ALEEYA
menyediakan sarapan seperti biasa. Dia memerhati jam di dinding. Tidak keluar
ke suaminya hari ini? Selalunya hujung minggu tidak pernah ada di rumah. Matanya
silih berganti merenung jam dan Ikmal yang duduk menghadap makanan yang ringkas
dan yang penting sedap. Nasi goreng kampung, telur mata kerbau dan hirisan
timun serta salad. Yummy, sampai tengah hari tidak perlu makan.
Sudah
seminggu dia mengintip suaminya. Seminggu jugalah segala nota diambil
dicatatkan. Nanti mudahlah untuk dia bersoal jawab dengan suaminya. Nasib baik
Lin, Ros dan Ina silih berganti membantunya mengikut Ikmal dan Nadia. Uh! Sudah
macam suami isteri. Nadia pula berani memeluk lengan suaminya. Hei, dia tu
bekas isterilah! Mana boleh buat macam tu? Berdosa! Haram! Tak tahu ke? bebel
Aleeya dalam hati.
“Kenapa asyik tengok jam? Ada janji
temu ke?” tanya Ikmal. Matanya tepat memandang Aleeya yang duduk menghadapnya.
“Tak adalah… saja tengok kot-kot
habis bateri,” jawab Aleeya. Dia menyudu nasi goreng ke mulutnya. Mengunyahnya
perlahan-lahan sambil matanya memandang ke arah lain.
“Baru minggu lepas abang ganti,” jelas
Ikmal.
“Erk… abang tak keluar ke?”
“Kejap lagi… abang nak bawa
anak-anak ke Putrajaya… ada pameran bunga, kan?” Ikmal mengerling.
“Ha’ah ada. Tapi, orang ramai
sangat. Leya pun tak pergi lagi. Ingat nak pergi hari ni, tapi malaslah. Hujung
minggu lagi ramai orang. Mungkin pergi pada hari bekerjalah kot.”
“Okeylah tu. Leya tak apa ke tinggal
seorang kat rumah? Abang dah janji dengan anak-anak, nanti kalau tak tunaikan,
marah pulak dia orang,” ujar Ikmal selamba.
Usai
makan, dia terus melangkah keluar setelah berpamitan dengan Aleeya.
Tahu marah anaknya sahaja. Marah
isteri di rumah ini macam mana? bisik hati kecil Aleeya sambil menenyeh nasi. Memang
menyakitkan. Boleh pula itu buat muka selamba. Langsung tidak ada rasa bersalah.
Aleeya menghenyak kerusi di sebelah. Geram berapi-api di hati. Marah memuncak
di jiwa. Memang tidak makan saman betullah anak-anak suaminya. Kenapa mereka
tidak suka dengan dia? Teruk sangatkah dia? Ini ibu tiri yang baik tahu! Tak
kenal maka tak cintalah. Cubalah kenal dirinya dulu, bebel Aleeya dalam hati.
Aleeya mengemas meja makan. Dia
harus ke pameran bunga itu pula, hari ini! Muktamad. Ramai pun ramailah. Tidak
dapat tempat letak kereta, dia letak jauh sikit dan naik bas. Apa punya susah. Dia
bukan hendak heret anak, hanya bawa diri sendiri. Nak pakai baju apa pula kali
ini? Sudah macam-macam baju dipakainya agar tidak dikesan oleh Ikmal dan Nadia.
Kalau mereka perasan, habislah dia. Dia
tidak mahu Ikmal fikir yang bukan-bukan tentang dirinya. Perasaan cemburu
menjalar di hati.
“Kak oi! Bukaklah pintu, dari tadi
kami bagi salam, langsung tak jawab. Asyik mengelamun aje,” laung Lin dari
pintu utama yang tidak berkunci. Cuma jeriji besi yang berkunci.
“Laa… dah datang ke?” Aleeya
menyengih. Dia langsung tidak mendengar orang memberi salam. Bahaya termenung
seorang diri ini.
“Dah lama kami kat sini, kak. Haus
dan laparlah balik! Akak masak apa pagi ni?” Lin terus mendekati meja makan. Dia membuka tudung saji.
Ina dan Ros sudah duduk di kerusi.
Aleeya pula sudah ke dapur dan
kembali dengan beberapa biji pinggan dan cawan.
“Cakaplah tak makan lagi, jangan
buat ayat poyo pulak!” Aleeya menyenduk nasi goreng dan mempelawa
kawan-kawannya bersarapan bersama.
“Cik abang dah keluar ke?” Ros memandang
ke tingkat atas.
“Kalau kereta tak ada tu, tak adalah
orangnya.” Aleeya mencebik.
“Ops! Maaf! Jom, makan dulu, lepas
tu kita keluar. Kali ini, suami akak ke mana?” Ina menyudu nasi goreng dan
makan dengan penuh selera.
“Kita ke Putrajaya!” laung Aleeya
riang.
“Hah? Ke mana, kak? Malasnya nak ke
sana, jalan sesaklah. Ni mesti nak pergi pesta bunga,” teka Lin.
“Yalah tu…” sampuk Ina. Nasi dalam
pinggan sudah habis. Dia menambah lagi. Sedap pula nasi goreng ini. Paling
sedap, sebab percuma.
“Hari minggu ni, kak... tentu orang
ramai. Kenapa tak suruh suami akak bawa anak-anaknya ke tempat lain? Tengah
kita skodeng, tiba-tiba ada pula muka-muka yang kenal kita. Jangan lupalah kita
kerja kat kawasan persekitaran situlah, kak…” Ros mengeluh.
“Jomlah cepat! Jangan banyak songeh.
Manalah tahu terjumpa Putera pujaan, cepat, cepat!” arah Aleeya.
ORANG
begitu ramai memasuki pintu gerbang pesta bunga di Putrajaya kali ini. Memang
setiap tahun ramai pengunjungnya. Siapa yang tidak suka dengan keindahan bunga
dan kecantikan warnanya. Terutama makhluk bernama perempuan. Bunga dikatakan
dekat dengan perasaan romantik dan kasih sayang. Mungkinlah agaknya.
“Kak, mana nak cari suami akak ni?” Lin
melilau memerhati sekeliling. Dalam keadaan bersesak-sesak itu mana mungkin
bertemu dengan orang yang dicari.
Mereka masih berada di tempat letak
kereta. Setengah jam melilau baharu boleh parkir kereta. Memang ramai betul
manusia.
“Kak, takkan nak pakai jubah hitam
dalam kepanasan yang mampu membakar sehingga ke tulang hitam, kak!” Ina sudah
mengibas-ngibas jubah hitam yang sering mereka gunakan waktu melakukan intipan.
Macam anggota polis pula, buat intipan.
“Pakai! Jangan banyak songeh!” arah
Aleeya. Dia melangkah keluar. Jubah sudah siap tersarung ke tubuhnya. Tinggal
tudung dan purdah sahaja yang masih tidak dipakainya. Nak pakai ke tidak ni?
Serba salah pun ada. Memanglah panas bagi mereka yang tidak biasa. Bagi mereka
yang sudah biasa, tegal biasa. Panas ke, hujan ke, biasalah.
“Akak ni memang tau!” Ros mencebik. Mereka
terus memakai jubah yang diberi. Kain tudung dan purdah sudah pun disarung.
“Dah, jom gerak!” kata Aleeya, mula
melangkah.
“Hoi!” jerit seseorang.
Aleeya dan kawan-kawannya saling
berpandangan. Siapa pula yang menjerit? Mereka pandang ke kiri, tiada sesiapa,
pandang ke kanan, juga tiada sesiapa. Aleeya memandang Lin yang berdiri di
sebelahnya. Dia mengangkat kening. Suara itu macam dia kenali, tetapi siapa ya?
Aleeya memusingkan tubuhnya memandang belakang. Dia menepuk dahi. Alamak, kantoi!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan