Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Jumaat, 27 Mei 2016

PELAYARAN KASIH - BAB 5, Nukilan Rohani Deraman




K
artina selesai mengerjakan solat isyak ketika mendengar namanya dipanggil. Dia segera melucutkan  telekong. Kemudian segera pula bergegas menuju ke bilik sebelah.
“Ada apa bang?” tanya Kartina separuh panik.
“Dinda sedang buat apa? Kenapa hilang di mata kanda?” Ahmad Adham menyengih sebagai mengiringi gurauannya.
Kartina menarik nafas lega. Dia mula ketawa kecil.
“Dinda tadi sedang bertemu kekasih. Dinda sedang melepas rindu.”
“Oh...  maafkan kanda kerana mengganggu adinda berkhalwat dengan kekasih hati. Dinda memang kekasih yang setia.”
“Bersedialah. Dinda akan persiapkan tubuh badan kanda sekarang.”

“Untuk apa?”
“Agar kanda juga dapat berkhalwat dengan DIA. Agar kanda dapat rasakan kemanisan kasih-Nya. Agar kanda terlepas dari siksa rindu pada-Nya.”
Ahmad Adham senyum. Dia mendepang kedua-dua tangannya. Dengan lenggok manja, Kartina mendekati dan merebahkan dirinya dalam pelukan Ahmad Adham. Sungguh manis. Sungguh mesra. 
“Dinda memang isteri yang hebat. Sepanjang menjadi suami dinda, tidak pernah sekalipun kanda rasa kosong tanpa cinta. Dalam hati kanda, tidak pernah kering dengan rindu pada dinda,” bisik Ahmad Adham di telinga Kartina. Babak asmara mereka bermula, indah.
Kartina melepaskan dirinya dari pelukan Ahmad Adham. Dia menarik tangan lelaki itu dan mengucupnya.
“Dinda juga begitu. Sejak diri ini menjadi isteri kanda, belum sekali dinda rasa bosan dengan hidup ini. Kasih sayang kanda telah menyuburkan jiwa raga adinda. Terima kasih kerana tidak jemu-jemu mengasihi adinda,”
Ahmad Adham tersenyum senang. Dia mengucup dahi Kartina, tulus dan penuh kasih sayang. Dalam hatinya berbuai bangga. Dia rasa sungguh beruntung menjadi lelaki.
“Abang, dah lambat ni. Melambat-lambatkan solat itu tidak baik.” Kartina segera melepaskan dirinya dari pelukan Ahmad Adham. Dia menepuk-nepuk lengan Ahmad Adham dengan senyum. Seperti biasa dia menukarkan pakaian Ahmad Adham dan membersihkan semua kekotoran serta menukarkan lampin pakai buangnya.
“Sampai bila abang nak menyusahkan Tina macam ni?” tanya Ahmad Adham sambil memegang tangan Kartina dan merenung ke dalam matanya.

“Menyusahkan apa pula. Ini tugas Tina. Ini tugas seorang isteri. Tina rasa beruntung kerana diberi peluang melakukan semua ini. Abang dah berikan Tina peluang mendapat pahala ALLAH.”
“Tina, terima kasih.” Ahmad Adham mula sebak. Dia tahu Kartina ikhlas dengan kata-katanya. Namun dia rasa belas melihat susah payah isterinya itu. Kadang-kadang ketika Kartina tidur, dia akan meneliti wajah isterinya yang keletihan.
“Tak payah nak buat drama ya bang. Abang tak puas hati dengan Tina, abang mengadu dengan DIA sebentar lagi. Atau esok abang mengadu dengan anak kesayangan abang tu,” kata Kartina berpura-pura marah.
“Kenapa esok?” Ahmad Adham terpinga-pinga hairan.
“Abang lupa?”
Ahmad Adham merenung wajah Kartina. Dia cuba mengingati sesuatu. Namun, dia tidak ingat apa-apa. Langsung terlupa akan esok yang dikatakan oleh Kartina itu.
“Esok Muhayat balik. Esok abang akan jumpa buah hati abang. Esok, abang akan lupa segala-galanya!” Kartina ketawa perlahan dan memperli.
Ahmad Adham menepuk dahi. Dia beristighfar.
“Abang rasa abang muda lagi. Tapi, kenapa abang dah lupa? Sedangkan ini saat yang paling abang tunggu. Dah tiga tahun tak jumpa dia. Kenapa abang lupa? Abang ni dah tua ya?” Ahmad Adham mendongak lagi dan merenung Kartina.

“Abang belum tua. Abang masih bayi. Tengok, abang masih pakai lampin,” balas Kartina sambil menunjukkan lampin yang baru ditukar.
Ahmad Adham mengulum senyum. Namun fikirannya masih berkerawang dengan bayangan wajah Muhayat yang segak.
“Mari ambil wuduk bang,” kata Kartina. Seperti biasa Kartina akan menadah sebuah besen dan menuangkan air. Dia akan berwuduk. Selesai semuanya, Kartina menghulurkan kopiah dan membetulkan bajunya.
“Abang solatlah dulu. Tina ke dapur sekejap. Nak siapkan susu panas kegemaran abang.”
Ahmad Adham pejamkan mata. Dia melafaz niat dan mengangkat takbir. Empat rakaat dilakukan sambil duduk. Dia sudah tidak sasa. Kegagahan yang ALLAH berikan sudah ditarik balik melalui satu kemalangan.
Dia terjatuh di bilik air. Dia lumpuh sementara. Kata doktor, ia hanya kecacatan sementara. Masih ada peluang untuk dia berdiri dan berjalan seperti biasa kalau dia berusaha.
Apapun,  dia tetap bersyukur kerana dia masih diberi peluang untuk duduk.
Selesai solat, dia berwirid panjang. Selepas wirid, seperti biasa dia berdoa untuk kesejahteraan diri dan keluarganya. Dia rasa tenang dan bersyukur dengan apa yang ALLAH berikan kepadanya selama ini. Kekayaaan dan kebahagiaan hidup bersama Kartina dan anak-anaknya.
“Kekandaku, ini dinda bawakan kekanda segelas susu panas sebagai penutup malam. Mari, kita minum bersama.” Kartina bersuara selepas Ahmad Adham mengaminkan doa.

Dia tersenyum dan rasa senang dengan layanan Kartina yang tidak pernah berubah sejak muda sampai kini.
“Terima kasih adinda. Adinda sungguh budiman. Tidak ada sesiapapun di dunia ini yang mampu menandingi kebaikan budi adinda,” ucap Ahmad Adham dengan tulus.
Kartina ketawa manja. Kemudian gelas susu disuakan ke mulut Ahmad Adham.
“Berjuta kali kanda memuji adinda. Apakah kekanda tidak jemu?” tanya Kartina sambil tangannya mengesat susu yang tersisa di bibir Ahmad Adham.
“Seperti adinda yang tak pernah jemu mengasihi kanda, begitulah kanda tidak akan jemu memuji adinda. Kanda tulus. Kanda tidak berpura-pura. Memang adinda layak dipuji. Kalau ada pingat untuk isteri yang setia dan pengasih, adindalah yang paling layak,”
Sekali lagi Kartina mengekek.
“Sudahlah. Adinda tahu kekanda jujur. Hari sudah malam. Tidurlah dulu kanda.”
“Tapi kanda belum puas bercekengkerama dengan dinda. Ada banyak kata cinta yang kanda nak luahkan. Jangan padamkan lampu dulu. Mari dengar bisikan cinta kanda ini.” Ahmad Adham menarik tangan Kartina dan meletakkan di dadanya.  
“Tapi kanda jangan lupa pesan tuan doktor bahawa selepas makan ubat, kanda perlu segera beradu agar kesihatan kanda tidak terjejas. Esok saja kita sambung kata-kata cinta kanda tu ya!” kata Kartina dengan senyuman. Tangannya segera menarik selimut dan menutup kaki Ahmad Adham.

Kemudian dia memeluk Ahmad Adham, erat dan penuh kasih sayang seperti pelukan seorang ibu.
Ahmad Adham rasa aman dengan pelukan itu. Jiwanya rasa segar. Dia membalas pelukan itu dengan sebuah kucupan di dahi dan pipi.
“Terima kasih dinda. Cinta dinda menyegarkan jiwa kanda,” bisik Ahmad Adham ke telinga Kartina.
“Abang tidurlah dulu. Esok kita sambung lagi bangsawan cinta kita ni.”
“Tina nak ke mana?”
“Abang lupa, esok Muhayat balik. Tina nak masak makanan kegemarannya. Dah sepuluh kali dia mengirim mesej suruh masak.”
“Laksa Johor?”
Kartina kerdipkan mata dengan lirikan senyum. Kemudian dia berlalu pergi dengan lengguk manja. Ahmad Adham berbaring. Bayangan lirikan mata Kartina masih menikam hatinya dengan rasa kasih yang tetap bersemarak. Memang sejak awal bertemu hingga kini, kasihnya tidak pernah surut kepada isterinya itu.
Kartina isteri yang sangat setia dan tabah. Sudah bermacam dugaan dilalui bersama. Dia sudah merasai kasih sayang Kartina sejak muda hingga kini. Senyum dan air mata wanita itu sudah sebati dengan jiwanya. Dia tidak pernah putus mengucap syukur kerana ALLAH menetapkan takdir yang baik untuknya.
Pertemuan jodoh dengan Kartina memang amat tidak dijangka. Ketika itu dia sudah menduda hampir dua tahun selepas Norkiah meninggalkannya untuk mengikut lelaki lain. Dia merana. Dia kecewa. Namun, dia gagahi semangat untuk meneruskan hidup yang sepi.

Kartina pula bekerja di kantin syarikatnya. Setiap hari dia makan dan minum di kantin itu. Masakan yang paling disukainya ialah laksa Johor. Yang memasaknya ialah Kartina. Laksa Johor masakan Kartina memang sangat sedap dan tiada bandingannya.
Lama kelamaan hatinya mula terpikat kepada Kartina.
Dia tidak mahu menunggu lama. Dia melihat ada cahaya kasih dalam mata Kartina. Tanpa menunggu lama, dia terus melamar.
“Encik, rasanya kita tak sesuai. Saya ni janda anak satu. Encik carilah orang lain. Saya tak nak nanti encik menyesal.” Itu jawapan awal Kartina.
“Janda bukan manusia? Saya sukakan awak dan saya berjanji untuk mengasihi anak awak juga.” Dia terus memujuk dan berharap.
Lama juga dia menunggu. Alasan Kartina dirasakan amat tidak logik, namun dia begitu menghormati keputusan Kartina. Dia tidak mahu memaksa.
“Sebenarnya saya serik untuk berkahwin lagi. Selepas apa yang berlaku, saya rasa amat kecewa dengan perangai lelaki. Sebelum dapat, semuanya berjanji manis. Biarlah saya terus hidup dengan anak saya.”
“Tapi, anak itu perlukan kasih seorang ayah. Awak tak kesian dengan dia?”
“Belum tahu kalau saya kahwin, anak saya mendapat kasih itu. Saya bimbang kalau kasih dan cinta lelaki hanya kepada saya, bukan kepada anak saya,” kata Kartina dengan curiga.

“Saya tak nak paksa awak dan berjanji yang bukan-bukan. Kalau awak percayakan saya, saya akan laksanakan tanggungjawab saya dengan penuh kasih sayang. Kalau sekarang awak menolak saya, tak apa. Saya tetap akan tunggu hingga awak sudi.”
Memang dia sanggup menunggu. Namun mungkin ALLAH sudah tetapkan jodohnya memang dengan Kartina, akhirnya Kartina menerima lamarannya dan mereka berkahwin. Muhayat ketika itu berusia enam bulan. Baru pandai merangkak. Baru pandai ketawa.
“Kita pindah ke Ipoh. Abang nak Tina lupakan semua yang ada di sini. Kita mulakan hidup baru dengan suasana baru.”
“Kerja abang?”
“Abang akan minta tukar ke cawangan di sana. Muhayat mesti membesar dalam suasana yang baik. Abang tak nak dia rasa rendah diri.”
Kartina akur. Sebenarnya dia bukan sahaja ingin Kartina melupakan kisah sedihnya. Dia juga ingin melupakan apa yang berlaku padanya. Norkiah telah bahagia dengan lelaki pilihannya. Dia tidak mahu ada mendengar apa-apa lagi mengenai wanita itu.
Selepas setahun, lahirlah Siti Marsyila. Diikuti Ahmad Mursyid tiga tahun kemudian. Kehidupan mereka bertambah bahagia. Setiap hari cintanya kepada Kartina juga semakin mendalam.
“Abang cintakan Tina dengan sepenuh jiwa abang. Harap Tina tak tinggalkan abang. Kalau Tina tak ada di sisi abang, entah apa akan jadi pada abang.” Itu yang sering diminta dari Kartina. Dia amat bimbang pada perpisahan. Dia takut untuk hidup tanpa Kartina.






Tiada ulasan:

Catat Ulasan