Cari Blog Ini

Jika Anda Memerlukan Resit Pengecualian Cukai Untuk Setiap Sumbangan Anda Ke MAAHAD AZ ZEIN AL MAKKI (PUSAT PENJAGAAN ANAK-ANAK YATIM TAHFIZ) Terus Berhubung Dengan Ustaz Shahari - 013 339 3112

Khamis, 9 Jun 2016

ADUH, PENING! - BAB 25



ALEEYA menyediakan sarapan seperti biasa. Dia memerhati jam di dinding. Tidak keluar ke suaminya hari ini? Selalunya hujung minggu tidak pernah ada di rumah. Matanya silih berganti merenung jam dan Ikmal yang duduk menghadap makanan yang ringkas dan yang penting sedap. Nasi goreng kampung, telur mata kerbau dan hirisan timun serta salad. Yummy, sampai tengah hari tidak perlu makan.
Sudah seminggu dia mengintip suaminya. Seminggu jugalah segala nota diambil dicatatkan. Nanti mudahlah untuk dia bersoal jawab dengan suaminya. Nasib baik Lin, Ros dan Ina silih berganti membantunya mengikut Ikmal dan Nadia. Uh! Sudah macam suami isteri. Nadia pula berani memeluk lengan suaminya. Hei, dia tu bekas isterilah! Mana boleh buat macam tu? Berdosa! Haram! Tak tahu ke? bebel Aleeya dalam hati.
            “Kenapa asyik tengok jam? Ada janji temu ke?” tanya Ikmal. Matanya tepat memandang Aleeya yang duduk menghadapnya.
            “Tak adalah… saja tengok kot-kot habis bateri,” jawab Aleeya. Dia menyudu nasi goreng ke mulutnya. Mengunyahnya perlahan-lahan sambil matanya memandang ke arah lain.
            “Baru minggu lepas abang ganti,” jelas Ikmal.
            “Erk… abang tak keluar ke?”
            “Kejap lagi… abang nak bawa anak-anak ke Putrajaya… ada pameran bunga, kan?” Ikmal mengerling.
            “Ha’ah ada. Tapi, orang ramai sangat. Leya pun tak pergi lagi. Ingat nak pergi hari ni, tapi malaslah. Hujung minggu lagi ramai orang. Mungkin pergi pada hari bekerjalah kot.”
            “Okeylah tu. Leya tak apa ke tinggal seorang kat rumah? Abang dah janji dengan anak-anak, nanti kalau tak tunaikan, marah pulak dia orang,” ujar Ikmal selamba.
Usai makan, dia terus melangkah keluar setelah berpamitan dengan Aleeya.
            Tahu marah anaknya sahaja. Marah isteri di rumah ini macam mana? bisik hati kecil Aleeya sambil menenyeh nasi. Memang menyakitkan. Boleh pula itu buat muka selamba. Langsung tidak ada rasa bersalah. Aleeya menghenyak kerusi di sebelah. Geram berapi-api di hati. Marah memuncak di jiwa. Memang tidak makan saman betullah anak-anak suaminya. Kenapa mereka tidak suka dengan dia? Teruk sangatkah dia? Ini ibu tiri yang baik tahu! Tak kenal maka tak cintalah. Cubalah kenal dirinya dulu, bebel Aleeya dalam hati.
            Aleeya mengemas meja makan. Dia harus ke pameran bunga itu pula, hari ini! Muktamad. Ramai pun ramailah. Tidak dapat tempat letak kereta, dia letak jauh sikit dan naik bas. Apa punya susah. Dia bukan hendak heret anak, hanya bawa diri sendiri. Nak pakai baju apa pula kali ini? Sudah macam-macam baju dipakainya agar tidak dikesan oleh Ikmal dan Nadia. Kalau mereka perasan, habislah dia.  Dia tidak mahu Ikmal fikir yang bukan-bukan tentang dirinya. Perasaan cemburu menjalar di hati.
            “Kak oi! Bukaklah pintu, dari tadi kami bagi salam, langsung tak jawab. Asyik mengelamun aje,” laung Lin dari pintu utama yang tidak berkunci. Cuma jeriji besi yang berkunci.
            “Laa… dah datang ke?” Aleeya menyengih. Dia langsung tidak mendengar orang memberi salam. Bahaya termenung seorang diri ini.
            “Dah lama kami kat sini, kak. Haus dan laparlah balik! Akak masak apa pagi ni?”  Lin terus mendekati meja makan.  Dia membuka tudung saji.
             Ina dan Ros sudah duduk di kerusi.
            Aleeya pula sudah ke dapur dan kembali dengan beberapa biji pinggan dan cawan.
            “Cakaplah tak makan lagi, jangan buat ayat poyo pulak!” Aleeya menyenduk nasi goreng dan mempelawa kawan-kawannya bersarapan bersama.
            “Cik abang dah keluar ke?” Ros memandang ke tingkat atas.
            “Kalau kereta tak ada tu, tak adalah orangnya.” Aleeya mencebik.
            “Ops! Maaf! Jom, makan dulu, lepas tu kita keluar. Kali ini, suami akak ke mana?” Ina menyudu nasi goreng dan makan dengan penuh selera.
            “Kita ke Putrajaya!” laung Aleeya riang.
            “Hah? Ke mana, kak? Malasnya nak ke sana, jalan sesaklah. Ni mesti nak pergi pesta bunga,” teka Lin.
            “Yalah tu…” sampuk Ina. Nasi dalam pinggan sudah habis. Dia menambah lagi. Sedap pula nasi goreng ini. Paling sedap, sebab percuma.
            “Hari minggu ni, kak... tentu orang ramai. Kenapa tak suruh suami akak bawa anak-anaknya ke tempat lain? Tengah kita skodeng, tiba-tiba ada pula muka-muka yang kenal kita. Jangan lupalah kita kerja kat kawasan persekitaran situlah, kak…” Ros mengeluh.
            “Jomlah cepat! Jangan banyak songeh. Manalah tahu terjumpa Putera pujaan, cepat, cepat!” arah Aleeya.

ORANG begitu ramai memasuki pintu gerbang pesta bunga di Putrajaya kali ini. Memang setiap tahun ramai pengunjungnya. Siapa yang tidak suka dengan keindahan bunga dan kecantikan warnanya. Terutama makhluk bernama perempuan. Bunga dikatakan dekat dengan perasaan romantik dan kasih sayang. Mungkinlah agaknya. 
            “Kak, mana nak cari suami akak ni?” Lin melilau memerhati sekeliling. Dalam keadaan bersesak-sesak itu mana mungkin bertemu dengan orang yang dicari.          
            Mereka masih berada di tempat letak kereta. Setengah jam melilau baharu boleh parkir kereta. Memang ramai betul manusia.
            “Kak, takkan nak pakai jubah hitam dalam kepanasan yang mampu membakar sehingga ke tulang hitam, kak!” Ina sudah mengibas-ngibas jubah hitam yang sering mereka gunakan waktu melakukan intipan. Macam anggota polis pula, buat intipan.
            “Pakai! Jangan banyak songeh!” arah Aleeya. Dia melangkah keluar. Jubah sudah siap tersarung ke tubuhnya. Tinggal tudung dan purdah sahaja yang masih tidak dipakainya. Nak pakai ke tidak ni? Serba salah pun ada. Memanglah panas bagi mereka yang tidak biasa. Bagi mereka yang sudah biasa, tegal biasa. Panas ke, hujan ke, biasalah.
            “Akak ni memang tau!” Ros mencebik. Mereka terus memakai jubah yang diberi. Kain tudung dan purdah sudah pun disarung.
            “Dah, jom gerak!” kata Aleeya, mula melangkah.
            “Hoi!” jerit seseorang.
            Aleeya dan kawan-kawannya saling berpandangan. Siapa pula yang menjerit? Mereka pandang ke kiri, tiada sesiapa, pandang ke kanan, juga tiada sesiapa. Aleeya memandang Lin yang berdiri di sebelahnya. Dia mengangkat kening. Suara itu macam dia kenali, tetapi siapa ya? Aleeya memusingkan tubuhnya memandang belakang. Dia menepuk dahi. Alamak, kantoi!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan