Jumaat, 3 Jun 2016

PELAYARAN KASIH - BAB 11 Karya Rohani Deraman.



A
hmad Adham semakin gembira dan bahagia. Selain kesihatannya yang semakin baik, dia gembira kerana Muhayat sudah pulang. Mursyid pula sedang bercuti sementara menunggu masuk ke semester akhir. Manakala Marsyila pula sedang menjalani  kursus di Hospital Ipoh. Siang dia di hospital, malam dia sudah ada di rumah.
Kartina yang memang rajin memasak, akan menjadikan menĂº masakannya sebagai pengikat kasih mereka. Macam-macam yang dimasak setiap hari.       
“Pergilah makan angin abah. Masa ni masa yang sesuai untuk abah berjalan-jalan untuk melapangkan dada. Bawa ibu pergi jauh dari sini,” kata Muhayat ketika mereka duduk santai di ruang tamu.

“Benar tu abah. Sejak abah sakit, lama ibu bertugas tanpa cuti. Sekali ni bawa ibu pergi bercuti, jauh sikit. Paris ke. Sydney ke atau pergi ke Turki,” tambah Marsyila pula. Tangannya ligat memicit kaki Kartina.
“Tak payahlah. Ibu lebih suka berlibur di rumah sahaja. Buat apa nak penat-penatkan badan pergi jauh-jauh,” balas Kartina pula.
“Ibu, sekali-sekala sahaja. Syila nak tengok ibu pergi bercuti dengan abah. Pergi berdua. Macam orang berbulan madu, gitu.” Marsyila mengulangi usulnya sambil  tersenyum-senyum.
“Kami berbulan madu setiap hari,” kata Ahmad Adham.
“Atau, abah bawa ibu pergi umrah.” Mursyid pula mengesyorkan.
“Kami baru sahaja beberapa bulan balik dari umrah, Syid. Cukuplah untuk tahun ini,” kata Kartina.
“Hari tu ibu yang bawa abah. Kali ini, biar abah pula yang bawa ibu,” celah Marsyila. Ahmad Adham ketawa kecil. Namun tidak lama. Tiba-tiba dia teringatkan sesuatu.
“Tina, jom kita pergi bercuti ke Sdyney. Dulu Tina kata Tina suka tengok kanggaroo. Dulu abang selalu sibuk hingga tak sempat nak bawa Tina ke sana. Sekarang abang rasa dah sampai masanya abang bawa Tina tengok kanggaroo. Atau kalau Tina nak makan daging kanggaroo, abang suruh mereka masak kari untuk Tina,” kata Ahmad Adham sambil merenung wajah Kartina.
“Abang, sekarang Tina bukannya mengidam. Dulu tu Tina mengidam!” balas Kartina dengan ketawa. Dia tidak sangka Ahmad Adham masih ingat semua itu. Ketika itu dia sedang mengandungkan anak bongsunya Mursyid.
“Ibu mengidam nak makan kari kanggaroo! Masa ibu mengandungkan siapa?” tanya Marsyila dengan mata teruja.

“Mursyid. Ibu tengok dokumentari mengenai Australia. Ada banyak kanggaroo sedang melompat-lompat. Ketika itu entah kenapa teringin sangat. Aduhai… nasib baik Mursyid lahir selamat dan tak meleleh air liur,” jawab Kartina, masih ketawa perlahan.
“Kalau macam tu, baik ibu dan abah pergilah ke Sdyney. Kalau tak dapat makan pun, dapat tengok  kangaroo tu melompat-lompat. Sekurang-kurangnya tercapai juga hajat ibu.” Mursyid berkata senang.
“Bila abah nak pergi? Hayat boleh booking tiket penerbangan dan hotel,” kata Muhayat.
Ahmad Adham termenung dan dia sedang berkira-kira.
“Tina, jom kita ajak Zaman sekali. Mungkin percutian ini lebih seronok kalau dia ada,” kata Ahmad Adham, dengan jujur. Wajahnya begitu ceria menampakkan hatinya yang gembira.
Namun wajah Kartina berubah serta merta. Nama itu seperti awan yang berarak menutup sinar mentari. Bukan hanya Kartina, wajah Muhayat juga ikut berubah. Mereka berpandangan. Adakah Ahmad Adham sedang berkias dan menyindir?
“Abah, buat apa nak ajak dia. Abah dan ibu sajalah yang pergi,” kata Muhayat dengan wajah kurang setuju.
“Apa maksud abang sebenarnya?” tanya Kartina.
“Abah, ini urusan keluarga kita. Tak payahlah nak sebut nama orang lain,” sambung Muhayat. Dia semakin kurang senang.
Ahmad Adham hanya tersenyum. Dia kelihatan amat tenang. Dia begitu selamba berdepan dengan beberapa pasang mata yang sedang merenungnya. Langsung tidak ada riak apa-apa.

“Apa muslihat abang sebenarnya ni?” tanya Kartina lagi. Dia juga ikut cuak dengan sikap tenang dan selamba suaminya.
“Muslihat apa?”
“Kenapa abang suka nak babitkan dia dalam keluarga kita?”
“Tina, dia bukan orang lain. Dia juga sebahagian dari keluarga ini. Kalau dia ayah kepada Hayat, maknanya dia adalah ahli keluarga kita,” jawab Ahmad Adham. Dia menarik tangan Kartina dan merenung ke dalam matanya. Dia ingin Kartina tahu kejujuran hatinya ketika itu.
Kartina terdiam. Dia ingin menyangkal kata-kata itu. Namun seketika dia segera tersedar bahawa Kamaruzaman adalah ayah kepada Muhayat. Dan Muhayat pula ada di situ. Dia tidak mahu  Muhayat akan terasa hati. Dan dia tidak mahu menjadi ketam yang mengajar anak berjalan betul. Mereka dalam proses memujuk Muhayat mengasihi ayahnya.
“Hayat, nanti buat tempahan untuk tiga orang ya!” suruh Ahmad Adham tanpa berlengah. Melihat Kartina diam, dia tahu Kartina setuju.
“Tapi abah … ”
“Tak ada tapinya. Nanti malam, abah telefon Abah Zaman kau. Dia mesti suka sebab dia pun tak ada buat apa-apa di rumah. Dalam usia tua macam ni, amat bagus kalau kita keluar dari rumah dan ambil angin di luar,” kata Ahmad Adham memotong cakap Muhayat.
Muhayat terdiam. Dia tahu suaranya tidak mampu mengubah keputusan Ahmad Adham. Dia semakin tidak faham dan keliru dengan sikap abahnya. Dia rasa semakin pelik dengan kebaikan  yang dirasakan tidak kena pada tempatnya itu.


Malam itu, selepas solat isyak Ahmad Adham menelefon Kamaruzaman untuk memaklumkan hal itu. Dan ternyata, pelawaan Ahmad Adham itu diterima dengan hati yang senang oleh Kamaruzaman.
“Sebenarnya saya pun nak telefon awak, Adham. Ada hal yang saya nak cakap,” kata Kamaruzaman ketika menerima panggilan Ahmad Adham.
“Ya ke? Apa dia? Cakaplah.”
“Tak apalah. Nanti bila jumpa saya beritahu. Tak mustahak sangat pun hal itu,” jawab Kamaruzaman dengan senyuman.
“Awak bersiap-siaplah. Nanti saya beritahu tarikhnya. Mungkin dua minggu dari sekarang,” kata Ahmad Adham sebelum menutup bicara.
Kamaruzaman  segera memaklumkan hal itu kepada Firdaus dan Zurie. Kepada mereka diluahkan rasa gembiranya itu. Entah kenapa, dia rasa begitu senang hati mendapat pelawaan itu. Sama gembira ketika mendapat peluang mengerjakan umrah beberapa bulan lepas.
“Bila nak pergi abah?” tanya Firdaus. Dia ikut senang hati melihat wajah Kamaruzaman yang ceria ketika menyampaikan hal itu.
“Dia kata dua minggu lagi. Dia nak tempah tiket penerbangan. Tapi abah belum beri kata putus lagi.”
“Kenapa?”
“Abah nak bincang dengan Fir dan Zurie dulu. Bolehkah abah pergi Fir, Zurie?” tanya Kamaruzaman sambil meneliti wajah kedua-duanya.

“Apalah hak kami nak halang abah. Mungkin ini satu cara abah boleh sentiasa dekat dengan Muhayat. Ingat cakap saya kelmarin. Abah kena berusaha mendekatinya. Biar jurang itu semakin kecil. Biar kasihnya bercambah,” jawab Firdaus, memeluk bahu Kamaruzaman dengan kasih sayang.
“Tapi, dia tak ikut kami. Kami pergi bertiga sahaja,” kata Kamaruzaman, perlahan. Firdaus dan Zurie berpandangan. Mereka mula cuak dan keliru. Apakah makna percutian itu? Namun mereka tidak berani untuk bertanya lagi.
“Fir, bolehkah abah pergi?”
Firdaus angguk perlahan. Zurie juga ikut angguk. Dia hanya mengikut apa sahaja yang Firdaus buat.
“Apa yang Fir fikirkan?” Kamaruzaman mula perasan akan perubahan wajah Firdaus.
“Fir tak tahu apa maksud mereka mempelawa abah sekali. Sedangkan Muhayat tak ikut. kalau ini agenda mempereratkan kasih, kenapa hanya bertiga. Fir bimbang kalau mereka ada agenda lain.”
“Abah pun tak tahu, tapi abah yakin mereka tak berniat jahat pada abah. Ahmad Adham tu orang berbudi, Fir. Dia bukan orang yang tak baik.”
“Kenapa abah yakin sangat? Kita tak tahu hati orang.”
“Fir, abah ni dah tua. Gerak hati abah selalu benar. Abah tak nampak ada perkara sumbang dalam hubungan kami,” kata Kamaruzaman, penuh yakin.
“Tapi, abah tu bekas suami isterinya. Belum ada seorang lelaki yang melayan lelaki yang pernah jadi suami kepada isterinya sebaik ini, abah.”


Kamaruzaman tidak mahu bertingkah kata mengenai kejujuran Ahmad Adham. Tetapi hatinya tetap mengatakan bahawa lelaki itu memang berhati malaikat. Raut wajahnya yang penuh dengan nur, amat menyenangkan mata siapa yang memandangnya.
“Abah, Fir minta maaf kalau Fir terkasar bahasa,” kata Firdaus sambil menarik tangan Kamaruzaman dan menciumnya.
“Fir, abah tahu Fir sayangkan abah. Abah juga sayangkan Fir. Tak pernah abah anggap Fir ni ...”
“Abah, kita dah janji tak akan sebut hal ini lagi,” potong Firdaus dengan cepat. Kamaruzaman menarik tubuh Firdaus. Dia memeluknya erat. Pelukan itu tetap panas dan sama seperti masa Firdaus masih  kanak-kanak dulu.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan