IKMAL
memandang surat daripada peguam Nadia. Tuntutan lagi? Apa lagi yang kurang? Duit
bulanan dia sudah sediakan. Duit kereta dan rumah dia yang bayar. Upah pengasuh pun sama. Takkan duit tuisyen
dan duit insuran pula dia kena bayar? Ini minta duit pembantu rumah pula. Aduh,
pening! Ingat dia tauke balak atau tauke stesen minyak agaknya. Ini sudah
lebih! Kalau masuk mahkamah, silap hari bulan dia kena bayar semua.
Ikmal mencampak surat itu di atas
meja. Dia menelefon Nadia. Perkara itu perlu diselesaikan di luar mahkamah. Sudahlah
duit peguam pun dia yang kena bayar. Amboi, amboi! Bukan main lagi Nadia ya? Dia perlu bertemu bekas isterinya itu.
Perkara ini perlu diselesaikan. Dia tidak mahu menanggung semua keperluan
anak-anak. Nadia pun kena bertanggungjawab juga. Bukan dia seorang, anak-anak
itu, anak-anak mereka bersama.
DI
SEBUAH restoran, mereka bertemu. Berbincang dari hati ke hati. Biar jelas dan
terang. Tidak habis-habis Nadia menyusahkannya. Tanpa bersalam atau kata-kata
manis, Ikmal melepaskan peluru yang sudah diisi penuh sebentar tadi. Wajah
manis Nadia langsung tidak memikat hatinya. Buat hatinya bertambah sakit.
“Ini surat apa?” tanya Ikmal tanpa
sempat Nadia memesan makanan atau minuman.
Nadia mengambil surat itu. Hmm… dah
sampai rupanya, bisik hati kecilnya.
“Kenapa? Ada masalah?” Nadia memeluk
tubuh dan menyandar di kerusi. Restoran
makanan segera itu biasanya lengang waktu tengah hari, tetapi akan ramai
pelanggannya bila tiba waktu malam.
“Memanglah ada masalah. Tak cukup
lagi ke apa yang dah saya bagi pada anak-anak? Awak jangan tamak sangat!”
“Mana ada tamak? Kalau awak tak nak
saya minta macam-macam, kahwin semula dengan saya. Selesai masalah awak,” terang
Nadia.
“Awak ni! Berapa kali saya nak bagitahu!”
Ikmal mengetap bibir.
“Apa susah sangat awak nak terima
saya? Kita pernah berkahwin dan berkongsi katil, Ikmal! Awak yang keraskan hati
awak, tak nak terima saya. Anak-anak perlukan kita berdua. Saya tak sanggup
tengok along menangis kerana diketawakan sebab dia tak ada ayah,” adu Nadia.
“Memanglah kita pernah berkahwin,
pernah bercinta, pernah sayang awak, tapi itu dulu! Sekarang tak lagi,
tolonglah faham!” Ikmal mendengus kasar.
“Awak yang tak nak faham saya!”
Nadia mengeluh. Dadanya sebak.
“Jangan nak buat drama air mata pulak
kat sini,” larang Ikmal.
“Boleh tak awak layan saya macam
dulu? Kita keluar bersama dengan anak-anak, makan pun bersama. Beri saya tempoh
tiga bulan. Lepas tu, saya takkan ganggu awak! Itu syarat saya. Tiga bulan
saja,” pinta Nadia.
“Kalau awak setuju, semua tuntutan
tu saya takkan teruskan. Kalau awak tak setuju, saya akan teruskan prosedur
mahkamah tu. Dan saya akan terus ganggu awak sehinggalah awak kahwin dengan
saya,” sambung Nadia lagi.
“Hisy! Mana boleh macam tu?” Ikmal
mengeluh. Macam-macamlah! Memang menyusahkan betul. Kenapalah dia ada bekas
isteri macam ini. Sudah bercerai, sudahlah! Buat apa dikenang-kenang?
“Saya tak paksa awak beri jawapan
sekarang. Awak fikir-fikirkanlah. Satu lagi… jika awak bersama saya dan
anak-anak, isteri awak tu tetap tak boleh ikut! Tiga bulan awak dengan saya,
dia tak boleh tahu sebab apa kita keluar bersama. Itu perjanjian saya. Kalau
dia tahu, bermakna perjanjian kita berakhir dan awak kena bayar segala tuntutan
saya setiap bulan. Ada berani?” Nadia menyengih.
“Mana boleh Aleeya tak tahu? Kami
suami isteri, tiada rahsia antara kami!”
Ikmal menolak. Dia tidak pernah berahsia dengan Aleeya. Dia ingin
berkongsi apa sahaja dengan isterinya itu. Nanti apa pula kata Aleeya bila
tengok dia sering keluar dengan Nadia. Tiga bulan walaupun nampak pendek, tetap
terasa lama baginya.
“Terpulang!” Nadia tidak mahu
berganjak dengan keputusannya.
“Uh!” Ikmal mendengus kasar. Bukan
sikit tuntutan yang diminta oleh Nadia. Boleh papa kedana dia. Habislah semua
gajinya kalau ikut kehendak Nadia. Dia bukan ahli perniagaan seperti AC Mizal, pendapatan
banyak. Bolehlah bekas isterinya minta macam-macam. Dia hanya seorang pengurus
syarikat.
“Macam mana?” tanya Nadia.
“Hei, kata nak beri saya masa.
Takkan nak jawapan sekarang?” Ikmal menjeling. Tidak sabar-sabar!
“Okey, okey...” Nadia mengangkat
tangan. Dia menyengih.
Ikmal menjeling tajam. Tengok Nadia
yang siap dengan pendakap gigi sudah macam jerung pula. Gigi bukan jongang pun,
tetapi kenapa perlu pakai pendakap gigi? Apa yang nak dirata dan disamakan? Pelik
betul orang perempuan jika bercakap tentang kecantikan diri. Serba tak kena
sedangkan semuanya sudah cukup sempurna. Seolah-olah tidak menghargai ciptaan
ILAHI. Tiada makhluk-NYA yang sempurna. Hanya manusia yang tidak tahu
menghargainya.
“Awak tak nak makan ke?” tanya Nadia.
Dia perasan Ikmal tidak memesan apa-apa makanan dan minuman.
“Hilang selera saya tengok muka
awak,” sindir Ikmal.
“Dulu wajah sayalah yang buat awak
berselera.”
“Itu dulu, sekarang tak lagi!”
“Kalau bercakap tu tak sakitkan hati
saya, boleh tak?” Nadia menjegilkan mata. Sakit hatinya mendengar sindiran
Ikmal. Waktu mereka bercinta, siang malam bergayut di telefon, siang malam
kalau boleh nak berjumpa. Kalau hati sudah benci, semuanya buruk sahaja. Uh!
Dasar lelaki.
“Siapa suruh awak kenang kisah dulu?
Ada saya suruh ke?”
“Satu lagi, selama tiga bulan tu,
awak tak boleh layan saya sambil lewa. Awak kena hormati saya, layan saya
sebaik mungkin. Selagi saya tak berpuas hati, selagi tulah tiga bulan akan
terus berjalan. Tiga bulan yang serba sempurna, faham!”
“Hei, saya tak setuju lagi tau! Jangan
nak mengajar dan tambah syarat pula. Tak ada maknanya.”
“Ikut suka awaklah. Kalau tak,
beribu-ribu duit awak masuk akaun saya.” Nadia ketawa perlahan. Bukan susah nak
jadi senang. Tidak perlu bekerja pun. Tiap-tiap bulan duit masuk tabungnya. Anak-anak
makan banyak mana sangat. Kepuasan untuk diri sendiri. Padan muka Ikmal dan
Aleeya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan