh!” Lin menyengih.
“Kau orang buat apa di sini? Dah
lama sampai?” tanya Ikmal sambil duduk di sebelah Aleeya yang sudah kaku tidak
bergerak.
“Kami ajak Kak Leya berjalan ke
sini. Dia kata abang pergi bercuti dengan anak-anak. Padanlah waktu kami ajak
ke mari tadi, bukan main menolaknya,” sambung Ina.
“Ya ke? Bukan nak skodeng abang ke tadi?”
Ikmal memandang Aleeya di sebelah yang masih tidak berkutik.
“Skodeng? Hisy… taklah. Kalau kami
tahu abang ada di sini, kami takkan bercuti di sini, kan Lin, Ina?” sampuk Ros
pula.
“Ha’ahlah!” jawab Ina dan Lin
serentak. Mereka menyengih.
“Awak kenapa Leya? Senyap aje?” Ikmal
menguis lengan Aleeya yang masih membatukan diri.
“Tak ada apa, terkejut tengok awak.”
Aleeya tersenyum manis sedangkan hatinya berdegup kencang.
“Ikmal! Kenapa lama sangat?” Nadia
mengerutkan dahi. Melihat bekas suaminya duduk bersantai bersama empat orang
perempuan membuatkan hatinya cuak. Siapa pula ini? Dia mendekati. Anak-anak
mengekori di belakang.
“Maaflah, terjumpa Leya dan
kawan-kawan dia. Ina, Lin, Ros... ini bekas isteri abang. Itu anak-anak abang.”
Ikmal memperkenalkan Nadia dan anak-anaknya kepada rakan-rakan sekerja Aleeya.
“Aleeya ada di sini? Skodeng kami
ke?” Nadia mencebik. Dia memandang sinis ke arah isteri bekas suaminya.
“Skodeng? Tak kuasa saya!” kata
Aleeya sedikit kasar. Dia memandang tajam wajah Nadia.
“Ya ke? Tiba-tiba aje ada kat sini?”
sindir Nadia.
“Hisy… mana kami ada skodeng. Kami
tak tahu pun puan dan tuan ada di sini,” kata Lin, tidak mahu berlaku
pertikaman lidah antara kedua-dua perempuan itu. Nanti kecoh jadinya.
“Yalah.” Ina mengangguk laju.
“Tak kisahlah. Jom, kita makan dan
minum dulu. Nanti kita atur agenda lain,” ajak Ikmal.
“Saya nak bawa anak-anak balik!
Mereka tak suka isteri awak ada di sini, takkan awak tak faham?” Nadia
memandang tajam wajah Ikmal yang duduk santai di sebelah Aleeya.
“Takkan kot? Kasihanlah kat
budak-budak.” Ikmal terkejut.
“Along, angah, betul ke tak suka Mak
Cik Leya ada bersama?” tanya Ikmal pada anak-anaknya yang masih berdiri di sebelah
Nadia.
“Tak payah tanya mereka! Jom,
along!” Nadia menarik tangan anak-anaknya untuk beredar dari situ.
“Abang pergilah dengan mereka. Leya
nak bersantai dengan kawan-kawan Leyalah. Tak syoklah ganggu abang bercuti
dengan anak-anak dan bekas isteri abang tu.” Aleeya memandang sahaja langkah
Nadia dan anak-anaknya beredar dari situ. Macam orang merajuk sahaja. Selalunya
merajuk pada yang sayang. Takkanlah Nadia sayangkan suaminya lagi? Uh! Malas
nak fikir.
“Tak apa ke?” Ikmal memandang wajah
Aleeya mencari kepastian.
“Tak apa… pergilah bergembira!” Aleeya
menguntumkan senyuman manis buat suami tersayang. Dalam hati usah dikira. Meletup-letup
bunyinya. Untung dalam hati, kalau terlihat sehingga ke luar agak-agak
terpancar percikan bara api yang membakar dalam diam. Wajah teman-teman yang
memerhati langsung tidak dipandang. Dia rela menunduk memandang nasi ayam yang
sudah tidak bernyawa itu.
“Betul ni?” Sekali lagi Ikmal
bertanya.
“Ya,” jawab Aleeya tegas.
“Okey, jumpa di rumah nanti ya?” Ikmal
berlalu pergi dengan muka manis.
Aleeya mengetap bibir, memandang
sepi langkah suaminya yang berlari-lari anak mengejar anak-anak dan bekas
isterinya. Nasib baik tidak kena marah atau kantoi sebab datang di situ. Nasib
baik ada kawan-kawan yang pandai berlakon.
“Kak, takkan nak biarkan aje?” Lin
menepuk tangan Aleeya yang sudah macam patung tidak bergerak-gerak.
“Biarkan ajelah!” laung Aleeya
melepaskan rasa marah di hati.
“Jom, sejukkan hati yang panas!”
Nasi dipinggan dijamah sehingga habis. Air di dalam gelas disedut sehingga
habis. Selesai! Jangan membazir. Duit sudah dilabur. Masa untuk bergembira. Kalau
suami dia pandai sangat nak bergembira dengan Nadia dan kononnya dengan
anak-anak. Dia juga pandai menggembirakan hati sendiri.
Terbuntang mata ketiga-tiga rakannya
memandang. Lajunya makan, fikir mereka serentak.
“Hah! Apa lagi? Jomlah!” ajak Aleeya
sudah mula bingkas bangun dan berjalan keluar dari taman selera itu.
“Sah, sah dah angin satu badan!” Lin
menarik tangan kedua orang temannya mengikut langkah Aleeya. Pelampung yang
disewa sejak tadi mula diguna pakai.
Aleeya menggembirakan hatinya
sendiri. Terasa pedih dan perit di hati. Kalau ikutkan hati, mahu sahaja dia
mengajak suaminya balik. Nampak sangat Nadia sengaja mahu menghabiskan masa
bersama suaminya. Anak-anak hanya alasan. Dia mengetap bibir. Pelampung yang
menampung tubuhnya diketuk berkali-kali. Geram! jeritnya dalam hati.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan