A
|
khirnya dengan berat hati, Muhayat menyalami tangan
Kamaruzaman. Walaupun ada sedikit rasa cuak dan enggan dalam hatinya, namun dia
gagahi juga. Demi Kartina, orang yang melahirkannya. Demi Ahmad Adham, orang
yang membesarkannya.
Kamaruzaman pula tidak mampu bersuara sepatah
pun. Wajah segak Muhayat adalah gambaran dirinya semasa muda. Dia terpaku.
Dalam masa yang sama, dia masih dihanyutkan rasa bersalah dan rasa bimbang yang
amat sangat.
Mereka duduk berhadap-hadap. Kartina dan Ahmad
Adham sengaja meninggalkan mereka berdua di ruang tamu itu.
“Apa khabar anakku?” tanya Kamaruzaman selepas
lama membisu melayan rasa. Sebagai orang tua yang telah lama makan garam,
keengganan Muhayat dapat dirasakannya.
“Baik.” Muhayat menjawab sepatah. Riak
wajahnya adalah riak orang yang sangat enggan dan tidak sudi.
“Abah minta maaf.” Kamaruzaman kehilangan
ayat. Hanya setakat itu dia mampu menyusun kata.
Selebihnya dia ikut diam dan membiarkan suasana sepi
tanpa kata. Dia dapat merasakan Muhayat tidak menyukainya. Dan dia tidak ada
pengalaman memujuk seorang anak!***
MALAM itu tidur Ahmad
Adham semakin lena selepas berjaya mempertemukan Muhayat dengan ayah
kandungnya. Dia tersenyum puas. Dia rasa tenang. Amanah yang ALLAH berikan kepadanya telah ditunaikan
dengan baik.
Muhayat membesar dan menjadi dewasa yang
berilmu. Dengan ijazah yang dibawa balik itu, dia bakal menerajui perniagaan
keluarga.
“Abang harap hubungan Hayat dan ayahnya akan
terjalin dengan baik,” kata Ahmad Adham ketika Kartina sedang memicit kakinya.
“Tina juga harap begitu. Tapi...”
“Kenapa Tina?”
“Tina tak nampak cahaya gembira di wajah
Hayat. Dia seperti sedang marah dan geram. Dia nampak sangat bencikan Abang
Zaman,” jawab Kartina.
“Mungkin itu perasaan Tina sahaja. Kita doakan
yang terbaik untuk mereka berdua.”
“Entahlah bang. Tina yang kandungkan dia. Tina
yang lahirkan dia. Rasanya Tina mampu membaca isi hatinya seperti terkilat ikan
di air.”
Ahmad Adham termenung. Dia tidak mengharapkan
Muhayat berdendam dengan Kamaruzaman kerana Kamaruzaman sendiri tidak pernah
tahu akan kewujudan Muhayat ke dunia ini. Tetapi, dia juga faham kalau hati
Muhayat tidak mampu menerima kehadiran Kamaruzaman dalam hidupnya.
Inilah pertama kali dia melihat rupa ayahnya.
Mesti fikirannya keliru dan celaru.
“Kita serahkan saja kepada ALLAH. Tanggungjawab dan
hutang kita dah selesai. Hayat perlukan masa,” kata Ahmad Adham cuba memujuk
kebimbangan Kartina.
Selepas pertemuan pertama itu, Kamaruzaman menjadi
resan dan gelisah tidak menentu. Tiba-tiba fikirannya yang tenang menjadi
bercelaru.
Secara perlahan-lahan dia menjadi seorang
perindu. Saban malam dia duduk melihat kerlipan bintang di langit. Saban malam
pula dia mengharapkan bulan mengambang di langit yang cerah. Awan gemawan yang
memutih, diharap tidak menutupi cahaya rembulan. Itu yang ada dalam hatinya.
“Abah, kalau abah rasa abah sangat rindukan
Muhayat, abah pergilah tinggal dengan dia,” kata Firdaus pada satu malam. Sudah
lama dia melihat Kamaruzaman resah. Setiap malam dia mengintai abahnya yang
asyik termenung merenung langit.
“Fir, kenapa Fir cakap macam tu?” Kamaruzaman
menoleh. Wajah Firdaus ditatap lama. Ada
ketulusan dalam sinar mata Firdaus ketika itu.
Namun dia merasakan ketulusan itu tidak diperlukan ketika itu.
“Sebab Fir tak nak abah sedih dan muram macam
ni. Fir nak abah hidup dengan gembira.”
Hati Kamaruzaman diulit sebak dan terharu. Semakin lama, kasih Firdaus kepadanya semakin
jelas. Sehingga dia sukar mengatakan bahawa Firdaus itu bukan anak kandungnya.
“Abah gembira di sini. Abah ada Fir dan Zurie.
Abah ada cucu-cucu abah.”
“Tapi abah tak ada Muhayat. Abah jangan berpura-pura
dengan Fir. Fir tak kisah kalau abah nak tinggal di sana dengan dia,” balas
Firdaus lagi.
Kamaruzaman diam. Benarkah dia rindukan Muhayat?
“Fir, Muhayat sendiri tak rindukan abah. Dia tak gembira pun
bertemu abah. Pertemuan kami berlaku kerana terpaksa. Abah tak salahkan dia.
Begitu lama kami terpisah. Ia seperti sebuah mimpi ngeri,” kata Kamaruzaman
perlahan.
“Sebab itu Fir rasa abah kena ke sana. Abah kena dekatkan
diri dengannya. Kemesraan mungkin akan muncul
selepas abah dan dia tinggal sebumbung. Pergilah abah… Fir ikhlas.”
Kamaruzaman mengeluh berat. Bolehlah dia
tinggal sebumbung dengan Muhayat sedangkan dalam hati Muhayat tidak pernah ada
titik kasih untuknya.
“Nantilah abah fikirkan.”
“Abah nak fikirkan apa lagi? Abah tak boleh biarkan Muhayat terus
keliru. Inilah masanya abah tambat hati dia.”
Ungkapan kata-kata Firdaus itu didengarnya sangat indah. Namun
Kamaruzaman rasa ia tidak seindah kenyataan yang bakal ditempuhinya.
“Fir, kita kena berfikir lebih jauh dari itu. Muhayat tinggal bersama
keluarganya dengan bahagia. Abah tak nak dianggap cuba merosakkan hubungan yang
sekian lama terjalin. Lagipun, itukan rumah Ahmad Adham. Mana boleh abah pergi
tinggal serumah dengan bekas isteri abah. Lainlah kalau mereka yang menjemput.”
Firdaus diam berfikir. Memang apa yang dikatakan oleh Kamaruzaman
itu benar. Mungkin akan menjadi satu fitnah pula nanti.
***
***
AHMAD ADHAM semakin bertambah sihat. Dia semakin rajin bangun sendiri dan
melakukan latihan-latihan ringan selain latihan fisioterapi yang telah
dijadualkan oleh doktor. Suasana bahagia di sekitarnya, dengan kasih sayang
yang melimpah ruah dari anak isterinya membuatkan dia lebih bersemangat. Dia
ingin segera pulih seperti biasa.
“Syid nampak abah dah semakin sihat,” kata Mursyid ketika membantu
Ahmad Adham bertatih di halaman rumah.
“Abah nak cepat berjalan dan bergerak sendiri. Abah tak nak
susahkan ibu lagi. Dah lama ibu jaga abah. Kalau boleh abah nak beri dia
pelepasan tugas,” balas Ahmad Adham pula.
“Pelepasan tugas?” Mursyid terpinga-pinga keliru.
Ahmad Adham tidak terus menjawab. Sebaliknya dia tersenyum-senyum.
Kemungkinan dia akan pulih seperti sedia
kala adalah amat besar. Itu kata doktor. Teori kedoktoran telah mengesahkan
bahawa dia hanya mengalami lumpuh sementara. Dia sendiri perlu berjuang untuk
diri sendiri. Dia kena kuat melawan
penyakitnya.
Dia terbayangkan hidup masa lalu ketika kakinya mampu melangkah sendiri. Dia
dapat melakukan semua aktiviti tanpa
menyusahkan Kartina. Mereka berdua dapat menghabiskan masa berjalan-jalan dan
bersiar bersama.
“Kenapa abang senyum-senyum ni?” Kartina yang muncul dengan
sedulang minuman sempat menjeling ke arah Ahmad Adham.
“Abang terkenangkan Puteri Lindungan Bulan. Bila dia tak ada,
dunia jadi gelap. Bila dia muncul alam cerah ceria,” jawab Ahmad Adham sambil
mengenyitkan mata kepada Kartina.
Kartina ketawa perlahan. Dia faham maksud
kata-kata Ahmad Adham itu.
“Syid suka tengok abah dan ibu. Sejak dulu suka
bercengkerama seperti cerita bangsawan. Agaknya dulu masa muda, abah dan ibu ni
pelakon bangsawan ke?” tanya Mursyid dengan wajah girang.
Kata-kata Mursyid membuatkan Ahmad Adham
ketawa berdekah-dekah.
“Jemput santap kekandaku Raja Siputar Alam.
Adinda dah siapkan juadah kegemaran kekanda, jemput-jemput udang dengan kopi O
panas,” kata Kartina pula dengan gayanya sekali. Mursyid ketawa lagi. Ahmad
Adham juga. Berderai-derai ketawa mereka.
“Cerianya suasana di sini. Apa juga yang
diketawakan itu hingga dari dalam bilik Hayat dengar suara ketawa abah dan
Mursyid,” kata Muhayat terjongol di muka pintu.
“Oh kekandaku Raja Muhayat Al-Hikayat, ke
marilah kanda kita bersantapan jemput-jemput udang dengan kopi O,” kata Mursyid
sambil bangun dan mempersilakan dengan penuh hormat takzim.
Muhayat terlopong. Dia meneliti wajah
ketiga-tiga mereka dengan wajah keliru.
“Apa lagi yang anakanda tunggu di situ. Ke
marilah. Mari duduk di sebelah ayahanda. Mari nikmati juadah buatan bondamu
Sang Ratu Puteri Lindungan Bulan,” kata Ahmad Adham sambil menghulurkan tangan
ke arah Muhayat.
Muhayat masih kebingungan. Setapak pun dia
tidak bergerak dari situ. Langkahnya tiba-tiba berat dan tidak terangkat dari
tempat dia berpijak.
“Tidak sudikah anakanda merasa juadah buatan
bonda ini?” tanya Kartina, masih tersenyum-senyum.
“Anakandaku Muhayat, cepatlah ke mari!” sergah
Ahmad Adham. Muhayat melangkah mendekat. Namun dia masih bingung. Kartina
menuangkan kopi O ke dalam cawan dan menghulurkan kepada Ahmad Adham, Muhayat
dan Mursyid.
“Silakan santap, aduhai kekanda dan anakandaku
berdua. Janganlah berlengah lagi kelak sejuk juadah ini,” kata Kartina.
“Ibu, dahlah. Apa ni? Pening Hayat nak
fikirkan apa yang terjadi di sini..” kata Muhayat. Ketawa mereka pecah
berderai. Wajah bingung Muhayat akhirnya menjadi bahan ketawa mereka.
“Abah belum jawab soalan Syid,” kata Mursyid
selepas ketawanya usai.
“Mengenai apa?”
“Pelepasan tugas?”
Ahmad Adham menoleh kepada Kartina. Wajah itu
direnungnya. Hatinya bercambah kasih. Jiwanya berantai sayang. Kemudian rasa
belas pula menyelinap seluruh nubari. Sejak beberapa bulan dia terlantar,
Kartina bertugas siang dan malam. Tidurnya tidak menentu. Rehatnya selalu
dicatu.
“Kalau abah dah baik, biarlah ibu bercuti dari
menjalankan tugas-tugas di rumah ini. Biarlah ibu duduk goyang kaki. Biar ibu
bersenang lenang melakukan perkara-perkara yang disukainya tanpa dihalang oleh
kerja-kerja rumah,” kata Ahmad Adham. Matanya masih tidak lepas dari merenung
Kartina.
“Habis, abah nak bibik buat semua kerja
termasuk memandikan abah?” Mursyid tersenyum-senyum.
“Abah akan buat sendiri. Abah akan masak untuk
ibu. Abah akan mandikan ibu. Abah akan siapkan pakaian ibu.”
“Ish! Jangan merepeklah bang,” sanggah Kartina pula. Namun bibirnya
menguntum senyuman.
“Abang tak merepek. Itu yang abang nak buat kalau abang dah baik
nanti. Dah lama Tina buat semua ni. Sekali ni biar abang pula
yang buat,” balas Ahmad Adham.
“Habis, Tina nak buat apa?”
“Tina duduk goyang kaki. Tina jadi permaisuri
yang memerintah negeri.” Ahmad Adham berkata dengan wajah serius. Kartina ikut
menatap mata Ahmad Adham. Mereka bertentang mata. Mereka saling berbalas rasa.
“Bila mata bertentang mata, cinta melata ke
seluruh jiwa,” kata Mursyid bersajak.
“Cinta kanda hanya untuk adinda. Kekanda pula
jantung hati adinda. Dinda ibarat bulan purnama yang menerangi ketika malam
kelam. Kalau adinda menjadi bunga, biarlah kanda menjadi tangkainya. Jikalau
adinda menjadi cincin biarlah kanda menjadi jarinya.” Tiba-tiba Muhayat menyambung dengan ketawa.
“Ha! Ha! Ha! Pandai juga Abang Hayat berseloka
ya!” Mursyid ikut ketawa.
Ketika itu Ahmad Adham dan Kartina ikut tersenyum.
Alangkah manisnya cinta. Walaupun
sudah sekian lama mereka hidup bersama namun sekalipun cinta itu tidak pernah
surut dari hati masing-masing.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan